ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday, 12 August 2007

LAPAN FAKTA TENTANG SAYA

SEBENARNYA saya telah di tag oleh CikguAzleen untuk menyenaraikan lapan fakta tentang diri saya. Untuk tugasan ini saya harus mematuhi empat peraturan iaitu:-

a.
Saya dikehendaki post peraturan ini sebelum menyenaraikan lapan fakta tersebut.
b.
Menyenaraikan lapan fakta tentang diri saya.
c.
Pilih lapan blogger lain untuk di tag.
d.
Tinggalkan komen di blog mereka menyatakan mereka telah di tag.


Kerana saya telah menyahut tugasan ini maka di bawah ini saya senaraikan lapan fakta tentang diri saya yang mungkin anda semua tidak mengetahuinya.


1. Tidak pernah bercita-cita menjadi usahawan

Semenjak kecil saya bercita-cita untuk menjadi Pramugari, model ataupun pelakon. Tetapi entah macamana akhirnya saya menjadi seorang usahawan.


2. Menolak impian yang hampir tercapai

Setelah memenangi Pertandingan Ratu Cantik Pesta Port Dickson 1989, impian saya untuk menjadi model atau pelakon hampir menjadi kenyataan. Saya mendapat tawaran untuk menjadi model bagi agensi Datin Seri Tiara Jacquliena dan juga mendapat tawaran untuk berlakon di dalam iklan Salem High Country. Tetapi saya menolaknya kerana memilih untuk berkahwin di usia muda iaitu 19 tahun.

Tetapi selepas berkahwin dan mendapat anak, saya sempat juga menjadi model memperagakan busana muslimah untuk majalah ANIS.


3. Pernah menjadi guru sandaran dan Penyambut tetamu

Selepas tamat peperiksaan SPM, saya menjadi guru sandaran di SMK Bukit Saujana, Port Dickson mengajar murid-murid peralihan Tingkatan satu. Sehingga sekarang saya masih lagi di panggil `cikgu’ oleh bekas anak murid.

Saya juga pernah menjadi penyambut tetamu di Tanjung Tuan Beach Resort, Port Dickson, semasa menunggu keputusan SPM.


4. Menyambung pelajaran setelah mempunyai dua orang cahaya mata

Selepas STPM saya mendirikan rumah tangga dan menyambung semula pengajian ke peringkat diploma dan kemudiannya diploma lanjutan setelah mempunyai dua orang cahaya mata. Masa pengajian tersebut saya pernah belajar satu kelas dengan pelakon Eizlan Yusuf dan pengacara Intan Suraya.


5. Suka makan berulamkan cili padi

Saya memang suka makan berbagai jenis ulam-ulaman tetapi yang peliknya saya paling suka berulamkan cili padi. Lagi pedas lagi banyak saya makan.


6. Suka jus limau kasturi

Kalau minum, saya memang suka jus limau kasturi yang masam itu. Tetapi bukan setakat jus tersebut saya minum tetapi saya juga memakan buah limau kasturi tersebut dengan kulitnya sekali.


7. Gayat tempat tinggi lebih-lebih lagi yang bergoyang

Pernah semasa di Taman Negara menaiki titi gantung, saya tersangkut di tengah-tengah kerana gayat sehingga tidak dapat berjalan ke depan atau belakang dan akhirnya saya `diselamatkan’ oleh pekerja yang mengawasi titi gantung tersebut.


8. Suka budak montel

Sekiranya saya ternampak budak montel, saya sanggup mengejarnya dan mencubit pipinya walaupun saya tidak mengenali budak tersebut. Oleh itu sekiranya anda mempunyai anak yang montel, jangan terperanjat sekiranya terjumpa dengan saya dan saya mencubit pipinya.

Saya rasa itulah antara fakta-fakta atau kepelikan diri saya yang saya ingat pada waktu ini. Maka tugas saya yang seterusnya adalah memilih lapan blogger lain untuk melakukan perkara yang sama.

Oleh itu disini saya memilih lapan blogger wanita untuk meneruskan aktiviti ini. Blogger-blogger lelaki di harap jangan marah.

1. Kak Long daripada Simfoni Hati

2. Zilaso7 daripada From peedee with love

3. Aminbakish daripada Catatan Sikenit

4. nAtsUmi daripada nAtsUmi

5. Ira daripada Cintaku

6. Mizzamy daripada The diary of garbera

7. Wanorizan daripada Recipes from around the world

8. Waliz daripada The partner for life


Kepada pemilik-pemilik blog yang telah di tag oleh saya, terpulanglah kepada anda untuk meneruskan tugasan ini semoga hubungan sillaturrahim diantara kita dapat di perpanjangkan.

Sekian, terima kasih.



MENYAYAT HATI.....

PERISTIWA kebakaran di Kluang, Johor semalam yang mengorbankan lima sekeluarga begitu menyayat hati. Ianya menggambarkan di luar sana masih ramai yang hidup dalam kesempitan di dalam meniti kehidupan dunia yang penuh dengan ranjau ini.

Seperti yang dilaporkan, kebakaran berlaku mungkin berpunca dari api lilin yang terpaksa mereka gunakan kerana bekalan elektrik telah di potong olen Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berlaku kerana mereka tidak dapat membayar bil elektrik yang berjumlah RM800.00.

Pembayaran tersebut terpaksa mereka tangguh kerana mendahulukan keperluan tujuh anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi manakala empat yang lain masih bersekolah.

Saya sebenarnya kagum dengan semangat kedua ibu dan bapa tersebut. mereka sanggup bercahayakan lilin semata-mata ingin menampung perbelanjaan pelajaran anak-anaknya. Begitulah besarnya pengorbanan mereka.

Kita boleh katakan itu semua adalah ketentuan takdir yang tidak boleh dielakkan. Walaubagaimanapun kerakusan manusia iaitu pihak TNB yang memotong bekalan elektrik ke rumah tersebut tidak boleh di pandang ringan.

TNB adalah pembekal monopoli tenaga elektrik di negara kita. Pengguna tiada pilihan untuk mendapatkan bekalan elektrik dari syarikat-syarikat lain. Inilah kelebihan yang digunakan TNB untuk melakukan tindakan dengan sewenang-wenangnya kerana menyedari keadaan tersebut. Dalam erti kata lain walaubagaimana `kejam’ pun tindakan TNB, pengguna terpaksa menerimanya.

Di dalam Buletin Utama TV3 malam tadi dinyatakan pihak TNB mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit tetapi menjelaskan tindakan pemotongan tersebut telah dilakukan mengikut prosedur yang betul iaitu memberikan masa yang cukup dengan notis pemotongan tujuh hari.

Persoalannya adakah masa tujuh hari yang diberikan mencukupi dengan sistem gaji kita mengikut bulanan? Kalau ingin membuat pinjaman, adakah pihak-pihak yang memberikan pinjaman dapat meluluskannya dalam tempoh sesingkat itu, kecuali `Ah Long’?

Itu belum lagi dipersoalkan adakah notis yang dihantar oleh TNB di terima oleh pengguna? Kerana TNB menghantar notis menggunakan tangan tanpa ada apa-apa dokumen yang perlu di tandatangani pengesahan penerimaan oleh pengguna.

Kemungkinan notis tersebut tidak dihantar atau dihantar secara `sambil lewa’ dengan menyelitkannya dipintu dan kemudiannya di terbangkan angin tidak boleh dinafikan sama sekali.

