ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 6 April 2007

ARTIKEL BACARIA BERNIAT JAHAT

(BACARIA 4 April 2007)

SAYA sebagai anak jati Port Dickson merasa tersinggung, apabila membaca artikel ini. Saya tidak ada kena mengena dengan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) atau kontraktor yang menjalankan kerja-kerja MPPD tetapi Saya tidak rela tanah bertuah ini diperlekehkan sebegitu. Disaat-saat mendapat jolokan Pantai Peranginan Negara dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2007, artikel sebegini sudah tentu memberikan kesan buruk.

Apakah agenda sebenar penulis ini?. Saya bukanlah seorang yang pandai di dalam bidang penulisan tetapi tidak juga bodoh untuk menilai sesuatu artikel itu yang ditulis secara sambil lewa dan bersifat peribadi atau lebih tepat lagi terlalu beremosi dengan menenggelamkan fakta sebenar.

Kerana ingin mengulas keceluparan artikel ini, saya terpaksa membazirkan masa saya sehari dua ini untuk melihat sendiri apa yang digambarkan oleh penulis tersebut. Hasilnya, Port Dickson adalah jauh lebih baik daripada apa yang digambarkan.

Di dalam artikel tersebut dikatakan terdapat empat aspek yang perlu diberi perhatian iaitu aspek kebersihan, masalah tandas awam yang tidak terurus walaupun dikenakan bayaran, vandalism dan juga keselamatan. Tetapi dari penelitian saya aspek keselamatan langsung tidak di ulas oleh penulis ini.

Dari aspek kebersihan dinyatakan, tahap kebersihan yang rendah tentunya akan membawa cerita negatif Malaysia ke luar Negara dan mengakibatkan kurangnya kemasukan pelancong asing di Negara ini. Persekitaran Port Dickson dikatakan dipenuhi dengan longgokan sampah yang tidak di masukkan ke dalam tong dan dikatakan ramai pengunjung yang terpaksa berkelah di celahan sampah.

Dari pemerhatian saya, Port Dickson langsung tidak seperti yang digambarkan walaupun saya tidak nafikan aspek kebersihan tidak mencapai standard seratus peratus. Kenyataan ramai pengunjung yang terpaksa berkelah di celahan sampah, adalah keterlaluan, tidak bertanggungjawab dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Kalau anda ke tapak Pasar Malam Batu Empat selepas waktu perniagaan sudah tentu anda akan dapat melihat banyak longgokan sampah yang sedang dibersihkan oleh pekerja-pekerja MPPD. Begitu juga sekiranya anda datang pada waktu-waktu puncak seperti cuti Tahun Baru Cina atau cuti Hari Pekerja, sudah tentu keadaan diluar kawalan akan berlaku untuk seketika. Bukan setakat sampah-sarap tetapi lalu lintas juga tidak dapat di kawal.

Bayangkanlah dari Bandar Port Dickson ke Telok Kemang yang biasanya mengambil masa 30 minit boleh mencapai sehingga 2 jam pada masa-masa puncak tersebut.

Kalau hendak dikatakan MPPD mengabaikan tugas, saya pernah melihat pekerja-pekerja menjalankan kerja-kerja pembersihan sehingga 24 jam sehari, disekitar pantai-pantai yang ramai pengunjung seperti Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Telok Kemang. Dan sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan pekerja-pekerja terus mengutip sampah-sarap yang dibuang pengunjung dengan serta merta untuk kawasan yang seluas Port Dickson.

Kenyataan yang mengatakan tong-tong sampah tidak mencukupi juga adalah tidak tepat. Dari pemerhatian saya berpuloh-puloh tong sampah di sediakan di sepanjang pantai peranginan ini. Masalah longgokan sampah bukan berpunca dari tong-tong yang tidak mencukupi tetapi kerana sikap pengunjung itu sendiri yang ingin senang mencampakkan sahaja sampah-sarap di luar tong walaupun tong masih kosong.

