ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday 31 May 2007

CERITA SEEKOR KATAK KECIL

SEBENARNYA hari ini saya tidak bercadang untuk menulis apa-apa di blog saya kerana besok pagi terpaksa bangun awal ke Stesyen kereta api Seremban menjemput dua puteri yang balik bercuti daripada Kelantan.

Tetapi kerana sudah biasa tidur lewat, mata pula tidak dapat dipejamkan. Jadi sempatlah singgah ke blog-blog yang lain. Daripada banyak-banyak artikel yang dibaca hari ini saya tertarik dengan satu cerita yang ditulis oleh Sikumbang. Katanya cerita ini diperolehinya semasa menghadiri kursus motivasi tidak berapa lama dulu.

Saya memang belum pernah mendengar cerita ini dan rasanya boleh berkongsi dengan pembaca blog saya pula. Menurut Sikumbang cerita ini penuh dengan pengertian bagi seseorang yang ingin menuju puncak. Cerita ini bukan fantasi tapi realiti kehidupan yang penuh dengan cabaran. Ikutilah cerita ini yang saya petik dari blog beliau Destinasi Kumb@ng.

Inilah kisahnya…

Pada suatu hari ada sekumpulan katak-katak kecil, yang berlumba mendaki. Tujuannya adalah mencapai puncak sebuah menara yang sangat tinggi.

Penonton berkumpul bersama mengelilingi menara untuk menyaksikan perlumbaan dan memberi semangat kepada para peserta.

Perlumbaan dimulakan…

Secara jujur…

Tak satu pun penonton yang benar-benar percaya bahawa katak-katak kecil akan mencapai puncak menara.

Terdengar suara:

“Oh, jalannya terlalu sukar. Mereka TIDAK AKAN sampai ke puncak.”

atau

“Tidak ada kesempatan untuk berjaya…Menaranya terlalu tinggi!!”

Katak-katak kecil yang mendaki mula berjatuhan. Satu persatu.

Kecuali mereka yang tetap bersemangat mendaki menara perlahan-lahan semakin tinggi dan semakin tinggi.

Penonton terus bersorak!!

“Terlalu sukar!!! Tak seorangpun akan berjaya!!!

Lebih banyak lagi katak kecil lelah dan menyerah…

Tapi ada SATU yang meneruskan usaha sehingga semakin tinggi dan tinggi. Dia tak akan menyerah.

Akhirnya yang lain telah menyerah untuk menaiki menara. Kecuali satu katak kecil yang telah berusaha keras menjadi satu-satunya yang berjaya mencapai puncak!

SEMUA katak kecil yang GAGAL ingin tahu bagaimana katak ini boleh melakukannya. Seorang peserta katak bertanya bagaimana cara katak yang berjaya menghimpunkan kekuatan untuk mencapai tujuan?

Ternyata Katak yang menjadi pemenang itu PEKAK!

Hikmah dari cerita ini adalah…

Jangan dengar orang lain yang mempunyai kecenderungan negatif ataupun pesimis. Kerana mereka mengambil sebahagian besar mimpimu dan menjauhkannya darimu. Selalu fikirkan kata-kata bertuah yang ada. Kerana segala sesuatu yang kamu dengar dan kamu baca boleh mempengaruhi tingkahlakumu!

Kerana itu:

Tetaplah selalu : POSITIF!

Dan yang terpenting, buat PEKAK jika orang berkata kepadamu bahawa KAMU tidak boleh mencapai cita-citamu!

Selalulah berfikir: I CAN DO THIS!

Sekian.Jumpa lagi.

Wednesday 30 May 2007

KENDURI KAHWIN

SATU lagi perkara yang sinonim dengan musim cuti sekolah adalah kenduri kahwin. Di sana sini majlis kenduri kahwin diadakan. Yang tak tahannya semua memilih pada hari cuti hujung minggu. Bila satu hari ada tiga atau empat jemputan, maknanya hanya pergi meraikan, nak makan memang dah tak larat. Kalau dipaksa juga makan, nanti membawa penyakit pula.

