ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday 30 August 2007

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Apalah ertinya KEMERDEKAAN kalau bukan kita yang mengisinya.....???

Tahniah MALAYSIA! Selamat Maju Jaya.



MALAYSIA 3 MYANMAR 1

ADA sinar di hujung terowong. Begitulah boleh disimpulkan apabila melihat pasukan B-23 tahun Kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun ini. Selepas bergaya menewaskan Lesotho 4 – 0 dan kemudiannya Singapura 3 -1 di separuh akhir, maka pada malam ini pemain muda negara telah mengalahkan Myanmar 3 – 1 di perlawanan akhir yang disaksikan oleh 40,000 penonton di stadium Shah Alam.

Setelah pasukan senior dikritik hebat kerana kekalahan memalukan di Piala Asia, kini giliran pemain-pemain B-23 tahun menebus kekecewaan tersebut dengan permainan bergaya. Kalau di Piala Asia pemain-pemain kita di katakan lembik dan tidak bersemangat tetapi pemain-pemain muda ini telah membuktikan kita juga sebenarnya `boleh’ bermain bolasepak dengan baik.

Saya tertarik dengan pemain-pemain muda ini khasnya dari segi kesungguhan yang ditunjukkan. Mereka mengejar bola tanpa mengira penat dan lelah. Mereka juga lebih agresif ketika bertahan dan lebih kreatif ketika berada di depan pintu gol lawan.

Kalau pasukan senior mempunyai masalah untuk menjaringkan gol dan nampak kaku bila berada di depan gol lawan tetapi adik-adik mereka ini memperlihatkan sebaliknya. Mereka tahu kemana sepatutnya ditujukan bola dan dapat menjaringkan gol dengan selesa. Melihat kepada jumlah jaringan saya rasa sebahagian masalah pasukan Malaysia iaitu untuk menjaringkan gol dapat diatasi.

Pemain-pemain muda ini juga dilihat ramai yang mempunyai kemahiran individu dan larian-larian pantas. Hantaran-hantaran juga lebih tepat dan saya rasa itulah kelebihan pasukan ini.

Walaubagaimanapun perjalanan masih jauh. Jangan mudah berpuas hati, sebaliknya berusahalah dengan lebih keras lagi. Insya-Allah tuhan tidak akan mensia-siakan usaha kita.

Tahniah Malaysia!. Inilah hadiah paling berharga untuk kemerdekaan negara ke-50 daripada pasukan bolasepak.

Wednesday 29 August 2007

DUNIA BAGAIKAN RODA

PADA satu malam yang gelap gelita berserta dengan hujan renyai-renyai, Datin Halimah memandu seorang diri balik ke rumahnya. Nasibnya tidak baik pada malam itu kerana enjin keretanya rosak dengan tiba-tiba. Puas dia cuba menghidupkannya semula namun tidak juga berhasil.

Datin Halimah memang langsung tidak mempunyai asas membetulkan kereta. Dia hanya tahu memandu Mercedes kesayangannya tersebut. Pilihannya sekarang adalah meminta pertolongan pemandu-pemandu lain yang lalu lalang. Tapi adakah pemandu lain yang sanggup menolongnya di malam yang gelap tersebut.

Setelah lebih kurang satu jam dia cuba menahan pemandu lain untuk meminta pertolongan, barulah sekarang seorang pemandu sebuah kereta kancil memberhentikan keretanya. Pada mulanya Datin Halimah masih khuatir, kalau-kalau pemandu tersebut berniat jahat.

Tapi apabila melihat wajah pemandu tersebut yang tersenyum, dia merasa lega. Didalam hatinya berkata “masih ada yang sanggup membantu walaupun pada malam yang gelap sebegini”.

Pemandu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Amir. Kebetulan Amir memang berkerja di sebuah bengkel membaiki kereta. Jadi Amir memang tahu sedikit sebanyak tentang kerosakan kereta.

“Kereta makcik rosak ke? Tanya Amir setelah menghampiri Datin Halimah. “Ya, tiba-tiba enjinnya mati” jawab Datin Halimah. “Boleh saya tolong betulkan?” tanya Amir lagi. “silakan, makcik memang daripada tadi menunggu sesiapa yang sanggup menolong”.

Tanpa berlengah lagi Amir cuba membetulkan kereta tersebut. Tidak lama kemudian, kereta tersebut dapat dihidupkan. Datin Halimah begitu gembira sekali dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Amir. Jika bukan kerana pertolongan Amir, dia pun tidak tahu nasib yang akan menimpanya.

Melihat kekotoran dan kepenatan Amir, Datin Halimah tidak sampai hati hanya mengucapkan terima kasih. Dia sebenarnya sanggup membayar upah Amir walaupun berapa yang dimintanya.

Tetapi bagi Amir pula, menolong orang yang kesusahan adalah bukan perkerjaan. Jadi dia tidak memerlukan upah. Baginya berbuat baik pasti Allah akan memberikan balasan baik walaupun didalam bentuk yang lain.

Amir menolak pemberian upah tersebut dengan baik dan berkata “sekiranya makcik benar-benar ingin membalas jasa saya, maka apabila terjumpa dengan mereka yang memerlukan pertolongan, berilah pertolongan dengan ikhlas”.

Mendengar penjelasan Amir, Datin Halimah sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.

Dipertengahan jalan Datin Halimah melihat ada sebuah warung dan kebetulan pula perutnya terasa lapar. Jadi dia berhenti untuk makan dan berehat sebentar.

Setelah dia duduk, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Pelayan tersebut masih muda dan sedang mengandung. Lagaknya seperti sedang menunggu hari untuk bersalin. Daripada riak wajahnya kelihatan seperti sedang menanggung kesusahan.

Perasaan Datin Halimah tiba-tiba menjadi kesian apabila melihat pelayan tersebut. Fikirannya teringat kepada Amir. Hatinya berkata “mungkin inilah masanya aku membalas jasa Amir”.

Setelah selesai makan dan membayar bilnya, Datin Halimah dengan diam-diam meninggalkan sekeping nota dan wang RM1,000.00 kepada pelayan tersebut.

Nota itu berbunyi “kamu ambillah pemberian saya ini, sebenarnya baru sebentar tadi seseorang telah menolong saya, jadi bagi membalas jasanya saya berikan kamu wang RM1,000.00. Mungkin kamu sedang memerlukannya. Pinta saya supaya kamu tidak pernah berhenti daripada memberikan cinta dan kasih sayang”.

Wanita pelayan tersebut sangat terharu apabila membaca nota tersebut. Dia kehairanan bagaimana pelanggan tersebut tahu dia memang benar-benar memerlukan wang bagi kelahiran anaknya tidak berapa lama lagi.

Setelah pulang ke rumah, wanita pelayan tersebut mendapati suaminya telah nyenyak tidur. Fikirannya masih teringat kepada nota dan wang yang di berikan pelanggan tadi.. Dia tahu suaminya pasti gembira apabila mengetahui perkara yang berlaku sebentar tadi.

Kebelakangan ini suaminya memang risau untuk mencari wang bagi perbelanjaannya bersalin dan sekarang tanpa disangka-sangka dia meperolehi wang tersebut.

Perlahan-lahan dia merebahkan badan lalu memeluk suaminya yang terbaring disebelahnya dan memberikan ciuman yang lembut sambil berbisik “I love you, AMIR”.

