ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Wednesday 28 February 2007

LAWATAN WARGA D'MARA PORT DICKSON KE PULAU MUTIARA

Tuan Haji Mohamad & Haji Fakhrurrazi
`Cepat sikit Haji, saya pun nak tengok juga’


Puan Samiah
`Tersenyum lebar Nampak! tak sabar nak makan nasi kandar ke?’









Banglo Penginapanku – Kompleks Peranginan Bank Negara Malaysia
Lengkap dengan ruang tamu dan dapur – selesa dan cantik


Pasangan romantik Tuan Haji Mohamad & Isteri (Pesara BNM)
Yang sponsor penginapan sebahagian daripada kami
Di Kompleks peranginan BNM – Terima kasih daun keladi!.




Gambar kenang-kenangan disekitar Kompleks Peranginan BNM


Gambar sebahagian ahli rombongan yang menginap
di Kompleks Peranginan BNM

Restoran Khaleel Nasi Kandar – Yang terletak di bawah flat yang berhadapan dengan KFC dan Seven Eleven Batu Feringgi – aku makan disini selepas berjalan mungkin lebih 2 km dari tempat penginapan kerana semua restoran yang berdekatan tidak dapat dipastikan halal dan haramnya kerana kebanyakannya terpampang lambang Carlsberg. Tapi aku rasa berbaloi dengan kepenatan berjalan kerana dapat makan nasi kandar yang sedap – memang sedap dan harganya pun murah!





Keadaan `nite market’ di Batu Ferringghi – Dimana ada ruang di situ ada gerai – sampaikan diatas jambatan pun didirikan gerai – tetapi semua tuan punya gerai bermata sepet – Cabaran untuk kita di Port Dickson yang bersawo matang untuk merealisasikan `nite market’ Khususnya di batu 4. Mungkin dengan adanya `nite market’ di Port Dicksonakan dapat menarik pelancong asing ke Port Dickson kerana aku tengok disana ramai Pelancong asing khasnya Mat Salleh dan Arab. Lagi satu aku tengok kat sana ada restoran Khas yang menghidangkan masakan arab untuk pelancong Arab yang aku rasa tidak ada di Port Dickson.


Makan di Restoran Sup Hameed yang terkenal dengan berbagai jenis Sup,tetapi disebabkan supnya belum siap aku makan nasi kandar.






Makan lagi di Kayu Nasi Kandar yang terkenal – Pekena burung goreng - Memang best giler!


Di pasar Asam Jeruk – Macam-macam ada! – tapi tiada peniaga bangsaku!


Pejabat MARA Negeri Pulau Pinang

Timbalan Pengarah MARA Pulau Pinang Puan Siti Aminah bersama dengan Pegawai MARA Daerah Port Dickson En. Ahmad Izlan bin Idris


Khusyuk mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah MARA Pulau Pinang.


Masjid Kapitan Keling yang berhadapan dengan Pejabat
MARA Negeri Pulau Pinang. Tempat kami menunaikan solat Zuhor.






Lawatan ke Pusat Latihan MARA Pongsu Seribu – Banyak produk-produk di sini yang berpotensi untuk dikembangkan pasarannya. Gambar bawah sekali - Ust. Haji Idris dan Kak Long Latifah







Makan lagi! – Kali ni makan laksa penang yang enak di Restoran One Classic. Milik usahawan MARA di Kompleks Dato’ Kailan Kepala Batas – Restoran ini Cantik dan bersih – Tahniah anak bangsaku yang mengusahakan restoran ini!


****SEKIAN****

Sunday 25 February 2007

UMNO : Kepadamu Aku Datang..... (Siri 2)

"Tidak Berani Jika Bersalah, Tidak Kecut Takut Kerana Benar"

Selepas berkahwin, lebih banyak pendedahan politik UMNO yang aku terima. Keluarga sebelah mertuaku memang aktif di dalam UMNO. Bapa mertuaku adalah bekas AJK UMNO Bahagian Tumpat dan selalu ke Perhimpunan Agong sebagai perwakilan. Suamiku memang daripada kecil lagi sentiasa dibawa oleh bapanya ke Perhimpunan Agong. Masa di Universiti pun bapanya sanggup ke Bangi semata-mata mengambilnya untuk dibawa ke perhimpunan Agong. Suamiku juga selalu bercerita zaman pelajarnya yang membawa balik pelajar-pelajar UKM untuk mengundi di Parlimen Tumpat semasa musim pilihanraya. Beliau juga banyak mengendalikan akaun-akaun politician semasa menjadi remisier.

