ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday, 3 November 2007

JANGAN BERTANGGUH

Seorang lelaki yang sedang tidur di bawah pohon epal dikejutkan dari lenanya apabila sebiji apel gugur dan menimpa badannya. Lelaki ini lalu berfikir kenapa buah tersebut jatuh ke bawah. Bagi kita manusia biasa, jatuh kebawah adalah lumrah. Namanya pun jatuh, mestilah ke bawah. Tidak perlulah kita menyusahkan pemikiran kita untuk berfikir berkenaan perkara tersebut.

Tetapi bagi lelaki yang bijak ini, perkara tersebut menjadi luar biasa. Daripada pemikirannya, maka wujudlah teori tarikan graviti bumi yang terkenal tersebut. Dan lelaki itu ialah Newton iaitu seorang ahli fizik daripada Eropah. Cuba bayangkan sekiranya bumi tiada tarikan graviti, sudah tentu kehidupan kita adalah sama seperti di angkasa. Keadaan ini pernah dirasai oleh angkasawan kita, Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang berada 11 hari di angkasa tempohari.

Saya teringat kisah Newton dan teori tarikan graviti bumi ini adalah kerana pada suatu hari ketika saya sedang berjalan-jalan di bawah pohon mangga tiba-tiba sebiji mangga jatuh dan terkena kepala saya. Pada mulanya saya fikir perkara tersebut biasa sahaja. Tetapi bila saya amati buah yang gugur dan terkena kepala saya tersebut adalah buah yang muda. Buah tersebut sepatutnya memerlukan proses fisiologi yang lebih lama sebelum gugur.

Fikiran saya mula bertanya. Kenapa yang muda? Bukankah ada banyak lagi mangga yang lebih tua layak gugur dahulu. Di ketika itulah saya tersedar pemikiran manusia adalah jauh berbeza dengan kehendak Yang Maha Esa. Kita berhak berkata begini dan begitu tetapi kehendak Allah yang akan menentukan segalanya. Dalam erti kata lain, semua yang berlaku di dunia ini adalah di dalam lingkup qada dan qadarNya. Gugurnya mangga muda tersebut bukan hanya kerana tiupan angin tetapi adalah kerana kehendakNya.

Syukur kepada Allah kerana jatuhnya mangga muda dan terkena kepala saya tersebut telah mengingatkan saya kepada kematian iaitu satu perkara yang pasti akan tiba. Dan yang lebih penting menyedarkan saya bahawa kematian itu tidak mengira usia tua atau muda. Ajal itu akan tiba dan tidak ada satu makhluk pun yang mengetahui masanya.

Oleh itu di sini saya ingin mengambil kesempatan berpesan kepada diri saya sendiri dan adik-adik saya di luar sana yang sentiasa berfikir masa muda adalah masa untuk berseronok dan apabila tiba masa tua barulah ingin melakukan amal kebaikan, supaya mengubah pendirian tersebut.

Janganlah bertangguh untuk membuat amal kebaikan kerana hidup kita tidak dijamin akan sampai kepada masa tua. Mungkin esok ataupun lusa, kematian akan menjemput kita tanpa mengira berapa usia kita.


2 comments:

13may said...

menarik entri nih...

tima kasih :)

Roshatika said...

Saya menulis entri ni selepas berselisih dengan adik-adik saya di luar sana yang sedang melakukan lumba haram.