ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday 28 April 2007

SI TANGGANG vs MALIN KUNDANG vs NAKHODA MANIS

KISAH-KISAH penderhakaan anak kepada kedua-dua ibu bapa sudah lama diceritakan oleh nenek moyang kita. Kalau di Malaysia terkenal dengan Si Tanggang, di Indonesia dengan Malin Kundang sementara di Brunei pula dengan Nakhoda Manis.


Walaupun terdapat berbagai versi kisah tersebut tetapi semuanya berkisar kepada seorang anak muda miskin, yang kemudiannya menjadi kaya raya dengan memperisterikan seorang puteri jelita dan akhirnya menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya kerana malu dengan kemiskinan mereka. Akhirnya pemuda tersebut mendapat balasan apabila doa ibunya dimakbulkan oleh Yang Maha Esa.

Bagi saya tidak kisahlah sama ada ianya sejarah yang benar-benar berlaku atau pun ianya hanyalah sekadar satu mitos, yang pentingnya adalah pengajaran yang perlu kita hayati dari kisah tersebut.

Pada hari ini, terdapat ramai golongan yang telah berjaya menikmati kehidupan yang selesa tetapi tidak mempedulikan kedua-dua ibu bapanya malah sanggup membiarkan mereka tinggal di rumah orang-orang tua.

Mereka dibiarkan kesunyian tanpa ada perhatian dari anak-anak, lebih malang lagi anak-anak langsung tidak menjenguk mereka. Bayangkan bagaimana perasaan mereka, setelah membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, begini pula balasan yang di berikan anak-anak kepada mereka.

Kalau kita renungkan sejenak, bukankah kita sebenarnya mengulangi semula kisah-kisah penderhakaan tadi?. Kalau kisah-kisah tersebut boleh berulang, cuba bayangkan sudah berapa ramai golongan kita yang telah menjadi batu disumpah oleh ibu bapa masing-masing kerana menderhaka.

Benarlah kata orang, ibu dapat membesarkan seberapa ramai anak yang dikandungnya tetapi anak-anak yang ramai tidak semestinya dapat menjaga seorang ibu.

Sedih benar rasanya apabila membaca laporan media mengenai rayuan seorang bapa yang meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan beliau dan isterinya di rumah orang tua kerana mendapat layanan buruk daripada tujuh orang anaknya.

Tidak sanggup untuk aku bayangkan sekiranya perkara sebegini akan juga berlaku di dalam hidup ku. Kita tidak ada jaminan sebenarnya, perkara sebegini boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Adakah ini adalah balasan Yang Maha Esa kerana kita dulu pun menderhaka kepada ibu bapa kita dan sekarang kita mendapat balasan dengan anak-anak kita pula memperlakukan kita sedemikian rupa.

Ataupun tanpa kita sedari, anak-anak kita telah diasuh dengan didikan yang salah. Ramai ibu bapa sekarang mengabaikan didikan agama kerana menganggap pencarian material dan kejayaan akademik adalah lebih penting.

Sedarkah kita didikan yang bertunjangkan prinsip ajaran agama akan melahirkan zuriat yang baik dan tahu menghargai, membalas jasa serta berkhidmat kepada kedua-dua ibu bapanya.

Ramai ibu bapa yang beranggapan dengan menyediakan wang ringgit, makan minum, pakaian dan tempat tinggal maka selesailah tanggungjawab mereka tanpa disedari tanggungjawab sebenarnya adalah lebih besar dari itu.

Islam telah menggariskan dengan lengkap cara mendidik anak iaitu anak kecil di bawa bermain, pada umur tujuh tahun diajar disiplin dan anak remaja pula dijadikan kawan serta di kawal. Walaubagaimanapun sekiranya anak-anak telah diasuh dengan baik berpandukan ajaran agama sejak kecil tetapi menderhaka juga kepada ibu bapa, anggaplah itu adalah ujian Allah yang perlu diterima.

Islam memang menitikberatkan kepentingan anak mentaati, menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Suruhan solat sering digabungkan dengan zakat, taat kepada Allah diikuti taat kepada Rasul manakala perintah beribadat pula disertakan arahan berbuat baik kepada ibu bapa seperti firmannya “Dan Tuhanmu perintahkan supaya tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar, sekalipun perkataan Ahhh… dan janganlah engkau mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia” (Surah al-Isra’, ayat 23).

Menjaga ibu bapa yang sudah tua dan uzur adalah ibarat menjaga kanak-kanak yang memerlukan perhatian rapi. Itulah yang mereka lakukan kepada kita dulu. Ingatlah kita juga akan melalui saat seperti itu. Apa perasaan kita sekiranya anak-anak kita tidak ambil peduli pada kita.

Kata orang dunia ibarat roda, sekiranya kita menjaga ibu bapa kita dengan baik, sudah tentu anak-anak kita pula menjaga kita dengan baik.

Ingatlah jasa kedua-dua ibu bapa adalah tersangat besar, tidak mungkin untuk kita membalasnya. Ini berdasarkan kisah Saidina Umar yang melihat seorang anak dara yang mendukung ibunya yang sudah tua. Kerana kepenatan maka di letak ibunya dibawah sekejap. Maka terbayanglah kelegaan anak tersebut apabila bebanan dilepaskan. Maka Saidina Umar segera berkata “ Walaupun engkau memikul ibumu seperti ini, tidak tentu perbuatanmu dapat membalas jasa ibumu kepada kamu”.

Tanggungjawab anak kepada ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup seperti sentiasa berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaiknya.

Apabila mereka meninggal dunia tanggungjawab anak adalah mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menziarahi pusara, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, menggantikan puasa yang terhutang, menunaikan haji jika mampu, membaca al-Quran untuk mereka dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum di jelaskan semasa hayat mereka.

Anak-anak yang sudah mempunyai keluarga sendiri juga diwajibkan mentaati ibu bapa. Jika tidak akan dianggap menderhaka. Anak yang menderhaka akan dilaknat Allah, amalan dan ibadat mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya menjadi sia-sia.

Keredaan kedua-dua ibu bapa adalah dititkberatkan seperti sabda Rasulullah SAW “Redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa dan murka Allah bergantung kepada murka kedua-dua ibu bapa” (Hadis riwayat al-Hakim).

Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa adalah termasuk di dalam antara dosa-dosa besar dan janganlah kita sampai dianggap sebagai golongan yang bakal terseksa di akhirat kelak.

Untuk Mak dan Abah….. “InsyaAllah selagi hayat dikandung badan, Tika akan menyayangi dan menjaga Mak dan Abah seperti mana Tika mengharapkan anak-anak Tika menyayangi dan menjaga Tika suatu masa nanti…..”

Friday 27 April 2007

LIFE BEGINS AT 40

[Aku terpanggil untuk membicarakan soal ini adalah kerana pada tahun ini genaplah umur suamiku 40 tahun. Walau bagaimanapun perkara ini tiada kena mengena dengan beliau. Jangan salah faham]

BUKAN kerana risau dengan angka tersebut tetapi lebih kepada ingin mengupas, benarkah kehidupan lelaki khasnya hanya akan bermula pada usia tersebut?. Bolehkah mereka mengabaikan kehidupan mereka selama 39 tahun sebelumnya semata-mata kerana ingin menunggu usia keramat tersebut untuk berubah?.

Geram sungguh rasanya apabila rata-rata lelaki berfahaman ungkapan ini menjurus kepada keinginan untuk menambah ` cawangan’ atau dengan erti kata lain menambah isteri. Bagi lelaki masa inilah segala-galanya harus dirancang semula, kehidupan katanya baru nak bermula, jadi berseronok dan berfoya-foya adalah caranya.

Pendek sungguh akal pemikiran mereka, sebab itulah lelaki di labelkan sebagai golongan kurang matang walau berapa usia mereka. Bagi mereka hanya usia berubah angka tetapi pemikiran dan perangai masih tetap sama. Mereka sebenarnya tidak pernah dewasa.

Minta maaflah kepada semua golongan lelaki, kerana aku terpaksa `mengata’ mereka. Bukan niat untuk merendah-rendahkan, tetapi lebih kepada menyedarkan mereka bahawa hakikat sebenar kehidupan di dunia ini adalah bermula pada hari pertama mereka melihat dunia..

Usahlah ditunggu usia keramat tersebut untuk membuat perubahan kerana kita sebenarnya tidak diberikan jaminan akan melalui usia tersebut. Mungkin esok atau lusa kita akan menyahut panggilan Ilahi.

Tetapi sekiranya kita ditakdirkan akan melalui usia 40 tahun ini, jadikanlah ia peringkat untuk menilai semula diri sendiri. Hakikatnya kehidupan harus diperbaiki pada setiap hari supaya setiap hari yang kita lalui berjalan dengan lancar, lebih-lebih lagi apabila mencecah usia 40 tahun.

Pada usia 40 tahun, sudah tentu kita telah mengalami berbagai peristiwa pahit dan manis kehidupan yang membuatkan pemikiran kita menjadi lebih matang dan bersedia untuk hari mendatang.

Sekiranya fasa ini adalah tahap selesa untuk mengecapi kejayaan hasil kerja keras 39 tahun sebelumnya. Maka tidak salah kita meneruskan hobi, kegemaran atau impian yang tidak sempat dilakukan sebelumnya oleh kerana kesibukan waktu itu.

Bagi saya inilah maksudnya ungkapan tersebut iaitu kalau sebelum mencecah 40 tahun, tenaga dan tumpuan banyak dihabiskan dalam usaha membina kerjaya, keluarga serta mengukuhkan kedudukan ekonomi maka bila sampai usia 40 tahun, kehidupan menjadi lebih stabil, teratur dan kita sudah boleh menikmati hasil usaha yang telah dilakukan.

Susah, senang atau stabilnya hidup kita pada usia 40 tahun banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan sebelum itu, Jika baik jalan yang kita pilih, baiklah hasilnya dan begitulah sebaliknya.

Kehidupan berkeluarga juga seharusnya lebih harmoni kerana masing-masing sudah saling memahami sikap dan perwatakan masing-masing. Pada usia ini bukan lagi masa untuk membina keluarga tetapi menikmati kehidupan yang lengkap dan sempurna bersama isteri dan anak-anak yang sentiasa memahami dan memberikan sokongan.

Waktu ini anak-anak pun sudah membesar dan kita mempunyai lebih masa untuk penampilan diri kerana apabila telah semakin berumur, kesihatan juga memerlukan penjagaan yang lebih rapi.

Sebagai seorang Islam pula inilah masanya untuk kita melebihkan amal ibadat, kalau dulu kita jarang ke masjid, sekaranglah masanya untuk kita menebus semula dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelumnya.

Inilah juga masanya untuk kita bermuhasabah diri, memperbetulkan segala kesilapan-kesilapan yang mungkin pernah kita lakukan.

Kesimpulanya adalah janganlah kita mempersiakan masa muda kita semata-mata kerana ingin menunggu usia keramat tersebut untuk berubah, tetapi sebaliknya berusahalah bersungguh-sungguh dengan membuat perancangan yang rapi supaya pada usia tersebut kita boleh menikmati hidup yang lebih bermakna.

Tiada batas usia untuk melakukan perubahan, sekiranya kita telah banyak melakukan keburukan, maka setiap hari, malah setiap saat kita diberikan peluang untuk berubah menjadi lebih cemerlang.

Ingatlah hakikat sebenar kehidupan adalah bermula pada setiap hari….

TIPAH TERTIPU


BANGSA Melayu memang terkenal dengan sikap pemurah, mudah simpati, sedia menghulurkan bantuan, sanggup berkorban apa saja dan banyak lagi sikap-sikap mulia yang kita banggakan.

Tetapi sedarkah kita kerana sikap-sikap asas kemanusiaan itulah, menjadikan kita sasaran mudah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi kepentingan diri mereka.

Pelaburan internet, memang hebat bunyinya. Dengan berbekalkan propaganda kononnya itulah e-perniagaan atau perniagaan yang berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT), mereka dengan mudah memperdayakan sebahagian daripada kita, khasnya mereka yang baru kenal dengan internet.

Walhal harus diingat apa yang dikatakan e-perniagaan adalah perniagaan yang menawarkan barangan atau perkhidmatan yang urusniaganya dilakukan secara dalam talian atau online.

