ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday 29 June 2007

CERITA SEBUAH JAM

Di dalam sebuah kampung terdapat seeorang pembuat jam yang mahir. Pada suatu hari semasa dia asyik membuat jam dia bertanya kepada jam yang sedang dibuatnya “wahai jam, adakah kamu sanggup untuk berdetik sebanyak 31,104,000 kali dalam masa setahun?.

Mendengar soalan tersebut, jam terperanjat “ ha! mana boleh saya berdetik sebanyak itu!” jawab jam.

Kemudiannya pembuat jam mencadangkan “Bagaimana kalau kamu berdetik 86,400 kali dalam masa satu hari?”

“86,400 kali dalam masa sehari dengan jarum aku yang kecil macam ni, banyak tu, aku rasa tak sanggup” jawab jam dengan penuh keraguan.

“Kalau macam tu, kamu berdetiklah 3,600 kali dalam masa satu jam” kata pembuat jam lagi.

Jam masih tetap ragu-ragu dengan kebolehan dirinya dan menjawab “3,600 kali dalam masa satu jam tu masih banyak, penat saya ”.

Tukang jam masih bersabar dengan kerenah jam dan terus memujuk “kalau macam tu sanggupkah kamu berdetik satu kali untuk satu saat?”

“kalau satu kali untuk satu saat barulah saya rasa sanggup” jawab jam dengan penuh keyakinan.

Oleh itu setelah pembuat jam menyiapkan jam tersebut, maka berdetiklah ia satu kali untuk satu saat. Tanpa disedari ia terus berdetik dan terus berdetik sehingga satu tahun tanpa henti. Ini bermakna ia telah berdetik sebanyak 31,104,00 kali.

Pengajaran daripada cerita ini adalah jangan kita ragu-ragu dengan kebolehan diri dan jangan mudah berkata tidak terhadap tugasan yang diberikan sebelum kita mencubanya dengan bersungguh-sungguh. Ada kalanya kita terasa tugasan yang diberikan terlalu berat tetapi apabila kita telah memulakannya ia akan terasa mudah.

Thursday 28 June 2007

PENYAKIT JANTUNG KORONARI

Hari ini aku terkenang kembali sewaktu menunggu abah di IJN tempohari. Walaupun abah telah selamat menjalani rawatan tetapi perasaan risau masih lagi menghantui kerana abah akan menjalani rawatan untuk kali kedua pada bulan julai nanti.

Mengikut kata doktor yang merawat abah, prosedur angioplasti koronari tempohari tidak dapat disudahkan kerana abah tidak dapat menahan kesakitan dan terpaksa meminta doktor memberhentikan prosedur tersebut.

Pada mulanya abah meminta supaya doktor melakukan pembedahan pintasan pembuluh darah jantung tetapi doktor menasihatkan abah supaya proses angioplasti koronari dilakukan sekali lagi kerana abah juga mempunyai masalah diabetis dan juga buah pinggang.

Semasa menunggu abah di wad tempohari, banyak peristiwa yang menyayat hati dapat dilihat kerana terlalu ramai pesakit yang mempunyai masalah jantung sedang menunggu untuk menerima rawatan. Air mata yang bergenangan dapat dilihat di sana sini apabila pesakit di bawa ke bilik pembedahan dan juga apabila di bawa keluar dengan keadaan yang tidak sedarkan diri.

Aku rasa itulah harga yang terpaksa kita bayar hasil dari kemakmuran Negara.

Penyakit yang di beri gelaran pembunuh nombor satu ini telah dikenalpasti juga sebagai musuh nombor satu di dalam kehidupan manusia yang paling ditakuti di negara-negara maju. Walaubagaimanapun ianya bukan lagi pembunuh misteri kerana telah dikenalpasti berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat dan juga pemakanan yang tidak seimbang selain daripada faktor keturunan, jantina dan proses penuaan.

Oleh itu faktor penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang tidak boleh di kawal oleh kita seperti:- (a) keturunan – sekiranya ibu bapa mengidap penyakit ini maka kemungkinan kita juga akan mengidapnya adalah lebih besar (b) jantina – golongan lelaki adalah mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita (c) proses penuaan – semakin tua risikonya akan semakin tinggi.

Manakala faktor yang boleh di kawal pula adalah (a) paras kolesterol (b) diabetes (c) hipertensi (d) tidak merokok (e) kegemukan dan (f) kurang bersenam.

Mengikut pakar kardiologi, pembentukan kolesterol di dalam pembuluh darah jantung adalah merupakan penyumbang utama kepada penyakit jantung koronari. Pembentukan ini mengambil masa yang lama iaitu bertahun-tahun sebelum menunjukkan gejalanya.