Daripada cerita ini dapatlah disimpulkan, hukum alam tidak akan pernah berbohong kepada kita, apa yang kita buat dan apa yang kita fikirkan, itulah yang akan kembali kepada kita. Sekiranya kita sentiasa berbuat baik dan berfikiran positif sudah tentulah kebaikan dan perkara-perkara positif yang akan datang kepada kita.

Oleh itu janganlah berhenti daripada membuat kebaikan disepanjang hidup kita.

Sekian, jumpa lagi.

Friday 24 August 2007

AMIRA! BUKTIKAN.....

[Artikel ini saya tujukan khas kepada anak sulung saya Rosamirah Insyirah yang akan menduduki peperiksaan PMR pada bulan Oktober nanti di SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim]

AMIRA! Tanamkan tekad di dalam minda bahawa “Aku akan memeranjatkan semua orang pada kali ini”. Bukan saja Mira harus bertekad untuk menjadi pelajar terbaik SMK Zainab 1, malah Mira akan menjadi pelajar terbaik Malaysia di dalam peperiksaan PMR yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Pada masa itu, Mira bukan hanya memeranjatkan guru-guru tetapi juga akan memeranjatkan ayah, mama, atuk, nenek serta adik-adik dan juga kawan-kawan semua.

Amira! Percaya dan yakinlah sekiranya kita menanam durian, sudah tentu hasilnya adalah buah durian. Begitu juga sekiranya kita menanam rambutan, sudah tentu hasilnya juga adalah buah rambutan. Dan begitu jugalah sekiranya kita menanam tekad untuk berjaya, sudah tentu hasilnya adalah kejayaan.

Walaubagaimanapun tekad mestilah disertakan juga dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu. Begitu jugalah sekiranya hanya berbekalkan kepandaian semula jadi, ianya tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan teknik belajar yang baik.

Teknik belajar yang baik akan menjimatkan masa, memudahkan kerja, menambah minat dan membolehkan Mira menguasai sesuatu pelajaran. Sebab itulah mama selalu tekankan supaya Mira mengamalkan teknik belajar yang berkesan.

Diantara teknik belajar yang baik yang perlu Mira ikuti adalah:-

· 1. Banyakkan bertanya

Selalulah bertanya kepada guru-guru atau kawan-kawan. Bertanya adalah amat penting dan berkesan untuk Mira memahami sesuatu masalah dengan segera. Untuk mempunyai soalan untuk bertanya, Mira mestilah membacanya dahulu sesuatu topik tersebut sebelum kelas bermula.

· 2. Memahami apa yang di baca

Memahami apa yang di baca adalah unsur yang terpenting sekali. Daripada situ, barulah Mira dapat membuat nota-nota ringkas iaitu membezakan yang mana berlian dan yang mana kaca dari timbunan membukit kandungan sesuatu pelajaran tersebut.

Setelah Mira siap menyediakan nota-nota ringkas selepas mengutip hanya isi-isi yang penting sahaja, barulah senang untuk Mira mengingatinya.

· 3. Membuat nota

Apabila Mira membuat nota, pastikan gunakan sistem yang mudah, kemas dan pendek tetapi mestilah jelas dan menarik kerana nota-nota inilah yang akan selalu di baca dan ulangkaji.

· 4. Membuat jadual waktu

Membuat jadual waktu membolehkan Mira menyeimbangkan diantara membaca, membuat nota, membuat kerja rumah, mengulangkaji, membuat latihan dan juga menyediakan pelajaran untuk besok. Dan yang lebih penting lagi adalah Mira harus taat setia kepada jadual waktu tersebut.

· 5. Mengadakan perbincangan

Setelah melakukan ulangkaji dan juga latihan, seharusnya Mira mengadakan perbincangan dengan guru-guru atau kawan-kawan. Perbincangan akan menambah pengetahuan, membetulkan kesilapan dan menghapuskan kekeliruan dan kesamaran.

· 6. Menilai kemajuan

Untuk menilai kemajuan dan tahap pencapaian, seharusnya Mira membuat latihan berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas dan juga soalan-soalan ramalan yang banyak di pasaran. Mama rasa sepatutnya Mira telah sampai ke tahap ini sekarang.

Daripada sekarang sepatutnya Mira telah mula membuat ujian sendiri untuk mengetahui tahap pemahaman Mira terhadap sesuatu pelajaran. Contoh-contoh jawapan akan membolehkan Mira mengetahui bab-bab yang penting dan seterusnya menumpukan perhatian kepada bab-bab tersebut.

Latihan-latihan yang Mira jalankan mestilah diselang-selikan dengan ulangkaji dan perbincangan. Untuk memastikan ulangkaji dan perbincangan Mira berkesan adalah dengan melihat peningkatan markah dari satu latihan kepada latihan yang berikutnya.

Mira semestinya terus melakukan latihan demi latihan dengan ulangkaji dan perbincangan sehingga Mira puashati dengan markah yang Mira perolehi.

Insya-Allah, mama dan ayah akan sentiasa mendoakan kejayaan Mira.

BERKORBAN ITU INDAH

SETELAH semusim kemarau, kini tiba musim hujan. Dedaunan yang kekeringan mula menghijau. Ulat kecil yang telah lama kelaparan begitu gembira sekali. Inilah masanya ia dapat menikmati daun hijau sepuas-puasnya.

“Apa khabar daun hijau?” sapa si ulat kecil. Daun hijau tersentak dengan sapaan ulat dan menoleh kearah suara yang datang tersebut.

“Ohh…kamu ulat, khabar baik. Kenapa badan kamu kelihatan kurus dan kecil?” tanya daun hijau.

“Sudah semusim aku tidak mendapat daun hijau untuk makananku, jadi bolehkah engkau memberikanku sedikit makanan?” tanya ulat kecil.

“Sudah tentu boleh, datanglah ke sini” jawab daun hijau.

Daun hujau berfikir “Jika aku berikan sedikit saja daunku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya badanku saja yang akan kelihatan berlubang-lubang….tapi tak kisahlah”.

Mendengar jawapan daun hijau, maka ulat perlahan-lahan menuju kepada daun hijau dan makan daun tersebut sepuas-puasnya. Setelah kenyang ulat mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada daun hijau kerana merelakan sebahagian tubuhnya menjadi makanan.

Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan tersebut, daun hijau merasa suatu kepuasan yang tidak terhingga. Walaupun kini badannya berlubang di sana sini namun ia merasakan kebahagiaan kerana dapat melakukan sesuatu bagi ulat yang lapar.

Tidak lama kemudiaan, musim kemarau kembali tiba, daun hijau yang tadinya menghijau kembali kekeringan. Lama-kelamaan gugur ke bumi ditiup angin.

Renungan dari kisah ini adalah, alangkah mulia sekiranya di dunia ini manusia sanggup saling berkorban diantara satu sama lain. Bukan semua manusia ditakdirkan bernasib baik. Ada banyak bahagian dunia yang sering dilanda bencana seperti banjir, gempa bumi atau ribut taufan. Apalah salahnya kita yang ditakdirkan lebih bernasib baik membantu mereka.

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri untuk orang lain bukan mudah. Pengorbanan yang kita berikan sebenarnya tidak akan menjejaskan kehidupan kita, malah Allah akan memberkati dan memelihara kehidupan kita.

Sedarlah, bagaimana kita boleh tidur lena sekiranya di luar sana masih ramai yang mati kelaparan dan bagaimana kita boleh senang lenang bersuka ria sekiranya pahlawan-pahlawan kita di perbatasan bertarung nyawa mempertahankan agama, bangsa dan Negara.