Hari ini nak cerita ada dua kenduri kahwin yang aku anggap penting tapi tak dapat nak hadir. Pertamanya rumah Ayah Su (Mohd Kanafiah) di Kelantan yang aku dan suami anggapnya dah macam bapa saudara sendiri. Ayah Su dan Mak Su ni memang tak lupa untuk singgah Port Dickson sekiranya ada urusan kerja di Kuala Lumpur atau yang berdekatan dengan Port Dickson ini.

Memang rasa terkilan sangat tak dapat hadir, tapi nak buat macam mana, memang tak boleh nak susun jadual yang dah bertindan-tindan ini. Untuk Ayah Su dan Mak Su “Minta maaf banyak-banyak ya”. Nanti kita jumpa lain kali.

Lagi satu kenduri kahwin yang tak dapat pergi adalah rumah Ibu Saudara sebelah suami yang juga di Kelantan. Ibu Saudaraku ini sebenarnya mengahwinkan cucu lelaki yang memang tinggal bersama-sama dengannya.

Masa aku balik Kelantan tempohari, sempat aku jumpa ibu saudara yang aku panggil `mek’ ini, dia memang berharap sangat agar aku dapat balik masa kenduri tersebut. Katanya kenduri tersebut akan diadakan secara besar-besaran. Pada siangnya ada pertunjukan silat dan sebelah malam pula ada pertunjukkan dikir barat.

Bila aku kata tak dapat balik, nampak bergenang air matanya. Itulah yang sangat-sangat menyedihkanku tapi apakan dayaku dengan jadual tugas yang ketat dan ditambah pula dengan keadaanku yang sarat sekarang ini.

Walaubagaimanapun dua orang puteriku masih lagi berada disana dan sudah tentu menghadirinya. Aku harap terubat juga hati Mek dengan kehadiran puteriku tersebut. “Mek, Minta maaf ya!, nanti Ros balik lain kali, insya-Allah lepas bersalin nanti”.

Akhir sekali untuk kedua-dua pengantin baru ini, Kak Ros nak ucapkan “Selamat Pengantin Baru, Semoga Berbahagia Sehingga Ke Anak Cucu”.

Tuesday 29 May 2007

CUTI SEKOLAH - BALIK KAMPUNG

MUSIM cuti sekolah kembali lagi, Port Dickson kembali sesak dengan pengunjung dan maklumat daripada rakan-rakan yang bekerja di hotel mengatakan kebanyakkan bilik hotel habis ditempah.

Biasanya terdapat tiga perkara yang sinonim dengan cuti sekolah iaitu balik kampong, kenduri kahwin dan juga pergi bercuti. Tapi hari ini saya mahu berkongsi dengan anda semua pengalaman balik ke kampong suami.

Kerana kami tinggal di Port Dickson, pengalaman balik kampong sudah tentulah ke kampung suami di Kelantan. Sekiranya kami menaiki kereta, perjalanan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuloh jam. Sebab itulah selalunya terpaksa singgah di perjalanan yang bermakna kami terpaksa mengambil masa dua hari untuk sampai ke sana.

Bila berjalan jauh, yang penting kenderaan kita mestilah berada di dalam keadaan yang baik. Kelajuan juga mestilah munasabah dan didalam keadaan di mana kita dapat mengawal kenderaan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti kebocoran atau kerosakan tayar. Bak kata orang biar lambat asal selamat. Saya selalu ingat pesanan bapa mertua saya “Ros, kalau nak cepat jangan bawa kereta, tapi naik kapal terbang”. Sebab itulah orang lain boleh sampai ke Kelantan dalam masa satu hari, saya pula terpaksa mengambil masa dua hari.

Kalau balik ke Kelantan ada tiga jalan yang selalu saya ikuti. Pertamanya melalui Lebuhraya Karak dan masuk melalui Bentong, Raub, Kuala Lipis, Gua Musang, Kota Bharu dan terus ke Tumpat. Saya suka melalui jalan ini kerana jaraknya paling dekat dan paling cepat. Caj tol juga tidak banyak kalau nak dibandingkan dengan melalui Lebuhraya Utara Selatan.