Semua orang tahu bangsa kita memang terkenal dengan sifat ingin menjadi kaya dengan cara yang mudah. Oleh itu mereka yang tidak bertanggungjawab ini mencipta satu skim yang mudah diterima kononnya itulah jalan pintas untuk kita mencapai impian.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, tidak hairanlah dalam masa yang singkat, skim ini telah berjaya menyerap ke dalam seluruh urat nadi bangsa kita.

Pergilah ke mana saja, sama ada pejabat kerajaan, kafe siber, kedai kopi atau balai polis sekalipun, topik inilah yang hangat di perkatakan sekarang.

Walaupun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa pelaburan melalui internet yang tiada hujung pangkal ini adalah haram tetapi itu semua tidak diendahkan oleh kumpulan ini.

Mereka nampaknya masih ghairah, hukum hakam di tolak ke tepi walaupun dengan hanya sekali pandang sudah cukup jelas bahawa pelaburan seumpama ini sememangnya meragukan ditambah dengan unsur-unsur yang kabur lagi dongeng serta pulangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ia diperlihatkan seolah-olah mampu memperkayakan sesiapa sahaja dalam masa yang singkat tetapi hakikat sebenarnya adalah penganjur-penganjur skim inilah yang menjadi kaya raya. Mereka ini sebenarnya telah membuat kajian betapa orang kita begitu mudah untuk diperdayakan.

Kalau di lihat dari segi sejarah, kita tidak harus terus-terusan di tipu, sejak awal 1980-an lagi, media telah melaporkan kegiatan penipuan yang dianjurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pada ketika itu dianggarkan jumlah pelaburan orang ramai di dalam beberapa skim cepat kaya mencapai angka RM1.4 bilion. Yang terbesar sudah tentulah skim Pak Man Telo.

Ketika itu dilaporkan bahawa ramai mereka yang bergaji besar termasuk doktor melepaskan jawatan untuk menjadi penganjur skim. Kakitangan awam pula sanggup bersara awal gara-gara skim tersebut.

Tetapi yang menyedihkan adalah apabila skim tersebut runtuh, ada laporan mengatakan ramai yang rumah tangga mereka turut musnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang dikatakan menjadi gila selepas hasil simpanan, harta dan rumah lesap gara-gara melabur dalam skim tersebut.

Pada tahun 1990-an pula kita dikejutkan dengan sindiket black money dari Afrika. Dilaporkan beratus-ratus orang telah menjadi mangsa penipuan yang melibatkan kerugian bernilai berjuta-juta ringgit.

Selain daripada itu kita juga tertipu dengan skim gores dan menang, khidmat pesanan ringkas (SMS) Akademi fantasia dan yang terbaru ganjaran wang tunai yang kononnya di tawarkan oleh Petronas dan syarikat telekomunikasi seperti Maxis, DIGI dan Celcom.

Setiap hari juga kita tertipu dengan bermacam bentuk derma yang menggunakan nama menteri, wakil rakyat, NGO, pertubuhan kebajikan, sekolah, kuil dan masjid. Ada juga yang sanggup menipu dengan menganjur pelbagai program di atas nama `misi nasional’ untuk mengaut keuntungan mudah.

Yang paling menyedihkan ada juga yang sanggup menderma kepada kumpulan yang mendakwa untuk membiayai projek membina kapal bagi kegunaan semasa banjir besar dengan membuat andaian Hari Kiamat sudah hampir tiba.

Sedarkah kita bahawa `industri-industri’ ini telah berkembang dengan pesatnya di negara kita adalah sebahagiannya kerana sikap-sikap kita yang lemah, mudah simpati dan amat mengasihani.

Kita sepatutnya sudah cukup maklum bahawa semua penipu tidak akan mengaku diri mereka menipu. Pokok pangkalnya terletak pada diri sendiri. Pengalaman-pengalaman lalu seharusnya menyedarkan kita. Selalunya kita tertipu kerana sikap tamak kita apabila berhadapan dengan peluang-peluang mudah untuk menjadi kaya.

Akhirnya artikel hari ini saya sudahi dengan satu peringatan untuk kita semua. Iaitu tiada shortcut untuk menghasilkan kejayaan, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh adalah kunci kepada kejayaan.

Agama kita sememangnya menggalakkan kita berniaga tetapi perniagaan itu mestilah jelas, bermakna ada barang yang di jual atau ada perkhidmatan yang di tawarkan. Dan yang lebih penting adalah barang yang di jual dan perkhidmatan yang di tawarkan tersebut adalah yang di benarkan syariah.

Selain daripada itu, sanggupkah kita makan duit haram?

Jangan sampai "Tipah tertipu lagi bang……….!!"

DAULAT TUANKU

26 APRIL 2007

HARI ini seluruh rakyat Malaysia merafat sembah penuh taat setia dan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah sempena Pertabalan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII.

Baginda di pilih oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2006 menggantikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail.

Selepas Sembilan tahun dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu, kini giliran Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah bersemayam di Istana Negara sebagai tonggak serta memayungi 26 juta rakyat Malaysia.

Tuanku Mizan diputerakan pada 22 Januari 1962 di Bandar Kuala Terengganu dan merupakan anakanda kedua dan putera pertama kepada Almarhum Sultan Mahmud daripada tujuh beradik iaitu empat putera dan tiga puteri.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dari 1968 hingga 1973 dan peringkat menengah di SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu dari 1974 hingga 1978 sebelum melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar, Melbourne, Australia dari 1980 hingga 1981.

Selepas menghabiskan pengajiannya, Tuanku Mizan menghadiri Kursus Bakal Tentera di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga bulan sebelum mengikuti kursus tentera PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages mulai 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983.

Baginda turut mengikuti kursus SMC 33 di Royal Military Academy Sandhurst, England mulai 3 Mei 1983 hingga 9 Disember 1983.

Pada 1 Mac 1984, baginda di tauliahkan pangkat Leftenan Kehormat di Kor Kavalri Diraja sebelum berangkat ke luar Negara untuk menyambung pelajaran di US International University-Europe di London dan memperolehi Ijazah sarjanamuda dalam bidang Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

Tuanku Mizan mendirikan rumah tangga dengan Raja Permaisuri, Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu dan sehingga kini pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri.