Selepas berkahwin, acap kali juga aku mengikuti beliau ke Perhimpunan Agong samada menemani bapanya atau berjumpa kawan-kawannya daripada Kelantan. Beliau selalu mengimbas kembali kenangan-kenangan semasa mengikuti perhimpunan dan pertandingan di dalam UMNO. Katanya banyak pengajaran yang boleh diperolehi bila kita melihat kembali sejarah UMNO. Daripada zaman menuntut kemerdekaan sampailah sekarang, banyak peristiwa-peristiwa yang boleh dijadikan iktibar khasnya pada zaman Tun Dr. Mahathir. UMNO tidak pernah jatuh kerana parti lawan tetapi runtuh kerana masalah dalaman. Dalam politik ini banyak perkara yang dia kata tidak masuk akal, tetapi itulah yang selalunya berlaku. Hari ini kawan dan esoknya boleh jadi lawan.

Selalu dia bercerita masalah perpecahan dalam parti bermula pada tahun 1981 apabila YBM. Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Disebabkan Presiden parti, Tun Dr. Mahathir memihak kepada Tun Musa maka YBM. Tengku Razaleigh Hamzah tumpas sebanyak dua kali. Kemudiannya pada tahun 1987, selepas Tun Musa meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berganding bahu pula dengan YBM. Tengku Razaleigh mencabar Tun Mahathir Mohamed. YBM. Tengku Razaleigh mencabar jawatan Presiden UMNO manakala Tun Musa pula berlawan dengan Tun Ghafar yang menjadi regu Tun Mahathir untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Ketika inilah terjadinya perpecahan yang teruk di dalam UMNO sehingga wujudnya team A dan B yang kemudiannya membawa kepada pengharaman UMNO dan tertubuhnya UMNO baru. YBM. Tengku Razaleigh yang kalah tipis sebanyak 43 undi pula menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Daripada situ jugalah dikatakan bermulanya politik wang.

Pernah juga dia bercerita macamana Tun Ghafar Baba yang banyak jasanya kepada UMNO kemudiannya diperlekehkan pula oleh DSAI yang disokong oleh Tun Mahathir semasa merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO (Tun Ghafar hanya mendapat 7 pencalonan berbanding 137 oleh DSAI). Walaubagaimanapun Tun Ghafar tidak pernah merajuk dengan UMNO dan senantiasa berpegang kepada falsafah `Orang Semenda’; `Dijemput datang – Disuruh pergi'. Ayah Haji (Dr. Haji Ramli Abd. Ghani, bekas Pegawai Khas Dato’ Mustapa Mohamad dan bekas orang kuat MARA) selalu berjenaka kepada aku, Tun Ghafar ini ada dua degree (Ba Ba). Kemudiannya kita dapat pula melihat bagaimana DSAI diperlakukan selepas dipecat daripada jawatan Tmbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Satu lagi cerita yang tidak pernah dilupakannya adalah cerita Nabi Sulaiman a.s dan semut yang diceritakan oleh Tan Sri Sanusi Junid dalam ucapannya semasa berucap di Shah Alam dalam siri kempennya merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993. (Kisah Nabi Sulaiman a.s dan semut tersebut akan diceritakan kemudian di dalam post yang lain).

Bersambung………

Saturday 24 February 2007

UMNO : Kepadamu Aku Datang.....(Siri 1)

“Orang yang gagal adalah orang yang selalu mencari alasan tetapi orang yang berjaya adalah orang yang selalu mencari jalan”


Seperti yang dijanjikan, aku akan menceritakan bagaimana aku boleh menceburi politik UMNO. Peristiwa ini sebenarnya telah berlaku lebih kurang dua tahun yang lepas. Pada masa itu aku langsung tidak berminat dengan politik sehinggalah aku dipelawa oleh Puan Zauyah binti Abu Samah menubuhkan Pergerakan Puteri UMNO cawangan beliau.

Beliau yang mengetuai Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Pinang menyatakan cawangannya belum lagi mempunyai pergerakan Puteri UMNO dan menyatakan hasratnya untuk melantik aku sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO cawangannya dan berharap aku dapat merealisasikan penubuhan Pergerakan Puteri UMNO dicawangan tersebut.

Aku pun tidak tahu macamana hati aku boleh terbuka untuk menerima pelawaan tersebut. Tetapi yang pastinya bukan kerana jawatan yang di tawarkannya. Mungkin kerana sikapku yang sukakan cabaran dan menyedari aku boleh menyumbangkan sesuatu kepada parti. Aku akan rasa puas sekiranya aku dapat merealisasikan harapan tersebut.

Masalahnya, keahlian UMNO aku berada di cawangan Bagan Pinang, jadi aku terpaksa memindahkan keahlianku ke Cawangan Sri Pinang. Semasa urusan perpindahan tersebutlah aku dinasihatkan oleh Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bagan Pinang iaitu Kak Ju, supaya tidak berpindah, lagipun katanya lebih baik aku berada di cawangan Bagan Pinang memandangkan tempat tinggalku di Kg. Bagan Pinang. Aku pun tangguhkan dulu hasrat tersebut.