Biasanya daripada Port Dickson, saya mengambil masa lima jam untuk sampai ke Kuala Lipis dan daripada Kuala Lipis ke Tumpat juga mengambil masa lima jam. Sekiranya penat saya boleh bermalam di Rumah Rehat Tanjung Lipis yang terletak di Kuala Lipis. Rumah rehat ini memang selesa kalau nak dibandingkan dengan harganya yang murah.

Jalan kedua pula ialah melalui Cameron Highlands. Daripada Port Dickson, saya melalui Nilai, Shah Alam, Sungai Buloh, Tapah, Cameron Highlands, Gua Musang, Kota Bharu dan terus ke Tumpat. Sekiranya penat saya boleh bermalam di Cameron Highlands. Keistimewaan mengikuti jalan ini adalah saya boleh berjalan-jalan di Cameron Highlands.

Di Cameron Highlands ada dua perkara yang saya suka iaitu makan sup sayur di Tanah Rata dan kemudian membeli sayur-sayuran khasnya cendawan di Brinchang. Sekiranya anda melalui jalan ini sudah tentu anda akan dapat menghirup udara segar dan pemandangan yang indah di Cameron Highlands dan juga Lojing. Anda juga akan dapat melihat pos-pos orang asli semasa perjalanan daripada Cameron Highlands ke Gua Musang.

Jalan ketiga yang selalu saya ikuti adalah melalui Lebuhraya Timur Barat. Daripada Port Dickson kita ke Lebuhraya Utara Selatan dan keluar melalui susur Kuala Kangsar ke Lenggong, Grik, Jeli, Rantau Panjang, Pasir Mas dan terus ke Tumpat. Sekiranya saya melalui jalan ini saya akan bermalam di Rumah Rehat Lenggong atau di Tasik Banding.

Yang paling istimewa sekiranya melalui jalan ini adalah kerana saya dapat singgah di Restoran Ikan Bakar Tasik Raban yang terletak berhampiran dengan Tasik Raban. Restoran ini menjadi kegemaran saya kerana ikan bakarnya yang sedap. Sehingga ke hari ini saya belum lagi merasai ikan bakar yang lebih sedap daripada di sini.

Pernah pada suatu hari, masa itu saya mengandung dan teringin sangat untuk makan ikan bakar. Oleh kerana itu daripada Kelantan saya mengajak suami balik ke Port Dickson melalui jalan tersebut semata-mata kerana `mengidam’ untuk makan ikan bakar. Tetapi apabila sampai di Tasik Raban, alangkah kecewanya kerana Restoran tersebut bercuti pada hari itu. Disebabkan nasib saya baik, kebetulan tuan punya restoran berada di situ dan beliau sanggup memenuhi permintaan saya membakar ikan walaupun restoran tidak menjalankan perniagaan.

Dengar khabarnya restoran tersebut telah membuka cawangannya berhampiran stadium Ipoh. Doa saya semoga restoran ini akan terus maju dan dapat mengekalkan kesedapan ikan bakarnya.

Itulah antara pengalaman-pengalaman saya apabila balik ke kampong suami di Kelantan.

Monday 28 May 2007

LUKISAN GAMBARKU OLEH ApOgEE



Inilah lukisan gambarku yang dilukis oleh ApOgEE. Cantik tak?

ANDA semua sudah tentu tertanya-tanya, siapakah pelukis gambar ini kan?. Sebenarnya inilah lukisan gambarku yang telah dilukis oleh ApOgEE. Aku rasa kagum dengan hasil kerja seni ini, cantik sekali. Terima kasih ApOgEE, Akak suka sangat dengan lukisan ini.

Aku sebenarnya memang suka mengunjungi blog ApOgEE, mungkin kerana telah jatuh cinta dengan lukisan-lukisannya yang cantik dan berseni.

Kepada sesiapa yang ingin melihat lukisan asal ApOgEE dan apa yang diperkatakan tentangku, bolehlah mengunjungi blog beliau.