Dengan pemasyhuran baginda hari ini, rakyat amat bertuah kerana memiliki seorang pemerintah yang mesra, prihatin, berjiwa rakyat serta aktif bersukan.

Kasih baginda kepada rakyat jelata terserlah apabila sentiasa meletakkan soal kebajikan dan kesejahteraan mereka sebagai agenda teratas dalam setiap urusan pentadbiran.

Ditambah dengan keramahan serta sifat lemah lembut, sopan santun dan prihatin Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah terutama terhadap soal pendidikan kanak-kanak serta nasib golongan wanita, kasih sayang rakyat terhadap pasangan diraja ini terus mekar dan mengharum.

DAULAT TUANKU.

Wednesday 25 April 2007

MESYUARAT AGONG USAHANITA PORT DICKSON / NILAI

Mesyuarat Agong Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra (USAHANITA) Cawangan Port Dickson / Nilai yang ke 9 telah diadakan pada 24 April 2007 bertempat di PD Golf Club.

Inilah Pengerusi kami, Puan Zauyah binti Abu Samah, seorang pemimpin yang berwibawa dan sentiasa memberi idea-idea baru, bersama dengan Cikgu Puan Zalina binti Harun, isteri kepada YB ADUN Bagan Pinang.


Sedang menikmati minum petang


Cikgu Puan Zalina binti Harun, isteri YB ADUN Bagan Pinang yang menjadi tetamu kehormat pada majlis ini.


Sebahagian AJK yang menggerakkan USAHANITA Cawangan Port Dickson / Nilai


Puan Maizita binti Mohd Yusoff, setiausaha kami yang sentiasa berkerja keras untuk menjayakan segala program dan tidak jemu-jemu SMS kami berkenaan informasi USAHANITA. Terima kasih Kak Ita.


Puan Normalah binti Abu Bakar, pemilik salon kecantikan yang bertungkus lumus memastikan jamuan hari ini berjalan dengan sempurna.


Puan Sazureen binti Hasan, Pengerusi majlis yang telah berjaya menceriakan suasana petang itu.


Puan Zuraidah Ramli, memastikan tetamu-tetamu kami pada hari itu mendapat layanan yang memuaskan.


Ini tak payahlah di perkenalkan lagi. Saya lah tu!


Puan Suraya, pengusaha homebaked yang berjaya dan merupakan ahli kami. Kek coklatnya menjadi kegemaran saya.


Puan Laila, juga pengusaha homebaked, cubalah samosanya gerenti sedap!


Puan Noor Habibah, yang mempromosi produk kesihatan yang berasaskan kristal dan aura. Banyak produknya hari itu yang laris terjual.

Puan Dinny Maiayu, kakak kepada setiausaha kami.


Puan Hajjah Maimoonah, ibu kepada Puan Maizita, yang sentiasa memberi sokongan kepada program kami. Beliau juga adalah pakar masak memasak dan pengusaha katering yang berjaya.


Puan Faridah, Pesara Jururawat yang juga ahli USAHANITA dan jiran saya.


Mak saya yang sentiasa memberi sokongan dan doa restu di dalam apa jua bidang yang saya ceburi, Puan Hajjah Rasiah binti Bakri.

Puan Zuraidah Anim binti Mokhtar, wakil USAHANITA Negeri Sembilan bersama Cikgu Puan Zalina Harun, isteri YB ADUN Bagan Pinang.


Puan Zuraidah Anim binti Mokhtar, wakil USAHANITA Negeri Sembilan yang menjalankan perniagaan insuran.


Puan Zawiah binti Katinan, wakil USAHANITA Negeri Sembilan, menjalankan perniagaan florist dan andaman.

Puan Hajjah Khatijah binti Haji Hamid, wakil USAHANITA Negeri Sembilan yang juga menjalankan perniagaan pengangkutan.


Puan Mila binti Mohamed, wakil USAHANITA Negeri Sembilan yang menjalankan perniagaan lampu hiasan.

Mesyuarat Agong ini telah berjalan dengan jayanya dan mendapat sokongan daripada semua ahli. Tahniah kepada USAHANITA Port Dickson / Nilai. Terima kasih daun keladi.



[Saya minta maaf kepada mereka yang gambarnya tidak dapat disiarkan kerana sebahagian gambar-gambar mutunya tidak memuaskan]

Monday 23 April 2007

ASAS-ASAS PEMBENTUKAN MINDA KELAS PERTAMA (SIRI 1)


SELEPAS saya menulis artikel berkenaan Minda Kelas Pertama, ada beberapa pembaca yang bertanya kepada saya melalui email tentang apakah yang seharusnya mereka lakukan bagi membentuk minda menjadi Minda Kelas Pertama.

Pertamanya cuba kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan Minda Kelas Pertama. Saya memetik kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi “Masyarakat berminda kelas pertama adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Mereka juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah Negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan Negara senantiasa dijunjung.

Pembentukkan minda kelas pertama menjadi agenda penting negara selepas Perdana Menteri menjadikannya teras kedua Misi Nasional yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).Ia tidak terbentuk dengan sendiri, sebaliknya perlu ada usaha memupuk secara sistematik dan terarah.

Oleh itu segenap lapisan masyarakat perlulah memiliki minda kelas pertama bagi mendepani pelbagai cabaran dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) dengan sentiasa berfikiran positif, kreatif dan inovatif. Inilah asas kepada pembentukkan minda kelas pertama iaitu berteraskan kepada keupayaan masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Apabila kita menyebut meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah tentu perkara yang paling penting adalah dengan mengamalkan pembacaan, penulisan dan berdiskusi. Ketiga-tiga perkara inilah yang akan merangsang minda kita untuk berfikir.

Saya ingin meminjam kata-kata penulis dan ahli falsafah British, Francis Bacon ( 1561-1626), "Membaca menjadikan seseorang itu lengkap dengan ilmu, berdiskusi menjadikan seseorang itu bersedia, dan menulis menjadikan seseorang itu tepat".