Semasa mesyuarat agong Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Bagan Pinang yang diadakan kemudiannya nama aku tersenarai sebagai salah seorang AJK Pergerakan Wanita UMNO Cawangan tersebut. Seingat aku tiada pemilihan dijalankan, Cuma nama aku dibacakan bersama AJK-AJK yang lain. Aku sebenarnya terpinga-pinga pada masa itu, sedang aku sibuk untuk berpindah cawangan, tiba-tiba nama aku dilantik sebagai AJK. Perjalanan mesyuarat juga memeranjatkan aku, langsung tidak demokratik, senarai nama Ketua dan barisan AJKnya telah disediakan sebelum mesyuarat dijalankan. Banyak kepincangan yang aku nampak. Selain semua keputusan dibuat oleh beberapa orang sahaja, wujud juga parti dalam parti dan kecenderungan melantik pemimpin dikalangan saudara mara dan bukannya berdasarkan kepada kebolehan. Apabila ada ahli mengajukan pertanyaan, alasannya `kita tak nak mesyuarat kita kecoh-kecoh, tengok hari ini mesyuarat kita aman damai’. Memang tidak kecoh-kecoh dan aman damai tetapi sebenarnya kita telah mematikan semangat ahli-ahli kerana menafikan hak mereka untuk memilih dan dipilih. Sebab itulah kehadiran setiap kali mesyuarat agong tidak ramai dan dijalankan dalam keadaan lesu dan tidak bermaya. Itulah antara beberapa sebab yang aku nampak mengapa golongan profesional tidak mahu mendekatkan diri mereka dengan UMNO.

Walaubagaimanapun UMNO ini bukanlah nama yang asing bagi aku. Bapa dan emak aku adalah orang-orang yang telah banyak memberikan sumbangan kepada UMNO. Bapa aku, Haji Abu Bakar bin Abd. Ghani adalah AJK UMNO Cawangan Bagan Pinang yang dulunya diketuai oleh Tan Sri Mohamed Isa bin Dato’ Haji Abdul Samad. Emak aku pula, Hajah Rasiah binti Bakri adalah bekas guru Ekonomi Rumah Tangga KEMAS dan bergiat aktif di dalam UMNO, sebagai orang KEMAS bayangkanlah macamana tebal semangat UMNO beliau.

Bersambung..........

Friday 16 February 2007

Cutest Baby In Port Dickson

Ini lah gambar pembantu aku. Dia ni lah yang mengajar dan membantu aku membina dan manage blog aku. Tadi baru aku masuk blog dia, blog marketing, banyak post berkenaan teknik-teknik terbaru di internet, so interesting. Lepas ni kalau ada sesiapa yang berminat untuk membina blog, bolehlah contact aku. Bolehlah sama-sama kita keluarkan idea-idea kita yang terpendam tu!!!.

Sebenarnya dalam blog dia tadi aku terperanjat dengan satu post yang bertajuk `Cutest baby in Port Dickson'. Dia menceritakan berkenaan anak aku, Aisyah dan juga perkembangan terbaru tentang diri aku. Mana dia tahu pun, aku tak tahu?. Kalau nak tahu cerita lanjut boleh ke blog dia............alphagiga.com atau daripada blog aku ni, pergi ke web that I prefer, kemudian klik Uzairubiah (Alphagiga).

Thursday 15 February 2007

ALAHAI KONTRAKTOR MELAYU : Peganglah tali, Capailah Timba.

Utusan Malaysia hari ini sekali lagi melapurkan berkenaan ketirisan kontraktor bumiputera. Mereka memetik kata-kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu usaha untuk memajukan bumiputera dalam bidang pembinaan tidak akan tercapai jika para pengusaha terbabit mengalibabakan kontrak kerajaan yang diberikan kepada mereka.

Sehubungan itu Perdana Menteri yang kecewa dan tidak senang hati dengan amalan itu mahukan masalah ketirisan itu diperbetulkan dan dihentikan segera.
Kerajaan sendiri katanya, akan berusaha mengurangkan sebanyak mungkin ketirisan tersebut.

Perdana Menteri yang tidak berpuas hati dengan amalan tersebut berkata, “Kita akan pastikan supaya semua perkara ini (ketirisan) tidak akan berlaku lagi. “Kalau amalan ini berterusan, ini bermakna segala sasaran untuk menggalakkan bumiputera (dalam bidang pembinaan) tidak akan tercapai,’’ katanya lagi.

Semalam, Abdullah melahirkan rasa sedih apabila Kajian Ketirisan Kontraktor Bumiputera yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kerja Raya menunjukkan secara purata 85.37 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera tahun lalu mengalir kepada kaum lain.

Menurut Abdullah, tindakan mengalibabakan projek yang dianugerahkan kerajaan itu menyebabkan ia nampak elok dari luar sahaja sedangkan hakikatnya ia bukan dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera terbabit.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menghalang sekiranya syarikat bumiputera hendak mengadakan usaha sama tulen dengan syarikat bukan bumiputera tetapi mengalibabakan peluang yang diserahkan kepada mereka “adalah satu kesulitan yang tidak diingini”.

Namun katanya, apa yang berlaku pada masa ini ialah kontraktor bumiputera mengalibabakan projek dengan menyerahkan semuanya kepada kaum lain.