Saturday 26 May 2007

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW

Gambar sekadar hiasan

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Friday 25 May 2007

BATUK SEMASA MENGANDUNG

SEMENJAK balik dari Kelantan tempoh hari, badan rasanya tak berapa sihat. Batuk semakin menjadi-jadi sehingga tekak terasa pedih, kepala pula rasa pening dan kandungan juga terasa macam tegang sedikit. Mungkin dalam perjalanan tempoh hari banyak terdedah kepada habuk yang menjadi penyebab kepada batuk yang berterusan ini.

Begitulah setiap kali mengandung, bukan setakat bentuk fizikal tubuh yang berubah tetapi aku juga akan menghadapi masalah yang berkaitan dengan kesihatan seperti loya, kencing manis, pertambahan selera makan dan juga batuk, selain daripada perubahan emosi dan masalah-masalah kesihatan yang lain.

Daripada artikel yang pernah aku baca, batuk sebenarnya adalah satu bentuk tindak balas yang dilakukan oleh tubuh sebagai reaksi terhadap benda asing yang masuk dalam tenggorok atau salur pernafasan. Benda asing tersebut boleh berupa lendir, kuman, benda penyebab reaksi alahan dan benda penyebab timbulnya reaksi iritasi.

Semasa seseorang wanita mengandung, tenggorok akan kerap berlendir sehingga menyebabkan terjadinya refleks berupa batuk. Dan sekiranya batuk berlaku secara berterusan dan kronik, maka ia boleh menjadi satu masalah.

Selain perubahan pada tenggorok, wanita mengandung juga akan mengalami perubahan pada bentuk serta kapasiti rongga dada akibat dari pembesaran pada rongga perut. Bila mereka mengalami batuk yang kuat, ianya akan mengakibatkan timbulnya tekanan pada rongga dada dan inilah sebabnya kerap kali wanita mengandung yang batuk akan terkucil atau terkencing.

Mengikut kajian, risiko yang terjadi akibat batuk yang kronik ketika mengandung adalah berlakunya pendarahan. Keadaan ini selalunya terjadi terhadap mereka yang pernah memiliki sejarah keguguran, kandungan berisiko tinggi, kandungan kembar dan kandungan yang sukar kerana masalah ketidaksuburan.

Sekiranya batuk yang kronik berlaku semasa kandungan memasuki bulan ke lapan, kemungkinan besar wanita mengandung akan berasa sesak nafas dan berasa sakit pada bahagian bawah perut. Perkara ini berlaku kerana kepala janin yang sudah ke bawah akan menekan rongga pinggul atau tulang kemaluan. Apabila batuk berterusan dan berulang-ulang ianya menyebabkan rasa pedih di bahagian ulu hati pula.

Sekiranya anda juga mengalami masalah batuk semasa mengandung, beberapa cara bagi mengatasinya boleh digunakan. Sekiranya batuk disebabkan oleh iritasi maka cara mengatasinya adalah dengan meminum air putih sebanyak yang mungkin. Cara ini mungkin menyebabkan wanita mengandung akan kerap ke bilik air tetapi cara ini adalah yang paling berkesan untuk meredakan iritasi.

Sekiranya batuk berpunca daripada elergi atau alahan, maka wanita mengandung hendaklah menghindari penyebab alahan tersebut. Antaranya elakkan dari udara sejuk dengan memakai pakaian tebal dan makan atau minum makanan atau minuman yang panas.

Sekiranya batuk diketahui berpunca daripada jangkitan kuman, maka ambillah ubat batuk yang sesuai untuk wanita mengandung, sebelum itu berjumpalah dengan doktor kerana wanita mengandung tidak boleh mengambil sebarang ubat tanpa nasihat daripada doktor.


Thursday 24 May 2007

ANAKKU MULA BERCINTA

RISAU juga apabila memikirkan anak-anak yang sudah mula memasuki alam remaja dan mula mengenali cinta. Takut mereka ini terlalu mengikut perasaan dan sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Bak kata pantun melayu, “nasi lemak buah bidara, daun selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan”.

