ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday 20 April 2008

PULIHKAN INSTITUSI KEHAKIMAN

KALAU kita masih ingat 20 tahun yang lepas iaitu pada tahun 1988, ketika itu saya masih dibangku persekolahan, negara kita dikejutkan dengan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Mohd. Salleh Abas. Pemecatan ini telah menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan seterusnya peristiwa tersebut menghantui negara sehingga ke hari ini kerana dilakukan dengan cara yang salah.

Walaupun 20 tahun telah berlalu, kesannya masih lagi terasa dan tidak pernah sembuh sepenuhnya. Sehingga ke hari ini peristiwa tersebut masih diperbincang dan diperdebatkan. Ini ditambah apabila pada tahun 2006, Majlis Peguam menyuarakan supaya detik hitam tersebut di semak semula. Perkara ini dihangatkan lagi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan meminta maaf dan membayar ganti rugi kepada Tun Mohd. Salleh Abas, Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh yang turut di pecat.

Kalau kita imbas semula, peristiwa ini adalah kesan daripada pemilihan UMNO pada tahun 1984 dimana berlaku perebutan jawatan Presiden diantara YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di dalam pertandingan tersebut YBM Tengku Razaleigh yang memperolehi 718 undi tewas kepada Tun Mahathir yang memperolehi 761 undi iaitu kelebihan 43 undi sahaja.

Kerana majoriti yang sedikit, penyokonh-penyokong YBM Tengku Razaleigh tidak berpuas hati dan 12 ahli UMNO yang dipercayai penyokong YBM Tengku Razaleigh memulakan saman di Mahkamah Tinggi memohon mahkamah mengisytiharkan pemilihan tersebut sebagai tidak sah dan pemilihan semula mesti dilakukan. Mereka mendakwa pemilihan tersebut dicemari oleh 78 daripada 1,479 perwakilan adalah tidak sah kerana datang daripada cawangan yang tidak berdaftar.

Setelah beberapa langkah dan perbincangan menemui jalan buntu, akhirnya Hakim Harun Hashim yang mengendalikan kes tersebut mengisytiharkan bahawa UMNO adalah pertubuhan yang tidak sah berdasarkan bukti-bukti jelas yang dikemukakan.

Apabila UMNO di isytiharkan pertubuhan tidak sah, Tun Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru manakala YBM Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Disinilah bermulanya perbalahan diantara Tun Dr. Mahathir dengan hakim-hakim kanan sehingga kerajaan meminda artikel 121 dan 145 perlembagaan yang mengurangkan kuasa badan kehakiman dan juga menghadkan bidang kuasa Peguam Negara.

Tun Mohd. Salleh Abas yang mewakili para hakim menpertahankan badan kehakiman, kemudiannya mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agung dan beberapa Sultan yang lain menyatakan kekecewaan dengan tuduhan yang dilemparkan Tun Dr. Mahathir terhadap badan kehakiman.

Dua bulan kemudian beliau digantung tugas dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Abdul Hamid Omar dilantik sebagai Pemangku Ketua Hakim Negara. Tun Mohd Salleh kemudiannya dihadapkan ke tribunal yang dianggotai oleh enam hakim iaitu empat daripada Malaysia, seorang daripada Sri Langka dan seorang daripada Singapura atas dakwaan salah laku. Tribunal tersebut dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Hamid Omar yang memangku tugas Ketua Hakim Negara.

Tun Mohd. Salleh yang diwakili oleh Anthony Lester, kemudianya bertindak balas dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar status tribunal tersebut dari segi Perlembagaan dan beliau turut memohon perintah penangguhan sementara terhadap tribunal itu tetapi semua permohonannya di tolak.

Kemudiannya lima hakim Mahkamah Agung bersidang dan membenarkan perintah sementara menghalang pelaksanaan tribunal tersebut. Perintah tersebut juga kemudiannya di ketepikan dan pada ogos 1988 Tun Mohd. Salleh secara rasminya dipecat daripada jawatan Ketua Hakim Negara. Bukan setakat itu malah lima hakim Mahkamah Agung yang membenarkan penangguhan sementara itu juga iaitu Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah digantung tugas. Pada Oktober 1988 Tan Sri Wan Sulaiman dan Datuk George Seah juga di pecat manakala tiga hakim yang lain dikembalikan.

