ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday 29 September 2007

SYUKUR ALHAMDULILLAH

Seperti perancangan yang diberikan oleh Dr. Daud tempohari, semalam aku di masukkan ke wad bersalin ar-Rahmah Hospital Pusrawi. Sepatutnya aku sampai Hospital Pusrawi pada pukul 8.30 pagi tetapi kerana suami tidak berapa sihat kami terlambat 3 jam iaitu aku sampai jam 11.30 pagi.

Apabila sampai, aku terus di bawa ke labour room dan doktor terus induce untuk bersalin. Setelah menunggu lebih kurang 8 jam di labour room, akhirnya pada jam 7.21 petang aku selamat bersalin.

Proses bersalin kali ini aku rasa yang paling sukar kerana baby agak besar, malah yang paling besar diantara anak-anakku yang lain. Siapa sangka Fatimah boleh seberat 4.77 kg dan aku melahirkannya secara normal.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana telah memberikan aku kekuatan untuk melahirkan pada kali ini.

Kepada Dr. Daud dan semua kakitangan Hospital Pusrawi yang terlibat di dalam proses melahirkan semalam aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Begitu juga kepada saudara mara, kawan-kawan dan semua pembaca blog ini, terima kasih banyak-banyak kerana sentiasa mendoakan kesejahteraan aku dan Fatimah.

Rosalimah Fatimah, semoga kelahiranmu membawa sinar. Syukur Alhamdulillah.

Wednesday 26 September 2007

CINTANYA RASULULLAH S.A.W. KEPADA KITA

Pagi itu langit telah mulai menguning tetapi burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah “Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Aku wariskan dua perkara pada kalian iaitu Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintai aku, akan masuk syurga bersama-sama denganku.”

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar menahan naik turun nafas dan tangisnya, Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Saat itu telah datang menandakan saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua” keluh hati semua sahabat yang berada disitu. Manusia mulia itu telah hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia ini. Di saat itu kalau mampu seluruh sahabat yang hadir akan menahan detik-detik yang berlalu.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata “Ketika ajal Rasulullah sudah dekat, baginda mengumpulkan kami di rumah Siti Aisyah r.a. Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air mata lalu bersabda “Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah”.

Allah berfirman “Kebahagian dan kenikmatan di akhirat, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa”.

Kemudian kami bertanya lagi “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?”. Bagainda menjawab “Ajalku telah hampir dan akan berpindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila’la.”

Semenjak hari itu Baginda Rasulullah semakin bertambah sakitnya yang ditanggung selama 18 hari. Setiap hari ramai yang mengunjungi baginda sehinggalah sampai hari isnin dimana baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Pada hari isnin tersebut matahari kian tinggi tetapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Di dalamnya Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Pada hari isnin itu juga Allah telah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya turun menemui Rasulullah dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah memerintahkan Malaikat Maut supaya mencabut nyawa Rasulullah dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka masuklah tetapi sekiranya Rasulullah tidak mengizinkan, maka jangan masuk dan hendaklah kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah. Dia menyamar sebagai orang biasa. Setelah sampai di depan pintu rumah Rasulullah, Malaikat Maut pun memberikan salam “Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah”. Fatimah yang mendengar salam tersebut keluar membuka pintu dan berkata kepada tamunya itu “Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sedang dalam keadaan sakit”.

Malaikat Maut memberi salam lagi “Assalamualaikum, bolehkah aku masuk”?. Akhirnya Rasulullah mendengar suara Malaikat Maut itu lalu baginda bertanya kepada Fatimah “Siapakah yang datang itu?. Fatimah menjawab “Seorang lelaki, saya katakan kepadanya ayahanda sedang sakit tetapi dia memanggil lagi dengan suara yang menggetarkan sukma”.

Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang sayu seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. Setelah itu Rasulullah bersabda “Tahukah kamu siapa dia wahai Fatimah?”. Fatimah menjawab “Tidak tahu ayahanda”. Lalu Rasulullah menjelaskan “Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur”.