Dari aspek kebersihan tandas yang tidak terurus walaupun di kenakan bayaran, saya tidak tahu pengarang tersebut menujukan kepada tandas awam yang mana satu. Mengikut tinjauan saya, tandas awam Bandar Port Dickson, tandas awam Pantai Bagan Pinang, tandas awam R & R Seri Bayu dan beberapa tandas awam di Pantai Telok Kemang berada dalam keadaan baik walaupun tidak mencapai standard hotel 5 bintang.

Dari aspek vandalism pula, memang ini masalah di mana-mana sekarang, bukan di Port Dickson sahaja. Walaubagaimanapun tidak lah seteruk seperti yang di gambarkan, kerana penguatkuasa MPPD bertugas 24 jam sehari menjalankan rondaan di sekitar kawasan pantai. Dan kita sudah tentu tidak boleh menyekat kemasukan pengunjung hanya kerana ingin mengelakkan masalah vandalism.

Bagi membuktikan penulis artikel ini tidak membuat kajian teliti adalah, apabila beliau menyatakan pihak Bacaria telah menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Kemang, Datuk T. Rajagopalu. Sebenarnya ADUN Telok Kemang adalah jawatan yang tidak wujud. Datuk T. Rajagopalu adalah ADUN Port Dickson.

Manakala ADUN yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap kawasan pantai peranginan adalah ADUN Bagan Pinang iaitu Y.B Saudara Mohd Faizal bin Ramli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri.

Adalah tidak adil penulis menilai Port Dickson dengan hanya melihat selonggok sampah (seperti gambar) tanpa menilai faktor-faktor positif lain dan terus memberikan penarafan Port Dickson sebagai lokasi pelancongan paling buruk.

Kami tidak perlu publisiti yang melangit tetapi cukuplan sekadar laporan yang adil dan menggambarkan keadaan yang sebenar. Kami disini sebenarnya sedang berusaha bersungguh-sungguh dengan merancang berbagai-bagai aktiviti menarik untuk memeriahkan lagi Bandar peranginan ini dan seterusnya memberikan kepuasan kepada pengunjung.

Akhir sekali saya berharap pihak Bacaria akan membuat pembetulan kepada artikel ini kerana bukan sahaja menjatuhkan imej Port Dickson sebagai Pantai Peranginan nombor satu negara tetapi juga memberi kesan buruk kepada peniaga-peniaga yang berniaga disekitar pantai peranginan ini.

Sekiranya pembetulan tidak di buat, akhbar ini akan kehilangan sekurang-kurangnya seorang pembaca setia iaitu saya sendiri.

Terima kasih.

(Saya akan sertakan gambar-gambar terbaru sekitar Port Dickson di dalam artikel yang akan datang bagi membuktikan Pantai Peranginan ini tidak seburuk seperti yang digambarkan)

6 comments:

Anonymous said...

Saya pernah beberapa kali berkunjung ke Port Dickson tetapi tidak pernah pula melihat para pengunjung berkelah di celahan sampah.

Anonymous said...

Hujung minggu lepas saya ke Port Dickson, Aspek kebersihan dan tandas awam tidak lah begitu mengecewakan tetapi dari segi kepelbagaian kedai makan tidak ada. Yang saya jumpa kebanyakan kedai Tomyam aje. he! he!

Ahmad Uzair said...

mana ader kotor.Aku orang PD.Ni semua nak kondem.Cakap pakai kepala lutut.

Anonymous said...

Kekurangan PD adalah tiada restoran-restoran masakan barat, itali dan arab, kat hotel 5 bintang tak tahu lah pulak.

Roshatika said...

Saya bersetuju sekiranya Port Dickson dikatakan tiada kepelbagaian restoran, memang betul disepanjang pantai peranginan saya pun tak perasan adanya restoran yang menyajikan masakan barat atau masakan arab.

Anonymous said...

port dickson will be a nicer plc if u have more entertaiment spots . nite time there isnt any nice place to chill out