Sekian, jumpa lagi.

Wednesday 22 August 2007

IBU! KENAPA ENGKAU MENANGIS?

PADA suatu hari seorang anak kecil yang kehairanan bertanya kepada ibunya “Ibu! Kenapa engkau menangis?”. Ibunya menjawab “Ibu menangis kerana ibu seorang wanita”. Anak itu masih kehairanan “Saya tak faham” katanya lagi. Ibu hanya mampu tersenyum dan sambil memeluk erat anaknya tersebut, beliau menjawab “Wahai anakku, kamu memang tidak akan pernah faham”.

Anak yang tidak berpuas hati dengan penjelasan ibu bertanya pula kepada ayahnya “Ayah! Kenapa ibu menangis?, saya hairan kerana ibu selalu menangis tanpa sebab yang jelas”. Ayah menjawab “Semua wanita memang menangis tanpa ada sebab yang jelas”.

Hanya itu alasan yang dapat diberikan oleh ayahnya. Walaupun anak itu tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya tetapi dia mengangguk saja.

Apabila anak itu meningkat dewasa, dia masih tertanya-tanya kenapa wanita menangis?. Sehinggalah kepada satu malam dia bermimpi bertanya kepada Allah tentang perkara tersebut “Ya Allah! Kenapa aku tengok wanita mudah sangat menangis?.”

Dalam mimpinya Allah menjawab “ Aku ciptakan wanita menjadi sangat istimewa, bahunya mampu menahan seluruh beban dunia dan ianya juga sangat lembut untuk menjadi pengalas kepala bayi yang sedang nyenyak tidur.

Aku berikan wanita kekuatan untuk mengandung dan melahirkan, walaupun kemudiannya dia akan menerima cercaan dari anak yang dilahirkan tersebut.

Aku berikan keperkasaan yang menjadikannya tetap bertahan dan pantang menyerah walaupun pada masa itu semua orang sudah berputus asa.

Aku berikan kesabaran untuknya menjaga keluarga, walaupun letih, penat dan sakit, dia tidak akan pernah berkeluh kesah.

Aku berikan perasaan kasih sayang untuknya mencintai semua anak-anak walaupun anak-anak tersebut melukai hati dan perasaannya.

Aku berikan kekuatan untuk mendampingi dan melindungi suaminya walaupun ketika melalui saat-saat yang sukar. Bukankah ianya Aku ciptakan dari tulang rusuk iaitu untuk menjadi pelindung hati dan jantung.

Aku berikan kebijaksanaan dan kemampuan untuk menyedarkan suami agar tidak melukai hatinya walaupun kerap kali kesetiaannya tercabar.

Dan akhirnya Aku berikan dia air mata agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah pemberianKu yang khusus kepada wanita agar dapat digunakannya pada bila-bila masa yang dikehendaki samada untuk menyatakan kesedihan atau kebanggaan”.

Oleh itu, kita sebagai anak-anak janganlah menderhaka, sebaliknya hormatilah ibu dan dekatkan diri kita dengannya. Berikanlah kasih dan sayang sementara kita masih boleh memanggil namanya.

Sekian, jumpa lagi.

Tuesday 21 August 2007

OH! SUAMIKU.....

SEDIH benar rasanya. Kalau diawal usia perkahwinan dulu, aku di tatang bagaikan minyak yang penuh tetapi sekarang tidak lagi. Selepas lebih sepuloh tahun usia perkahwinan, kasih sayangnya aku rasakan telah berubah.

Setiap hari dia sibuk menguruskan perniagaannya. Untuk menjenguk aku dan anak-anak di rumahpun begitu terbatas sekali. Alasan-alasanku dulu mencintainya telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan.

Aku memang seorang yang berjiwa sentimental, sensitif dan lemah lembut. Oleh itu aku selalu merindukan saat-saat romantis dari seorang suami. Tetapi sebaliknya dia sangat sibuk sehingga di rumahpun masih mengadap komputernya, merancang itu dan ini.

Sekarang aku rasa tidak tahan lagi, aku mesti meluahkan segalanya. Aku tak peduli walaupun apa yang akan terjadi kepada rumahtanggaku. Aku mesti berani menyatakannya dan tidak harus terus hidup di dalam keadaan yang tertekan sebegini.

Pada suatu hari, semasa dia sibuk dengan komputernya aku menghampiri dan menyatakan keinginanku untuk berpisah. Dia hanya bertanya “Kenapa”? dengan agak terkejut. Aku menjawab “Aku tidak mendapat cinta darimu”. Dia terdiam dan termenung panjang di depan komputernya tanpa berkata apa-apa.

Kekecewaan aku semakin bertambah. Apa lagi yang boleh aku harapkan dari seorang suami yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya. Walaubagaimanapun akhirnya dia bersuara “Apa yang dapat aku lakukan untuk mengubah keputusanmu?”.

Aku merenung matanya dalam-dalam. Apa yang perlu aku minta untuk membuktikan cintanya. Akhirnya aku menjawab dengan perlahan “Aku inginkan sekuntum bunga yang berada diatas puncak sebuah gunung yang sangat curam, bolehkah kamu mendapatkannya walaupun tahu kamu tidak mampu mendaki gunung tersebut dan akan mati terjatuh?”.

Dia sekali lagi terdiam dan akhirnya berkata “Saya akan berikan jawapannya esok”. Aku menjadi lebih gundah gelana dengan jawapannya dan rasa tidak sabar menunggu hari esok.

Apabila tibanya hari esok, aku dapati dia awal-awal lagi telah keluar dari rumah ke tempat kerja. Sikapnya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku jadi risau, kenapa dia tidak memberikan aku jawapan.

Rupa-rupanya dia telah meninggalkan sekeping nota yang berbunyi “Sayang…..aku tidak akan mengambil bunga itu untukmu”. Ayat pertama tersebut benar-benar menghancurkan perasaanku. Air mataku mencurah-curah keluar.

Aku terus membaca nota tersebut “Sayang…..aku tidak akan pergi mengambil bunga itu hanya kerana untuk mati. Sedangkan aku tidak boleh mati sekarang kerana aku tidak sanggup membiarkan engkau menangis kerana kematianku. Sayang…..aku juga tidak boleh mati kerana masih perlu terus bekerja dengan gigih untuk menyara hidup kita dan anak-anak yang sedang membesar”. Aku menjadi tergaman dengan penjelasannya tersebut.

Seterusnya nota itu berbunyi “Sayang…..aku juga tidak boleh mati sekarang kerana masih mengimpikan untuk menjagamu di usia tua. Sekiranya pada masa itu engkau lenguh-lenguh, harap-harap aku masih berupaya memicit-micit kakimu. Sekiranya matamu telah kabur, harap-harap aku masih berupaya menolong memotong kuku dan mencabut ubanmu. Dan sekiranya kakimu sudah tidak terdaya untuk berjalan, harap-harap aku masih berupaya memimpinmu menyusuri pantai, menikmati matahari terbenam dan merasai nyamannya bayu laut.”

Nota itu diakhiri dengan “Sayang….maafkan aku kerana kesibukanku berkerja sehingga tidak sedar telah mengabaikanmu”.

Selesai membaca nota tersebut aku menangis sepuas-puas hati. Menangis bukan kerana marah tetapi menyesal dengan perbuatanku. Sekarang aku sedar rupa-rupanya dia sanggup berkerja siang dan malam adalah kerana untuk memberi keselesaan kepadaku dan anak-anak.

