ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday 14 April 2007

BERNIAGA ATAU MAKAN GAJI

APABILA anda bertanya kepada mereka yang makan gaji, apakah yang mereka akan lakukan sekiranya diberikan wang RM1 juta, sudah tentu jawapannya adalah “saya akan beli rumah, beli kereta, pergi melancong dan sebagainya” TETAPI sekiranya anda bertanya kepada ahli perniagaan soalan yang sama, sudah tentu jawapannya adalah “Saya akan jadikannya RM2 juta”.

Kesimpulannya mereka yang makan gaji sentiasa berfikir untuk berbelanja tetapi mereka yang berniaga pula sentiasa berfikir bagaimana untuk menggandakan wang mereka. Keadaan sebegini memang menjadi lumrah kerana mereka yang makan gaji merasa terjamin dengan pendapatan mereka tetapi tidak bagi mereka yang berniaga.

Bagi saya kedua-dua pekerjaan tersebut adalah mulia, kerana anda semua mencari nafkah dengan cara yang halal. Tetapi yang lebih penting prestasi perkerjaan kita akan lebih baik sekiranya perkerjaan tersebut adalah berkaitan dengan sesuatu yang kita sukai. Daripada situlah sebenarnya kita akan mendapat kepuasan.

Percayakah anda sekiranya saya katakan di luar sana, ramai mereka yang makan gaji sebenarnya berbakat di dalam bidang perniagaan, tetapi kerana halangan tertentu seperti tidak sanggup menghadapi cabaran, tiada keyakinan diri, kekurangan modal dan juga tidak tahu perniagaan apa yang harus diceburi, mereka memilih untuk makan gaji, walaupun sebenarnya jiwa mereka melonjak-lonjak untuk memulakan perniagaan.

Semua orang tahu 9/10 sumber rezeki adalah dari hasil perniagaan tanpa mereka sedari cabaran berniaga juga adalah 9 kali ganda. Aku ingat lagi ada seorang kakak kenalanku yang juga seorang ahli perniagaan pernah berkata “Sekarang akak dah tahu kenapa Tuhan sediakan 9/10 rezeki dari hasil perniagaan, kerana peningnya pun 9 kali ganda”. Begitulah nasib mereka yang berniaga, seperti aku ini, bukan kata tak rajin dan rasanya dah bekerja keras, tetapi nak kata berjaya, jauh lagi rasanya…..

Tetapi kalau semua orang tidak mahu berniaga, apa akan jadi kepada bangsa kita. Puncanya mungkin kesilapan kita juga. Pada suatu masa dahulu, pelajar-pelajar bangsa kita yang pandai diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan kemudian dikenakan kontrak berkerja 10 tahun dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dengan kata lain yang pandai-pandai makan gaji dan yang gagal atau tidak habis belajar menceburi perniagaan. Adakah bidang perniagaan ini hanya untuk anak-anak muda kita yang tidak lulus belajar?. Persepsi tersebut masih digunakan di dalam masyarakat kita sehingga sekarang dimana masyarakat memandang perniagaan adalah perkerjaan class kedua dan hanya untuk mereka yang gagal. Saya tidak nafikan ramai ahli perniagaan yang berjaya sekarang adalah mereka yang tidak sekolah tinggi. Tapi itulah persepsi masyarakat….

Kalau tidak percayakan saya, anda semua boleh bertanya kepada girlfriend masing-masing, siapa yang mereka pilih di antara yang bertali leher, berpakaian kemas dan berkerja di pejabat, walaupun statusnya hanyalah seorang kerani dengan ahli perniagaan yang bersahaja tetapi poket berisi?. Saya pasti mereka akan memilih yang bertali leher, berpakaian kemas dan berkerja di pejabat walaupun gajinya hanya cukup-cukup makan.

Inilah pengalaman yang saya perolehi sepanjang mengambil mereka yang lepasan ijazah berkerja dengan saya. Setelah penat saya melatih dan memberi tunjuk ajar kepada mereka dengan harapan untuk melihat mereka menjadi ahli perniagaan pada suatu hari nanti, setiap kali itulah saya akan kecewa, mereka akan tetap memilih untuk makan gaji walaupun gaji yang saya tawarkan lebih tinggi. Mereka tidak sanggup berhadapan dengan keluarga dan masyarakat yang masih memandang rendah kepada mereka yang berniaga.

Inilah yang menjadi cabaran kepada anda semua untuk mengubah persepsi masyarakat supaya mengiktiraf bidang perniagaan adalah satu bidang perkerjaan yang dipandang tinggi. Itulah sebabnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mencipta slogan `Keusahawanan Adalah Kerjaya Pilihan’ bagi menyedarkan kita semua, berniaga juga adalah satu bidang kerjaya yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Selepas ini saya berharap lebih ramai cerdik pandai bangsa kita akan menceburi bidang perniagaan. Dengan cara ini sahajalah kita akan dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Dalam erti kata lain, kita juga mempertaruhkan `ayam jaguh’.

Sekiranya anda telah bergelar ahli perniagaan dan anda memang berminat untuk bergelar ahli perniagaan, anda sebenarnya telah berjaya mengubah keegoan diri anda untuk makan gaji, tetapi apa yang perlu anda buktikan adalah, adakah anda telah berjaya mengubah persepsi masyarakat untuk menerima perkerjaan anda?.

Sama-samalah kita fikirkan….. Apa pendapat anda?.

5 comments:

Anonymous said...

Teransang betul bila baca post kak ni. Saya baru2 ni menghadiri kursus usahawan siswazah anjuran PUNB-Prosper.IsyaAllah bakal bergelar usahawan.

Anonymous said...

Bagi saya perniagaan is an art :P hehe sebab apa yang kita bentuk itulah hasilnya :)

Kalau kita bentuk kena caranya maka hasilnya pun akan lumayan. Kalau nak saya kemukakan hujah kenapa baik berniaga terlampau banyak :)

Roshatika said...

Bidang perniagaan memang memerlukan orang seperti anda berdua, teruskan usaha kalian.

Terima kasih.

TeacherNunu said...

kak, sy memang tak minat niaga..hahaha tak tahula naper.passion to be ateacher..:) tapi kan kak..betulke org kate org melayu ni kalu nak niaga mesti amek bidang makanan..diorg tak nak take risk bidnag lain.tul ke kak?

Roshatika said...

Yang akak nampak, orang melayu pun sekarang ni telah menceburi berbagai bidang perniagaan.

Seperti yang ada pada hari ini seperti peruncitan, CC dan bidang-bidang profesional yang lain.

Tetapi yang menonjol bidang makanan lah sebab orang melayu susah nak makan di kedai mereka beragama lain.

Cuba orang juga berbelanja di kedai melayu untuk bidang-bidang lain, dah tentu bidang-bidang tu juga akan di kuasai oleh orang melayu.