Gejala-gejala yang diperlihatkan apabila di serang penyakit ini adalah seperti terasa seperti ada cengkaman yang kuat pada dada, berat pada dada, senak dada dan sukar untuk bernafas.

Bagaimanapun sesetengah pengidap diabetes dan golongan tua, mereka tidak menunjukkan gejala ini, sebaliknya mereka akan berpeluh-peluh, rasa lemah badan, sakit pada ulu hati, pening kepala atau pengsan.

Oleh itu bagi mengelakkan penyakit yang ditakuti ini, marilah sama-sama kita mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak mengambil alkohol dan sentiasa bersenam.

Bagi mengurangkan paras kolesterol dan kegemukan pula, bolehlah mengamalkan beberapa tip di bawah ini:- (a) cubalah menukar pilihan lauk-pauk daripada yang bergoreng dan berminyak kepada yang di kukus, rebus, panggang atau salai (b) Pilihlah daging putih seperti ikan dan ayam dan sekiranya anda sangat menggemari daging merah seperti daging lembu dan kambing maka pilihlah yang tidak berlemak (c) banyakkan makanan berasaskan sayuran dan sekiranya anda memasak mi atau nasi goreng, masukkan lebih sayuran sementara garam dan minyak dikurangkan (d) jika menghidangkan minuman manis seperti teh O atau sirap, maka perahlah limau kasturi ke dalamnya (e) bagi salad pula, gunalah kuah salad yang rendah lemak dan perahlah sebiji lemon bagi mempercepatkan pembakaran kalori yang diambil (f) akhir sekali makanlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut bagi menggantikan aiskrim atau pai.

Akhir kata, sama-samalah kita mengamalkan gaya hidup sihat dan makanan yang seimbang supaya kita dapat menjauhkan diri kita dari sebarang jenis penyakit. Insya-Allah.

Kalau Dr. Azwan terbaca tulisan ini mungkin beliau boleh mengulas secara lebih terperinci. Terima kasih.


Friday 22 June 2007

CERITA BERUANG DENGAN SEEKOR IKAN KECIL

Di sebuah hutan tebal terdapat seekor beruang yang besar sedang kelaparan menunggu untuk menangkap ikan-ikan yang melompat dari air di sebatang sungai yang deras airnya. Dari pagi ia menunggu tetapi tidak seekorpun ikan dapat ditangkapnya. Kebetulan pada masa itu tidak terdapat banyak ikan.

Walaubagaimanapun ia terus bersabar dan terus mencuba tanpa berputus asa. Akhirnya berkat kesabaran ia dapat juga menangkap seekor ikan kecil. Ikan kecil yang tertangkap menjerit-jerit ketakutan dan berkata “wahai beruang, tolonglah lepaskan aku”. Tanya pula beruang “kenapa aku harus melepaskanmu?”. Jawab ikan “tidakkah kau melihat aku ini terlalu kecil untuk mu dan hanya melekat di celah-celah gigi mu”.

Ikan seterusnya memberikan cadangan “beginilah beruang, kau lepaskanlah aku ke sungai untuk aku terus membesar, selepas beberapa bulan kau tangkaplah aku semula dan makanlah aku untuk memenuhi seleramu”.

Beruang bertanya lagi “wahai ikan, tahukah engkau kenapa badanku boleh besar begini?”. Ikan menggeleng-gelengkan kepala tidak tahu sambil bertanya “mengapa?”. Beruang sambil tersenyum berkata “kerana aku tidak pernah melepaskan peluang walau sekecil manapun peluang yang terhidang di hadapanku”.

Pengajarannya adalah kita sebenarnya diberikan banyak peluang dan kesempatan di dalam hidup. Tetapi sekiranya kita tidak membuka mata dan pintu hati untuk mengambil peluang dan kesempatan tersebut maka ianya akan hilang begitu sahaja. Akhirnya ia akan membawa penyesalan dikemudian hari. Oleh itu hargailah setiap kesempatan dan peluang yang hadir di dalam hidup kita walaupun ianya hanyalah kesempatan atau peluang yang dianggap kecil.

Percayalah dimasa susah pasti ada kesempatan untuk memperbaiki keadaan, dimasa sedih pasti ada kesempatan untuk meraih kembali kebahagiaan, dimasa jatuh pasti ada kesempatan untuk bangkit semula dan didalam keadaan paling buruk pun pasti ada kesempatan untuk meraih kembali yang terbaik untuk hidup kita.

Akhir kata, sekiranya kita mengambil peluang yang kecil, sudah tentu kita akan mendapat peluang yang lebih besar dan sekiranya kita menghargai kesempatan yang kecil maka ia akan menjadi kesempatan yang besar.