Cinta pertama sudah tentu tidak mungkin untuk kita lupakan, dan sudah tentu anak-anak kita juga akan melalui saat-saat indah ini seperti yang pernah kita alami . Ketika inilah mereka akan mula belajar mengenai perasaan, menghayati emosi dan melepaskan kekuatan kehendaknya untuk merapati seseorang yang baginya amat istimewa.

Perasaan cinta adalah fitrah semulajadi anugerah Allah kepada manusia. Prof. Dr. Hamka melakarkan “cinta ialah iradah Tuhan, dikirimNya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi”.

Oleh itu cinta adalah merupakan potensi yang positif sekiranya diatur dengan bimbingan yang suci mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama kita. Walaubagaimanapun lain dulu lain sekarang, anak-anak kita hari ini terlalu banyak dihidangkan dengan nilai-nilai negatif berbanding nilai-nilai positif. Pengaruh media elektronik dan alam siber terhadap jiwa mereka amat menakutkan kita.

Mereka sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi tuntutan cinta tanpa boleh ditegur. Apa yang dikhuatirkan adalah mereka akan terjebak dengan cinta palsu yang akhirnya akan merosakkan diri mereka sendiri.

Oleh kerana perasaan ini tidak boleh dielak, suka ataupun tidak kita terpaksa juga menghadapinya. Walaubagaimanapun ada beberapa kaedah yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan anak-anak kita yang mula mengenali cinta ini.

Pertama, berilah didikan agama yang selengkapnya sebelum mereka melangkah ke alam remaja. Agama menjadi penyelamat kepada manusia, tanpa agama manusia akan terumbang-ambing lemas dihanyut oleh arus keganasan dunia. Bekalkan mereka dengan pengetahuan agama yang secukupnya dan yang lebih penting mereka mengamalkannya. Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada seorang remaja lelaki yang juga sepupunya iaitu Abdullah bin Abbas RA: Pada suatu hari aku berada dibelakang tunggangan bersama Rasulullah SAW lalu baginda bersabda yang bermaksud “Wahai budak, sesungguhnya aku hendak mengajarkan beberapa pelajaran kepadamu. Peliharalah Allah (peliharalah ajaran dan hukum-hakam Allah dengan melaksanakan semua perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya) nescaya Allah akan memeliharamu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Kedua, walau sesibuk mana pun kita, cubalah luangkan masa bersama anak-anak. Kasih sayang kita adalah penting kepada mereka. Mengikut kajian, anak-anak yang terjebak dengan pergaulan bebas selalunya mempunyai latar belakang yang kurang kasih sayang dalam keluarga. Kita seharusnya memiliki perasaan cemburu terhadap anak-anak dan cuba untuk memiliki hati dan jiwanya. Berikan masa untuk mereka berdialog, meluahkan masalah dan bergurau senda sebelum mereka mencari orang lain untuk perkara itu semua. Sekiranya mereka telah menemui orang yang sanggup mendengar, mencurahkan segala isi hati, sanggup berkongsi masalah dan melakarkan impian untuk hidup bersama, maka pada masa itu kita sudah tidak bererti lagi bagi mereka. Oleh itu sebelum tibanya saat tersebut, pastikan kita juga memiliki secebis hati dan perasaan anak-anak kita.

Ketiga, ajarilah anak-anak dengan batas-batas pergaulan melalui contoh dan teladan yang baik. Tanamkan perasaan malu dalam pergaulan, berbudi bahasa, bersopan santun dan menghormati orang lain. Selain daripada itu imej diri yang bersih dan pegangan agama yang kuat boleh membantu mereka menguasai hawa nafsu.

Keempat, Kita mestilah menjadi orang ketiga diantara mereka berdua. Kita yang lebih dulu makan garam semestinya lebih memahami selok belok alam percintaan dan sudah tentu dapat memberikan panduan kepada mereka apa yang boleh dan yang tidak boleh mereka lakukan. Kita mestilah berkongsi perasaan dan boleh mempengaruhi minda mereka untuk membuat keputusan yang betul.

Sekiranya kita dapat melaksanakan perkara itu semua, insya-Allah anak-anak kita akan dapat menempuh alam percintaan tanpa melalui banyak masalah.