Itulah cinta namanya. Disaat kita merasakan cinta itu beransur-ansur hilang, kita kadang-kala lupa cinta itu sebenarnya telah wujud di dalam bentuk yang lain.

Benarlah kata orang, cinta itu bukan hanya pada ucapan atau perbuatan tetapi sebenarnya apa yang ada di dalam hati…..

Sekian, jumpa lagi.


Sunday 19 August 2007

HANYA ENAM JAM.....

(Gambar sekadar hiasan)

SEORANG suami yang melihat tanda-tanda isterinya mungkin sedang mengandung membawanya ke hospital bagi mengesahkannya. Alangkah gembiranya dia apabila doktor mengesahkan isterinya benar-benar sedang hamil.

Sudah sepuloh tahun mereka mendirikan rumah tangga tanpa dikurniakan cahaya mata. Barulah sekarang impian mereka selama ini akan menjadi kenyataan. Gembira sungguh mereka nampaknya, kegembiraan tersebut cepat-cepat di hebahkan kepada kaum keluarga dan kawan-kawan.

Setelah beberapa bulan kandungannya membesar, tiba-tiba satu berita yang tidak baik diterima. Doktor mengesahkan kandungannya kembar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Bayi perempuannya di dapati tidak sihat dan dijangka tidak dapat hidup sehingga dilahirkan.

Keadaan tersebut sudah tentu akan mempengaruhi kembar lelaki dan nyawa ibunya. Doktor menyarankan supaya bayi perempuan tersebut di gugurkan bagi menyelamatkan bayi lelaki dan juga ibunya.

Kedua-dua suami isteri tersebut sangat risau. Mereka tidak sanggup untuk menggugurkan bayi perempuan yang dikandung tersebut. Bagi mereka menggugurkan sama seperti membunuh. Sebaliknya mereka juga takut kalau-kalau bayi perempuan tersebut memberi kesan buruk kepada bayi lelaki dan ibunya.

Fikiran mereka bercelaru dan akhirnya hanya boleh berserah kepada ketentuan Ilahi. Untuk menggugurkannya mereka tidak sanggup sama sekali. Mereka bertekad akan pasrah kepada apa yang akan berlaku dan mereka pasti sudah tentu Yang Maha Esa lebih mengetahui akan segalanya. Mereka bersepakat akan tabah menghadapi apa jua ketentuanNya dan tidak akan menggugurkan kandungan tersebut.

Hikmah dari keadaan tersebut, mereka makin mendekatkan diri kepada Allah. Tidak putus-putus mereka berdoa supaya kedua-dua bayi tersebut selamat dilahirkan. Dengan kehendak Allah, doktor kemudiannya mengesahkan bayi perempuan tersebut selamat untuk dilahirkan tetapi hanya boleh hidup selama dua jam sahaja kecuali ada bayi lain yang sanggup mendermakan organ kepadanya.

Tetapi siapakah yang sanggup mendermakan organ bayinya kepada orang lain. Daripada situlah mereka bertekad sekiranya apa-apa berlaku kepada bayi perempuannya mereka sanggup untuk mendermakan organnya kepada bayi lain.

Saat kelahiran pun tiba, Kedua-dua bayi tersebut selamat dilahirkan. Kedua-dua Suami dan isteri terus bergilir-gilir memangku bayi perempuan tersebut. Mereka tahu akan kesuntukan masa untuk menatap wajahnya.

Bayi itu sangat comel tetapi kebahagiaan yang mereka kecapi sekarang akan berakhir dalam beberapa jam saja lagi. Tiada kata yang dapat diucapkan melainkan hanya air mata yang terus mengalir.

Walaubagamanapun mereka rasa puas kerana telah mengambil tindakan yang betul dengan tidak menggugurkan bayi tersebut dahulu.

Keajaiban terjadi lagi, selepas dua jam bayi tersebut masih hidup dan memberikan kesempatan yang lebih lama kepada kedua ibu-bapa menatap wajahnya. Walaubagaimanapun bayi tersebut tidak dapat bertahan selepas enam jam…..

Para doktor dengan cepat melakukan pemindahan organ bayi tersebut kepada bayi lain yang sedang menunggu. Dan selepas beberapa hari pasangan tersebut mendapat panggilan daripada hospital menyatakan pemindahan tersebut telah berjaya dan telah menyelamatkan dua bayi lain.

Sekarang pasangan tersebut baru sedar akan kebesaran Allah. Walaupun bayinya hanya mampu hidup untuk enam jam tetapi dia telah berjaya menyelamatkan dua nyawa.

Pengajaran bagi kisah ini adalah, tidak penting bagi kita untuk hidup berapa lama di atas muka bumi ini, samada satu hari, satu tahun atau seratus tahun sekalipun tetapi yang lebih penting adalah berapa banyak sumbangan yang dapat kita berikan untuk kebaikan orang lain.

Bagi kita ibu-bapa pula tidaklah penting apa karier anak-anak kita di masa hadapan, di mana mereka tinggal dan berapa gaji mereka tetapi apa yang lebih penting adalah memastikan mereka melakukan perkara yang terpuji selama hidupnya.

Sekian, jumpa lagi.

Saturday 18 August 2007

BAYI GERGASI

SEORANG ibu muda di London, Amanda Ellerton, 24 tahun telah melahirkan seorang bayi lelaki seberat 6.3 kilogram iaitu dua kali ganda berat bayi normal yang lain.

Suaminya terpaksa membelikan baju untuk bayi yang berumur enam bulan untuk bayinya tersebut. Walaubagaimanapun menurut rekod, bayi terberat yang pernah dilahirkan di negara tersebut ialah 6.8 kilogram.

Manakala bayi yang paling berat pernah dilahirkan adalah di Kanada pada tahun 1879 iaitu seberat 10.43 kilogram tetapi bayi tersebut meninggal dunia 11 jam selepas dilahirkan.


Saya tertarik dengan cerita ini kerana saya juga pernah melahirkan bayi yang agak besar secara normal jika dibandingkan dengan bayi-bayi lain di negara kita. Anak pertama saya, Amira dilahirkan dengan berat 4.3 kilogram. Manakala Aisyah dilahirkan dengan berat 4.5 kilogram.

Masa melahirkan Amira, saya rasa tidak susah sangat tetapi masa Aisyah memang susah kerana bahunya tersangkut. Tapi Alhamdulillah semuanya selamat. Harap-harap kandungan kali ini pun tidak akan menghadapi masalah apa-apa. Amin.


Wednesday 15 August 2007

INA NAIM.....

Pada 12 Ogos 2007, Nordiana Md. Naim yang lebih dikenali dengan Ina Naim iaitu bekas tunangan Mawi telah selamat dinikahkan dengan Mohd. Suhaimi Saad iaitu bekas anggota kumpulan nasyid In-Team.

Suhaimi, seperti yang dilaporkan adalah graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini bertugas sebagai seorang guru. Secara zahirnya dilihat Suhaimi adalah seorang yang warak dan mematuhi perintah Allah. Saya percaya dia akan dapat membimbing Ina ke jalan yang diredhai.

Saya sebenarnya bukan ingin bercerita tentang kisah cinta Ina dan Mawi atau kisah pernikahan Ina dan Suhaimi tetapi ingin mengimbas kembali bagaimana kecewanya Ina selepas putus tunang dengan Mawi. Seperti yang dilaporkan Ina pernah beberapa kali pengsan kerana sangat kecewa dengan perkara tersebut.