Wednesday 20 June 2007

MENUNGGU ABAH

Semasa di IJN semalam


Abah dan Mak


Abah sempat lagi melayan kami sebelum melakukan `angio' semalam


Aisyah takut menaiki kereta sorong atuknya


Semalam hari kedua abah berada di IJN dan dijadualkan akan melakukan angiogram dan angioplasti koronari. Abah nampaknya sihat dan boleh turun ke lobi melayan kami.

Abah masuk ke `operation room' pada pukul 7 petang dan selesai menjalani rawatan pada pukul 10 malam. Tetapi mengikut kata doktor ada lagi saluran darah abah yang masih tersumbat dan dijadualkan pada bulan julai 2007.

Walaubagaimanapun alhamdulillah keadaan abah sudah semakin baik dan telah dibenarkan berehat di rumah. Petang tadi abah selamat sampai ke Port Dickson.

Tuesday 19 June 2007

RISAUKAN ABAH

Malam ini fikiranku benar-benar risaukan abah. Macamanalah agaknya abah akan menjalani rawatan besok. Aku rasa semua orang pun akan risau sekiranya ada masalah jantung yang dikatakan pembunuh nombor satu sekarang.

Tapi petang tadi aku tengok abah gembira saja, sempat lagi turun cafe melayan kami makan dan bergurau senda dengan Aisyah yang semakin nakal. Abah juga nampak begitu berselera menghabiskan makaroni dan samosa.

Malam ini doktor dah suruh abah berpuasa sebagai persediaan untuk rawatan besok.

Harap-harap abah akan selamat menjalani rawatan angioplasti koronari besok. Aku doakan semoga abah cepat sembuh.


ABAH MASUK IJN


Hari ini abah akan dimasukkan ke wad Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan penyakit jantungnya besok. Khabarnya abah belum lagi perlu menjalani pembedahan pintasan pembuluh darah jantung tetapi akan menjalani rawatan angioplasti koronari.

Besok abah akan menjalani angiogram koronori iaitu satu kaedah untuk mendiagnos penyakit jantung. Kaedah ini adalah untuk mengesan bahagian yang tersumbat. Cara yang dilakukan adalah dengan memasukkan tiub keteter ke dalam sistem pembuluh darah jantung sama ada melalui celah pangkal paha atau salur darah pada lengan. Kemudian pewarna akan disuntik melalui keteter ini dan imej pembuluh darah jantung diambil bagi mendapatkan gambaran yang jelas bahagian mana yang tersumbat. Proses ini biasanya mengambil masa setengah jam.

Selepas angiogram dilakukan barulah kaedah rawatan iaitu angioplasti koronori akan dilakukan. Kaedah ini adalah dengan memasukkan satu dawai halus melalui keteter ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat. Pada hujung keteter terdapat belon yang boleh dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah tersebut.

Insya-Allah aku akan sentiasa menemani abah di IJN sepanjang abah berada disana dan aku sentiasa mendoakan semoga abah selamat menjalani rawatan ini.

Saturday 16 June 2007

KU SANGKAKAN PANAS HINGGA KE PETANG

Saat bahagia abah dan mak

[Coretan ini aku tujukan khas kepada bapaku Haji Abu Bakar bin Haji Abd. Ghani sempena HARI BAPA]


Che Ahmad membakar lemang,
Mari di letak diatas para,
Kenapa berehat hati tak senang?,
Mengapa makan tidak berselera?.

(masih ingatkah abah dengan pantun ini?)


Malam ini kelam sungguh, bulan dan bintang langsung tidak kelihatan, merajuk agaknya atau kerana diliputi awan menandakan hari nak hujan. Di malam-malam yang hening beginilah selalunya ingatanku melayang jauh terkenang memori indah di suatu masa dahulu walaupun aku tahu memori tersebut tidak mungkin akan berulang kembali.

Rasanya mahu aku lontarkan jauh-jauh memori tersebut tetapi apakan daya semakin aku ingin melupakannya semakin pula ia datang mengetuk pintu hatiku. Aku tidak terdaya untuk berbuat apa-apa, biarkanlah ia tersemat indah dilipatan memoriku ini selagi nyawaku dikandung badan.

Terlalu banyak kenangan manis sewaktu aku bersama dengan abah. Tidak mungkin untuk aku coretkan kesemuanya disini dan tidak mungkin pula untuk begitu mudah aku melupakannya. Sekiranya abah membaca coretan ini, maafkanlah aku sekiranya melukakan hatimu kerana banyak perkara yang aku pendamkan selama ini akan aku luahkan semuanya disini. Fahamilah abah, semua ini kerana kami menyayangimu dan mengambil berat tentang dirimu.