Wednesday 23 May 2007

NASI KERABU

Masa di Kelantan tempoh hari, apabila semua adik beradik sebelah suamiku berkumpul, jadi Ibu mertuaku memasak nasi kerabu sebagai hidangan istimewa kami. Nasi kerabu ni asalnya berwarna biru. Warna biru tersebut adalah daripada sejenis daun. Kerana susah untuk mendapatkan daun tersebut maka Ibu mertuaku menggunakan pewarna kuning untuk nasi tersebut.

Aku memang suka makan nasi ni, lebih-lebih lagi yang dimasak oleh Ibu mertua ku. Nasi kerabu ini dimakan dengan ulam-ulam berlaukkan ikan bakar, ayam percik dan juga makanan laut khasnya kerang. Selain daripada itu ia juga mestilah ada tumis, budu, kelapa goreng, sambal lada dan juga lada hitam.


Disebabkan kami makan dirumah maka semua orang tidak bersedia untuk diambil gambarnya. Maklumlah pakai pakaian duduk rumah. Jadi inilah gambar ibu dan bapa mertuaku yang gambarnya aku `copy' daripada friendster adik iparku.


Inilah adik iparku yang bongsu, Muna Norzilawati yang anak-anakku panggil Che Su. (Sorry Che Su, curi gambar kat friendster.)


Adik iparku ini sedang belajar di Kolej Perubatan Diraja Perak, Universiti Kuala Lumpur. Beliau mengambil jurusan Diploma in Nursing.


Ini gambar aku dan Sofiyah, juga aku ambil daripada friendster Che Su.



Ini pula gambar Aisyah dengan kakak sepupunya Fatehah, semasa di Kelantan tempoh hari.

Monday 21 May 2007

JALAN-JALAN KE PANTAI SRI TUJUH

Anakku yang berdua ni lah, Mira dan Yana yang mengajak aku ke Pantai Sri Tujuh. Katanya besok nenek nak buat nasi kerabu jadi jomlah katanya pergi beli kerang dan kupang di Pantai Sri Tujuh.


Pantai Sri Tujuh ni terletak di Daerah Tumpat berhampiran dengan kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur yang bersempadan dengan Tak Bai di sebelah Thailand. Aku yang tengah penat-penat jalan jauh ni pun terpaksalah ikut.


Pantainya sama dengan Port Dickson kecuali ombaknya yang lebih kuat kerana berhadapan dengan Laut China Selatan. Dikawasan pantai ini banyak gerai-gerai yang menjual hasil-hasil laut yang telah di masak atau yang segar.

Gerai-gerai disebelah dalam yang berhampiran pantai banyak menjual makanan-makanan yang telah dimasak seperti udang yang telah digoreng seperti gambar diatas.

Ada juga bebola ikan dan sotong selain hot dog dan masakan-masakan panas yang lain.


Gerai-gerai yang sebelah luar pula iaitu di pintu masuk banyak menjual hasil-hasil laut yang segar dan ikan kering.


Mak Cik ni menjual ikan kering dan kerang yang katanya diperolehi di sekitar laut yang berhampiran.

Ada juga hasil-hasil laut lain seperti kupang, lala dan lain-lain yang aku pun tak tahu apa namanya.


Ikan kering di proses sendiri berhampiran gerai tersebut. Harga-harga hasil laut di sini memanglah murah kalau nak dibandingkan dengan Port Dickson.

Oleh itu sekiranya anda ke Kelantan dan kebetulan pula ke kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, bolehlah singgah disini untuk menjamu selera atau berehat sekejap kerana di sini juga terdapat kemudahan asas seperti surau dan tandas awam.

HARI IBU BERSAMA ANAK-ANAKKU

TERHARU sungguh rasanya apabila sampai di Kelantan, aku disambut oleh tiga orang anakku dengan sejambak bunga dan mereka sanggup mengikat perut untuk menyimpan wang bagi meraikan hari ibu bersamaku. Inilah tiga orang anakku yang bersekolah di Kelantan iaitu ialah Rosamirah Insyirah (disebelahku), Rosadriana Qistina (berdiri belakang) dan Muhamad Aslam Zikri (berdiri belakang). Mira dan Yana bersekolah di SMK Zainab 1 manakala Aslam di Maktab Sultan Ismail.