Jadi saya berharap pihak TNB dapat meningkatkan sistem penyerahan bil dan notis setaraf dengan kedudukkan syarikat tersebut dan bersesuaian dengan kemajuan negara. Jangan kerana pengguna tidak mempunyai pilihan lain, TNB mengambil kesempatan untuk menindas.

Tenaga elektrik adalah keperluan asas manusia pada zaman sekarang. Tindakan memotong bekalan mestilah dijadikan jalan terakhir dan bukannya jalan mudah untuk mendapat bayaran. Banyak cara lain yang boleh digunakan kecuali TNB hanya memikirkan jalan mudah yang tidak berperikemanusiaan tersebut.

Jadikanlah pengajaran dari peristiwa ini. Penindasan bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Kasihanilah kepada pekerja TNB yang diarah memotong bekalan tersebut kerana peristiwa ini sudah tentu akan menghantuinya sepanjang hayat.

Kepada anak-anak mangsa yang masih hidup, belajarlah bersungguh-sungguh. Balaslah pengorbanan kedua ibu-bapa dan adik-adik dengan menjadi orang-orang yang berguna pada suatu hari nanti. Kalau boleh tekadkan azam untuk menjadi mereka yang berkuasa di TNB nanti dan jangan lupa pada masa itu, ubahlah dasar-dasar yang menindas pengguna tersebut.

Thursday, 9 August 2007

KU SANGKA TENGGIRI RUPANYA TALAPIA

AKU pun tak tahu kenapa, masa mengandung kali ini aku memang suka sangat makan ikan talapia. Orang kata ikan talapia `low class’, maklumlah ikan sungai, berbau hanyir, tapi tekak orang mengandung tak sama. Kadang-kadang benda yang pelik-pelik menjadi idamannya.

Emak pula asyik teringin nak makan ikan tenggiri. Sudah berkali-kali dia meminta aku menelefon abah supaya menghantar ikan tenggiri untuknya dan talapia untukku. Kebetulan pula abah memang ada membuka pasar mini segar yang menjual berbagai jenis barangan basah seperti ayam, daging, ikan, dan berbagai jenis makanan laut termasuk juga sayur-sayuran dan berbagai jenis keperluan dapur.

Beberapa hari lepas aku menghantar SMS kepada abah berkenaan perkara tersebut. Tetapi di balas oleh INA, bukan watak Ina yang dilakonkan oleh Kristine Hermosa dalam telenovela Filipina `Pangako Sa yo’ tapi Ina daripada Rompin.

Watak Ina yang hadir di dalam episod duka keluargaku ini akan aku ceritakan di dalam coretan-coretan yang akan datang. Itupun sekiranya ada permintaan daripada pembaca semua. Kepada pembaca yang ingin mengetahui siapakah Ina di dalam keluargaku, bolehlah e-mail atau tinggalkan pesanan di chat box.

Balasan Ina terhadap SMS aku adalah “Ya la sayang. Abah tidur, talapia tak ada, tenggiri pun tak ada. Ok”. Begitulah selalunya setiap kali bila aku SMS atau call, jawapannya abah selalu tak ada, samada tidur atau keluar. Jadi tak dapatlah aku bermanja dengan abah. Beginilah nasib anak kecil yang telah di rampas kasih sayangnya seperti coretanku di bawah tajuk Ku Sangkakan Panas Hingga Ke Petang.

Walaubagaimanapun aku ucapkan terima kasih kepada abah kerana beberapa hari lepas Ina telah menghantar ikan tersebut ke rumah emakku, aku sangka tenggiri kesukaan mak ada sekali tapi rupanya hanya talapia untukku. Yang istimewanya ikan tersebut memang betul-betul fresh kerana pembekal menghantarnya dalam keadaan masih hidup dan ikan tersebut dihantar kepadaku dalam keadaan telah dibersihkan dan diletak garam sekali.

Bagi mereka yang tinggal di Port Dickson dan teringin makanan-makanan basah yang segar, bolehlah mengunjungi kedai abah yang terletak di Taman PD Utama.

Di saat-saat begini aku terkenang masa abah selalu ke laut dulu menjaring ikan bersama adikku Hamzah. Masa itu aku memang mewah makan ikan. Rasanya tak termakan ikan-ikan tersebut. Peti sejuk di rumahku sentiasa penuh dengan ikan.

Kadang-kadang peti terlampau penuh dan abah jadikan ikan-ikan tersebut ikan masin dengan meletakkan garam dan menjemurnya di halaman rumah. Memang seronok masa itu kerana aku dapat makan berbagai jenis ikan.

Setiap kali ke laut, abah memang tidak pernah balik dengan tangan kosong, Berbagai jenis ikan yang dapat ditangkap. Kalau abah dapat tenggiri, jenak, sagai, sisa nabi atau caping, kata abah itu untuk mak kerana ikan-ikan tersebut memang abah tahu kesukaan mak. Kalau abah dapat pari atau senangin, itu pula untuk aku kerana abah juga tahu aku memang suka pari dan senangin.

Setiap kali abah ke laut juga, mak bukannya boleh tidur lena di rumah kerana risaukan abah di laut. Dan bila kedengaran kereta abah menarik bot balik, itulah saat yang mengembirakan mak. Kerisauan mak akan hilang dan mak bersedia untuk memasak ikan-ikan tersebut.

Kalau dapat pari, abah akan minta mak masakkan asam tumis, kalau sagai atau sisa nabi abah suka mak masak pindang serani kerana abah suka menghirup kuahnya. Kalau ikan mayong atau alu-alu, abah suka masakan kari berempah.

Jadi setiap kali abah ke laut, bukan setakat mak yang tak tidur lena, aku pun sama, menanti kepulangan abah bersama-sama hasil tangkapannya untuk kami sama-sama makan walaupun hari sudah dinihari.

Itulah antara kenangan-kenangan manisku bersama dengan abah. Sekarang abah tidak ke laut lagi tetapi abah telah menggantikan hobinya dengan membuka pasar mini segar yang menjual barangan-barangan basah tersebut.

Walaubagaimanapun aku rasa bertuah kerana abah telah membuka pasar mini segar. Dapatlah aku makan ikan walaupun hanya sekadar talapia…..

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

DIPINGGIR sebuah hutan terdapat sepasang katak dan dua ekor anaknya yang sedang membesar. Pada suatu hari dua ekor anak katak tersebut teringin untuk pergi bersiar-siar dikampung bersebelahan tempat tinggal mereka.

Tanpa pengetahuan ibu dan bapa mereka, dua ekor anak katak tersebut terus melompat ke kampong sebelah dengan begitu riang sekali. Mereka melompat kesana dan kemari sehingga terjumpa dengan sebuah rumah pengembala lembu yang menyara kehidupannya dengan menjual susu yang diperah daripada binatang peliharaannya tersebut.

Dua ekor anak katak tersebut cuba memasuki rumah pengembala itu dengan melompat melalui tingkap. Setelah berjaya memasukinya mereka gembira sekali kerana melihat begitu banyak susu lembu yang disimpan di dalam balang kaca.

Mereka berdua teringin sangat untuk meminum susu tersebut. Tetapi balang itu licin untuk dipanjat. Tanpa berfikir panjang mereka terus melompat masuk ke dalam baling. Apabila berada di dalam balang mereka meminum susu tersebut dengan sepuas-puas hati sambil berenang.

Setelah kekenyangan barulah mereka sedar yang mereka sebenarnya telah terperangkap di dalam balang tersebut. Mereka tidak dapat keluar kerana dinding balang licin untuk di panjat, manakala kaki mereka pula tidak sampai ke dasar untuk melompat.