Membaca membolehkan kita mengetahui pendapat dan pengalaman orang lain yang boleh dimanfaatkan dalam menjana idea, membentuk pendapat kita sendiri selain daripada manambah ilmu. Rajin berbincang dan bertukar pendapat pula melatih kita bersedia mengutarakan idea, berkongsi pengetahuan dan pengalaman, secara berhadapan dan interaktif. Manakala menulis pula melatih kita mencapai ketepatan dalam menyampaikan pendapat dan idea dengan menggunakan perkataan dan ayat yang paling sesuai.

Sekarang jelas kepada kita, asas-asas pembentukan Minda Kelas Pertama adalah dengan banyak membaca, menulis dan berdiskusi.

Selain daripada itu kita perlu mempunyai pemikiran yang kritikal, konstruktif dan kreatif. kritikal bermaksud kita harus mencari ruang penambahbaikkan. Bagaimana baik sekali pun apa yang dilakukan, kita tidak boleh mudah berpuas hati.

Untuk membentuk minda kritikal, kita mesti banyak bertanya iaitu bertanya diri sendiri dan orang lain. Soalan yang betul akan memberikan jawapan yang betul. Kita mesti bertanya ‘mengapa’ kita melakukan sesuatu bagi mengetahui adakah ‘apa’ yang dilakukan itu betul. Orang yang berfikiran kritikal tidak menerima sesuatu secara sewenang-wenangnya tanpa bertanya.

Rudyard Kipling, seorang penyajak Inggeris pernah mengarang sajak berkenaan faedah bertanya.

I keep six honest serving-men

They taught me all I knew

Their names are What and Why and When

And How and Where and Who

Teknik bertanya soalan-soalan yang bijak dan pandai ini akan menghasilkan idea-idea yang baru.

Kritikal saja tidak mencukupi. Sewajarnya kritikal itu disertai dengan konstruktif. Kita harus berpegang dengan falsafah bahawa ‘mencari jalan membetulkan sesuatu kesalahan itu lebih penting daripada mencari siapa yang membuat kesalahan’. Kita tidak perlu menjadi hebat dengan merendah-rendahkan orang lain. Biarlah kita menjadi hebat kerana kita bukan saja mampu kritikal tetapi juga konstruktif.

Untuk konstruktif, kita perlu kreatif. Kita mesti kreatif dalam memberi idea membina, kreatif dalam menyelesaikan masalah dan juga kreatif dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Kreatif menuntut kita berfikir di luar kotak pemikiran biasa. Kita tidak harus terperangkap dalam pemikiran dan kaedah lama bagi menyelesaikan masalah baru.

Seseorang boleh menjadi kreatif sekiranya kita menyediakan suasana kondusif untuk itu. Antara yang boleh dilakukan ialah memberikan ruang untuk perbezaan pendapat. Sekiranya seseorang dihukum setiap kali idea barunya gagal, dia tidak akan menjadi kreatif. Dalam sesebuah masyarakat kreatif, hasil adalah penting. Namun, yang lebih penting ialah kesediaan seseorang mencuba idea baru.

ASAS-ASAS PEMBENTUKAN MINDA KELAS PERTAMA (SIRI 2)

Bagi merealisasikan impian kita semua, cuba hayati kisah perlumbaan arnab dan kura-kura yang telah di jalankan di dalam empat pusingan.

Pada pusingan pertama, suatu hari seekor arnab dan seekor kura-kura telah membuat pertaruhan bagi menentukan siapa yang lebih pantas. Setelah bersetuju dengan laluan, mereka memulakan larian.

Arnab telah memecut dengan lajunya. Apabila ia mendapati dirinya telah jauh meninggalkan kura-kura, arnab memutuskan untuk berehat sekejap. Tidak lama kemudian ia pun terlena.

Kura-kura pula dengan perlahan-lahan telah memintas arnab hingga ke garisan penamat dan memenangi perlumbaan.

Pengajarannya adalah kita jangan menpersiakan kebolehan yang ada pada diri kita dengan mimpi-mimpi yang indah dan bersikap sambil lewa.

Kemudiannya arnab yang tidak berpuas hati mencabar kura-kura untuk berlumba sekali lagi. Kali ini arnab telah memecut dengan sebegitu laju sehingga ke garisan penamat dan memenangi perlumbaan tersebut.

Pengajarannya adalah yang pantas dan cekap akan sentiasa berjaya berbanding yang lambat dan berlengah.

Kalau tadi arnab yang tidak berpuas hati kerana kalah tetapi kali ini kura-kura pula yang tidak berpuas hati. Kura-kura kemudiannya mencabar arnab pula untuk berlumba sekali lagi. Tetapi kali ini kura-kura sedar ia tidak akan dapat mengalahkan arnab sama sekali. Jadi ia berfikir dan mencari helah. Jadi kali ini kura-kura mengajak arnab berlumba mengikut laluan yang di tetapkannya.

Arnab setuju dan mereka pun memulakan larian. Seperti biasa arnab dengan penuh keyakinan terus memecut laju sehinggalah sampai ke tepi sungai.

Garisan penamat terletak beberapa kilometer selepas sungai. Sementara arnab berfikir untuk menyeberangi sungai itu, kura-kura dengan perlahan-perlahan dapat mengejar arnab.

Apabila sampai di tepi sungai, kura-kura terus masuk ke dalam sungai, menyeberanginya dan meneruskan perlumbaan hingga sampai ke garisan penamat.

Pengajarannya adalah kita perlu mengetahui kebolehan dan kelemahan diri kita. Setelah itu barulah kita boleh memikirkan strategi yang berkesan untuk menangani sebarang cabaran dalam usaha mencapai cita-cita.

Setelah penat berlumba, kini kura-kura dan arnab telah menjadi kawan baik. Mereka sama-sama berfikir bagaimana kedua-duanya boleh meraih kemenangan bersama.

Akhirnya mereka memutuskan untuk berlumba sekali lagi tetapi sebagai satu pasukan. Arnab telah membawa kura-kura hingga ke tebing sungai. Kura-kura pula membawa arnab menyeberangi sungai.

Apabila tiba di seberang sungai, arnab sekali lagi membawa kura-kura dan meneruskan perlumbaan hingga ke garisan penamat.