Masih segar diingatanku cerita-cerita mak sebelum berkahwin dengan abah. Bagaimana abah yang ketika itu guru agama KEMAS bertemu dengan mak yang juga merupakan guru ERT KEMAS. Masih ingatkah, abah pernah berjanji sehidup semati dengan mak?. Lupakah abah dengan janji tersebut?

Masih ingatkah abah, saat-saat manis abah diijabkabulkan dengan mak yang sangat abah cintai.

Masih ingatkah abah kegembiraan yang dikecapi dengan kelahiranku dan abah namakan aku ROS-HATI-KA sempena gabungan nama abah dan mak sebagai lambang penyatuan dua hati.

Masih ingatkah abah, bagaimana abah menatangku seperti minyak yang penuh dan berbangga sungguh abah menjadi seorang ayah.

Masih ingatkah abah, bermula dengan motor vespa biru yang abah sangat sayangi, abah dan mak telah membina keluarga kita sehingga menjadi keluarga yang dihormati di daerah ini.

Masih ingatkah abah daripada memproses gambar di bilik gelap rumah, abah dan mak telah bangunkan perniagaan keluarga kita sehingga abah bergelar jutawan.

Masih ingatkah abah saat-saat manis apabila abah membawa balik ikan selepas menjaring di laut yang mana itulah hobi abah dan mak pula setia menunggu untuk memasaknya dan kita makan beramai-ramai walaupun malam menjelang dinihari.

Masih ingatkah abah kesyukuran yang kita panjatkan kerana dimurahkan rezeki sehingga abah dapat menunaikan fardhu haji dan kemudiannya umrah sebanyak tiga kali.

Masih ingatkah abah kegembiraan sewaktu membonceng cucu-cucu abah mengelilingi kampung dengan skuter kesayangan.

Kalau abah ingin tahu, kami semua tidak pernah melupakan kenangan-kenangan manis tersebut, aku berbangga mempunyai seorang bapa seperti abah. Walaupun kasih sayang abah tidak sampai ke petang tetapi aku tetap bersyukur kerana dengan didikan abahlah menjadikanku seorang manusia kalaupun tidak sebagai seorang insan.

Sedih sungguh rasanya bila ada orang mengatakan aku membenci abah, tidak sama sekali, walaupun sedetik tidak pernah hatiku membenci abah.

Kalau abah ingat aku membenci abah kerana harta-harta abah, sebenarnya abah silap. Harta bukanlah milik kita yang hakiki, milik kita hanyalah rezeki. Bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh mengambilnya semula daripada kita.

Kalau abah kata aku sengaja tidak mempedulikan abah, ketahuilah aku sebenarnya dinafikan hak untuk menjagamu dan aku dinafikan hak untuk mencurahkan kasih sayangku kepadamu.

Kalau abah perasan ada berapa kerat sahaja anak melayu yang sanggup membuka perniagaan 24 jam, itulah aku, anak mu yang mewarisi sifatmu yang aku kagumi iaitu sentiasa bersemangat waja.

Kalau abah tengok beberapa kali aku jatuh di dalam bidang perniagaan tetapi aku akan bangkit semula. Bagiku walaupun aku terpaksa jatuh enam kali tetapi aku akan bangkit tujuh kali. Itu semua juga adalah kerana aku mewarisi sifatmu yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kalau abah tengok cucu lelaki sulong abah Aslam, yang berani ke Kaherah diusia lapan tahun menimba ilmu , itulah juga kerana mewarisi sifat keberanian atuknya.

Kalau abah kata cucu-cucu abah jarang menjenguk abah, sedarlah abah, mereka sebenarnya merajuk. Aku masih ingat kata-kata mereka “kita nak atuk yang dulu”, maknanya mereka rindukan atuk mereka dulu yang peramah dan menyayangi mereka dengan sepenuh hati.

Abah, mengapakah semua ini boleh terjadi di dalam keluarga kita?. Kenapakah abah meminggirkan kami semua?. Sedarlah abah, aku sangat-sangat merindui suasana keluarga kita seperti dahulu. Kalau abah tidak mahu mendengar kata-kata mak, tetapi abah dengarlah rintihan hatiku ini. Baliklah abah, kita belum terlambat untuk mengulangi semula detik-detik kebahagian keluarga kita.

Abah kata ini semua takdir Ilahi. Apalah daya kita untuk menolak takdir tetapi terdayakah aku untuk menerima takdir tersebut dengan hati yang rela bila setiap hari aku terpaksa berhadapan dengan kesedihan mak. Percayalah abah, setiap hari mak tidak pernah jemu menunggu kepulangan abah. Setiap hari apabila aku balik, mak akan berlari ke tingkap kerana disangkakan abah yang balik dan setiap kali mak melihat bayangan kereta abah, setiap kali itulah air mata mak akan bergenang.