Mereka berdua terus berenang di dalam susu tersebut dengan harapan semoga ada sesiapa yang datang menolong. Setelah beberapa jam berenang, pertolongan tidak juga kunjung tiba.

Seekor daripada anak katak tersebut sudah tidak dapat bertahan. Dia merasakan sudah tiada harapan untuk hidup lagi. Akhirnya dia berputus asa dan mengalah . Lalu dia tenggalam ke dasar kolam dan mati kelemasan.

Manakala seekor lagi anak katak tetap bertahan. Dia tidak cepat berputus asa malah terus berusaha untuk keluar dengan berenang sambil mengayuh kakinya. Rupa-rupanya tindakan mengayuh kaki di dalam susu tersebut menyerupai proses membuat mentega.

Susu tersebut akhirnya menjadi kental dan lama-kelamaan menjadi keras. Setelah susu tersebut keras maka dapatlah anak katak tersebut melompat keluar kerana sudah ada tempat untuk menjadi landasan berpijak. Maka dia pun selamat keluar dari balang tersebut.

Pengajaran dari cerita ini adalah, jangan cepat berputus asa sekirannya dilanda masalah kerana percayalah “ Allah tidak mencipta masalah tanpa jalan penyelesaiannya”.

Tuesday, 7 August 2007

BERAT NAIK LAGI

SEMALAM pergi Hospital PUSRAWI untuk pemeriksaan bulanan. Kandunganku telah memasuki minggu ke 31. Mengikut Dr. Daud ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu berat badanku yang naik 2.5 kg pada bulan ini dan air kencingku dikesan mengandungi protin (albumin).

Perkara-perkara lain nampaknya alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Kencing manis dan tekanan darah di dalam keadaan normal manakala air ketuban tidak berapa banyak yang menandakan kandunganku kali ini tidaklah sebesar Aisyah. Daripada imbasan 3-D, pipinya tidaklah begitu tembam kalau nak dibandingkan dengan Aisyah dulu.

Untuk pengetahuan semua, Aisyah dulu lahir dengan berat 4.5 kg. Peristiwa bahu Aisyah yang tersangkut tidak dapat dikeluarkan masa melahirkannya dulu masih menghantui. Masa itu bukan setakat aku yang takut tetapi suamiku yang berada di sisi dan doktor juga panik. Nasib baik pengalaman dan kecekapan Dr. Norkedah menyelamatkan keadaan dan akhirnya Aisyah di lahirkan dengan selamat.

Sebab itulah pada kandungan kali ini aku benar-benar mengawal pemakanan dan menjaga berat badan. Harap-harap kandunganku kali ini tidak melebihi 4 kg supaya senang aku bersalin nanti.

Kenaikan berat badan bulan ini mungkin berpunca daripada balik Kelantan tempohari. Apabila balik Kelantan aku memang susah untuk mengawal pemakananku kerana makanannya yang sedap-sedap belaka.

Di awal pagi aku telah dihidangkan dengan nasi berlauk ayam kampong atau serati (sejenis itik) yang memang terkenal di Kelantan. Itu belum lagi di kira dengan makanan-makanan lain yang Ma (Mak mertua) beli di Pasar Chabang Empat iaitu seperti nasi air, laksam, nasi dagang dan bermacam-macam jenis kuih-muih seperti tepung pelita, lompat tikam, boko, beko dan bermacam-macam jenis lagi yang aku pun tak tahu namanya.

Pada tengah hari dan malam pula dihidangkan dengan lauk-lauk yang memang menjadi kegemaran suami dan aku juga. Ini termasuklah gulai kawah, ayam percik, daging bakar, ikan kikik katok (ketuk) serai, ikan tongkol bakar dan nangka celur cecah budu serta berbagai masakan Kelantan yang aku pun tak tahu nak sebut. Tetapi yang pastinya semua sedap-sedap belaka. Cuma kali ini aku tak dapat merasa nasi kerabu Ma yang sedap kerana Ma tidak berapa sihat hari itu.

Sebelah petang pula di Kelantan memang banyak kuih-muih yang dijual, yang paling aku suka adalah kuih akok Pengkalan Kubor, tapi hari itu aku tak sempat ke Pengkalan Kubor, jadi aku beli di Kampung Kepulau dekat Palekbang. Kuih akoknya boleh tahan juga hingga aku boleh bungkus dan bawa balik Port Dickson. Aku rasa sepanjang di Kelantan tempohari, berpuluh biji kuih akok aku habiskan.

Anak-anak pula sentiasa mengajak aku makan dekat luar, jadi terpaksalah melayan kerenah mereka. Sempatlah makan satay wakaf bharu, roti tempayan depan pejabat Pos Wakaf Bharu, sup perut dan makan tom yam merah (Tom Yam Mat) di Pasir Pekan yang anakku kata `sedap giler’. Tom yam merah ni memang tak boleh dapat di Port Dickson. Rasanya betul-betul sedap sehingga kita rasa sayang untuk menghabiskannya. Leila mesti tahu tempat-tempat ini.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan lain yang tidak sempat aku singgah kali ini. Pertamanya kerana menjaga pemakananku dan keduanya kerana risaukan tekanan darah suamiku. Kalau aku ajak mesti dia tidak akan menolak kerana tempat-tempat tersebut juga menjadi tempat kegemarannya. Antaranya adalah kedai nasi sumatera, ayam percik Yati, Nasi air Mak Su Nab, belut Paprik Chabang Empat dan gulai ikan darat (ikan sungai seperti haruan, keli dan sebagainya) lubuk Jong.

Bagi mereka yang belum pernah makan di Kedai nasi sumatera, jangan terperanjat sekiranya singgah makan di situ. Mereka tidak akan bertanya apa yang ingin kita order sebaliknya akan menghidangkan semua jenis lauk yang mereka ada, mungkin berbelas jenis lauk termasuk yang pelik-pelik seperti telur penyu. Apabila kita selesai makan, mereka hanya akan mengira apa yang kita makan sahaja.

Kebetulan juga masa balik tempohari adalah musim buah-buahan. Jadi setiap hari aku makan durian, manggis, rambutan, buah salak, duku dan dokong. Manggis, rambutan, salak, duku dan dokong memang ayah dan ma tanam sekeliling rumah manakala durian pula selalunya adalah pemberian orang kampong dan saudara mara.

Masa balik hari itu dokong baru kuning, belum betul-betul masak lagi tapi ayah petik juga, takut aku tak sempat makan kerana bersalin.

Akhir sekali masa balik Ma bekalkan aku nasi berlauk ayam percik. Walaupun sudah tidur dalam kereta api aku terjaga kerana teringatkan ayam percik tersebut dan aku makan dengan berselera walaupun sudah dinihari.

Itulah untungnya hidup dikampung, semuanya tak perlu di beli, kadang-kadang bila buka pintu waktu pagi nampak ada durian yang di letakkan di tangga. Kita pun tak tahu siapa yang bagi.

Kalau begitulah keadaannya, macamana aku boleh mengawal selera makanku? Itulah sebabnya aku tengok anak-anakku disana semuanya makin tembam-tembam belaka!

Sunday, 5 August 2007

WANG DAN KITA

MANUSIA akan di pandang tinggi sekiranya mempunyai banyak WANG dan harta benda. Itulah hakikat yang tidak boleh disangkal pada hari ini. Kalau dulu budi bahasa dipandang orang tetapi hari ini tidak lagi. Pantun melayu `hutang emas boleh di bayar, hutang budi di bawa mati’ sudah tidak di pedulikan.

