
Hari ini saya bukannya ingin menghuraikan perkara tersebut dengan panjang lebar tetapi saya tertarik untuk membandingkan keadaan yang dialami oleh Tun Dr. Mahathir dengan veteran-veteran UMNO yang mengalami nasib yang sama di DUN Bagan Pinang ini. Keadaan mereka nampaknya lebih teruk kerana mereka kesunyian, terpinggir, tidak dipedulikan dan merasakan perjuangan mereka tidak dihargai. Yang lebih menyedihkannya mereka tiada saluran untuk meluahkan perasaan mereka. Walaupun mereka berdiam diri dan tidak mengkritik, tetapi kita sebagai pemimpin generasi hari ini haruslah sedar kerana dengan perjuangan merekalah kita dapat mewarisi parti yang kuat yang sama-sama kita nikmati pada hari ini. Saya teringat semasa minum petang pada beberapa hari yang lepas di Restoran S & Mohamed yang terletak di pekan Port Dickson, Kebetulannya duduk disebelah saya adalah seorang veteran UMNO yang saya kenali dan masih memegang jawatan yang agak penting dicawangan UMNO Taman Sri Pinang. Beliau sedang asyik membaca sebuah akhbar tabloid. Kalau tak silap saya tajuknya lebih kurang bermaksud Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh akan bergabung bagi menghadapi Pak Lah di dalam pilihanraya umum akan datang. Asyik sekali beliau membacanya, nampaknya beliau gembira sangat dengan berita tersebut sekiranya menjadi kenyataan. Saya cuba meminta penjelasan daripada beliau tetapi disergahnya, `Engkau apa tahu, engkau budak lagi, aku ni yang dah tua, yang dah banyak taburkan jasa, tapi engkau tengok, siapa yang pedulikan aku?. Saya terdiam tetapi saya dapat menyelami perasaan beliau. Sebenarnya beliau kecewa dengan pemimpin-pemimpin generasi baru yang tidak mempedulikan veteran-veteran yang pernah berjasa kepada parti. Di dalam hatiku berkata, beginilah agaknya perasaan Tun Dr. Mahathir. Mereka-mereka ini bukannya tidak menyokong parti tetapi bersimpati dengan Tun Dr. Mahathir yang mereka rasa boleh mewakili suara mereka. Sebab itulah ada lapuran yang menyatakan ramai diantara mereka yang menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah merupakan golongan veteran UMNO.
Daripada perkara-perkara tersebut dapatlah disimpulkan bahawa veteran-veteran UMNO ini sebenarnya memerlukan perhatian daripada kita semua. Fahamilah perasaan mereka yang kesunyian dan rasa terpinggir. Hayatilah jasa-jasa mereka kerana parti yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada perjuangan mereka dahulu. Saya teringat satu cerita daripada bapa mertua saya yang tinggal di Kelantan tentang susahnya perjuangan mereka dulu untuk menegakkan parti. Untuk keperhimpunan Agong UMNO yang diadakan di Kuala Lumpur pun memakan masa dua hari kerana tiada jalan darat sepenuhnya, tetapi terpaksa juga merentasi sungai-sungai dengan menggunakan feri. Alkisahnya pada suatu hari rombongan daripada Kelantan ni yang nak ke perhimpunan Agong UMNO tertidur di perjalanan kerana terlalu penat. Mereka kemudiannya tersedar setelah sekumpulan kambing datang menjilat peluh mereka. Bayangkanlah kesengsaraan mereka dulu didalam memperjuangkan parti sehingga dijilat kambing. Itu belum dikira betapa susahnya menghadapi parti lawan disana.
Oleh itu saya menyeru kepada pimpinan peringkat DUN Bagan Pinang khasnya kepada YB ADUN Bagan Pinang supaya kerap-keraplah menjengok veteran-veteran UMNO yang sebenarnya telah lebih dulu menaburkan jasa. Sediakanlah program-program untuk mereka seperti program `Jasamu dikenang' supaya mereka rasa dihargai dan mereka ada saluran untuk meluahkan perasaan mereka. Dekatilah dan dampingilah mereka kerana mereka telah membuktikan kesetiaan mereka kepada parti tidak pernah berbelah bagi. SELAMAT BERJUANG!.
No comments:
Post a Comment