Sebab itulah aku sentiasa membawa mak keluar berjalan-jalan, supaya mak dapat melupakan abah buat seketika. Tetapi mengertilah kasih sayang seorang anak sudah tentu tidak akan dapat menyamai kasih sayang seorang suami. Oleh itu sekali lagi aku merayu kepada abah, baliklah abah dan kita nikmati kebahagiaan keluarga kita seperti dahulu.

Kerana aku telah ditakdirkan sebagai anakmu, aku tidak akan jemu untuk terus menunggumu kerana aku pasti akan tiba saat itu untuk kita ulangi memori-memori indah yang pernah kita lalui suatu masa dahulu. Sebelum kita semua meninggalkan dunia yang fana ini, aku sentiasa berharap supaya abah dan mak akan menemui kebahagiaan seperti dahulu.

Akhir kata, aku sentiasa mendoakan kesejahteraanmu walaupun dari kejauhan, selamat menjalani rawatan di IJN dan SELAMAT HARI BAPA khas untukmu abah.




Warkah cinta abah untuk mak



Abah sewaktu menyambut kunjungan Tun Dr. Mahathir Mohamed


Saat aku ditatang bagaikan minyak yang penuh



Budak kecil inilah yang telah dirampas kasih sayangnya


Sewaktu abah selamat kembali daripada mengerjakan fardhu haji



Putera kesayangan abah



Sewaktu mengerjakan umrah bersama abah



Abah, mak dan nenek sewaktu mengerjakan umrah



Cucu-cucu abah yang merindui kasih sayang atuknya



Cucu lelaki sulong abah menghadiri kursus sebelum bertolak ke Kaherah

Friday 15 June 2007

TERSENYUMLAH

SAYA sebenarnya sedang membaca sebuah buku yang berjudul TERSENYUMLAH yang ditulis oleh Dr. `Aidh Abdullah Al-Qarni. Buku ini sebenarnya adalah himpunan cerita-cerita pendek yang boleh membuatkan kita tersenyum atau ketawa.

Buku ini katanya dihasilkan kerana betapa ramai orang yang diselindungi awan kesedihan dan dipermainkan oleh kesusahan demi kesusahan sehingga tidak berpeluang merasakan manisnya tersenyum, indahnya tertawa dan seronoknya bergurau senda.

Buku ini juga menggariskan kenapa kita seharusnya tersenyum. Antara lain yang ditulis adalah seorang muslim seharusnya tersenyum kerana telah suka hati mengakui Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhamad SAW sebagai nabinya.

Kita juga seharusnya tersenyum kerana Allah SWT telah menumbuhkan taman-taman kegembiraan dan kebun-kebun yang hijau dimana terdapatnya pasangan-pasangan tumbuhan yang indah. Allah SWT juga telah mencipta bintang-bintang yang terang benderang, laut-laut dengan segala isinya, bumi yang memiliki jalan-jalan yang lebar dan planet-planet dalam cakerawala yang sangat luas bagai tak terbatas.

Begitu juga bagaimana kita tidak tersenyum dikala burung-burung berkicau demikian merdunya, burung merpati berterbangan, matahari terbit pagi memancarkan cahayanya menghapus kegelapan, rembulan bersinar indah, angin berhembus sepoi-sepoi bahasa, bunga-bunga semerbak harum mewangi dan air mengalir diantara bukit-bukau sambil membacakan ayat-ayat cinta.

Oleh itu tersenyum dan tertawa adalah salah satu faktor yang penting bagi mencipta suasana dan persekitaran yang tenteram dan damai yang mampu menjauhkan diri kita daripada tekanan dan kemurungan. Ilmuan menyifatkan tertawa sebagai satu bentuk getaran dalam otak yang dapat meredakan ketegangan-ketegangan saraf sementara pepatah cina pula menyifatkan mereka yang tidak pandai tersenyum supaya tidak usah berniaga.

Begitulah pentingnya tersenyum kepada manusia sehingga dikatakan jiwa-jiwa yang gelisah akan panik menghadapi kesusahan manakala jiwa-jiwa yang tersenyum dapat mengatasi kesusahan dengan mudah.

Oleh itu sentiasalah tersenyum walaupun berada dicelah-celah badai kesukaran kerana pasti ada KESENANGAN selepas kesusahan, KEGEMBIRAAN selepas kesedihan dan KEJAYAAN selepas kegagalan.

Sekian.