Manusia berlumba-lumba mengejar wang kerana mereka yang kaya raya lebih dihormati dan menerima layanan yang lebih baik manakala mereka yang tidak mempunyai wang akan dipandang rendah malah di hina.

Kalau ditanya kepada seseorang itu kenapa dia sanggup bekerja kuat, sudah tentu jawapannya adalah untuk mengumpul lebih banyak wang. Kalau di tanya kepada seorang pelajar, kenapa dia rajin sangat belajar, sudah tentu jawapannya adalah untuk mendapat jawatan yang baik di alam perkerjaan nanti dan akan mendapat lebih banyak wang dalam bentuk gaji.

Sekiranya ditanya kepada pemburu haram, kenapa sanggup membunuh haiwan-haiwan yang hampir pupus, jawapannya juga adalah kerana wang. Manusia juga sanggup melanggar undang-undang dunia dan Tuhan semata-mata kerana wang. Malah manusia sanggup membunuh manusia lain juga kerana wang.

Manusia sanggup menggadai maruah dirinya kerana wang, malah sanggup menggadai agamanya juga kerana wang dan manusia juga lupa kepada Penciptanya kerana asyik dengan wang. Kesimpulannya adalah, matlamat manusia sekarang berakhir dengan wang dan bukan kepada Penciptanya.

Begitulah besarnya pengaruh wang kepada kita hari ini, sedangkan wang hanyalah sekeping kertas ciptaan manusia yang saya rasa telah di salah fahami tujuan sebenarnya.

Ada orang berkata, wang adalah punca kepada kejahatan, tetapi bagi saya `kegilaan’ kepada wang itulah yang sebenarnya membawa kepada kejahatan. Wang tidak mengetahui apa yang baik atau buruk tetapi yang menjadikannya baik atau buruk adalah diri kita sendiri.

Oleh itu di dalam asyik kita mengejar wang, jangan lupa sesekali kita renungkan kembali diri kita, banyak perkara di dunia ini sebenarnya tidak dapat di beli dengan wang seperti kebahagian dan kesihatan kita. Janganlah kita tersalah langkah sehingga sanggup menyalahi undang-undang dunia dan Tuhan kerana mengejar wang.

Cubalah renungi kata-kata ini `Kebanyakan manusia di dunia ini bekerja terlalu kuat semasa muda tanpa menghiraukan kesihatannya untuk memperolehi lebih banyak wang dan kemudiaannya mereka menghabiskan wang tersebut semasa tua untuk mengubati diri mereka yang sakit akibat tidak menjaganya semasa muda’.

Sekian, jumpa lagi.


KETABAHAN LUAR BIASA

KITA selalu berfikir orang yang berjaya tidak pernah mempunyai masalah tetapi sebenarnya mereka telah mengharungi berbagai masalah dengan tabah sebelum mencapai kejayaan.

Pasukan Iraq menjadi juara bolasepak Piala Asia kerana telah berjaya mengharungi kesukaran akibat daripada negara mereka yang huru hara. Mereka bermain bersungguh-sungguh bagi membuktikan mereka tetap pemenang walaupun negara mereka sedang di jajah.

Pemain-pemain bolasepak dari negara-negara Afrika menunjukkan kecemerlangan kerana ingin lari dari belenggu kemiskinan. Mereka bersungguh-sungguh menunjukkan kebolehan supaya terpilih untuk bermain di liga-liga luar negara khasnya liga eropah.

Jutawan-jutawan di negara kita juga kebanyakannya bukan berasal dari keluarga yang kaya raya. Sebaliknya mereka bangkit dari kesusahan dan kesukaran.

Mereka-mereka yang berjaya ini sebenarnya mempunyai ketabahan yang luar biasa iaitu kunci bagi setiap manusia yang mahu mengecapi kejayaan yang terhebat di dalam kehidupan mereka.

Setiap kesukaran, kepayahan dan halangan ditempuh dengan penuh ketabahan sehingga mereka akhirnya menjadi orang-orang yang berjaya dan terkenal di dunia ini.

Stephen Hawking, seorang saintis terulung dunia yang kini berkerusi roda dan tidak boleh bercakap kerana serangan penyakit saraf pernah menolak cadangan penyelianya supaya menukar tesis doktor falsafahnya kepada yang lebih mudah kerana telah di kesan tanda-tanda serangan penyakit saraf.

Sebaliknya Hawking mencari tajuk yang lebih sukar dan menemuinya dengan mengemukakan tesis mengenai asal usul kewujudan alam semesta yang menjadikannya terkenal di seluruh dunia.

Liz Murray, tidak mempunyai tempat berteduh setelah ibunya meninggal dunia semasa umurnya 15 tahun. Beliau dan bapanya terpaksa berpindah ke sebuah tempat perlindungan sementera tetapi kerana berkat ketabahannya beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard.

Beliau menganggap kemiskinan sebenar di dunia ini adalah kemiskinan mental dan bukannya kemiskinan harta benda. Perkara inilah yang telah mendorong kejayaannya.

D.J. Graffree pula adalah seorang pelajar yang berumur 11 tahun. Budak ini pernah tidur di dalam tong sampah di tepi jalan kerana kemiskinan. Tetapi akhirnya di umumkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya yang mendapat liputan akhbar dan stesen TV.

Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa sekiranya menghadapi berbagai-bagai kesukaran dan ujian daripada Allah di dalam mengharungi hidup ini, tetapi sebaliknya hadapilah dengan penuh ketabahan semoga kita juga akan menjadi antara yang terbilang pada suatu hari nanti.

Insya-Allah.

Monday, 30 July 2007

KENAPA IRAQ MENANG?

Malam tadi berakhirnya Kejohanan bolasepak Piala Asia yang dimenangi oleh Iraq dengan mengalahkan Arab Saudi di perlawanan akhir. Persoalannya kenapa Iraq iaitu sebuah negara yang sedang dijajah dan dengan serba kekurangan dapat menjadi juara pada kali ini?

Pada saya Iraq telah membuktikan bahawa manusia yang berada di luar zon keselesaan barulah dapat menunjukkan kecemerlangan.

Pemain-pemain kita terlalu dimanjakan dan mereka mendapat segala apa yang mereka inginkan sehingga terlupa yang sebenarnya mereka memikul maruah negara.


BALIK KELANTAN

Aisyah : Ayah! macam ni ke kereta api balik Kelantan?
Ayah : Ya lah agaknya, ayah pun dah lama tak naik kereta api.


Aisyah : Kalau kereta api yang ni lagi best kan?
Ayah : Mungkin tahun 2020 nanti baru ada di Malaysia agaknya.

Mungkin itulah dialog Aisyah dengan ayahnya sebelum balik kelantan tempohari. Mula tu fikir nak naik kapal terbang tapi bila teringat nuri yang terhempas hari tu, terus tak jadi. Mana tahu peristiwa tersebut akan berulang.

Walaubagaimanapun kereta api sekarang dah banyak perubahan, ada tempat tidur dan gegaran pun tidak berapa kuat lagi. Masa bertolak dan sampai juga agak tepat seperti yang dijadualkan.


Saturday, 21 July 2007

ENAM PERSIMPANGAN

Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuh berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah berada di atasmu.

Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa.

Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke syurga serta menuju keampunan-Nya…..”

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawa. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya.

Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

Friday, 20 July 2007

THOUGHTS.....

Anger is a condition in which
The tongue works faster than the mind .

You can't change the past,
but you can ruin the present
By worrying over the future!

Love...and you shall be loved.

God always gives His best to those
who leave the choice with Him.

All people smile in the same language.

Everyone needs to be loved...
especially when they do not deserve it.