Persoalannya apakah faktor-faktor yang menyebabkan ketirisan tersebut?. Mungkinkah kerana sikap kontraktor kita yang mahukan kerja senang dan mendapat keuntungan dengan cara yang mudah. Kalau begenilah sikap mereka saya menyokong penuh supaya kontraktor-kontraktor ini disenaraihitamkan seperti yang disarankan oleh beberapa tokoh perniagaan melayu kita.

Tetapi yang menarik perhatian saya adalah komen yang diberikan oleh Sdr. Reezal Merican Naina Merican iaitu Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO yang menyatakan ketirisan kontrak berlaku antaranya disebabkan kontraktor bumiputera gagal memperoleh sendiri bahan-bahan binaan.

Ini kerana pembekal bahan binaan terdiri daripada kaum Cina yang wujud dalam rangkaian kartel yang begitu kuat sejak dahulu.

Sebanyak 60 peratus kos projek terpaksa dibelanjakan bagi memperoleh bahan binaan daripada bukan bumiputera.

Daripada apa yang beliau nyatakan, adanya maksud yang tersirat yang beliau ingin utarakan. Pada pandangan saya apa yang beliau cuba maksudkan adalah wujudnya masalah diantara kontraktor-kontraktor kita dengan pembekal-pembekal bahan binaan yang terdiri daripada kaum Cina.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika berurusan dengan pembekal-pembekal kaum Cina ini. Walaupun saya bukan di dalam sektor pembinaan, tetapi pengalaman saya ini mungkin juga dirasai disektor tersebut.

Pada beberapa tahun yang lepas saya pernah mendapat tender daripada satu syarikat minyak yang terkenal di negara kita iaitu tender untuk membekal alat-alat tulis, yang meliputi juga peralatan yang bersangkutan dengan fotokopi dan komputer.

Difahamkan, sayalah anak melayu pertama yang pernah ditawarkan tender tersebut. Jadi saya bukan main gembira dan berbangga sekali. Tetapi itulah permulaan titik hitam di dalam perniagaan saya. Pembekal-pembekal yang dulunya memberi kredit sehingga 45-60 hari menarik balik kredit tersebut dan meminta saya membayar secara tunai. Pada mulanya saya tak faham kenapa, tetapi rupa-rupanya kerana saya yang mendapat tender tersebut dan mengenepikan kaum mereka. Pada hal pembekal tersebut tiada kena-mengena dengan tender yang dimaksudkan.

Apabila mereka menarik kemudahan kredit maka saya kekurangan modal pusingan dan bermasalah untuk menyempurnakan pesanan daripada syarikat minyak tersebut. Lebih memeritkan mereka sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana mereka tahu saya mempunyai price aggrement dengan syarikat minyak tersebut.

Apabila saya bermasalah mulalah mereka datang kononnya untuk menolong. Bermacam bentuk perkongsian yang mereka cadangkan yang sebenarnya mereka mahu menjadikan saya sleeping partner sahaja, saya tidak memilih pilihan tersebut tetapi saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan tender.

Pengalaman saya mengendalikan mini market juga agak sama. Mereka ini seakan-akan mempunyai super power untuk menentukan harga pasaran. Cuba bayangkan pemborong di pekan Port Dickson boleh menawarkan harga yang lebih murah daripada harga yang pembekal tawarkan kepada saya, sedangkan barang-barang tersebut juga dibekalkan oleh pembekal yang sama. Apabila kita ajukan pertanyaan, alasan mereka adalah pemborong membeli dengan kuantiti yang banyak. Tapi itu adalah alasan semata-mata kerana pernah pada suatu hari, pembekal tersebut tertinggal buku resit jualan, saya sempat melihat buku tersebut dan mendapati kedai kaum mereka yang membeli dengan kuantiti yang sedikit pun mendapat harga yang lebih murah daripada saya. Itulah sebabnya kita tidak dapat bersaing dengan mereka dari segi harga.

Kesimpulannya adalah penting untuk kita mewujudkan pembekal-pembekal dari bangsa kita sendiri. Walaupun mungkin kita perlu mengambil masa yang agak lama tetapi sekiranya kita tidak bermula dari sekarang, sampai bila-bila pun kita tidak dapat mengatasi masalah ini.

Harapan saya pada suatu masa nanti kita dapat nafikan puisi Usman Awang, `Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba’.

Fikir, fikirkanlah.

Wednesday 14 February 2007

Aku Mengikuti Rombongan Che' Kiah Ke KLCC......(Siri 3)

Selain daripada itu rombongan aku juga sempat singgah di Taman Tasik Titiwangsa, pergi naik ferris wheel. Ramai mak cik-mak cik yang begitu seronok menaikinya. Ada seorang Mak Cik tu bila turun daripada ferris wheel terus bertanya kepada kawannya, apa pemandangan yang dia nampak semasa di atas ferris wheel?. Kawannya kehairanan, rupa-rupanya kedua-dua mereka menutup mata kerana ketakutan semasa berada diatas. Langsung apa-apa pemandangan pun mereka tak nampak.