Tuesday 12 June 2007

MENANGANI KEEGOAN SUAMI

KALAU isteri sinonim dengan sifat cemburu, suami pula terkenal dengan sifat keegoan. Suami dan sifat keegoan bolehlah diibaratkan seperti `cincin dan permata’ iaitu tidak boleh dipisahkan. Bagi mereka keegoan melambangkan kekuasaan yang diri kita ini dimiliki sepenuhnya dan mereka berhak melakukan apa sahaja tanpa memikirkan perasaan kita.

Keegoan mereka bukan setakat diluar rumah tetapi terbawa-bawa sehingga ke dalam rumah. Bagi mereka untuk menyebut perkataan `I LOVE YOU’ pun cukup sukar, lainlah sewaktu bercinta dahulu. Bagi mereka perkara tersebut adalah remeh walaupun ianya cukup bererti dan menandakan diri kita dicintai sepenuhnya oleh mereka. Apabila kita mengajukan persoalan tersebut kata mereka cinta itu bukannya datang dari ucapan tetapi mestilah diterjemahkan melalui tindakan.

Apabila berada dirumah pula, mereka tidak akan mempedulikan kepenatan kita. Kalau tadi kita sama-sama berkerja mencari rezeki tetapi apabila balik ke rumah, kita jugalah yang harus menyelesaikan masalah-masalah di rumah seperti memasak, menjaga anak dan membasuh pakaian. Bagi mereka kerja-kerja tersebut tidak layak dilakukan oleh suami dan boleh menjatuhkan maruah mereka kerana akan dianggap `queen control’.

Walaubagaimanapun ada beberapa kaedah yang boleh anda cuba lakukan, bagi mengurangkan keegoan suami untuk menolong kerja-kerja dirumah.

1. Pilih masa yang sesuai.

Kata orang, bila wanita berkumpul, mereka akan membicarakan tentang lelaki tetapi apabila lelaki berkumpul, mereka akan bercerita tentang bolasepak. Bagi mereka minat atau hobi adalah menjadi keutamaan. Jadi apabila mereka sedang melayan minat atau hobi masing-masing, contohnya sedang menonton siaran langsung bolasepak, jangan ganggu mereka.

Sebaliknya carilah masa yang sesuai iaitu ketika mereka tiada apa-apa untuk dilakukan. Pada masa inilah biasanya kita boleh meminta sebarang pertolongan daripada mereka dan mereka pula akan ringan tulang membantu kita.

2. Gunakan kelembutan

Manusia hawa memang dianugerahkan Allah dengan sifat kelembutan, sifat inilah yang selalunya mencairkan hati suami untuk menolong kita. Oleh itu gunakanlah kelebihan kita ini untuk melembutkan hati suami kita. Sentiasalah gunakan bahasa yang lemah lembut apabila meminta pertolongan daripada suami supaya ianya tidak disalahertikan kita memerintah mereka.

Sentiasalah mulakan perkataan dengan menyebut `boleh tak tolong saya’ setiap kali meminta bantuan suami supaya suami benar-benar faham, yang kita betul-betul memerlukan pertolongan mereka dan bukan sekadar saja-saja ingin memerintah. Sebagai contoh anda boleh mulakan begini “Bang, bang, boleh tak tolong saya sidaikan kain, sementara saya tukarkan lampin Aisyah yang telah basah”.

3 Sentiasa berikan pujian

Haruslah kita ingat, bukan isteri sahaja yang sukakan pujian sebaliknya suami kita juga suka apabila di puji. Pujian boleh melembutkan hati mereka untuk menolong kita. Oleh itu jangan lupa memulakan kata dengan pujian setiap kali meminta pertolongan daripada mereka.

Sekiranya kita penat sangat untuk memasak pada hari ini, kita boleh cuba meminta suami yang memasak untuk kita. Orang lelaki sebenarnya memang pandai memasak dan kalau kita sedar kebanyakkan tukang masak yang terkenal adalah terdiri dari kaum mereka.

Kita boleh mulakan dengan pujian, “Bang, bang, sup tulang yang abang masak hari itu sedap sangat, saya dan anak-anak kita semua suka. Boleh tak kalau abang masak sekali lagi?”.

4. Sentiasa berikan penghargaan

Sudah tentu kerja rumah yang dilakukan oleh suami kita tidaklah sebaik hasil kerja tangan kita. walaubagaimanapun sentiasalah berikan penghargaan kepada mereka dengan ucapan “Terima kasih bang kerana sudi membantu saya” walaupun sebenarnya kita terpaksa `repair’ semula kerja-kerja tersebut.

Janganlah sesekali anda mengkritik suami, diatas kerja-kerja yang telah dilakukan kerana sekiranya anda lakukan sedemikian, mungkin itulah kali terakhir mereka akan menolong kita.