The real measure of a man's wealth
is what he has invested in eternity.

Laughter is God's sunshine.

Everyone has beauty
but not everyone sees it.

It's important for parents to live
the same things they teach.

Thank God for what you have,
TRUST GOD for what you need.

If you fill your heart with regrets of yesterday and the worries of tomorrow,
you have no today to be thankful for.

Man looks at outward appearance
but the Lord looks within.

The choice you make today
will usually affect tomorrow.

Take time to laugh, for it is
the music of the soul.

Patience is the ability to idle your motor
when you feel like stripping your gears.

Love is strengthened by working
through conflicts together.

Harsh words break no bones
but they do break hearts..

To get out of a difficulty,
one usually must go through it.

We take for granted the things
that we should be giving thanks for.

Love is the only thing that can be
divided without being diminished.

Happiness is enhanced by others
but does not depend upon others.

For every minute you are angry with someone,
you lose 60 seconds of happiness
that you can never get back.

Do what you can, for who you can,
with what you have, and where you are.


HAVE A NICE DAY

Tuesday, 17 July 2007

MEMBAKAR DIRI

Di sebuah hospital di ibu kota, terdapat dua orang pesakit yang sedang menjalani rawatan, ditempatkan di dalam sebuah bilik untuk dua orang. Dua pesakit tersebut hanya di pisahkan oleh langsir nipis yang membolehkan kedua-duanya berborak-borak walaupun tidak dapat melihat diantara satu sama lain.

Pesakit yang berada disebelah tingkap, setiap hari dibenarkan memandang keluar tingkap sambil menghirup udara segar manakala pesakit yang seorang lagi hanya terbaring kaku kerana beberapa bahagian tulangnya patah dan mengalami kecederaan parah sehingga seluruh kepalanya terpaksa di balut sehingga menghalang penglihatannya.

Walaubagaimanapun pesakit yang cedera parah tersebut masih sedarkan diri dan dapat berborak dengan pesakit disebelahnya tentang perkerjaan, keluarga, kegemaran dan apa saja yang terlintas di fikiran mereka bagi melepaskan rasa bosan.

Pesakit yang berada disebelah tingkap asyik bercerita apa yang dilihatnya diluar tingkap tersebut. Tidak putus-putus dia bercerita di luar sana terdapat satu taman yang indah sekali. Taman tersebut mempunyai sebuah tasik yang airnya menghijau.

Disekeliling tasik tersebut terdapat ramai orang yang sedang berjogging, pasangan muda-mudi yang berpimpin tangan sambil berjalan mengelilingi tasik dan ramai yang duduk-duduk sambil berborak dan membaca buku di kerusi-kerusi yang disediakan di taman tersebut.

Lelaki yang terbaring hanya boleh mendengar dengan penuh minat dan hanya dapat membayangkan keindahan taman tersebut. Dia sesekali menyampuk cerita kawannya dan selalunya perbualan mereka akan disudahi dengan gelak ketawa bagi menghilangkan rasa bosan kerana sudah terlalu lama di rawat di hospital tersebut.

Pada setiap hari ada saja cerita-cerita menarik yang diceritakan oleh pesakit di sebelah tingkap tentang apa yang dilihatnya dan setiap kali itulah pesakit yang terbaring tersebut akan mendengar dengan penuh minat.

Sehinggalah pada suatu pagi, pesakit yang terbaring tersebut mendengar bunyi katil pesakiti di sebelahnya di sorong oleh beberapa orang jururawat yang bertugas. Disangkanya pesakit tersebut telah di pindahkan ke wad lain kerana penyakitnya beransur baik atau pesakit tersebut sudah boleh keluar hospital.

Sekarang dia keseorangan dan kesunyian, sehinggalah datang seorang jururawat memberitahu, pembalut mukanya sudah boleh di buka dan dia boleh berpindah ke katil sebelah dan boleh memandang keluar tingkap sambil menghirup udara yang segar.

Pesakit tersebut sangat gembira kerana dia boleh memandang keluar tingkap dan dapat melihat sendiri keindahan taman yang selalu di ceritakan oleh pesakit disebelahnya.

Walaubagaimanapun alangkah terperanjatnya dia apabila memandang keluar tingkap, yang dilihatnya hanyalah sebuah tembok pagar hospital tanpa ada apa-apa pemandangan yang indah seperti yang selalu diceritakan oleh pesakit di sebelahnya dahulu.

Dia menjadi sangat marah dan geram kerana merasakan ditipu oleh pesakit disebelahnya dan menceritakan perkara tersebut kepada jururawat.

Jururawat dengan tersenyum berkata “mungkin dia hanya ingin awak bersemangat dan bergembira dengan cerita-ceritanya, pesakit di sebelah awak itu sebenarnya buta semenjak di rawat di sini dan pagi tadi telah meninggal dunia”.

Sekarang barulah dia tahu betapa mulianya hati pesakit di sebelahnya. Walaupun dia buta dan menghidapi penyakit yang boleh membawa maut tetapi dia masih bercerita perkara-perkara yang boleh mengembirakan orang lain.

Oleh itu alangkah bertuahnya kita apabila dapat melakukan sesuatu yang mengembirakan orang lain walaupun sebenarnya kita berada didalam kesedihan.

Di dalam dunia hari ini berapa ramai diantara kita yang sanggup menjadi lilin membakar diri sendiri bagi menerangi yang lain….. Renung-renungkan lah!!!

Sunday, 15 July 2007

HARI-HARI YANG SURAM

Orang kata kita hanya boleh berkongsi kegembiraan tetapi kegagalan, kesedihan dan kekecewaan seharusnya tidak dikongsi dengan orang lain? Kawan ketawa mudah dicari tetapi kawan menangis sukar untuk ditemui?

Kebelakangan ini banyak peristiwa yang mengecewakan, bermula dengan kekalahan pasukan bolasepak Malaysia kepada China dan Uzbekistan dengan jaringan yang besar dan kemudiannya kita dikejutkan pula dengan kehilangan pesawat Nuri yang sehingga sekarang masih belum dijumpai.

Minggu depan abah akan masuk semula ke IJN untuk proses angioplasti yang tertunda tempohari dan suamiku pula kemungkinan akan dimasukkan ke wad HUSM Kubang Kerian untuk pemeriksaan kesihatan kerana serangan darah tinggi.

Kandungan ku pula sudah masuk bulan ke tujuh. Penat sangat rasanya, tetapi kepada siapa harus aku mengadu.....


Wednesday, 11 July 2007

MALAYSIA 1 CHINA 5

Malam tadi pergi Stadium Nasional Bukit Jalil tengok Bolasepak Piala Asia diantara Pasukan Malaysia dan China. Nampaknya amukan Harimau Malaysia tidak menjadi. Kita kalah lagi dengan jaringan 5 berbalas 1.

Yang mengembirakan adalah semangat melawan pasukan Malaysia tidak padam sehingga ke wisel penamat. Walaupun kita kekurangan dari segi saiz fizikal dan taktikal tetapi pemain telah membuktikan kesungguhan sehingga dapat juga menjaringkan satu gol.

Yang mengecewakan pula adalah bila sebahagian penonton Malaysia yang berpaling tadah menyokong pasukan lawan apabila kita ketinggalan.

Yang pelik pula malam tadi adalah apabila kaunter jualan tiket tidak banyak dibuka yang menyebabkan penonton beratur panjang. Sementara itu ada yang mengambil kesempatan menjual tiket secara black market dengan harga yang lebih mahal.