Fatimah yang mendengar penjelasan tersebut tidak dapat menahan ledakkan tangisnya. Kemudiannya Rasulullah mempelawa Malaikat Maut masuk dan masuklah Malaikat Maut sambil mengucapkan “Assalamualaika ya Rasulullah”. Rasulullah pun menjawab “Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk menziarahiku atau mencabut nyawaku”.

Malaikat Maut menjawab “Aku datang untuk menziarahimu sekaligus mencabut nyawa. Itupun sekiranya tuan hamba izinkan, jika tidak aku akan pulang”.

Rasulullah bertanya lagi “Wahai Malaikat Maut, di manakah engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?”. Aku tinggalkan dia di langit dunia” jawab Malaikat Maut.

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, maka datanglah jibril dan duduk di samping Rasulullah. Rasulullah pun bersabda “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui ajalku telah sampai?”. Jibril menjawab “Ya, wahai kekasih Allah”.

Seterusnya Rasulullah bersabda “Beritahulah kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku disisinya?. Jibril menjawab “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka dan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu”.

Rasulullah bersabda lagi “Wahai Jibril apa lagi yang disediakan Allah untukku?. Jibril menjawab lagi “Bahawasanya pintu-pintu syurga telah dibuka dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir dan buah-buahan telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu”.

Rasulullah menambah “Wahai Jibril, beritahu lagi apa yang disediakan Allah untukku”. Jibril menjawab “ Aku membawa berita gembira untuk tuan hamba iaitu tuan hambalah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti”.

Kemudian Rasulullah bersabda “Segala puji dan syukur aku panjatkan kepada Tuhanku tetapi wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang mengembirakan aku”.

Jibril kehairanan dan bertanya “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan hamba tanyakan?”. Rasulullah menjawab “Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca al-Quran sesudahku?. Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadan dan apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang menziarahi Baitul Haram sesudahku?”.

Jibril menjawab “Aku membawa khabar gembira untuk tuan hamba. Sesungguhnya Allah telah berfirman “Aku telah mengharamkan syurga bagi semua nabi dan umatnya, sehingga engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu”.

Maka berkatalah Rasulullah “Sekarang tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut, dekatlah kepadaku”. Lalu Malaikat Mautpun berada dekat dengan Rasulullah.

Detik-detik semakin hampir. Malaikat Maut telah bersedia untuk melakukan tugasnya. Perlahan roh Rasulullah di tarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh dan urat-urat lehernya menegang. “Wahai Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini” perlahan Rasulullah mengaduh.

Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah engkau melihatku sehingga engkau palingkan wajahmu wahai Jibril?” Tanya Rasulullah kepada malaikat penghantar wahyu itu. “Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah yang sedang ditimpa sakitnya maut” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah berkata kerana sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semuanya siksa maut ini kepadaku dan jangan pada umatku”. Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya “Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang yang lemah diantara kamu” bisik Rasulullah.

Di luar pintu, tangisan mulai kedengaran bersahutan dan sahabat saling berpelukan. Fatimah menutup wajahnya dengan tangan dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. “Umatku, umatku, umatku” bisik Rasulullah lagi dan berakhirlah hidup manusia mulia yang membawa sinaran. Kini mampukah kita mencintai sepertinya?. Hayatilah betapa besarnya kecintaan Rasulullah kepada kita.

Sunday 23 September 2007

PENGEMIS BUTA DI PASAR MADINAH

Di satu sudut Pasar Madinah terdapat seorang pengemis buta yahudi yang setiap harinya mengemis di kawasan tersebut. Kerana bencinya beliau kepada Baginda Rasulullah s.a.w., maka setiap kali di dekati orang ramai dia akan berkata “wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia gila, pembohong dan tukang sihir. Apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya”.