Saya sebenarnya teringat kisah Frank Slazak iaitu seorang calon angkasawan yang tidak terpilih pada saat akhir untuk menjadi seorang angkasawan seperti yang pernah saya ceritakan di dalam artikel yang bertajuk `Tuhan lebih mengetahui’.

Beliau yang sangat kecewa dengan kegagalan tersebut telah diberikan jawapan oleh Penciptanya selepas tujoh puloh tiga saat Challenger dilancarkan dan meletup yang mengorbankan semua anak kapalnya. Barulah dia sedar kegagalannya adalah kerana Tuhan mempunyai alasan lain iaitu untuk dia terus hidup di atas muka bumi ini.

Ina Naim juga bagi saya telah ditunjukkan oleh Allah jawapannya kenapa dia tidak dijodohkan dengan Mawi. Ianya adalah kerana Allah ingin mengurniakannya yang lebih baik. Sudah tentu Ina sekarang bersyukur kepada Allah kerana tidak memakbulkan doanya dulu untuk hidup bersama dengan Mawi.

Oleh itu sentiasalah bersyukur dengan apa yang ditakdirkan untuk kita. Allah sebenarnya lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita di masa hadapan.

Ingatlah sekiranya Allah mengatakan YA kepada setiap apa yang kita impikan, maka kita akan mendapatkannya. Tetapi apabila Allah mengatakan TIDAK, maka mungkin kita akan dapat apa yang lebih sesuai untuk kita. Dan apabila Allah mengatakan TUNGGU, maka mungkin kita akan dapat apa yang terbaik sesuai dengan kehendakNya.

Sunday 12 August 2007

LAPAN FAKTA TENTANG SAYA

SEBENARNYA saya telah di tag oleh CikguAzleen untuk menyenaraikan lapan fakta tentang diri saya. Untuk tugasan ini saya harus mematuhi empat peraturan iaitu:-

a.
Saya dikehendaki post peraturan ini sebelum menyenaraikan lapan fakta tersebut.
b.
Menyenaraikan lapan fakta tentang diri saya.
c.
Pilih lapan blogger lain untuk di tag.
d.
Tinggalkan komen di blog mereka menyatakan mereka telah di tag.


Kerana saya telah menyahut tugasan ini maka di bawah ini saya senaraikan lapan fakta tentang diri saya yang mungkin anda semua tidak mengetahuinya.


1. Tidak pernah bercita-cita menjadi usahawan

Semenjak kecil saya bercita-cita untuk menjadi Pramugari, model ataupun pelakon. Tetapi entah macamana akhirnya saya menjadi seorang usahawan.


2. Menolak impian yang hampir tercapai

Setelah memenangi Pertandingan Ratu Cantik Pesta Port Dickson 1989, impian saya untuk menjadi model atau pelakon hampir menjadi kenyataan. Saya mendapat tawaran untuk menjadi model bagi agensi Datin Seri Tiara Jacquliena dan juga mendapat tawaran untuk berlakon di dalam iklan Salem High Country. Tetapi saya menolaknya kerana memilih untuk berkahwin di usia muda iaitu 19 tahun.

Tetapi selepas berkahwin dan mendapat anak, saya sempat juga menjadi model memperagakan busana muslimah untuk majalah ANIS.


3. Pernah menjadi guru sandaran dan Penyambut tetamu

Selepas tamat peperiksaan SPM, saya menjadi guru sandaran di SMK Bukit Saujana, Port Dickson mengajar murid-murid peralihan Tingkatan satu. Sehingga sekarang saya masih lagi di panggil `cikgu’ oleh bekas anak murid.

Saya juga pernah menjadi penyambut tetamu di Tanjung Tuan Beach Resort, Port Dickson, semasa menunggu keputusan SPM.


4. Menyambung pelajaran setelah mempunyai dua orang cahaya mata

Selepas STPM saya mendirikan rumah tangga dan menyambung semula pengajian ke peringkat diploma dan kemudiannya diploma lanjutan setelah mempunyai dua orang cahaya mata. Masa pengajian tersebut saya pernah belajar satu kelas dengan pelakon Eizlan Yusuf dan pengacara Intan Suraya.


5. Suka makan berulamkan cili padi

Saya memang suka makan berbagai jenis ulam-ulaman tetapi yang peliknya saya paling suka berulamkan cili padi. Lagi pedas lagi banyak saya makan.


6. Suka jus limau kasturi

Kalau minum, saya memang suka jus limau kasturi yang masam itu. Tetapi bukan setakat jus tersebut saya minum tetapi saya juga memakan buah limau kasturi tersebut dengan kulitnya sekali.


7. Gayat tempat tinggi lebih-lebih lagi yang bergoyang

Pernah semasa di Taman Negara menaiki titi gantung, saya tersangkut di tengah-tengah kerana gayat sehingga tidak dapat berjalan ke depan atau belakang dan akhirnya saya `diselamatkan’ oleh pekerja yang mengawasi titi gantung tersebut.


8. Suka budak montel

Sekiranya saya ternampak budak montel, saya sanggup mengejarnya dan mencubit pipinya walaupun saya tidak mengenali budak tersebut. Oleh itu sekiranya anda mempunyai anak yang montel, jangan terperanjat sekiranya terjumpa dengan saya dan saya mencubit pipinya.

Saya rasa itulah antara fakta-fakta atau kepelikan diri saya yang saya ingat pada waktu ini. Maka tugas saya yang seterusnya adalah memilih lapan blogger lain untuk melakukan perkara yang sama.

Oleh itu disini saya memilih lapan blogger wanita untuk meneruskan aktiviti ini. Blogger-blogger lelaki di harap jangan marah.

1. Kak Long daripada Simfoni Hati

2. Zilaso7 daripada From peedee with love

3. Aminbakish daripada Catatan Sikenit

4. nAtsUmi daripada nAtsUmi

5. Ira daripada Cintaku

6. Mizzamy daripada The diary of garbera

7. Wanorizan daripada Recipes from around the world

8. Waliz daripada The partner for life


Kepada pemilik-pemilik blog yang telah di tag oleh saya, terpulanglah kepada anda untuk meneruskan tugasan ini semoga hubungan sillaturrahim diantara kita dapat di perpanjangkan.

Sekian, terima kasih.



MENYAYAT HATI.....

PERISTIWA kebakaran di Kluang, Johor semalam yang mengorbankan lima sekeluarga begitu menyayat hati. Ianya menggambarkan di luar sana masih ramai yang hidup dalam kesempitan di dalam meniti kehidupan dunia yang penuh dengan ranjau ini.

Seperti yang dilaporkan, kebakaran berlaku mungkin berpunca dari api lilin yang terpaksa mereka gunakan kerana bekalan elektrik telah di potong olen Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berlaku kerana mereka tidak dapat membayar bil elektrik yang berjumlah RM800.00.

Pembayaran tersebut terpaksa mereka tangguh kerana mendahulukan keperluan tujuh anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi manakala empat yang lain masih bersekolah.

Saya sebenarnya kagum dengan semangat kedua ibu dan bapa tersebut. mereka sanggup bercahayakan lilin semata-mata ingin menampung perbelanjaan pelajaran anak-anaknya. Begitulah besarnya pengorbanan mereka.