Lagi satu dipintu masuk pegawai polis melarang membawa mineral water di dalam botol takut penonton membaling ke dalam padang tetapi di dalam stadium pula air tersebut dijual berleluasa.


Monday, 9 July 2007

REHAT

PAGI tadi suamiku mengadu yang kepalanya pening. Aku dah agak dah mesti penyakit datang kerana sudah beberapa bulan dia berkerja tanpa rehat yang cukup. Malam tadi pula dia hanya tidur dua jam saja.

Jadi pagi tadi aku temankan dia ke Klnik Amal, jumpa Dr. Zanariah. Selepas buat pemeriksaan barulah tahu masalahnya adalah tekanan darah naik. Dr. Zanariah nasihatkannya berehat dekat rumah dan makan ubat.

Aku pun tak tahu berapa lama dia boleh tahan duduk kat rumah. Petang tadi pun dia dah mengeluh `boring'. Besok dah plan nak pergi Stadium Nasional Bukit Jalil tengok bolasepak Piala Asia antara Malaysia dan China.

Walaubagaimanapun aku rasa bila dah terlampau penat berkerja, ubat yang paling mujarab adalah REHAT!.


KEREDHAAN ALLAH

MALIK BIN DINAR begitu berhasrat supaya dilantik menjadi pentadbir masjid di sebuah masjid besar yang terletak di Damsyik. Pada masa itu jawatan pentadbir masjid adalah satu jawatan yang masyhur sehingga menjadi rebutan orang ramai.

Bagi merealisasikan impian tersebut, beliau mengambil tempat khas di penjuru masjid dengan meletakkan sejadah dan di situlah beliau bersembahyang lima waktu termasuk mengerjakan sembahyang sunat.

Di dalam hatinya dengan berbuat demikian orang ramai akan melihatnya sentiasa beristiqamah dengan masjid dan akan melantiknya menjadi pentadbir.

Selepas setahun pura-pura beribadah impiannya tidak juga tercapai. Maka timbul kekecewaan di dalam hatinya sehingga merasakan segala tindakannya selama ini sia-sia belaka. “Alangkah munafiknya diriku” bisik hatinya.

Pada suatu malam ketika sedang asyik mendengar alunan muzik, tiba-tiba terdengar suara yang datang dari alat muzik tersebut, “wahai Malik, kenapa engkau belum lagi bertaubat?” Mendengar suara itu beliau terperanjat dan terus pergi ke masjid.

Selepas menunaikan solat beliau terus bertaubat kepada Allah menyesali perbuatannya berpura-pura beribadah. “Selama setahun aku menyembah Allah secara munafik. Bukankah lebih baik aku menyembah Allah sepenuh hatiku dan ikhlas mencari keredhaanNya tanpa mempunyai maksud lain.” rintih hatinya menyesal.

Bermula saat itu Malik bin Dinar mengubah niatnya “Sekiranya orang ramai ingin melantikku sebagai pentadbir masjid, aku tidak akan menerimanya, aku ingin beribadah secara ikhlas kepada Allah.”

Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul di masjid dan membincangkan tentang masjid yang tidak diuruskan dengan baik. Mereka bersepakat untuk melantik Malik bin Dinar mengetuai pentadbir masjid kerana beliau sentiasa istiqamah beribadah didalam masjid tersebut.

Mendengar berita tersebut Malik bin Dinar terkejut dan dalam hatinya berkata “Ya Allah, setahun aku menyembah-Mu secara pura-pura dan tidak seorang pun yang memandang kepada aku. Kini setelah aku berikan seluruh jiwaku kepada-Mu dan bertekad tidak mahu menerima sebarang perlantikkan, Engkau tiba-tiba menghantar mereka untuk mengalungkan tugas tersebut ke leher aku. Demi kebesaran-Mu, aku tidak menginginkan perlantikan itu”.

Akhirnya Malik bin Dinar menolak perlantikkan itu dengan alasan yang baik serta menyatakan kesediaannya untuk berkerjasama dengan sesiapa sahaja yang dilantik. Beliau lebih gembira dengan kehidupannya sekarang dan meneruskan kehidupan sebagai seorang sufi yang memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah.

Daripada cerita ini fahamlah kita kehidupan yang bersandarkan matlamat mencari keredhaan Allah pasti tidak akan sia-sia kerana Allah akan menunaikan janji-janji-Nya sebaliknya jika matlamat disandarkan kepada manusia ianya belum tentu akan tercapai, bahkan akan menjadi sia-sia. Sedarlah manusia lain tidak berkuasa memenuhi segala keperluan yang diimpikan.

Oleh itu kita semestinya meletakkan matlamat hidup kita adalah untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Bukankah Allah telah berjanji akan memberi anugerah yang tidak di sangka-sangka kepada sesiapa yang benar-benar bertakwa kepada-Nya “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Thalaq, ayat 2-3).

Sunday, 8 July 2007

AKU CINTA PADA MU

“AKU rasa sudah beratus kali aku mengucapkan `I Love You’ dan kalimah-kalimah lain yang berbaur romantis tetapi dia hanya mengangguk dan buat endah tak endah sahaja. Berbeza benar rasanya kalau nak dibandingkan dengan zaman bercinta dahulu.”

Inilah ungkapan yang selalu kita dengar dari isteri-isteri bila menyingkap semula hubungan mereka dengan pasangan masing-masing. Para suami akan mula hilang perasaan romantis apabila semakin lama usia perkahwinan.

Bagi mereka perkara tersebut adalah remeh dan susah untuk diungkapkan walaupun bagi wanita ungkapan-ungkapan tersebut menandakan diri mereka dicintai sepenuh hati dan mereka berharap sangat pasangannya akan mengungkapkan kata-kata cinta tersebut.

Benarkah kata orang, lelaki lebih suka menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan? Sekiranya benar janganlah mudah kita berkecil hati jika jarang mendengar ungkapan-ungkapan cinta dari pasangan kita kerana mungkin pada hakikat sebenarnya mereka mencintai kita sepenuh hati sehingga tidak terucap dengan kata-kata.

Friday, 6 July 2007

AYUH! TERUS BERGERAK

Air jika dibiarkan bergenang dan tidak mengalir, sudah tentu lama kelamaan akan menjadi sarang penyakit. Demikian juga dengan udara, jika di biarkan terus terperap tanpa bertiup sudah tentu akhirnya akan menyesakkan pernafasan.

Memang telah ditakdirkan semua makhluk mesti bergerak dan tidak boleh dibiarkan berhenti. Bumi, matahari, bulan, bintang dan seluruh cakerawala juga bergerak mengelilingi orbit masing-masing tanpa berhenti. Sekiranya ia berhenti sudah tentu akan menimbulkan kerosakan dan bencana yang dahsyat sekali.

Bahkan mikroorganisma seperti bakteria dan virus juga tidak berhenti daripada bergerak. Itulah kebesaran yang ditunjukkan oleh penciptanya.

Itulah hukum Allah kepada alam semesta ini dan sesungguhnya terjadi juga kepada manusia. Secara fizikal jika manusia itu dibiarkan tidak melakukan sebarang aktiviti maka sudah tentu berbagai penyakit akan mendatang.

Demikian juga halnya dengan fikiran kita, sekiranya dibiarkan berhenti berfikir sudah tentu lama-kelamaan ianya akan menjadi kaku dan lesu. Kemungkinan untuk mudah lupa dan nyanyuk akan terjadi di usia lanjut.

Jika hukum pergerakan berlaku pada seluruh alam semesta termasuk manusia, maka sudah tentu perkara yang sama juga berlaku pada sesebuah masyarakat, organisasi, persatuan bahkan kepada Negara itu sendiri.