Semasa perjalanan pulang, ada seorang cucu yang menelefon neneknya, yang merupakan salah seorang ahli rombongan kami, cucunya bertanya, ` Nenek beli tak senapang yang kita pesan?’ tanya cucunya. Jawab nenek tersebut, `Hari ni nenek tak dapat belikan senapang sebab nenek pergi main buaian (ferris wheel)’ sambil ketawa.

Sebelum sampai PD, kami sempat juga singgah di Nilai 3 untuk membeli belah.

Sebelum aku mengakhiri catatan ini aku sebenarnya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Puan Zauyah bt Abu Samah, AJK Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, yang juga merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Pinang kerana mempelawa aku menyertai rombongan ini. Walaupun beliau telah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya tetapi beliau tidak pernah lupa pada aku. Beliaulah sebenarnya yang memberikan aku landasan menceburi bidang politik ini. Beliaulah idolaku, terima kasih daun keladi.

(catatan: saya akan menceritakan bagaimana saya boleh menceburkan diri di dalam pergerakan wanita umno di dalam siri-siri yang akan datang)

Aku Mengikuti Rombongan Che' Kiah Ke KLCC......(Siri 2)


Hari ni nak minta maaf banyak-banyak sebab semalam janji nak siarkan gambar tapi handphone yang aku bawa memory full, tak perasan. Kalau sesiapa yang ada ambil gambar bolehlah pass kat aku, nanti aku siarkan. Aku bukan apa nak siarkan gambar-gambar tu, cuma nak bagi penghargaan kepada semua AJK Wanita UMNO Bahagian dan juga AJK Wanita UMNO Cawangan kerana mereka ini lah yang menjayakan aktiviti-aktiviti parti pada peringkat bahagian dan juga cawangan. Mereka jugalah yang selalu bertungkus lumus berkerja apabila sampainya musim pilihan raya.

Aku sebenarnya seronok dapat mengikuti program macam ni kerana dapat beramah mesra dengan semua AJK Wanita UMNO Bahagian dan Cawangan terutamanya Ketuanya Puan Hajah Rohani bt Yaacob, Naib Ketua, Puan Norliza bt Baharin, Pen. Setiausaha, Puan Safiah binti Sidek, Ketua Penerangan, Puan Hajah Rashidah bt Haji Shukri dan barisan AJKnya.

Aku sebenarnya kagum dengan pengalaman dan jasa-jasa yang telah mereka taburkan dan bila aku bersama-sama dengan mereka, terasa benar betapa kerdilnya pengalaman dan sumbangan aku kepada parti.

Sepanjang berada diatas bas, tidak kering gusi dibuatnya, asyik ketawa dengan cerita-cerita dan jenaka daripada mereka-mereka semua, khasnya Mak Cik Syidah iaitu Ketua Penerangan Pergerakan wanita UMNO Bahagian yang juga kawan baik ibu dan bapa aku.

Bila aku naik saja bas, dah terdengar jenaka daripada beliau, `Anak ayam masuk longkang, you datang last, duduk belakang.’ Jadi sepanjang perjalanan tu riuh rendahlah dibuatnya dengan cerita-cerita Pilihan Raya Kecil Batu Talam.

Aku teringat beberapa jenakanya yang berupa teka-teki, `bulu sejemput, panjang sejengkal, keluar-masuk, keluar-masuk, berair’ tapi awal-awal lagi Mak Cik Syidah dan mengingatkan, katanya `otak jangan kuning’. Selepas beberapa jawapan yang diberikan tidak betul maka Mak Cik Syidah memberikan jawapannya……………….Berus gigi. Ha! Ha! Ha!

Teka-tekinya yang kedua adalah ` banyak-banyak coffee, coffee apakah yang boleh bercakap?’. Setelah bermacam jawapan diberikan seperti coffee jantan la!, kopitiam la!, jawapan sebenarnya ialah……………..Kofi Annan. Ha! Ha! Ha!

Di tempat pameran pula, aku sangat tertarik dengan pameran mengenai perubatan Islam dan cekerawala.

ALAHAI KONTRAKTOR MELAYU!!

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa sedih apabila kajian menunjukkan secara purata 85.37 peratus projek yang dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera pada tahun 2006 mengalir kepada kaum lain.

Menurut Perdana Menteri, fakta itu terdapat dalam Kajian Ketirisan Kontraktor Bumiputera yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Kerja Raya pada tahun tersebut.

Katanya, situasi yang berlaku itu telah menggagalkan hasrat kerajaan untuk memaju dan memperkasakan kontraktor bumiputera.

‘‘Dalam konteks lebih besar, bukan itu sahaja, malah ia menggagalkan agenda bumiputera yang sangat penting dalam memastikan negara mencapai kemajuan dan kestabilan jangka panjang.