Namun Baginda Rasulullah s.a.w. tidak mempedulikan kata-kata tersebut, malah setiap pagi Baginda Rasulullah s.a.w. akan membawa makanan untuknya. Tanpa berkata sepatah pun, Baginda Rasulullah s.a.w. akan menyuapkan makanan tersebut tanpa di ketahui oleh pengemis buta itu yang menyuapkannya adalah Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri. Baginda Rasulullah s.a.w. melakukan perkara itu pada setiap hari sehinggalah beliau wafat.

Setelah wafatnya Baginda Rasulullah s.a.w. maka tiada lagi orang yang menghantar makanan kepada pengemis buta Yahudi tersebut sehinggalah pada suatu hari Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. yang merupakan isteri kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Abu Bakar r.a. bertanya kepada anaknya “Anakku, adakah kebiasaan kekasihmu yang belum aku kerjakan?. Aisyah r.a. menjawab “wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tiada satu kebiasaannya pun yang ayah belum lakukan kecuali satu perkara sahaja”.

Abu Bakar r.a. bertanya lagi “apakah perkara itu wahai anakku, beritahulah”. Aisyah menjawab “setiap pagi Baginda Rasulullah s.a.w. akan pergi ke Pasar Madinah membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi yang terdapat di sana”.

Keesokan paginya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk pengemis buta Yahudi tersebut. Abu Bakar r.a. mendekati pengemis itu dan memberikan makanan yang di bawanya. Ketika dia mula menyuapkannya, si pengemis itu marah dan mengherdik “siapakah engkau?” tanya pengemis itu.

Jawab Abu Bakar r.a “akulah, orang biasa yang selalu membawa makanan untuk kamu”. “Bukan!, engkau bukan orang biasa yang mendatangi aku”. bantah pengemis buta itu. “orang biasa yang mendatangi aku apabila dia kemari, tanganku ini tidak perlu memegang dan mulutku ini tidak susah untuk menguyah. Dia akan memicit-micit makanan tersebut sehingga halus sebelum menyuapkan aku” pengemis itu memberikan penjelasan.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air mata apabila mendengar penjelasan tersebut. Beliau menangis kerana sangat terharu dengan sikap mulia Baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun Baginda Rasulullah s.a.w. seorang pemimpin umat tetapi beliau sanggup membawa makanan, memicit-micit sehingga halus dan menyuapkan seorang pengemis buta yang kotor dan miskin.

Sambil menahan tangisnya Abu Bakar r.a. berkata “aku memang bukan orang biasa yang mendatangi kamu tetapi aku adalah salah seorang sahabatnya. Orang mulia yang selalu mendatangi kamu itu sudah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”

Pada saat itu juga pengemis tersebut menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan kemudiannya berkata “benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya tetapi dia tidak pernah memarahiku sedikitpun. Setiap pagi dia akan membawakan aku makanan. Dia begitu mulia sekali…..”

Kerana terharu dengan peribadi Baginda Rasulullah, akhirnya pengemis buta Yahudi tersebut telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Abu Bakar r.a. dan semenjak daripada saat itu dia menjadi seorang muslim.

Friday 21 September 2007

INDAHNYA PERIBADI RASULULLAH S.A.W.

BAGINDA Rasulullah s.a.w akan menampal sendiri pakaiannya yang koyak tanpa perlu menyuruh isterinya, malah Baginda juga memerah sendiri susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk di jual.

Setiap kali Baginda balik ke rumah dan dilihatnya tiada makanan yang siap untuk dimakan, Baginda tersenyum sambil menyinsing lengan baju bagi membantu isterinya di dapur. Sayidatina Aisyah pernah menceritakan bahawa baginda selalu membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, Baginda akan cepat-cepat berangkat ke masjid dan segera pulang selepas bersembahyang.

Pernah pada suatu pagi Baginda pulang ke rumah dengar lapar sekali. Tetapi dilihatnya tiada makanan untuk dibuat sarapan. Makanan yang mentah pun belum ada kerana Sayidatina Aisyah belum lagi ke pasar.

