ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 27 April 2007

TIPAH TERTIPU


BANGSA Melayu memang terkenal dengan sikap pemurah, mudah simpati, sedia menghulurkan bantuan, sanggup berkorban apa saja dan banyak lagi sikap-sikap mulia yang kita banggakan.

Tetapi sedarkah kita kerana sikap-sikap asas kemanusiaan itulah, menjadikan kita sasaran mudah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi kepentingan diri mereka.

Pelaburan internet, memang hebat bunyinya. Dengan berbekalkan propaganda kononnya itulah e-perniagaan atau perniagaan yang berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT), mereka dengan mudah memperdayakan sebahagian daripada kita, khasnya mereka yang baru kenal dengan internet.

Walhal harus diingat apa yang dikatakan e-perniagaan adalah perniagaan yang menawarkan barangan atau perkhidmatan yang urusniaganya dilakukan secara dalam talian atau online.

Semua orang tahu bangsa kita memang terkenal dengan sifat ingin menjadi kaya dengan cara yang mudah. Oleh itu mereka yang tidak bertanggungjawab ini mencipta satu skim yang mudah diterima kononnya itulah jalan pintas untuk kita mencapai impian.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, tidak hairanlah dalam masa yang singkat, skim ini telah berjaya menyerap ke dalam seluruh urat nadi bangsa kita.

Pergilah ke mana saja, sama ada pejabat kerajaan, kafe siber, kedai kopi atau balai polis sekalipun, topik inilah yang hangat di perkatakan sekarang.

Walaupun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa pelaburan melalui internet yang tiada hujung pangkal ini adalah haram tetapi itu semua tidak diendahkan oleh kumpulan ini.

Mereka nampaknya masih ghairah, hukum hakam di tolak ke tepi walaupun dengan hanya sekali pandang sudah cukup jelas bahawa pelaburan seumpama ini sememangnya meragukan ditambah dengan unsur-unsur yang kabur lagi dongeng serta pulangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ia diperlihatkan seolah-olah mampu memperkayakan sesiapa sahaja dalam masa yang singkat tetapi hakikat sebenarnya adalah penganjur-penganjur skim inilah yang menjadi kaya raya. Mereka ini sebenarnya telah membuat kajian betapa orang kita begitu mudah untuk diperdayakan.

Kalau di lihat dari segi sejarah, kita tidak harus terus-terusan di tipu, sejak awal 1980-an lagi, media telah melaporkan kegiatan penipuan yang dianjurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pada ketika itu dianggarkan jumlah pelaburan orang ramai di dalam beberapa skim cepat kaya mencapai angka RM1.4 bilion. Yang terbesar sudah tentulah skim Pak Man Telo.

Ketika itu dilaporkan bahawa ramai mereka yang bergaji besar termasuk doktor melepaskan jawatan untuk menjadi penganjur skim. Kakitangan awam pula sanggup bersara awal gara-gara skim tersebut.

Tetapi yang menyedihkan adalah apabila skim tersebut runtuh, ada laporan mengatakan ramai yang rumah tangga mereka turut musnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang dikatakan menjadi gila selepas hasil simpanan, harta dan rumah lesap gara-gara melabur dalam skim tersebut.

Pada tahun 1990-an pula kita dikejutkan dengan sindiket black money dari Afrika. Dilaporkan beratus-ratus orang telah menjadi mangsa penipuan yang melibatkan kerugian bernilai berjuta-juta ringgit.

Selain daripada itu kita juga tertipu dengan skim gores dan menang, khidmat pesanan ringkas (SMS) Akademi fantasia dan yang terbaru ganjaran wang tunai yang kononnya di tawarkan oleh Petronas dan syarikat telekomunikasi seperti Maxis, DIGI dan Celcom.

Setiap hari juga kita tertipu dengan bermacam bentuk derma yang menggunakan nama menteri, wakil rakyat, NGO, pertubuhan kebajikan, sekolah, kuil dan masjid. Ada juga yang sanggup menipu dengan menganjur pelbagai program di atas nama `misi nasional’ untuk mengaut keuntungan mudah.

Yang paling menyedihkan ada juga yang sanggup menderma kepada kumpulan yang mendakwa untuk membiayai projek membina kapal bagi kegunaan semasa banjir besar dengan membuat andaian Hari Kiamat sudah hampir tiba.

Sedarkah kita bahawa `industri-industri’ ini telah berkembang dengan pesatnya di negara kita adalah sebahagiannya kerana sikap-sikap kita yang lemah, mudah simpati dan amat mengasihani.

Kita sepatutnya sudah cukup maklum bahawa semua penipu tidak akan mengaku diri mereka menipu. Pokok pangkalnya terletak pada diri sendiri. Pengalaman-pengalaman lalu seharusnya menyedarkan kita. Selalunya kita tertipu kerana sikap tamak kita apabila berhadapan dengan peluang-peluang mudah untuk menjadi kaya.

Akhirnya artikel hari ini saya sudahi dengan satu peringatan untuk kita semua. Iaitu tiada shortcut untuk menghasilkan kejayaan, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh adalah kunci kepada kejayaan.

Agama kita sememangnya menggalakkan kita berniaga tetapi perniagaan itu mestilah jelas, bermakna ada barang yang di jual atau ada perkhidmatan yang di tawarkan. Dan yang lebih penting adalah barang yang di jual dan perkhidmatan yang di tawarkan tersebut adalah yang di benarkan syariah.

Selain daripada itu, sanggupkah kita makan duit haram?

Jangan sampai "Tipah tertipu lagi bang……….!!"

4 comments:

Anonymous said...

Betul tu!, kita tak sudah-sudah di tipu kerana ketamakan kita.

JimieRay said...

Tipah memang suka tertipu sebab tak kayo2 lagi... Huu.huu... Saya setuju dengan pendapat Ros. Itulah sikap orang kita yg malas nak berusaha tapi nak kaya. Bestkan dok goyang2 kaki jer duit masuk, tak payah buat apa2.
Lagi satu skrg ni skim buat duit dengan surat berantai (wang pos) mula aktif kembali. Alahaiiii...tertipu lagi si tipah tu!

Roshatika said...

Jimie, Tipah janji tak akan tertipu lagi?

Asa Loan said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, jadi Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com


Asa loan lending company are ready to loan you any amount you need to start up your personal business. we give out loan at 3% interest rate, so Kindly apply for agricultural farming loan. if you need loan contact our email:asaloantransfer@gmail.com, you can also contact this email:finance_institute2015@outlook.com