“Bagi saya, mereka ini tidak mahu bekerja, tidak mahu belajar dan ambil mudah peluang diberikan oleh kerajaan. Oleh itu, kesedaran untuk berubah dan belajar memperbaiki diri perlu dipupuk di kalangan mereka,’’ katanya.

Aku Mengikuti Rombongan Che' Kiah Ke KLCC......( Siri 1)

PAMERAN KEGEMILANGAN SAINS DALAM TAMADUN ISLAM

"Sains Islam Mendahului Zaman"

Hari ini aku mengikuti rombongan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang melawat Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam. Pameran ini adalah bertujuan untuk mengenengahkan semula kegemilangan ilmuwan Islam, dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 8 hingga 14 Januari 2007, menampilkan 148 artifak dan hasil penemuan sains cendekiawan Islam. Kandungan utama pameran ini merupakan 148 bahan pameran yang terdiri dari replika, model, working model, poster yang merupakan koleksi hasil ciptaan ilmuan Islam silam dan manuskrip-manuskrip saintifik dalam pelbagai bidang sains.

Pameran yang julung kali diadakan ini bermatlamat mencetuskan kembali kesedaran terhadap kepentingan mengkaji dan menerokai ilmu sains dan teknologi seterusnya membangkitkan semangat generasi muda untuk meneruskan kesinambungan ilmuwan Islam.




Tuesday 13 February 2007

DUN BAGAN PINANG : Bukan Kerusi Mudah Untuk UMNO....( Siri 4)

Dalam siri keempat dan terakhir ini saya ingin memperkatakan golongan yang tidak kurang pentingnya untuk diberikan perhatian iaitu golongan remaja, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan golongan profesional muda melayu. Pengaruh golongan ini tidak boleh diperkecilkan. Mereka telah membuktikannya semasa Pilihan Raya Umum 1999. Sebelum pilihan raya umum tersebut lapuran awal menyatakan peluang BN adalah baik untuk merampas semula Kelantan daripada PAS tetapi apabila golongan ini balik ke kampung membawa isu DSAI, mereka dapat mempengaruhi ibu-bapa dan ahli keluarga untuk mengundi pembangkang, maka PAS bukan sahaja dapat mengekalkan kuasa di Kelantan tetapi menumbangkan kerajaan BN di Trengganu.

Menyedari keadaan inilah parti telah menubuhkan Puteri UMNO dan mewujudkan satu biro dibawah pergerakan Pemuda UMNO iaitu Putera UMNO. Tujuannya adalah untuk menarik golongan ini menyertai UMNO. Puteri UMNO ditubuhkan untuk menarik golongan wanita muda yang berumur diantara 18-35 tahun manakala Putera UMNO akan menyerap ahli-ahli Pemuda UMNO yang dibawah 25 tahun.

Nampaknya hasrat pimpinan peringkat tertinggi tidak dapat direalisasikan di peringkat cawangan. Penubuhannya diperingkat cawangan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja. Aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat golongan ini tidak dijalankan.

Persoalannya, kenapakah dua sayap parti yang penting ini tidak dapat menarik minat golongan ini terutamanya golongan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan golongan profesional muda melayu? Adakah mereka ini yang tidak berminat atau kita sebagai pemimpin diperingkat cawangan tidak bersungguh-sungguh mengajak dan mempelawa mereka menyertai kita.

Persolan ini perlulah dikaji dengan teliti kerana ianya melibatkan masa depan parti kerana golongan inilah yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan parti dan negara.

Daripada tinjauan peribadi saya khasnya dicawangan UMNO Bagan Pinang, terlalu sedikit penglibatan profesional melayu, baik didalam aktiviti-aktiviti atau mereka yang dilantik memegang jawatan diperingkat Cawangan, Pergerakan wanita ataupun Puteri. Kalau nak diikutkan sebenarnya terdapat ramai golongan profesional melayu yang layak memegang jawatan tersebut berada di cawangan ini tapi tak tahulah dimana silapnya?.

Ada desas desus yang mengatakan golongan ini sebenarnya disekat daripada menyertai UMNO kerana pemimpin yang sedia ada bimbang jawatan mereka akan tergugat mungkin ada kebenarannya.

Kaedah pemilihan semasa mesyuarat agung peringkat cawangan yang menyiapkan senarai nama Ketua dan semua AJKnya dan hanya dibacakan semasa mesyuarat tanpa pemilihan mematikan semangat golongan ini untuk bergiat aktif dan menutup peluang mereka untuk memilih dan bertanding. Kaedah ini selain tidak demokratik, ianya juga menghalang hak mereka yang berkelayakan untuk memegang jawatan.

Kaedah ini juga memberikan kuasa kepada hanya beberapa orang untuk menentukan kepimpinan dan daripada apa yang berlaku sekarang kebanyakan mereka yang dilantik adalah berdasarkan kepada hubungan kekeluargaan dan bukannya berdasarkan kepada kebolehan. Itulah antara beberapa punca yang menyebabkan kelesuan aktiviti parti pada peringkat cawangan.