Kita boleh katakan itu semua adalah ketentuan takdir yang tidak boleh dielakkan. Walaubagaimanapun kerakusan manusia iaitu pihak TNB yang memotong bekalan elektrik ke rumah tersebut tidak boleh di pandang ringan.

TNB adalah pembekal monopoli tenaga elektrik di negara kita. Pengguna tiada pilihan untuk mendapatkan bekalan elektrik dari syarikat-syarikat lain. Inilah kelebihan yang digunakan TNB untuk melakukan tindakan dengan sewenang-wenangnya kerana menyedari keadaan tersebut. Dalam erti kata lain walaubagaimana `kejam’ pun tindakan TNB, pengguna terpaksa menerimanya.

Di dalam Buletin Utama TV3 malam tadi dinyatakan pihak TNB mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit tetapi menjelaskan tindakan pemotongan tersebut telah dilakukan mengikut prosedur yang betul iaitu memberikan masa yang cukup dengan notis pemotongan tujuh hari.

Persoalannya adakah masa tujuh hari yang diberikan mencukupi dengan sistem gaji kita mengikut bulanan? Kalau ingin membuat pinjaman, adakah pihak-pihak yang memberikan pinjaman dapat meluluskannya dalam tempoh sesingkat itu, kecuali `Ah Long’?

Itu belum lagi dipersoalkan adakah notis yang dihantar oleh TNB di terima oleh pengguna? Kerana TNB menghantar notis menggunakan tangan tanpa ada apa-apa dokumen yang perlu di tandatangani pengesahan penerimaan oleh pengguna.

Kemungkinan notis tersebut tidak dihantar atau dihantar secara `sambil lewa’ dengan menyelitkannya dipintu dan kemudiannya di terbangkan angin tidak boleh dinafikan sama sekali.

Jadi saya berharap pihak TNB dapat meningkatkan sistem penyerahan bil dan notis setaraf dengan kedudukkan syarikat tersebut dan bersesuaian dengan kemajuan negara. Jangan kerana pengguna tidak mempunyai pilihan lain, TNB mengambil kesempatan untuk menindas.

Tenaga elektrik adalah keperluan asas manusia pada zaman sekarang. Tindakan memotong bekalan mestilah dijadikan jalan terakhir dan bukannya jalan mudah untuk mendapat bayaran. Banyak cara lain yang boleh digunakan kecuali TNB hanya memikirkan jalan mudah yang tidak berperikemanusiaan tersebut.

Jadikanlah pengajaran dari peristiwa ini. Penindasan bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Kasihanilah kepada pekerja TNB yang diarah memotong bekalan tersebut kerana peristiwa ini sudah tentu akan menghantuinya sepanjang hayat.

Kepada anak-anak mangsa yang masih hidup, belajarlah bersungguh-sungguh. Balaslah pengorbanan kedua ibu-bapa dan adik-adik dengan menjadi orang-orang yang berguna pada suatu hari nanti. Kalau boleh tekadkan azam untuk menjadi mereka yang berkuasa di TNB nanti dan jangan lupa pada masa itu, ubahlah dasar-dasar yang menindas pengguna tersebut.

Thursday 9 August 2007

KU SANGKA TENGGIRI RUPANYA TALAPIA

AKU pun tak tahu kenapa, masa mengandung kali ini aku memang suka sangat makan ikan talapia. Orang kata ikan talapia `low class’, maklumlah ikan sungai, berbau hanyir, tapi tekak orang mengandung tak sama. Kadang-kadang benda yang pelik-pelik menjadi idamannya.

Emak pula asyik teringin nak makan ikan tenggiri. Sudah berkali-kali dia meminta aku menelefon abah supaya menghantar ikan tenggiri untuknya dan talapia untukku. Kebetulan pula abah memang ada membuka pasar mini segar yang menjual berbagai jenis barangan basah seperti ayam, daging, ikan, dan berbagai jenis makanan laut termasuk juga sayur-sayuran dan berbagai jenis keperluan dapur.

Beberapa hari lepas aku menghantar SMS kepada abah berkenaan perkara tersebut. Tetapi di balas oleh INA, bukan watak Ina yang dilakonkan oleh Kristine Hermosa dalam telenovela Filipina `Pangako Sa yo’ tapi Ina daripada Rompin.

Watak Ina yang hadir di dalam episod duka keluargaku ini akan aku ceritakan di dalam coretan-coretan yang akan datang. Itupun sekiranya ada permintaan daripada pembaca semua. Kepada pembaca yang ingin mengetahui siapakah Ina di dalam keluargaku, bolehlah e-mail atau tinggalkan pesanan di chat box.

Balasan Ina terhadap SMS aku adalah “Ya la sayang. Abah tidur, talapia tak ada, tenggiri pun tak ada. Ok”. Begitulah selalunya setiap kali bila aku SMS atau call, jawapannya abah selalu tak ada, samada tidur atau keluar. Jadi tak dapatlah aku bermanja dengan abah. Beginilah nasib anak kecil yang telah di rampas kasih sayangnya seperti coretanku di bawah tajuk Ku Sangkakan Panas Hingga Ke Petang.

Walaubagaimanapun aku ucapkan terima kasih kepada abah kerana beberapa hari lepas Ina telah menghantar ikan tersebut ke rumah emakku, aku sangka tenggiri kesukaan mak ada sekali tapi rupanya hanya talapia untukku. Yang istimewanya ikan tersebut memang betul-betul fresh kerana pembekal menghantarnya dalam keadaan masih hidup dan ikan tersebut dihantar kepadaku dalam keadaan telah dibersihkan dan diletak garam sekali.

Bagi mereka yang tinggal di Port Dickson dan teringin makanan-makanan basah yang segar, bolehlah mengunjungi kedai abah yang terletak di Taman PD Utama.

Di saat-saat begini aku terkenang masa abah selalu ke laut dulu menjaring ikan bersama adikku Hamzah. Masa itu aku memang mewah makan ikan. Rasanya tak termakan ikan-ikan tersebut. Peti sejuk di rumahku sentiasa penuh dengan ikan.

Kadang-kadang peti terlampau penuh dan abah jadikan ikan-ikan tersebut ikan masin dengan meletakkan garam dan menjemurnya di halaman rumah. Memang seronok masa itu kerana aku dapat makan berbagai jenis ikan.

Setiap kali ke laut, abah memang tidak pernah balik dengan tangan kosong, Berbagai jenis ikan yang dapat ditangkap. Kalau abah dapat tenggiri, jenak, sagai, sisa nabi atau caping, kata abah itu untuk mak kerana ikan-ikan tersebut memang abah tahu kesukaan mak. Kalau abah dapat pari atau senangin, itu pula untuk aku kerana abah juga tahu aku memang suka pari dan senangin.

Setiap kali abah ke laut juga, mak bukannya boleh tidur lena di rumah kerana risaukan abah di laut. Dan bila kedengaran kereta abah menarik bot balik, itulah saat yang mengembirakan mak. Kerisauan mak akan hilang dan mak bersedia untuk memasak ikan-ikan tersebut.

Kalau dapat pari, abah akan minta mak masakkan asam tumis, kalau sagai atau sisa nabi abah suka mak masak pindang serani kerana abah suka menghirup kuahnya. Kalau ikan mayong atau alu-alu, abah suka masakan kari berempah.

Jadi setiap kali abah ke laut, bukan setakat mak yang tak tidur lena, aku pun sama, menanti kepulangan abah bersama-sama hasil tangkapannya untuk kami sama-sama makan walaupun hari sudah dinihari.