Pengajarannya adalah kerja berpasukan merupakan pendekatan yang lebih strategik daripada kerja bersendirian. Walau bijak manapun, kita mesti ada kelemahan. Sekiranya kita tolong menolong, kelemahan kita akan di tampung oleh yang lain. Akhirnya kita sama-sama akan berjaya.

Faktor yang tidak boleh diabaikan juga adalah kita perlu mempunyai fokus. Fokus bererti kita memusatkan segala usaha, tenaga dan sumber kearah kejayaan matlamat kita.

Thomas Edison pernah gagal 9,999 kali sebelum berjaya mencipta bulb elektrik. Fokus adalah sebanding dengan kenyataan. Apa yang kita fokus itulah yang akan kita capai.

Maksud fokus boleh dijelaskan dengan kisah pelari dari Tanzania yang bertanding Marathon Olimpik yang di adakan di Mexico pada tahun 1968. Semasa memulakan perlumbaan atlet tersebut terjatuh dan secara tidak sengaja terpijak oleh atlet-atlet lain.

Ia cuba bangun untuk meneruskan larian tetapi kakinya tidak mengizinkan. Namun ia cuba juga bangun dan berjalan terdengkot-dengkot. Kemudian dia gagahkan juga untuk berlari sambil mengheret kakinya yang patah dan berlumuran darah.

Wajahnya penuh kesakitan dan setiap langkah membawa kesengsaraan yang tidak tertahan. Beliau menghabiskan juga lariannya walaupun terlewat 2 jam dari atlet terakhir yang menghabiskannya dengan diiringi tepukan gemuruh.

Kemudian apabila pemberita bertanya kepadanya kenapa dia masih meneruskan perlumbaan walaupun tercedera. Adalah lebih baik dia menarik diri dari mengalami penderitaan dan kesakitan. Maka dia menjawab “Negara saya telah menghantar saya 7,000 batu jauhnya ke sini bukan untuk memulakan larian….tetapi untuk menghabiskannya…..”.

Itulah yang di maksudkan fokus iaitu bersemangat waja kearah pencapaian matlamat.

Akhirnya, artikel hari ini saya sudahi dengan kisah rusa dan singa di Afrika. Setiap pagi seekor rusa bangkit. Ia tahu ia mesti berlari lebih pantas daripada singa terpantas. Jika tidak ia akan mati di baham. Manakala setiap pagi juga seekor singa bangkit. Ia tahu ia mesti berlari lebih laju daripada rusa yang lemah. Jika tidak, ia akan mati kebuluran. Tidak kisahlah sama ada anda seekor singa atau rusa. Apabila matahari terbit pada setiap hari, kita semua akan mula berlari.

Friday 20 April 2007

MINDA KELAS PERTAMA

APABILA Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri berkata sepanjang beliau menjadi Ketua Kerajaan, semua perkara berjaya dilakukannya kecuali satu, iaitu untuk mengubah minda bangsa melayu.

Majoriti bangsa melayu lemah dari segi ciri-ciri keusahawanan. Mereka terlalu percaya kepada untung nasib dan takdir semata-mata tanpa berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh.

Mereka lebih mudah menyalahkan orang lain diatas kegagalan mereka dan tidak pernah bermuhasabah diri kenapa mereka gagal. Sebab itulah mereka tidak belajar dari kegagalan dan selalunya akan mengulangi kesilapan yang sama.

Bangsa melayu lebih gemar berpolitik untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup untuk melakukan apa saja, tetapi persaingan dan perancangan mereka untuk mendapatkan kuasa politik tidak pula di terjemahkan bagi menguasai ekonomi. Mereka sebenarnya belum sedar akan kehilangan politik sekiranya tiada ekonomi.

Berbalik kepada minda bangsa melayu. Kenapa begitu sukar untuk berubah?. Pada pandangan saya kita tidak perlu merasa pelik kerana dari zaman penjajah lagi bangsa kita di orientasikan minda mereka untuk menjadi petani,

Bila kita merdeka, banyak kemajuan yang telah dicapai oleh bangsa melayu. Dari kebanyakkannya petani, kita berjaya melahirkan professional-profesional di dalam berbagai bidang termasuklah melahirkan usahawan-usahawan.

Tetapi mungkin tanpa kita sedari, kita masih lagi diajar dan diasuh untuk terus bergantung kepada kerajaan. Walaupun kita menjadi usahawan, kita masih mengharapkan bantuan-bantuan daripada kerajaan.

Minda kita sebenarnya tidak seratus peratus berubah. Saya teringat satu iklan yang selalu berkumandang di radio tidak berapa lama dulu. Ada tiga orang budak yang mewakili tiga kaum iaitu melayu, india dan cina, ditanya apakah impian masing-masing apabila dewasa kelak.

Budak Melayu berkata saya ingin menjadi seorang JURUTERA kapal terbang, Budak India ingin menjadi PEMANDU kapal terbang manakala budak Cina pula ingin menjadi PENJUAL Kapal terbang.

Nampaknya ketiga-tiga budak tersebut mempunyai impian yang sangat baik tetapi sedarkah kita yang anak cina telah meletakkan ciri-ciri perniagaan di dalam impiannya. Dikala anak melayu dan india memasang impian untuk membuat dan menggunakan kapal terbang, anak cina ini lebih gemar mengambil barang yang telah siap dan memasarkan sahaja.

Perkara tersebut tidak ada bezanya dengan cara mereka membeli rambutan dan durian dari dusun-dusun bangsa melayu di kampong. Mereka membeli dengan harga murah dan kemudiannya menjual dengan harga yang lebih mahal di Bandar-bandar besar.

Lihatlah bagaimana bijaknya mereka menggunakan keupayaan minda bagi mengeksploitasikan barang yang telah siap bagi mendapat keuntungan. Mereka sedar cara tersebut adalah cara yang lebih mudah untuk memperolehi kekayaan tanpa perlu bersusah payah menanam, menjaga dan menunggu pokok-pokok tersebut mengeluarkan buah.

Bukankah kaedah yang sama juga dilakukan oleh NUFFNANG dan ADVERTLET. Mereka tidak perlu bersusah payah membina blog-blog dengan kandungan yang menarik bagi menarik pembaca, sebaliknya dengan mudah menggunakan blog-blog yang telah berjaya bagi mengaut keuntungan

Anjakan minda seperti inilah yang perlu di jadikan model oleh usahawan-usahawan kita. Mereka telah menunjukkan kepada kita inilah cara yang lebih mudah untuk mencipta kekayaan.