Oleh itu janganlah sesekali dibiarkan berhenti bergerak atau diam kerana diam itu bererti mati. Diam itu tidak sihat dan boleh membawa penyakit.

Teruskanlah bergerak dengan melakukan berbagai-bagai aktiviti yang memberikan kebaikan. Jangan takut kepada perubahan, pembaikan dan pembaharuan kerana semua ciptaanNya telah ditakdirkan bergerak mengikut arus yang telah ditentukan.

Akhir kata jangan takut melanggar pantang jika pantang menghalang kemajuan, jangan segan menentang larangan jika yakin kepada kebenaran dan jangan malu mengucapkan keyakinan jika percaya kepada keadilan.

Ayuh! terus bergerak.

NAMA ALLAH

Thursday, 5 July 2007

ALLAH LEBIH MENGETAHUI

FRANK SLAZAK begitu gembira sekali apabila menerima berita yang dirinya telah terpilih menjadi calon angkasawan. Impiannya untuk terbang ke angkasa lepas mungkin akan menjadi kenyataan. Itulah cita-citanya sejak dari dulu lagi.

Masih segar di ingatan bagaimana dia terdengar pengumuman daripada rumah putih yang mencari rakyat biasa yang juga seorang guru untuk mengikuti penerbangan 51-L pesawat Challenger. Dia tidak berlengah lagi dan terus menghantar permohonan tersebut ke Washington.

Daripada hari itu setiap harilah dia membuka kotak surat sehingga pada suatu hari tibanya sepucuk surat yang berlogo NASA. Di dalam surat tersebut dinyatakan dia telah diterima sebagai salah seorang calon angkasawan.

Dia begitu bersyukur sekali kerana doanya selama ini telah dimakbulkan. Dia telah lulus di dalam pemilihan pertama.

Selang beberapa minggu dia mendapat pula panggilan daripada NASA untuk ujian ketahanan fizikal dan mental. Setelah ujian selesai dia berdoa lagi supaya impiannya menjadi kenyataan. Ditakdirkan dia juga lulus ujian tersebut dan mendapat panggilan untuk mengikuti program latihan khusus angkasawan di Kennedy Space Center.

Daripada 43,000 pemohon, kemudian 10,000 selepas saringan dan kini dia adalah salah seorang daripada 100 calon angkasawan untuk pemilihan terakhir. Setelah melepasi berbagai-bagai ujian dia berharap sangat untuk terpilih sebagai angkasawan tersebut.

Setiap hari dia terus berdoa semoga dirinya menjadi pilihan. Walaubagaimanapun apabila pengumuman dibuat dia tidak terpilih. Yang terpilih adalah Christina McAufliffe.

Daripada hari itu dia sangat sedih, impiannya hancur. Dia mengalami kemurungan dan rasa percaya kepada dirinya lenyap. Di dalam diri, hanya ada perasaan marah dan sering mempersoalkan diri, apakah kekurangannya?

Dia juga mempersoalkan kenapa Tuhan begitu kejam kepada dirinya, sehinggalah dia berjumpa dengan ayahnya dan menceritakan keadaan tersebut. Ayahnya dengan tenang menjawab “wahai anakku, bertenanglah kerana setiap apa yang ditentukan Tuhan ada hikmahnya”.

Mendengar jawapan tersebut, dia masih tidak berpuas hati. Dia masih merasakan Tuhan tidak berlaku adil kepada dirinya sehinggalah tiba hari selasa 28 Januari 1986 iaitu hari Challenger akan dilancarkan.

Dia masih ingat ketika berkumpul beramai-ramai untuk melihat pelancaran tersebut, fikirannya masih terbayang, itulah saat-saat yang ditunggunya selama ini. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian tersebut tetapi kenapa Tuhan tidak merestui impiannya itu.

Selepas tujuh puloh tiga saat kemudian, Tuhan telah menjawab pertanyaannya dan menghapuskan segala keraguan. Di saat itulah Challenger telah meletup dan membunuh kesemua mereka yang berada di dalamnya.

Barulah dia sedar kata-kata ayahya. Dia tidak terpilih di dalam penerbangan tersebut kerana Tuhan mempunyai alasan lain untuk dia terus hidup di atas muka bumi ini. Sekarang barulah dia sedar, dia sebenarnya tidak kalah tetapi adalah pemenang.

Daripada hari itu dia selalu bersyukur kepada Tuhan kerana tidak memakbulkan semua doanya. Dia sebenarnya menang kerana telah kalah.

Pengajaran daripada cerita ini adalah apabila Allah mengatakan YA, maka kita akan dapat apa yang kita hajati. Apabila Allah mengatakan TIDAK, maka mungkin kita akan dapat apa yang lebih sesuai untuk kita. Dan apabila Allah mengatakan TUNGGU, maka mungkin kita akan dapat apa yang terbaik sesuai dengan kehendakNYA.

Oleh itu sentiasa bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kita.

Tuesday, 3 July 2007

JUMPA DOKTOR

Pagi tadi pergi Hospital Pusrawi untuk pemeriksaan bulanan. Kandunganku sudah masuk minggu ke 26. Bayi yang aku kandung ini rasanya bergerak semakin kuat dan seperti menendang-nendang perut mamanya.

Tadi di Hospital Pusrawi jumpa Dr. Daud. Nampaknya pemeriksaan kali ini melegakan. Kandungan gula (glukosa) berada pada paras normal dan begitu juga berat badan cuma meningkat 1.3 kg sahaja.

Ini mungkin hasil program dietku semenjak pemeriksaan bulan lepas yang mencatatkan paras glukosa pada tahap maksima dan berat badan pula meningkat 3.0 kg.

Pada setiap kandungan aku memang menghadapi masalah kencing manis semasa mengandung (gestational diabetic). Tetapi ianya hanya bersifat sementara dan akan hilang apabila anak dilahirkan.

Yang pentingnya aku mesti menjaga pemakanan iaitu tidak banyak mengambil makanan bergula dan karbohidrat. Setakat ini aku belum lagi perlu mengambil insulin untuk mengawal kencing manis tersebut.


KETAWALAH.....

KETAWA adalah penawar yang terbaik. Ia mengurangkan kesakitan dan kegelisahan, menurunkan tahap gula dalam darah serta mengawal glukosa pada penghidap diabetis.

Malah kajian juga mengemukakan bahawa fungsi ketawa terhadap arteri manusia sama seperti melakukan senaman aerobik.

Dengan ketawa juga dapat meningkatkan prestasi kerja, membina emosi yang positif dan merapatkan perhubungan yang kian suram.

Oleh itu ketawalah kerana ia membahagiakan!

Monday, 2 July 2007

THE WOMAN

When a man was sitting beside a sleeping woman after working late one day. A little boy came by and said: “Why spend so much time beside her?”

And the man answered:

“Son, have you seen all she is capable of?”

“she functions on all kinds of food, she is able to embrace several kids at the same time, gives a hug that can heal anything from a bruised knee to a broken heart and she does all this with only two hands.”

The little boy was impressed.

“Just two hands…..impossible!”

And this is a normal woman?!

“Too much work for one day…..”

“Indeed”. Said the man. “That is why she is my favorite.”

“She cures herself when sick and she can work 18 hours a day”.

The little boy came nearer and touched the woman.

“But she is so soft”

“She is soft”’ said the man, “But she is also so strong. You can’t imagine what she can endure and overcome”.

“Can she think?” the little boy asked.