5. Gunakan perantaraan

Perantaraan yang saya maksudkan adalah anak-anak. Biasanya suami dengan mudah boleh menolak permintaan kita tetapi mereka selalunya tidak tergamak untuk menolak permintaan anak-anak. Lebih-lebih lagi anak-anak yang rapat dengan mereka.

Kita boleh cuba kaedah ini iaitu meminta anak-anak menjadi perantaraan diantara kita dan suami. Kalau kita sibuk didapur tetapi anak yang kecil pula sentiasa menangis minta dimanjakan, kita boleh menyuruh anak yang lebih besar meminta pertolongan ayahnya menjaga si kecil tersebut.

Permintaan anak yang disayangi seperti “Ayah, yah, mama minta tolong bawa Aisyah jalan-jalan, sementara mama siapkan masakan di dapur” sudah tentu tidak akan dapat ditolak oleh seorang ayah.

Sekian, selamat mencuba.



Saturday 9 June 2007

WAHAI ANAK BANGSAKU! BANGKITLAH!

[Artikel ini pernah di tulis pada bulan Februari 2007 dan saya ulang semula memandangkan gejala ini tiada penghujungnya dan ditambah pula dengan aktiviti meminum minuman keras yang semakin menjadi-jadi]

Jam tepat pukul 5.00 pagi, tapi aku masih tidak dapat melelapkan mataku. Peristiwa-peristiwa tadi mengganggu fikiranku. Perasaanku bercampur baur, tidak menentu. Sudah beberapa kali air mataku mengalir. Biasanya setiap malam minggu beginilah perasaanku.

Sebenarnya daripada pekan Port Dickson tadi, semasa menghala balik, aku melihat panorama yang boleh dikatakan berlaku pada setiap malam minggu. Masih terbayang jelas di kotak fikiranku, dua remaja anak bangsaku terlentang di atas jalan raya kerana kemalangan hasil daripada kegiatan lumba haram. Entahkan masih bernyawa entahkan tidak.

Pada agakkanku itulah dua pemuda yang membuat aksi stunt dihadapanku semasa berlumba tadi. Mulutku berkata padan muka tapi sebenarnya naluriku menangis mengenangkan itu semua. Semasa aku berurusan dikaunter kedai tadipun bermacam gelagat anak bangsaku yang dapat dilihat. Tekakku loya bila terhidu bau alkohol yang terbit dari mulut mereka.

Pakaian dan aksi mereka yang memalukan begitu memualkan. Masih juga terbayang dimataku, apabila aku menjengah ke pantai sebentar tadi, bergelimpangan di wakaf tepi pantai, bercampur jantan dan betina sedang khayal atau mabuk, mungkin dipengaruhi dadah atau alkohol.

Itu belum lagi kita berbicara tentang anak luar nikah dan gejala murtad yang semakin menjadi-jadi. Air mataku mula menitis lagi. Fikiranku melayang jauh teringat enam orang anak-anakku yang sedang membesar. Aku jadi takut dan risau, kalau mereka juga akan terpengaruh dengan gejala yang sebegini.

Anak-anakku, mama sanggup bersengkang mata mencari rezeki untuk kamu semua menimba ilmu. Walaupun setakat ini kamu semua membanggakan mama tetapi mama masih lagi risau terhadap masa depanmu, mama takut kamu tersalah langkah.

Mira dan Yana, belajarlah bersungguh-sungguh, walaupun kamu berdua telah dapat menempatkan diri kamu disalah sebuah sekolah yang terbaik, yang kamu bangga-banggakan, SMK Zainab 1, Kota Bharu, yang kamu kata elite girls school, tetapi semua itu tidak akan bererti sekiranya dirimu sendiri yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Mira dan Yana, ingatlah janji kamu dengan mama, ingatlah bicara kamu tempohari, `Mama, enam orang senior kita telah diisytiharkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan dalam PMR yang lepas'. Contohilah mereka, supaya pada tahun ini dan tahun depan, mama dapat melihat dua orang anak mama pula diisytiharkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan.

Untuk Aslam pula, mama juga bangga dengan kamu. Mama dah cuba berikan yang terbaik untuk kamu. Masa kamu hingusan lagi, di mana kawan-kawan sebaya kamu masih lagi bermain lumpur, kamu telah di hantar keluar negara, Kaherah, menimba ilmu. Mama masih ingat lagi, semasa itu kamu berumur lapan tahun, masa di airport kamu meronta-ronta tak mahu pergi, tapi bila kamu ingatkan harapan keluarga, kamu gagahkan juga menaiki pesawat, mama sedih, kamu terlalu muda tapi bila mama memikirkan masa depan mu, mama izinkan.