Mereka mengajakku meraikan Hari Ibu di Secret Recipe, KB Mall.



Inilah anakku yang pertama, Rosamirah Insyirah (15), bersekolah di SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Tahun ini akan menduduki PMR, Semoga berjaya Mira.



“Mama, doakan kejayaan Mira ya!”



Inilah anakku yang kedua. Rosadriana Qistina (14), bersekolah di SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.



“Mama sedap tak"?



Inilah anakku yang ketiga, Muhamad Aslam Zikri,(13), bersekolah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu,Kelantan Darul Naim.



Dah tak sabar nak makan ke?



Aisyah yang pantang nampak makanan.

Friday 18 May 2007

SOTONG MASAK HITAM

Hari ini kami sekeluarga makan sotong masak hitam. Biasalah bila dah kahwin dengan orang Kelantan mestilah tahu sikit sebanyak cara masakan mereka. Resepi ni saya belajar dari arwah nenek sebelah suami. Kuahnya memang hitam pekat dan nampak tak berselera tapi bila makan tahulah betapa sedapnya....Resepinya senang aje, cuma masukkan gula melaka dan garam secukup rasa. `Dakwat' hitam sotong memang sengaja tidak dibersihkan supaya memekatkan kuahnya.



Aisyah memang berselera betul, tengoklah mulutnya hitam legam. Malu bila gambarnya diambil.


"Mama tolong basuhkan mulut saya"


Bagi mereka yang ingin mencuba resepi ini bolehlah. Memang sedap dan menyelerakan. Bagi mereka yang berasal dari Kelantan sudah tentu masakan ini tidak asing bagi mereka.


Thursday 17 May 2007

TEMPAT KELAHIRAN SITI NURHALIZA

Semalam masa perjalanan balik ke Kelantan, Saya singgah di Kuala Lipis iaitu kampung halaman penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza. Saya selalu bermalam di sini kalau balik Kelantan melalui Kuala Lipis. Disinilah tempat kami melepaskan penat sebelum meneruskan perjalanan jauh ke Kelantan pada keesokannya.
Saya selalu bermalam di Rumah Rehat Tanjung Lipis yang diusahakan oleh Majlis Daerah Kuala Lipis. Walaupun rumah rehat ini kepunyaan kerajaan tetapi ianya ditadbir dengan baik khasnya aspek kebersihan dan keselesaan pengunjung. Harga biliknya sangat berpatutan jika dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan. Saya memang mencadangkan sesiapa yang ingin bermalam di Kuala Lipis supaya menginap di sini.

Coffee housenya juga bersih dan selesa. Makanannya juga sedap dengan harga yang berpatutan.

Bilik dilengkapi dengan set TV dan astro sekali. Yang menariknya astro boleh dikawal oleh kita sendiri.


Tempat tidur juga bersih, kemas dan selesa.

Begitu juga dengan bilik airnya, bersih, luas dan cantik.



Ruang rehat juga disediakan.




Ini pula gambar Aisyah semasa kami singgah makan di sebuah warung semasa dalam perjalanan. Hari ini Aisyah moody sebab penat jalan jauh.

Tuesday 15 May 2007

TILAWAH AL-QURAN


KALAU minggu lepas Port Dickson dimeriahkan oleh Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Tentera Darat maka minggu ini pula akan di serikan oleh Upacara Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus.

Mengikut kad jemputan yang diterima, kemuncaknya iaitu Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah akan diadakan pada hari Rabu, 16 Mei 2007 Jam 8.50 malam di Perkarangan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Majlis tersebut akan diserikan oleh DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan DYMM Tuanku Ampuan, YTM Tunku Besar Tampin serta YM Tunku Isteri, YTM Dato' Undang Yang Empat serta YM Tok Puan-Tok Puan dan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.