Itulah antara kenangan-kenangan manisku bersama dengan abah. Sekarang abah tidak ke laut lagi tetapi abah telah menggantikan hobinya dengan membuka pasar mini segar yang menjual barangan-barangan basah tersebut.

Walaubagaimanapun aku rasa bertuah kerana abah telah membuka pasar mini segar. Dapatlah aku makan ikan walaupun hanya sekadar talapia…..

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

DIPINGGIR sebuah hutan terdapat sepasang katak dan dua ekor anaknya yang sedang membesar. Pada suatu hari dua ekor anak katak tersebut teringin untuk pergi bersiar-siar dikampung bersebelahan tempat tinggal mereka.

Tanpa pengetahuan ibu dan bapa mereka, dua ekor anak katak tersebut terus melompat ke kampong sebelah dengan begitu riang sekali. Mereka melompat kesana dan kemari sehingga terjumpa dengan sebuah rumah pengembala lembu yang menyara kehidupannya dengan menjual susu yang diperah daripada binatang peliharaannya tersebut.

Dua ekor anak katak tersebut cuba memasuki rumah pengembala itu dengan melompat melalui tingkap. Setelah berjaya memasukinya mereka gembira sekali kerana melihat begitu banyak susu lembu yang disimpan di dalam balang kaca.

Mereka berdua teringin sangat untuk meminum susu tersebut. Tetapi balang itu licin untuk dipanjat. Tanpa berfikir panjang mereka terus melompat masuk ke dalam baling. Apabila berada di dalam balang mereka meminum susu tersebut dengan sepuas-puas hati sambil berenang.

Setelah kekenyangan barulah mereka sedar yang mereka sebenarnya telah terperangkap di dalam balang tersebut. Mereka tidak dapat keluar kerana dinding balang licin untuk di panjat, manakala kaki mereka pula tidak sampai ke dasar untuk melompat.

Mereka berdua terus berenang di dalam susu tersebut dengan harapan semoga ada sesiapa yang datang menolong. Setelah beberapa jam berenang, pertolongan tidak juga kunjung tiba.

Seekor daripada anak katak tersebut sudah tidak dapat bertahan. Dia merasakan sudah tiada harapan untuk hidup lagi. Akhirnya dia berputus asa dan mengalah . Lalu dia tenggalam ke dasar kolam dan mati kelemasan.

Manakala seekor lagi anak katak tetap bertahan. Dia tidak cepat berputus asa malah terus berusaha untuk keluar dengan berenang sambil mengayuh kakinya. Rupa-rupanya tindakan mengayuh kaki di dalam susu tersebut menyerupai proses membuat mentega.

Susu tersebut akhirnya menjadi kental dan lama-kelamaan menjadi keras. Setelah susu tersebut keras maka dapatlah anak katak tersebut melompat keluar kerana sudah ada tempat untuk menjadi landasan berpijak. Maka dia pun selamat keluar dari balang tersebut.

Pengajaran dari cerita ini adalah, jangan cepat berputus asa sekirannya dilanda masalah kerana percayalah “ Allah tidak mencipta masalah tanpa jalan penyelesaiannya”.

Tuesday 7 August 2007

BERAT NAIK LAGI

SEMALAM pergi Hospital PUSRAWI untuk pemeriksaan bulanan. Kandunganku telah memasuki minggu ke 31. Mengikut Dr. Daud ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu berat badanku yang naik 2.5 kg pada bulan ini dan air kencingku dikesan mengandungi protin (albumin).

Perkara-perkara lain nampaknya alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Kencing manis dan tekanan darah di dalam keadaan normal manakala air ketuban tidak berapa banyak yang menandakan kandunganku kali ini tidaklah sebesar Aisyah. Daripada imbasan 3-D, pipinya tidaklah begitu tembam kalau nak dibandingkan dengan Aisyah dulu.

Untuk pengetahuan semua, Aisyah dulu lahir dengan berat 4.5 kg. Peristiwa bahu Aisyah yang tersangkut tidak dapat dikeluarkan masa melahirkannya dulu masih menghantui. Masa itu bukan setakat aku yang takut tetapi suamiku yang berada di sisi dan doktor juga panik. Nasib baik pengalaman dan kecekapan Dr. Norkedah menyelamatkan keadaan dan akhirnya Aisyah di lahirkan dengan selamat.

Sebab itulah pada kandungan kali ini aku benar-benar mengawal pemakanan dan menjaga berat badan. Harap-harap kandunganku kali ini tidak melebihi 4 kg supaya senang aku bersalin nanti.

Kenaikan berat badan bulan ini mungkin berpunca daripada balik Kelantan tempohari. Apabila balik Kelantan aku memang susah untuk mengawal pemakananku kerana makanannya yang sedap-sedap belaka.

Di awal pagi aku telah dihidangkan dengan nasi berlauk ayam kampong atau serati (sejenis itik) yang memang terkenal di Kelantan. Itu belum lagi di kira dengan makanan-makanan lain yang Ma (Mak mertua) beli di Pasar Chabang Empat iaitu seperti nasi air, laksam, nasi dagang dan bermacam-macam jenis kuih-muih seperti tepung pelita, lompat tikam, boko, beko dan bermacam-macam jenis lagi yang aku pun tak tahu namanya.

Pada tengah hari dan malam pula dihidangkan dengan lauk-lauk yang memang menjadi kegemaran suami dan aku juga. Ini termasuklah gulai kawah, ayam percik, daging bakar, ikan kikik katok (ketuk) serai, ikan tongkol bakar dan nangka celur cecah budu serta berbagai masakan Kelantan yang aku pun tak tahu nak sebut. Tetapi yang pastinya semua sedap-sedap belaka. Cuma kali ini aku tak dapat merasa nasi kerabu Ma yang sedap kerana Ma tidak berapa sihat hari itu.

Sebelah petang pula di Kelantan memang banyak kuih-muih yang dijual, yang paling aku suka adalah kuih akok Pengkalan Kubor, tapi hari itu aku tak sempat ke Pengkalan Kubor, jadi aku beli di Kampung Kepulau dekat Palekbang. Kuih akoknya boleh tahan juga hingga aku boleh bungkus dan bawa balik Port Dickson. Aku rasa sepanjang di Kelantan tempohari, berpuluh biji kuih akok aku habiskan.

Anak-anak pula sentiasa mengajak aku makan dekat luar, jadi terpaksalah melayan kerenah mereka. Sempatlah makan satay wakaf bharu, roti tempayan depan pejabat Pos Wakaf Bharu, sup perut dan makan tom yam merah (Tom Yam Mat) di Pasir Pekan yang anakku kata `sedap giler’. Tom yam merah ni memang tak boleh dapat di Port Dickson. Rasanya betul-betul sedap sehingga kita rasa sayang untuk menghabiskannya. Leila mesti tahu tempat-tempat ini.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan lain yang tidak sempat aku singgah kali ini. Pertamanya kerana menjaga pemakananku dan keduanya kerana risaukan tekanan darah suamiku. Kalau aku ajak mesti dia tidak akan menolak kerana tempat-tempat tersebut juga menjadi tempat kegemarannya. Antaranya adalah kedai nasi sumatera, ayam percik Yati, Nasi air Mak Su Nab, belut Paprik Chabang Empat dan gulai ikan darat (ikan sungai seperti haruan, keli dan sebagainya) lubuk Jong.

