SAMA ada suka atau pun tidak, sebahagian rakyat telah membuat keputusan dengan mengundi Pakatan Rakyat (PKR, PAS dan DAP) pada Pilihan Raya Umum yang ke-12 (PRU-12) yang lepas sehingga menumbangkan empat negeri yang dahulunya di kuasai oleh Barisan Nasional (BN) dan sekiranya diambil kira Kelantan dan Wilayah Persekutuan, mereka sebenarnya telah menguasai enam kawasan.
Dan pada PRU-12 yang lepas jugalah kali pertama saya membantu jentera parti diperingkat cawangan selepas bergiat aktif di dalam Parti UMNO semenjak dua tahun yang lepas. Itulah pengalaman pertama saya bertemu pengundi-pengundi di dalam cawangan saya iaitu Cawangan Bagan Pinang yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dalam Parlimen Telok Kemang semasa menjalankan kerja-kerja kempen.
Pada pandangan saya banyak fakor yang menyebabkan kemerosotan undi popular kepada BN pada kali ini. Selepas menang besar pada PRU-11 2004, kita leka sehingga terlalu yakin rakyat akan terus memberikan kemenangan kepada kita walaupun kita tidak mengambil berat tentang masalah rakyat.
Di kesempatan ini, saya rasa tidak perlu untuk mengulas faktor-faktor di peringkat nasional yang pada anggapan saya semua orang telah mengetahuinya. Tetapi saya akan mengulas masalah-masalah yang berlaku diperingkat cawangan, khasnya pergerakan wanita UMNO cawangan saya yang perlu di perbetulkan sekiranya kita masih berkeinginan untuk menawan semula hati rakyat setempat.
Saya perlu bercakap benar walaupun kebenaran itu pahit kerana bagi saya pahit itulah sebenarnya penawar. Saya menimbangkan berulang kali untuk meluahkan masalah-masalah ini, kerana saya tahu kemungkinan akan dipancung dari pergerakan wanita cawangan atau sekurang-kurangnya akan dipulaukan oleh rakan-rakan di dalam pergerakan tersebut. Tetapi kerana sayangkan parti saya sanggup menanggung risiko itu semua. Bahkan masalah-masalah ini sebenarnya saya telah 'post' di blog YB. Dato’ Seri Dr. Khir Toyo iaitu bekas Menteri Besar Selangor yang pastinya telah di baca oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti.
Di bawah ini saya perturunkan masalah-masalah tersebut yang tujuannya bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi untuk diperbetulkan.
1. Pemilihan di peringkat cawangan mestilah lebih demokratik.
Bak kata pujangga, segagah mana pun sepohon tualang, akhirnya akan rebah juga kebumi jika akarnya tidak di jaga. Akar umbi di cawangan adalah merupakan tunjang kepada kekuatan parti dan sekiranya pemilihan yang tidak demokratik dilakukan iaitu dengan menyediakan senarai nama ketua sehinggalah kepada pemeriksa kira-kira dan hanya di bacakan semasa mesyuarat agong telah menyebabkan ramai ahli-ahli UMNO mula meluat dan tidak suka untuk hadir pada mesyuarat agong.
2. Jangan menghakmilikkan parti.
Kecenderungan melantik ahli keluarga yang tidak layak dan kemudiannya menguasai parti telah menyebabkan ahli-ahli lain merasa terpinggir, tidak dipedulikan dan akhirnya menjauhi parti. Perkara ini berlarutan kepada perlantikan jentera parti pada PRU-12 yang lepas di mana jentera parti di peringkat cawangan hanya dianggotai oleh beberapa keluarga sahaja.
3. Jangan menyekat kemasukan golongan intelektual dan professional.
Pemimpin di cawangan melihat golongan intelektual dan profesional mengancam kedudukan mereka. Oleh itu golongan ini tidak dialu-alukan menyertai parti. Ini menyebabkan ramai golongan ini menyertai pembangkang dan dengan idea-idea merekalah pembangkang dapat menyaingi kita dari segenap aspek.