Walaubagaimanapun mama minta maaf kerana terpaksa membawa kamu balik ke Malaysia tanpa menghabiskan pelajaranmu di sana. Mama terlalu risau apabila Iraq diserang. Mama takut peperangan itu akan merebak ke tempat kamu. Untuk pengetahuan kamu, mama sampaikan keguguran adik kamu yang keenam kerana terlalu risaukan kamu disana. Tapi mama tahu, kamu anak yang pandai, walaupun tiga tahun kamu tidak mengikuti pelajaran kamu disini, kamu masih dapat menempatkan diri kamu ke sekolah yang baik selepas UPSR yang lepas, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, bekas sekolah ayahmu yang dia selalu bangga-banggakan.

Anak-anakku, Mama telah cuba berikan yang terbaik untuk kamu semua, tiada balasan yang mama pinta, cuma harapan mama kamu semua akan menjadi insan berguna, yang akan menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negaramu.

Di luar sana deruman motor masih lagi rancak. Sesekali siren ambulan kedengaran. Ayuhlah anak bangsaku, hentikanlah aktiviti-aktiviti yang tidak sihat tersebut, ingatlah sementara kamu masih diberikan masa dan peluang, pulihkanlah harga diri, dibahumu terpikulnya amanah memartabatkan bangsa kita. Majulah dengan gagah dan perkasa. Ingatlah kudrat dan keringatmu ditagih negara.

Ayuhlah wahai anak bangsaku! Bangkitlah!!

Tuesday 5 June 2007

HANDPHONE HILANG LAGI

EDISI SERIUS

SEMALAM masa balik dari kenduri kahwin rumah saudara di Teluk Kemang, anakku yang ke-dua telah singgah di Farmasi Alpro Batu 6 untuk membeli ubat, nak dijadikan cerita dia yang memegang handphoneku telah tertinggal handphone tersebut di kaunter farmasi semasa membuat bayaran.

Apabila dia teringat handphone tertinggal, maka kami kembali ke farmasi tersebut lebih kurang 10 minit kemudian tetapi handphone tersebut telah hilang. Apabila aku tanya pada jurujual farmasi dia kata tak nampakpun handphone tersebut.

Petang tadi aku pergi jumpa pemilik farmasi tersebut meminta jasa baiknya supaya melihat kembali CCTV tetapi handphone tersebut tidak dapat juga di kesan kerana CCTVnya hanya mempunyai satu kamera sahaja dan tidak dapat cover seluruh kedai.

Kenapalah pengeluar handphone tidak menyediakan satu teknologi yang boleh mengesan dimanakah kedudukkan handphone apabila ianya hilang. Syarikat pengendali talian juga seharusnya memikirkan satu kaedah supaya handphone yang hilang tidak lagi boleh digunakan apabila dilaporkan oleh pemiliknya.

Aku rasa sekiranya kaedah ini dapat digunakan barulah kecurian handphone yang berleluasa pada masa ini akan dapat dibendung.

EDISI SAJA-SAJA


SEMASA melayari internet tadi terjumpa satu web yang boleh mengesan handphone yang hilang. Kata web tersebut, anda boleh mengesan handphone anda melalui GPS. Alamat webnya adalah seperti berikut:-

http://www.sat-gps-locate.com

Anda cuma perlu masukkan nombor handphone anda dimulakan dengan kod negara iaitu bagi Malaysia 60. Oleh itu sekiranya nombor handphone anda adalah 019-1234567 maka anda perlu masukkan 6019 dan diikuti dengan nombor handphone 1234567.

Sekiranya anda kehilangan handphone atau saja-saja ingin mengetahui kedudukan handphone anda atau handphone kawan-kawan, anda bolehlah mencuba.

Friday 1 June 2007

HAPPY ANNIVERSARY KE 16

Khairi dan Zila mesti tahu restoran ni kat mana kan?

Pejam! celik! pejam! celik! sedar-sedar hari ini adalah anniversaryku yang ke 16. Begitu cepat masa beredarkan. Benarlah kata orang hidup ini adalah satu pengembaraan yang tiada penghujungnya.


Boleh pilih seafood kat sini.

Seperti biasalah kan, bila kita sambut hari-hari yang bermakna dalam hidup kita, sudah tentu kita meraikan dengan pergi makan. Hari ini anak-anak tak ikut. Kami pergi berdua aje.


Nak tahu tak saya tunjuk apa tu?

Restoran ini memang antara kegemaranku.


Inilah makanan kegemaran saya `lobster'.

Di Restoran ini kita boleh pilih Life seafood seperti ikan, ketam, udang, lobster dan lain-lain.


Kalau orang belanja mestilah sedap kan?

Makanan pun dah sampai, perut pula tengah berkeroncong, tunggu apa lagi makan lah ya!

Sekian, jumpa lagi.