Sunday 13 May 2007

DUA GENERASI MENYAMBUT HARI IBU

Inilah ibuku, Hajah Rasiah binti Bakri

Untuk Ibuku, Ibu mertuaku dan semua ibu-ibu di seluruh dunia - SELAMAT HARI IBU. Selalu kita dengar orang berkata "Ibu mana yang tidak sayangkan anak" tapi pernahkah kita dengar orang berkata "Anak mana yang tidak sayangkan ibu".


Keluargaku yang bahagia. Selain dapat bawa mak jalan-jalan, dapat juga makan ramai-ramai seperti masa kecil-kecil dulu.

Sesungguhnya tidak ada syurga seorang anak tanpa keredhaan seorang ibu dan tidak akan lahir seorang anak adam ke dunia ini tanpa kekuatan seorang ibu.


Aku dan ibuku berehat sekejap selepas penat jalan-jalan.

Unggulnya sebuah keluarga juga kerana adanya pengorbanan seorang ibu. Mereka tidak mengenal penat dan putus asa untuk membesarkan anak-anak.


Di hujung sekali adalah adikku Hamzah, kami dua beradik aje.

Dalam apa-apa keadaan sekalipun ibu sanggup mengharungi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang, asalkan anak-anak mendapat kebahagian. Sedarkah kita tentang pengorbanan tersebut.

Adik iparku, Ema bersama ibu mertuanya

Adakah anak-anak tahu betapa kasihnya si ibu kepada mereka semua. Kasih sayang ibu tidak ternilai besarnya dan tidak akan terbalas oleh kita. Ibu-ibu tidak pernah merungut membesarkan kita dan adakah kita pun sama ketika menjaga hari tuanya?.


Hamzah bersama Isterinya Ema dan anak-anak Nuri dan Nadia

Adakah anak-anak faham leteran panjang ibu kerana anak lambat pulang ke rumah, jeritan bingar setiap pagi kerana anak lambat bangun ke sekolah dan suara yang meninggi kerana anak-anak malas membuat kerja rumah adalah tanda betapa prihatin seorang ibu dalam menyediakan anak-anak mereka menjadi orang berguna di masa depan.

Ema dan Nadia yang comel, anak buah mama

Bayangkan sekiranya kita tiada ibu, masa kecil dan remaja dulu, sekiranya ibu tiada di rumah semuanya jadi tidak kena. Usahkan seminggu, dua hari sahaja ibu tiada di rumah, hidup bagaikan tidak bermakna.

Mamat, Sofiyah, Nuri dan Siti memang sentiasa berselera makan. Siti hari ni demam! kasihan anak buah mama

Bila ibu keluar rumah, sudah tentu anak-anak melonjak keseronokan kerana tidak perlu mendengar leteran yang boleh memecahkan anak telinga. Bila ibu menjerit pula boleh bergegar isi perut, tingkatpun boleh tercabut. Bila ibu tiada di rumah, boleh buat apa sahaja, boleh main sampai senja, boleh tidur rumah kawan, boleh chatting sampai terkeluar biji mata dan boleh bergayut dengan si dia sampai subuh.

Tetapi keseronokan tidak berpanjangan, masuk hari ke-2 dah terasa kehilangan. Sepi betul rasanya bila tidak mendengar leteran ibu. Rumah jadi sunyi sepi. Rupa-rupanya leteran ibu adalah penyeri rumah. Tanpa leteran itu semuanya seperti mati.

Lepas ni mesti pekerja-pekerja restoran tersebut mengamuk sebab kena bersihkan nasi-nasi yang ditaburkan Aisyah.

Tanpa ibu, hidup ini tiada cabaran, balik pukul berapapun tiada yang melarang, tidak ada juga yang memulas telinga. Rupanya jari jemari ibu yang suka mencubit dan memiat telinga menjadikan hidup ini lebih bermakna.


Jangan ambil gambar saya, muka saya comot.

Lihatlah betapa besarnya pengertian seorang ibu kepada anak-anak. Hargailah dia selagi kita masih boleh memanggil namanya.....