4. Wujudnya parti di dalam parti.
Secara sedar atau tidak, pergerakan wanita UMNO diperingkat cawangan dan bahagian khasnya bahagian Telok Kemang dikuasai oleh kakitangan KEMAS yang secara amnya tidak begitu tinggi keintelektualannya. Mereka membentuk jaringan di cawangan-cawangan sehingga mewujudkan parti di dalam parti, menguasai parti dan menyekat golongan lain yang dirasakan mengancam kedudukan mereka.
5. Pembangunan yang tidak tersusun dan tiada pemantauan.
Pembangunan yang tidak dirancang dengan baik akhirnya menikam semula parti daripada belakang. Pemantauan juga tidak dilakukan sehingga banyak penyelewengan yang menjatuhkan imej parti. Contohnya projek yang sepatutnya boleh disiapkan dengan kos RM50,000 tetapi kerajaan membelanjakan sehingga RM200,000 akibat daripada penyelewengan. Oleh itu pembangunan mestilah memberi keuntungan terus kepada rakyat dan pelaksanaannya mestilah dilakukan secara tersusun dan tidak sesekali menindas rakyat.
6. Pemimpin-pemimpin cawangan hidup bermewah-mewahan.
Pemimpin-pemimpin di cawangan hidup mewah melebihi had kemampuan. Mereka dilihat sombong dan angkuh yang akhirnya rakyat mengaitkan mereka dengan amalan rasuah, penyelewengan dan mengambil komisen. Mereka menggunakan pengaruh untuk mendapatkan projek dan akhirnya menyerahkannya kepada bangsa lain dengan mengambil keuntungan atas angin. Ini telah memberikan imej negatif kepada parti.
7. Penyelewengan wang kempen pilihanraya.
Ketua-ketua peti undi banyak yang merungut kekurangan peruntukan untuk menggerakkan jentera parti. Saya tidak pasti sama ada peruntukkan disediakan atau tidak, tetapi sekiranya peruntukkan yang besar di salurkan UMNO pusat maka sudah tentu terlalu banyak penyelewengan yang berlaku. Satu kaedah mesti di cari supaya keadaan ini tidak berlaku pada pilihanraya yang akan datang.
Oleh itu cadangan saya sekiranya UMNO ingin distrukturkan semula maka ianya mestilah bermula di peringkat cawangan. Walaupun seekor ikan itu busuknya bermula daripada kepala tetapi sepohon pokok tumbuh subur menghijau oleh kerana akarnya di baja.
Tidak ada gunanya Presiden dan barisan Majlis Tertinggi dilihat begitu teguh sedangkan diperingkat cawangan keadaannya begitu rapuh. Akar umbi di peringkat cawangan sangat penting. Walaupun siapa dia sekarang, sama ada presiden parti atau ahli MT, sudah tentu dia juga bermula sebagai ahli biasa diperingkat cawangan. Pemimpin-pemimpin di cawangan dan bahagianlah yang berhubung terus dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Pintu UMNO mestilah di buka seluas-luasnya. Semestinya tidak ada golongan yang mendominasikan parti dan menyekat kemasukan mereka yang lain. Inilah masanya untuk kita bermuhasabah, sekiranya kita sanggup menerima hakikat kelemahan kita dan memperbaikinya, InsyaAllah rakyat akan kembali menyokong kita di dalam pilihanraya yang akan datang.
Selamat berjuang!
6 comments:
Saya mengalu-alukan komen atau cadangan khasnya daripada ahli-ahli UMNO bahagian Telok Kemang....
Semoga parti kita terus kukuh membela agama, bangsa dan negara.