Kenapa usahawan internet kita boleh terlepas pandang dengan peluang ini?. Jangan tanya saya, kerana saya bukan usahawan internet. Sebaliknya anda semualah yang harus menjawabnya.

Walau apa pun alasannya, kita masih belum terlambat. Saya harap selepas ini ada diantara kita yang akan menggunakan kaedah berfikir seperti ini untuk bersaing dengan mereka.

Lakukanlah penghijrahan minda dan ubahlah cara berfikir, nescaya anda semua akan berjaya…….


Thursday 19 April 2007

KENANGAN DI BEIJING

Kenangan ini telah berlalu lebih kurang 10 tahun yang lepas dimana aku, suami dan anak sulong (Rosamirah Insyirah) bersama keluarga Abang Yunus Meeralan iaitu kawan baik suamiku pergi melancong ke Beijing. Gambar diatas adalah semasa kami di Tembok Besar China. Pada masa itu adalah musim sejuk. Suhu di bawah paras beku. Sungai-sungai dan tasik semuanya beku. Aku dapat melihat orang ramai boleh berjalan di atas tasik dan sungai. Sebab itulah di dalam gambar diatas kami semua memakai pakaian tebal dengan sarung tangan dan topeng sekali.

Gambar ini bukan diambil masa musim sejuk tersebut, tetapi inilah gambaran di sekitar Beijing di mana penduduknya menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama. Aku rasa menaiki basikal ini merupakan exercise yang bagus kerana aku tidak pernah nampak penduduk mereka yang berperut buncit.

Hotel di sana layananya memang first class. Walaupun hotel tempat penginapan kami cuma 3 atau 4 bintang sahaja tetapi layanan mengalahkan hotel 5 bintang di negara kita. Setiap tingkat hotel disediakan penjaga untuk memberi perkhidmatan kepada kita seperti untuk ambil air panas dan sebagainya. Bilik air di lobi pula mempunyai perkerja yang membuka pintu, membuka paip air dan juga menghulurkan tisu selepas kita menggunakan bilik air tersebut. Tetapi yang peliknya sarapan pagi cuma disediakan pau kosong dengan telur rebus dan juga ikan sungai masin.

Tetapi berlainan sekali dengan tandas awam. Tandas awam yang tidak berbayar, langsung tidak mempunyai pintu manakala tandas awam berbayar mempunyai pintu tetapi sikap atau mungkin budaya masyarakat mereka adalah tidak menutup pintu semasa membuang air kecil atau besar.

Sanggupkah anda membuang air besar sekiranya tandas tidak berpintu seperti diatas?

Ini adalah gambar Forbidden City atau Kota Larangan yang terletak di tengah Bandar Beijing. Istana ini dikatakan mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 200,000 tenaga buruh.
Disinilah tempat tinggal Maharaja China yang dianggap `Tuhan' oleh rakyatnya. Di istana ini rakyat tidak dibenarkan masuk kecuali pembesar istana dan gundik. Pada Dinasti Ming dan Qing, Maharaja dikatakan mempunyai 1000 gundik, kerana terlalu ramai kadangkala Maharaja tidak berpeluang meniduri kesemuanya dan ada diantara gundik yang mencapai usia tua tetapi masih dara.

Inilah masjid tertua di Beijing. Kalau tak silap umurnya melebihi 1,000 tahun. Masjid ini terletak di Niu Jie. Aku sempat bersembahyang di masjid ini. Orang Islam di sini memang menghormati pelancong dari Malaysia. Di sebabkan masa itu musim sejuk mereka menyediakan air panas untukku mengambil wuduk.

Di sekitar masjid ini, kebanyakan penduduknya beragama Islam. Banyak kedai-kedai makan yang diusahakan oleh Cina Muslim. Anda tidak perlu was-was. Cuma masalahnya mereka tidak boleh berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Semua pakai bahasa isyarat sahaja.

Aku sempat makan ikan sungai stim, enak sekali setelah puas menggunakan bahasa isyarat.

Ini adalah menu istimewa di Beijing iaitu Peking Duck, Itik ini di panggang dan kemudian di potong halus-halus dan dimasukkan ke dalam kulit popiah dan di gulung.


Ini adalah Medan Tian an Men, gambar inipun bukan diambil semasa lawatanku. Medan ini adalah kawasan larangan bagi penjaja-penjaja. Yang kelakarnya ada seorang penjaja yang degil menghampiri ku untuk menjual sarung tangan dan topeng.

Kerana aku memberinya duit besar dan dia tidak mempunyai wang baki maka penjaja tersebut telah meninggalkan kesemua barang jualannya untuk ku. Kebetulan pada masa itu polis sedang mengejar penjaja lain.

Ini adalah Beijing Opera yang terkenal tetapi malangnya aku tidak memahami dialog dan persembahannya.

Ini adalah gambar aku di sebuah pasaraya sedang membeli sutera dan permaidani buatan tangan yang sangat cantik. Yang menariknya aku bertemu dengan sales girl yang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Pada mulanya aku ingatkan dia berasal dari Malaysia tetapi katanya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

Rupanya dia belajar bercakap bahasa Malaysia dengan pelancong-pelancong Malaysia yang ramai ke sana.

Kenangan di Beijing tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat kerana di tanah tersebutlah asalnya nenek moyang ku dulu.......

Tuesday 17 April 2007

MUNGKINKAH ANDA TERLUPA?

PERNAHKAH anda mengalami keadaan di mana selepas berkerja keras dan berusaha besungguh-sungguh dengan menggunakan berbagai strategi yang anda fikirkan berkesan tetapi anda masih menemui kegagalan?. Atau selepas melakukan proses yang sama, akhirnya anda menemui kejayaan yang gilang-gemilang tetapi anda tidak dapat mempertahankannya dan perniagaan anda jatuh merudum.


Sekiranya anda mengalami keadaan yang sedemikian, jangan cepat berputus asa kerana anda mungkin terlupa satu faktor penting yang sama sekali tidak boleh dipisahkan sekiranya anda menjalankan perniagaan. Faktor tersebut adalah DOA YANG BERTERUSAN. Doa adalah faktor yang penting bagi menentukan anda ditunjukkan jalan yang benar ketika membuat sebarang keputusan.