Oleh itu kita sama-sama merenung kembali masalah ini, ajaklah golongan profesional yang ramai terdapat di DUN ini menyertai parti. Kehadiran mereka adalah sangat penting untuk masa depan parti dan sekiranya mereka menyertai pembangkang ianya sangat merugikan kita.

Saya terpaksa berhenti disini kerana besok pagi saya akan mengikuti rombongan Pergerakan Wanita UMNO mengadakan lawatan ke Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam di KLCC. Tapi jangan terperanjat kerana saya pergi bukan mewakili cawangan saya sebaliknya dijemput oleh Puan Zauyah binti Abu Samah iaitu Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Pinang yang juga merupakan AJK Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang bagi menggantikan tempat setiausaha wanita cawangannya yang tidak dapat pergi. Tunggulah gambar-gambar berkenaan program tersebut di blog saya besok. SELAMAT BERJUANG!

Monday 12 February 2007

DUN BAGAN PINANG : Bukan Kerusi Mudah Untuk UMNO....... (Siri 3)

Sambil bersembang di Kedai Kopi Pak Lang, inilah masanya untuk YB ADUN Bagan Pinang dan barisan kepimpinan DUN Bagan Pinang membelek semula diari dan menyemak semula checklist apa-apa lagi yang belum disempurnakan, baik projek-projek pembangunan ataupun janji-janji yang pernah dilafazkan pada pilihanraya umum yang lepas. Apa pulak kata rakyat sekiranya janji-janji baru dikeluarkan sementara janji-janji lepas belum ditunaikan.

Pada hari ini saya ingin mengulas faktor taraf hidup, pendidikan dan bangsa boleh mempengaruhi keputusan pilihanraya pada kali ini. Ini telah dibuktikan semasa pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006 yang lepas dimana banyak kawasan-kawasan bandar dengan penduduk berbangsa cina telah dikuasai oleh parti pembangkang iaitu enam kerusi dikuasai oleh DAP (Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong), satu kerusi dimenangi oleh Keadilan (Padungan) dan satu kerusi oleh bebas (Ngemah). Keadaan yang agak sama juga berlaku semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Kemang tahun 2000 dimana calon MIC/BN walaupun menang secara keseluruhan dengan majoriti 5,972 undi tetapi sebenarnya kalah di DUN Lukut dengan 297 undi sementara menang tipis di DUN Pasir Panjang dengan kelebihan 1,034 undi tetapi menang besar di DUN Chembong, Linggi dan SiRusa (Sebelum persempadanan semula). Bagi Pilihanraya Umum 2004 selepas persempadanan semula menampakkan pengundi beralih semula menyokong BN kerana MIC/BN telah memenangi kerusi Parlimen Teluk Kemang dengan majoriti yang besar iaitu 17,777 undi dan memenangi kesemua DUN termasuk DUN Lukut dan penambahan majoriti di DUN Bagan Pinang (dulunya DUN Pasir Panjang) iaitu calon UMNO/BN YB Sdr. Mohd Faizal Ramli menang besar dengan majoriti 4,411 undi.

Di dalam DUN Bagan Pinang terdapat ramai pengundi yang boleh dikatakan golongan menengah dan berpendidikan. Golongan ini sebenarnya adalah golongan yang boleh mengalihkan undi mengikut keadaan dan isu semasa. Mereka ini adalah golongan yang lebih terbuka, boleh mendengar dan menerima hujah-hujah pembangkang. Cuma sikap pembangkang yang hanya pandai mengkritik dan tidak memberikan alternatif sahaja yang menguntungkan kita. Rakyat pula tidak akan menukarkan pemerintahan sekiranya mereka tidak pasti pemerintahan baru adalah lebih baik. Jadi untuk menarik golongan ini supaya terus menyokong kita, seharusnya hujah-hujah yang bernas mestilah disediakan dan jawapan kepada isu-isu semasa mestilah diberikan dengan sebaik-baiknya. SELAMAT BERJUANG!

EL NINO : Fenomena Alam Yang Menakutkan

Pada masa sekarang banyak cerita dan maklumat yang berkaitan dengan cuaca yang jarang-jarang kita dengar semenjak dua dekad yang lalu. Keadaan cuaca sudah menjadi semakin pelik kerana bahagian-bahagian dunia yang dulu kering kontang kini dilanda banjir, sementara bahagian-bahagian dunia yang biasanya sejuk, sekarang menjadi panas melampau.

Selepas berlakunya tsunami yang meragut berpuloh ribu nyawa dan disusuli dengan ribut taufan yang berbagai nama, keadaan cuaca dunia semakin sukar untuk diramal. Pada masa sekarang Amerika Syarikat sedang dilanda taufan yang telah meragut banyak nyawa. Di negara-negara asean juga berbagai ribut yang melanda yang memusnahkan banyak harta benda. Di negara kita juga cuaca sudah menjadi tidak menentu, kalau dulu banjir biasanya melanda negeri-negeri pantai timur tapi pada tahun ini banjir telah melanda negeri Johor yang terletak di selatan sebanyak dua kali iaitu gelombang pertama dan kedua yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Di Indonesia pula banjir besar yang melanda yang mana 75 peratus daripada Jakarta telah tenggelam. Perkara sebegini sebenarnya jarang-jarang kita dengar. Sekarang ini pula kita diramalkan akan berdepan dengan fenomena El Nino.