T. kasih
Saya bukan ahli UMNO kak... tapi apa yang akak tulis sangat2 bernas. Saya setuju terutama point 3 dan point 4. Tak payah jauh, kat rumah saya tuh. Dua orang wanita UMNO bertahun2 bergaduh. Seorang jadi ketua wanita Salak Selatan, Satu lagi berazam nak jadik ketua wanita kat kawasan Bandar Tun Razak. Padahal rumah sepelaung je jauhnya. Intelektual = zero.
Saya dapati professional shy away daripada UMNO. Keintelektualan di dalam UMNO semakin berkurang...
Betul tu Dr, Pemimpin UMNO di cawangan dan bahagian mesti bekerja keras menarik masuk golongan intelektual.
Jangan pentingkan agenda peribadi sebaliknya fikirkan masa depan UMNO supaya parti yang disayangi ini akan terus relevan...
Walaupun saya bukanlah penyokong UMNO tetapi saya setuju apa kakak kata tentang UMNO sekarang...
UMNO memang perlu berubah kerana perjuangan kebanyakkan dari ahli UMNO lebih kepada mengumpul harta kekayaan. Maka jadilah mereka yang jadi ahli sekadar inginkan projek. Bila dah kaya kemudian bongkak, akhirnya kebajikan ahli lain serta rakyat di bawah jagaan terabai.
Fenomena yang saya rasa memerlukan masa panjang untuk berubah. Caranya mungkin kembali kepada pengamalan Islam yang lebih Ad-Din. Kerana,dengan mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya menjadikan seseorang itu hidup sederhana,berhati mulia dan yang paling penting tidak melakukan perkara-perkara yang haram di sisi Islam.
Di negara ini Melayu dan Islam umpama isi dan kuku. Melayu adalah Islam dan Islam ialah Melayu(bagi pendapat setengah bangsa).UMNO mengatakan berjuang untuk bangsa dan agama tetapi apa yang dilihat sekarang hanya perjuangan bangsa lebih terserlah. Dengan meminggirkan salah satu dari perjuangan maka hasilnya apa yang kita lihat hari ini, UMNO jadi rosak dengan pelbagai salah laku dan penyelewengan.
Masanya sudah tiba untuk ahli-ahli UMNO berubah seperti yang kakak inginkan tetapi persoalannya bolehkah mereka-mereka ini berubah?Hanya ALLAH yang maha mengetahui. Walwahualam...
Selamat Berblogging kembali. Sememangnya banyak yang betul dari apa yang abg tuliskan. Penyelewengan merupakan satu masalah yang sudah terlalu kronik, lebih-lebih lagi dalam banyak kes projek-projek yang sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan dan hanya bertujuan untuk poket sendiri. Saya sendiri bekerja di Jabatan Kerajaan.Dan saya tahu luar dan dalam pasal itu.
Ahmad Uzair Bin Ahmad Fuzi
Pegawai Tadbir M41
Unit Perancang Ekonomi Negeri
*Bekas pekerja abg. Yang penting, saya tidak pun menjadi seperti apa yang abg pernah ceritakan kepada saya tentang bekas-bekas pekerja abg dulu dan apa yang terjadi kepada diorang. Segala pengalaman di Roshatika, amatlah berguna. Malah saya sudah ada perniagaan sendiri. Datanglah di Senang Mart, bukit katil. Yang penting kita jujur dengan duit.Bukannya memfitnah atau bersangka buruk tanpa usul periksa.* Maaf*
Masalah ini bukanlah sesuatu yang baru dan bukan juga ianya tidak diketahui oleh pimpinan UMNO sendiri.
Cuma sikap orang Melayu kita ini yang suka nak senang semua benda, kadang-kala melambatkan tindakan pemulihan.
Namun sebelum terlambat, UMNO perlu belajar dari kegagalan dalam siri-siri PRK yang sudah.
Jika tidak (masih dalam penafian jua) makanya ia akan semakin ditolak rakyat dan rugilah segala perjuangan UMNO sejak merdeka itu.
Hanya melontar pendapat.
Post a Comment