The man answered:

“Not only can she think, she can reason and negotiate.”

The little boy touched the woman’s cheek…..

“It seems she is leaking! You have put too many burdens on her.”

“She is not leaking…..it’s a tear” the man corrected the little boy.

“What’s it for?” asked the little boy.

And the man said:

“Tears are her way of expressing grief, her doubts, her love, her loneliness, her suffering and her pride.”

This made a big impression on the little boy, “Hey, you are lucky. You know everything. The woman is indeed marvelous!”

Indeed she is!

Woman has strengths that amazes man. She can handle trouble and carry heavy burdens. She holds happiness, love and opinions. She smiles when feeling like screaming. She sings when she feels like crying. Cries when she is happy and laughs when she is afraid.

She fights for what she believes in. Stand up against injustice. She doesn’t take `no’ for an answer, when she can see a better solution. She gives herself so her family can thrive. Her love is unconditional.

She cries when her kids are victorious. She is happy when her friends do well. She is glad when she hears of a birth or a wedding.

Her heart is broken when a next of kin or friend dies. But she finds the strength to get on with life.

She knows that a kiss and a hug can heal a broken heart.

There is only one thing wrong with her


She forgets what she is worth…..


Sunday, 1 July 2007

DARI MANA NAK KE MANA?

Tidak terbilang manusia yang lahir di dunia ini sejak Adam hinggalah bayi yang lahir di waktu ini, di ketika ini, di saat ini. Setiap nyawa dikurniakan Allah kepada manusia sebagai amanah dan anugerah yang tak terbayar nilainya.

Menangisnya kita ketika kali pertama melihat dunia hingga menangis kita ketika kehilangan ibubapa tercinta. Ketawanya kita ketika kali pertama dihiburkan ibubapa hingga ketawa kita ketika terhibur dek gelagat cucu-cicit kurniaan-Nya.

Hidup manusia itu terlalu pendek, tak terasa jalannya, tak terukur langkahnya. Tetapi setiap langkah jalannya itu lain harganya, tertakluk kepada tempat di mana dia berdiri dan tempat ke mana dia tujui.

Kita cukup kenal dengan Plato, Socrates, Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Hang Tuah, Aminuddin Baki, Professor Dr. Hamka, dan lain-lain lagi.

Apakah yang membezakan mereka ini daripada manusia lain? Mereka juga makan dan minum, bekerja dan tidur, duduk dan berdiri, gembira dan berduka, sama seperti kita, malah ada yang jauh kurangnya daripada kita.

Mengapa nama-nama ini gah meniti dari bibir ke bibir setiap manusia?

Rakan-rakan sekelas kita, kawan-kawan sekuliah kita, sahabat-sahabat seangkatan kita kadang-kadang menjadi angin lalu yang tiada sedar kewujudannya, tiada tertanya kehilangannya.

Hidupnya berlalu pantas, meninggalkan jejak-jejak kenangan di belakangnya. Nyawa yang dikandungnya itu juga adalah anugerah Allah, namun apa yang membezakannya dengan nyawa kita?

Mengapa kadang-kala dirinya itu tiada berharga pada pandangan kita?

Bukan nyawa yang dinilai, bukan tubuh yang diperkata, tapi peribadi manusia yang ditentukan harga. Sifat kasih sayangnya, bencinya, ikhlasnya, baiknya, jahatnya, jasanya, sentiasa akan dipandang manusia.

Kita akan lebih mengenali manusia yang gagah seperti Hang Tuah, kita juga akan lebih mengenali manusia yang jahat seperti Firaun. Kita akan lebih mengenali manusia yang cerdik seperti Albert Einstein, kita juga akan lebih mengenali manusia dungu seperti Pak Kaduk.

Di mana penilaian kita terhadap manusia-manusia ini?

Harga peribadilah yang menentukan tinggi atau rendah darjat seseorang manusia dalam kalangan manusia.

Peribadi manusia lahir daripada ilmu yang dituntutnya. Ilmu fizik masuk, ilmu fiziklah yang akan membentuknya. Ilmu muzik masuk, Ilmu muziklah yang mencanainya.

Sebuah lori yang membawa ayam, kemalangan jalan raya mengeluarkan ayam daripada muatannya, bukannya itik.

Begitu juga manusia. Ilmu yang dipelajari, kefahaman yang dihayati, membentuk peribadi. Peribadi yang menjadi kayu ukur harga diri manusiawi.

Namun bukan semua ilmu yang dituntut dapat membentuk peribadi yang diingini. Tebalnya buku bukan ukuran ilmu. Panjangnya masa pembacaan bukan nilai kefahaman.

Habis? Bagaimana membentuk peribadi mulia melalui ilmu dan kefahaman?

Apabila manusia itu sedar di mana dia berdiri dan nampak ke mana dia akan pergi. Perjalanan ke garisan penamat itu bukanlah satu perkara terpenting kerana Allah jua yang menentukan lurus dan bengkoknya jalan kita.

Yang pasti perkara utama ialah ke mana kita dari tempat di mana berdirinya kita. Setelah itu perkara seterusnya adalah menyusun langkah ke tempat yang ditujui.

Jadi, di mana kita berdiri sebenarnya?

Manusia itu lahir ke dunia dengan satu matlamat seperti firman Allah dalam Kalam-Nya: “..... dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” (Az-Zariyat 51:56).

Manusia itu berdiri sebagai hamba kepada-Nya. Hamba yang tunduk dan patuh segala tuntutan yang digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Dari tempat berdiri inilah kita bermula. Dan di tempat berdiri inilah kita membawa peribadi. Peribadi yang dibawa ini disertakan dengan kefahaman ilmu yang dipelajari. Ilmu yang menuju ke tempat yang kita tujui.

Tapi ke mana kita akan membawanya?

Tujuan hidup mesti bergantung kepada tempat berdiri manusia itu sendiri. Kerana dari situlah tertulisnya matlamat manusia dicipta, matlamat manusia diturunkan ke alam dunia. Matlamat semua manusia. Matlamat yang dimaksudkan ialah menjadi hamba dan khalifah Allah.

Matlamat memerlukan fokus yang jelas. Matlamat juga memerlukan konsentrasi yang amat tinggi. Sedikit sahaja kelekaan mampu menjauhkan sasaran sebenar matlamat yang dituju. 0.01° anjakan di garisan permulaan boleh membentuk perbezaan jarak 0.0174 meter daripada matlamat asal apabila melalui 100 meter ke hadapan!

Semakin jauh kita berjalan, semakin tergelincir kita daripada landasan sebenar. Oleh itu tujuan hidup manusia mesti benar-benar jelas.

Maka apabila tujuan hidup di dunia ini jelas kepada manusia, dia akan menjadi insan terpilih sebagaimana firman-Nya: “….. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik”. (Ali Imran 3:110)

Jika dilihat fenomena masyarakat umat Islam dewasa ini, adakah kita boleh dilabelkan ‘sebaik-baik’ umat?

Ungkapan Islamophobia merebak umpama wabak bukan sahaja kepada orang bukan Islam malah orang Islam sendiri yang malu dan jijik mengamalkan cara hidup Islam.

Umat Islam sendiri tidak sedar di mana dia berdiri, umat Islam sendiri tidak nampak di mana dia akan pergi. Maka umat Islam sendiri yang hilang peribadi; peribadi Islam yang hakiki.

Persoalannya sekarang, di manakah harganya langkah jalan kita?

Di manakah nilai peribadi kita?

Kitalah yang menentukannya kerana kita sedar di mana kita berdiri dan kita nampak ke mana kita akan pergi.