Sebenarnya di alam perniagaan banyak keajaiban-keajaiban yang tidak terjangkau oleh minda kita. Sepanjang menjalankan perniagaan, banyak peristiwa yang saya dan suami alami begitu menginsafkan dan benar-benar menunjukkan kita sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Pengalaman pertama adalah semasa suami saya mengendalikan petrol station kepunyaan bapanya. Kerana perubahan peraturan yang diperkenalkan olen Bank Negara Malaysia berkenaan dengan tempoh cheque clearing, maka suami saya terpaksa menambah modal pusingan.

Maka beliau terpaksalah ke hulu dan ke hilir berjumpa saudara mara dan sahabat handai meminta pertolongan, bukan untuk meminjam wang tetapi untuk meminta pertolongan membeli asetnya yang merupakan lot-lot tanah. Masa itu untuk membuat loan bank memang kesuntukan masa dan sekiranya wang tersebut tidak dapat di sediakan, maka akan menghadapi risiko tidak mendapat supply dari company minyak.

Dengan erti kata lain stesyen tersebut terpaksa di tutup. Sehinggalah sehari sebelum last date, suami saya masih gagal menyediakan wang tersebut kerana tiada seorangpun yang sanggup menolong. Saya dapat melihat dari riak wajahnya yang panic dengan keadaan tersebut.

Pada sebelah malamnya, selepas mengadakan solat hajat, beliau berdoa bersungguh-sungguh dan menyerahkan segalanya kepada Allah bagi menentukan nasib stesyen tersebut. Saya nampak beliau betul-betul berserah dan benar-benar mengadu kepada Allah tentang nasibnya dan selepas itu beliau dapat tidur dengan nyenyak.

Keesokan paginya dengan tidak semena-mena beliau mendapat panggilan telefon dari seseorang untuk membeli lot tanah tersebut. Keajaibannya adalah pembeli tersebut sanggup membayar tunai dan beliau dapat menyelesaikan segala masalahnya.

Kisah kedua pula berlaku kepada kawan baik suami saya yang merupakan seorang kontraktor binaan. Kerana masalah kegawatan ekonomi, banyak rumah-rumah yang dibinanya tidak dapat di jual. Lanjutan dari masalah tersebut beliau tidak dapat membayar gaji perkerja-perkerjanya.

Setelah puas berusaha untuk menjual rumah-rumah tersebut tetapi akhirnya beliau tidak juga berjaya. Oleh kerana tiada lagi tempat untuk mengadu, barulah beliau teringat kepada Allah Yang Maha Besar. Beliau berserah sepenuhnya kepada ketentuan Allah dan berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah menyelesaikan masalahnya.

Seperti juga suami saya, keesokannya beliau di datangi seorang pembeli. Yang anehnya pembeli tersebut membawa wang tunai untuk membuat pembayaran. Dengan wang tersebut dapatlah beliau menyelesaikan semua gaji perkerja-perkerjanya.

Kesimpulannya adalah, anda tidak harus cepat berputus asa sekiranya kerap menemui kegagalan kerana mungkin anda terlupa dengan faktor yang saya sebutkan di atas. Dan sekiranya anda telah berjaya, jangan leka dengan kemewahan, sebaliknya sentiasalah ingatkan Allah dan bersyukur dengan rezeki kurniaanNya. InsyaAllah perniagaan anda akan terus bertambah maju.

Dan sekiranya anda juga pernah mengalami keajaiban-keajaiban ketika menguruskan perniagaan, bolehlah kita kongsi di ruangan komen.

Silakan….

Monday 16 April 2007

WALK TOGETHER

Don't walk in front of me, I may not follow...
Don't walk behind me, I may not lead...
Just walk beside me and be my friend.

Friends come in all shapes and size
but their hearts are always BIG.

Where friendships blossoms
a garden of love will grow.

No matter the distance between them.
Friends stay close at heart.

If all the world had a friend,
what a wonderful world it would be!

Walk together, hand in hand.


PESTA PANCING PORT DICKSON 2007 MERIAH

PESTA Pancing Port Dickson 2007 telah berjaya dianjurkan dengan meriah sekali. Ianya dapat menarik lebih daripada 700 kaki pancing dari seluruh negara menyertainya.

Pesta tersebut yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan Persatuan Nelayan Bagan Pinang telah diadakan di sepanjang Pantai Bagan Pinang. Dikhabarkan sepanjang 2 Km pantai tersebut telah dipenuhi dengan kaki pancing dan peminat-peminatnya.


YB Sdr. Mohd Faizal bin Ramli, ADUN Bagan Pinang yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri (memakai topi BN di tengah) sedang bersedia untuk melancarkan pesta tersebut.


OK, sekarang boleh mula!


Kaki pancing yang memenuhi Pantai Bagan Pinang.


Kaki pancing yang berada berdekatan dengan Avillion Village Resort.


Nasib baik ada khemah, kalau tidak `masak' kerana cuaca panas pada hari tersebut.


DJ bertugas pada hari tersebut.


Antara yang mengambil bahagian, Pak Cik Kahar.


Jiboy dan kawannya.


Antara peserta yang bersemangat pada hari tersebut.


Peniaga-peniaga pun tak menang tangan pada hari tersebut. Rezeki Kak!


Peniaga `chicken wing' panggang pun tak menang tangan.


Pesta yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan yang berjumlah RM13,000.00 dan hamper-hamper tersebut akhirnya dimenangi oleh En. Ayob Mat Usup, 43, iaitu seorang pemandu di stesen Janakuasa Tuanku Jaafar TNB dengan menaikkan ikan caping belang seberat 4.4 kilogram. Beliau membawa pulang wang tunai RM7,000.00 .

Tempat kedua pula di menangi oleh seorang suri rumah, Rosni Aris dari Kampung Baru Si Rusa dengan menaikkan ikan daun baru seberat 565 gram. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.00 .

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Ali Sakeh, 46, yang berjaya menaikkan ikan Bayan seberat 450 gram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00 .

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo bertindak sebagai media rasmi pada pesta kali ini.