APAKAH FENOMENA EL NINO?

El Nino adalah suatu arus laut yang panas menggantikan suatu arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan keadaan kejadian luar biasa cuaca yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara dan Australia, keadaan-keadaan lebih kering dari normal berlaku sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya keadaan lembap dialami. Secara lazimnya, El Nino berlaku untuk tempoh 9-18 bulan. Biasanya ia mula terbentuk pada awal tahun, berada dikemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah pada awal tahun yang berikutnya.

Sejak 50 tahun kebelakangan ini, El Nino telah berlaku sebanyak 12 kali. Dua kejadian El Nino yang terkuat pada abad yang lalu berlaku pada 1982-83 dan 1997-98.

APAKAH PERUBAHAN IKLIM SEMASA EL NINO?

Di kawasan tropika, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia Utara. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di Afrika Tenggara, India dan Brazil Utara. Cuaca lebih lembap berlaku sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara.

Fenomena yang menakutkan ini sebenarnya telah bermula sekarang. Setiap hari kita merasakan bahang panas dan kering. Ramai diantara kita sudah mula demam dan batuk-batuk. Semua ini puncanya adalah kecuaian dan kezaliman kita sendiri ke atas alam sekitar.

BERSEDIAKAH KITA MENGHADAPI FENOMENA INI?

Apa yang perlu kita fikirkan adalah macamana persediaan kita menghadapi fenomena ini. Cuaca tidak lagi membawa perkhabaran gembira buat kita. Jangan sampai masalah ini menjadi kritikal baru kita hendak mencari jalan mengatasinya.

Daripada laporan akhbar minggu lepas semua jabatan kerajaan yang berkaitan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga- jaga mulai sekarang sebagai persiapan bagi menghadapi kemungkinan cuaca yang tidak menentu akibat fenomena El Nino ini. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan memberi amaran bahawa El Nino diramalkan akan menyebabkan kemarau dan jerebu di negara ini.“Kita perlu melihat keadaan pada bulan Februari dan Mac ini sebelum mengeluarkan pelan tindakan di peringkat negara dan ASEAN. Saya fikir adalah wajar jika kita bersikap berwaspada mulai dari awal, terutama dalam menguruskan sumber air kita,” katanya kepada pemberita apabila ditanya apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menghadapi kesan El Nino. “Pembangunan perumahan, kegiatan pembalakan dan pembangunan infrastruktur lain, jika tidak dilaksanakan secara mampan, boleh menyebabkan mendapan lumpur di sungai dan penyumbatan sistem saliran,” katanya lagi.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula berkata mereka tidak mempunyai kuasa ajaib untuk menghalang kemungkinan kemarau panjang akibat fenomena El Nino tetapi boleh mengurangkan masalah terhadap petani menerusi pemantauan rapi setiap agensinya. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua ketua jabatan diminta mencari jalan untuk mengurangkan kesan buruk terhadap kawasan pertanian jika bekalan air untuk pengairan terjejas kerana perubahan iklim dunia ini. Sebelum ini, pakar tempatan meramalkan perkembangan sektor pertanian negara seperti ditekankan Rancangan Malaysia Kesembilan akan menghadapi cabaran terbesar selepas fenomena El Nino bermula tahun ini, mungkin menyebabkan kemarau paling teruk dalam sejarah. Fenomena yang akan mengakibatkan kemarau panjang dan boleh menjejaskan sektor pertanian negara ini diramal berlaku di negara ini bulan depan. Beliau berkata, kemarau yang berlaku sebelum ini menjejaskan kawasan pertanian yang bergantung kepada perairan dari sungai atau hujan manakala kawasan yang bergantung kepada empangan tidak akan terjejas.

Kerajaan negeri sabah pula akan meminta bantuan pakar mengenai fenomena El Nino daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan nasihat dan langkah persediaan yang perlu bagi menghadapi musim kemarau yang diramal bermula pada bulan Mac hingga Ogos tahun ini. Sabah dan Sarawak memerlukan persediaan yang lebih kerana bencana ini sangat sukar diuruskan, dan yang paling bahaya ialah kebakaran hutan kerana ia sukar dikawal.

Daripada kenyataan-kenyataan tersebut dapat kita simpulkan bahawa kita tidak dapat melawan ketentuanNya, tetapi kita boleh berikhtiar dan berusaha mengurangkan kesan-kesannya. Selagi kita terus terusan menganiaya dan menderhaka kepada alam sekitar selagi itulah kita akan menghadapi kemarahan alam.