Rentetan sejarah duka institusi kehakiman tidak hanya berhenti di situ. Sebaliknya sekali lagi diwarnai dengan episod hitam apabila klip video VK Lingam tersebar. Cerita-cerita campurtangan mereka yang berkepentingan di dalam perlantikan hakim-hakim kanan menjadi buah mulut. Malah cerita seorang peguam yang menulis penghakiman bagi pihak hakim begitu mengejutkan. Ini menguatkan lagi tohmahan bahawa wujudnya konspirasi peringkat tertinggi untuk mengatur keputusan mahkamah dalam kes-kes tertentu.

Dan pada hari ini, selepas 20 tahun bukan setakat enam orang hakim yang terlibat di dalam peristiwa 1988 tersebut yang bergembira tetapi saya juga menumpang kegembiraan kerana pada akhirnya kerajaan mengaku telah melakukan kesilapan tersebut dan mengiktiraf sumbangan enam hakim tersebut kepada Negara kerana komitmen mereka menegakkan keadilan.

Kerajaan juga di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan penubuhan suruhanjaya Perlantikan Kehakiman serta bayaran ex-gratia kepada enam orang hakim yang terlibat. Kedua-dua perkara ini bagi memulihkan kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun yang lalu.

Nampaknya penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim ini mendapat sokongan ramai dengan pelbagai pihak meminta disegerakan bagi menghapuskan penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam sistem perundangan. Seterusnya memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat untuk melihat ketelusan dan keadilan dalam sistem kehakiman.

Harapan saya penubuhan suruhanjaya ini akan membawa perubahan terhadap badan kehakiman yang akan memperkukuhkan dan meningkatkan integriti institusi tersebut dan pada akhirnya mengembalikan keyakinan rakyat.

Akhir kata saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lakukanlah apa yang termampu bak kata bagi menghilangkan parut, menyembuhkan luka, memulihkan semangat dan dengannya negara kita mampu didirikan. Jangan pedulikan mereka yang menentang sebaliknya lakukanlah pembetulan-pembetulan kerana Negara yang memerlukannya dan rakyat yang menginginkannya.


1 comment:

Muhamad Affandi Abd Malik said...

saya kagum dengan komen yang berani dan ikhlas dari ahli umno sendiri.Boleh saya katakan semua ahli UMNO sedar akan hal ini tetapi kerana ingin mengekalkan status quo masing-masing menyebabkan tindakan pemimpin tertinggi tidak mampu di tegur.Cukuplah zaman Tun Dr mahathir kita melihat zaman kegelapan badan kehakiman negara kita.Kini pak lah juga dilihat gagal kerana ucapan beliau hanya slogan dan retorik semata-mata.Saya seorang mahisiswa yang menilai segenap perkara berdasarkan ilmu dan bukti.Saya hadir ke ceramah-ceramah pembangkang untuk mendengar hujah mereka.Saya sanggup ke Dun Rantau baru-baru ini untuk menilai sendiri ucapan pemimpin UMNO pada mesyuarat cawangan.Umpama langit dan bumi..di sebelah pakatan rakyat mereka bicara soal ekonomi,bangsa malaysia yang cintakan perlembagaan,kekayaan dikongsi secara adil,ketelusan tetapi di pihak UMno -Barisan nasional masih lagi bicara soal politik sempit perkauman..menakut-nakut kan rakyat marhein terutama bangsa melayu akan kehilangana hak dan ketuanan melayu.saya cabar puan buat perubahan di peringkat cawangan bagan pinang.Percayalah golongan mahasiswa hampir 70% peratus tidak bersetuju dengan tindak tanduk kerajaan.jika keaadan ini tidak berubah saya berani beri jaminan kerajaan akan tumbang pada PRU akan datang.