Bagi mereka yang belum pernah makan di Kedai nasi sumatera, jangan terperanjat sekiranya singgah makan di situ. Mereka tidak akan bertanya apa yang ingin kita order sebaliknya akan menghidangkan semua jenis lauk yang mereka ada, mungkin berbelas jenis lauk termasuk yang pelik-pelik seperti telur penyu. Apabila kita selesai makan, mereka hanya akan mengira apa yang kita makan sahaja.

Kebetulan juga masa balik tempohari adalah musim buah-buahan. Jadi setiap hari aku makan durian, manggis, rambutan, buah salak, duku dan dokong. Manggis, rambutan, salak, duku dan dokong memang ayah dan ma tanam sekeliling rumah manakala durian pula selalunya adalah pemberian orang kampong dan saudara mara.

Masa balik hari itu dokong baru kuning, belum betul-betul masak lagi tapi ayah petik juga, takut aku tak sempat makan kerana bersalin.

Akhir sekali masa balik Ma bekalkan aku nasi berlauk ayam percik. Walaupun sudah tidur dalam kereta api aku terjaga kerana teringatkan ayam percik tersebut dan aku makan dengan berselera walaupun sudah dinihari.

Itulah untungnya hidup dikampung, semuanya tak perlu di beli, kadang-kadang bila buka pintu waktu pagi nampak ada durian yang di letakkan di tangga. Kita pun tak tahu siapa yang bagi.

Kalau begitulah keadaannya, macamana aku boleh mengawal selera makanku? Itulah sebabnya aku tengok anak-anakku disana semuanya makin tembam-tembam belaka!

Sunday 5 August 2007

WANG DAN KITA

MANUSIA akan di pandang tinggi sekiranya mempunyai banyak WANG dan harta benda. Itulah hakikat yang tidak boleh disangkal pada hari ini. Kalau dulu budi bahasa dipandang orang tetapi hari ini tidak lagi. Pantun melayu `hutang emas boleh di bayar, hutang budi di bawa mati’ sudah tidak di pedulikan.

Manusia berlumba-lumba mengejar wang kerana mereka yang kaya raya lebih dihormati dan menerima layanan yang lebih baik manakala mereka yang tidak mempunyai wang akan dipandang rendah malah di hina.

Kalau ditanya kepada seseorang itu kenapa dia sanggup bekerja kuat, sudah tentu jawapannya adalah untuk mengumpul lebih banyak wang. Kalau di tanya kepada seorang pelajar, kenapa dia rajin sangat belajar, sudah tentu jawapannya adalah untuk mendapat jawatan yang baik di alam perkerjaan nanti dan akan mendapat lebih banyak wang dalam bentuk gaji.

Sekiranya ditanya kepada pemburu haram, kenapa sanggup membunuh haiwan-haiwan yang hampir pupus, jawapannya juga adalah kerana wang. Manusia juga sanggup melanggar undang-undang dunia dan Tuhan semata-mata kerana wang. Malah manusia sanggup membunuh manusia lain juga kerana wang.

Manusia sanggup menggadai maruah dirinya kerana wang, malah sanggup menggadai agamanya juga kerana wang dan manusia juga lupa kepada Penciptanya kerana asyik dengan wang. Kesimpulannya adalah, matlamat manusia sekarang berakhir dengan wang dan bukan kepada Penciptanya.

Begitulah besarnya pengaruh wang kepada kita hari ini, sedangkan wang hanyalah sekeping kertas ciptaan manusia yang saya rasa telah di salah fahami tujuan sebenarnya.

Ada orang berkata, wang adalah punca kepada kejahatan, tetapi bagi saya `kegilaan’ kepada wang itulah yang sebenarnya membawa kepada kejahatan. Wang tidak mengetahui apa yang baik atau buruk tetapi yang menjadikannya baik atau buruk adalah diri kita sendiri.

Oleh itu di dalam asyik kita mengejar wang, jangan lupa sesekali kita renungkan kembali diri kita, banyak perkara di dunia ini sebenarnya tidak dapat di beli dengan wang seperti kebahagian dan kesihatan kita. Janganlah kita tersalah langkah sehingga sanggup menyalahi undang-undang dunia dan Tuhan kerana mengejar wang.

Cubalah renungi kata-kata ini `Kebanyakan manusia di dunia ini bekerja terlalu kuat semasa muda tanpa menghiraukan kesihatannya untuk memperolehi lebih banyak wang dan kemudiaannya mereka menghabiskan wang tersebut semasa tua untuk mengubati diri mereka yang sakit akibat tidak menjaganya semasa muda’.

Sekian, jumpa lagi.


KETABAHAN LUAR BIASA

KITA selalu berfikir orang yang berjaya tidak pernah mempunyai masalah tetapi sebenarnya mereka telah mengharungi berbagai masalah dengan tabah sebelum mencapai kejayaan.

Pasukan Iraq menjadi juara bolasepak Piala Asia kerana telah berjaya mengharungi kesukaran akibat daripada negara mereka yang huru hara. Mereka bermain bersungguh-sungguh bagi membuktikan mereka tetap pemenang walaupun negara mereka sedang di jajah.

Pemain-pemain bolasepak dari negara-negara Afrika menunjukkan kecemerlangan kerana ingin lari dari belenggu kemiskinan. Mereka bersungguh-sungguh menunjukkan kebolehan supaya terpilih untuk bermain di liga-liga luar negara khasnya liga eropah.

Jutawan-jutawan di negara kita juga kebanyakannya bukan berasal dari keluarga yang kaya raya. Sebaliknya mereka bangkit dari kesusahan dan kesukaran.

Mereka-mereka yang berjaya ini sebenarnya mempunyai ketabahan yang luar biasa iaitu kunci bagi setiap manusia yang mahu mengecapi kejayaan yang terhebat di dalam kehidupan mereka.

Setiap kesukaran, kepayahan dan halangan ditempuh dengan penuh ketabahan sehingga mereka akhirnya menjadi orang-orang yang berjaya dan terkenal di dunia ini.

Stephen Hawking, seorang saintis terulung dunia yang kini berkerusi roda dan tidak boleh bercakap kerana serangan penyakit saraf pernah menolak cadangan penyelianya supaya menukar tesis doktor falsafahnya kepada yang lebih mudah kerana telah di kesan tanda-tanda serangan penyakit saraf.

Sebaliknya Hawking mencari tajuk yang lebih sukar dan menemuinya dengan mengemukakan tesis mengenai asal usul kewujudan alam semesta yang menjadikannya terkenal di seluruh dunia.

Liz Murray, tidak mempunyai tempat berteduh setelah ibunya meninggal dunia semasa umurnya 15 tahun. Beliau dan bapanya terpaksa berpindah ke sebuah tempat perlindungan sementera tetapi kerana berkat ketabahannya beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard.

Beliau menganggap kemiskinan sebenar di dunia ini adalah kemiskinan mental dan bukannya kemiskinan harta benda. Perkara inilah yang telah mendorong kejayaannya.

D.J. Graffree pula adalah seorang pelajar yang berumur 11 tahun. Budak ini pernah tidur di dalam tong sampah di tepi jalan kerana kemiskinan. Tetapi akhirnya di umumkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya yang mendapat liputan akhbar dan stesen TV.

Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa sekiranya menghadapi berbagai-bagai kesukaran dan ujian daripada Allah di dalam mengharungi hidup ini, tetapi sebaliknya hadapilah dengan penuh ketabahan semoga kita juga akan menjadi antara yang terbilang pada suatu hari nanti.

Insya-Allah.