Lalu Baginda bertanya “belum ada sarapan Ya Khumaira?”. Khumaira adalah panggilan manja untuk Sayidatina Aisyah yang bermaksud wahai yang kemerah-merahan. Sayidatina Aisyah menjawab dengan serba salah “belum ada apa-apa Ya Rasulullah”.

Mendengar jawapan Sayidatina Aisyah, Baginda pun berkata “jika begitu aku berpuasa hari ini” tanpa sedikitpun tergambar perasaan kesal di wajah Baginda.

Sebaliknya Baginda sangat marah sekiranya melihat seorang suami mengkasari isterinya. Pernah diceritakan pada suatu hari Baginda melihat seorang suami memukul isterinya. Baginda lalu bertanya “mengapa engkau memukul isterimu?”.

Soalan itu di jawab oleh si suami dengan gementar “isteriku seorang yang keras kepala, walaupun telah di berikan nasihat tetapi dia masih berdegil, jadi aku pukul dia”. Sahut Baginda “Aku tidak bertanya alasanmu tetapi menanyakan kenapa engkau sanggup memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu”.

Pernah Baginda bersabda “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya”.

Sebenarnya sikap Baginda yang prihatin, sabar dan tawadhuk di dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pernah pada suatu ketika, Baginda mengimamkan solat, dilihat oleh para sahabat pergerakan Baginda dari satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Malah mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-seolah bunyi sendi Baginda Rasulullah sedang bergesel diantara satu sama lain.

Setelah selesai sembahyang, Sayidina Umar yang tidak tahan melihat Baginda lalu bertanya “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan hamba sedang menanggung penderitaan yang amat berat, adakah tuan hamba sedang sakit?”.

Lalu baginda menjawab “tidak Umar, Alhamdulillah aku sihat dan segar”. Umar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut terus bertanya “kalau tuan hamba sihat, kenapa setiap kali menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi tuan hamba sedang bergeselan”.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terperanjat. Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang mengandungi batu-batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menerbitkan bunyi setiap kali Baginda menggerakkan tubuhnya.

Para sahabat yang tadinya terperanjat terus bertanya “Ya Rasulullah, adakah tuan hamba fikir bila menyatakan lapar dan tiada makanan, maka kami tidak akan membawanya”.

Lalu baginda menjawab dengan lembut “tidak para sahabatku, aku tahu apapun akan kamu korbankan dengan seorang Rasulmu, tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti kerana aku sebagai seorang pemimpin menjadi beban kepada umatnya”.

Baginda menambah “biarlah kelaparan ini menjadi hadiah Allah buatku agar umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak”.

Sebab itulah Baginda tidak pernah merasa malu walaupun makan di sebelah seorang tua yang miskin, kotor dan dipenuhi dengan kudis.

Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri baginda menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah langsung tidak dijadikan alasan untuk merasa lebih daripada orang lain di depan orang ramai mahupun ketika bersendirian.

Walaupun pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda tetapi Baginda masih lagi berdiri di malam-malam sepi untuk terus beribadah kepada Allah. Pernah Baginda terjatuh kerana kaki-kakinya bengkak oleh sebab terlalu lama berdiri. Fizikalnya sudah tidak mampu lagi menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.

Apabila ditanya oleh Sayidatina Aisyah “Ya Rasulullah, bukankah tuan hamba telah di jamin syurga. Mengapa tuan hamba masih bersusah payah sebegini?”.

Baginda menjawab dengan tenang “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang bersyukur”.

Tuesday 18 September 2007

WANITA DAN RAMA-RAMA

Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.


Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.


Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.


Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.


Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.


Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.


Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.


Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.


Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.


Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.



Nukilan Dr HM Tuah Iskandar al-Haj.



Monday 17 September 2007

SEPOHON SEMALU

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang Pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.


Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.


Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari empat perkara.


Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu pada tempatnya.


Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.


Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.


Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumah apabila waktu semakin senja.


Oleh itu ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.


Saturday 15 September 2007

ANDAINYA INI RAMADAN TERAKHIR

Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tentu siangnya aku sibuk berzikir, tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu, mendayu dan merayu kepada-Nya Tuhan yang satu.


Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tentu solatku akan aku kerjakan di awal waktu, solat yang dikerjakan sungguh khusyuk lagi tawadhu', tubuh dan kalbu bersatu memperhambakan diri mengadap Rabbul Jalil dan menangisi kecurangan janji, "innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin" [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam].


Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tidak akan aku sia-siakan walau sesaat yang berlalu, setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja, di setiap kesempatan juga masa yang terluang, alunan Al-Quran bakal aku dendang dan bakal aku syairkan.


Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tentu malamku aku sibukkan dengan bertarawih, berqiamullail dan bertahajjud, mengadu, merintih dan meminta belas kasih, "sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-Mu, tapi aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-Mu"


Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tentu diriku tak akan melupakan mereka yang tersayang, mari kita meriahkan Ramadan, kita buru...kita cari...suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan.


Andai aku tahu ini Ramadan terakhir, tentu aku bakal menyediakan zahir dan batin, mempersiap diri rohani dan jasmani, menanti-nanti jemputan Izrail, di kiri dan kanan, lorong-lorong redha Ar-Rahman.


Duhai Ilahi, andai ini Ramadan terakhir bagiku, jadikanlah ia Ramadan yang paling bererti, paling berseri menerangi kegelapan hatiku, menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi, semoga bakal mewarnai kehidupanku di sana nanti.


Namun teman, tak akan ada manusia yang bakal mengetahui, apakah Ramadan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya, yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha, bersedia dan meminta belas dari Nya.


Andai benarlah ini Ramadan terakhir buat diriku MAAFKANLAH SEGALA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN TERHADAP KALIAN SEMUA.



RAMADAN MENGGAMIT KENANGAN

Ramadan,

Engkaulah bulan penghulu segala bulan,

Bulan yang dinantikan oleh semua umat Islam,

Ramadan,

Engkau membuka pintu,

Selawat itu memanggil-manggil daku,

Surau dan masjid meriah seluruh Negara,

Kanak-kanak riang bersuka ria,

Janganlah di marahi mereka,

Walaupun datang tidak di suka,

Inilah masa membimbing mereka.

Ramadan,

Engkau membawa seribu kenangan,

Pahit manis yang pernah aku telan,

Di bulan inilah aku pernah melahirkan,

Anak kedua yang aku rindukan.

Ramadan,

Engkau meniup rasa berbeza,

Tidak sama dengan bulan-bulan lainnya,

Terkenang pada yang hilang,

Walaupun suaranya masih terngiang-ngiang,

Memerintah kami menyiapkan hidangan.

Ya Allah,

Semakin dekat aku padamu,

Inilah bulan paling syahdu,

Manis, rindu, sayu dan pilu,

Ketawa dan air mata berpadu.

Thursday 13 September 2007

Wednesday 12 September 2007

MENJELANG KELAHIRAN.....ROSALIMAH FATIMAH

DI MALAM yang syahdu begini, hati mula berdetik diburu kesedihan yang teramat. Bantal disebelahku masih kosong yang menandakan dia belum pulang lagi. Baru aku hubunginya sebentar tadi, masih sibuk dengan urusan perniagaan katanya.

Biarkanlah dia dengan impiannya untuk mencapai cita-cita. Bak kata kawan karibku Waliza, sibuk berkerja itu adalah 100 kali lebih baik daripada sibuk `benda’ lain. Tapi hati perempuan mana yang tidak pernah merasa curiga…..

Air mata ini seakan tiada noktah, perasaan sedih dibuai keresahan di dalam meniti hari-hari yang bakal aku lalui. Semakin hampir dengan saat itu, hati semakin resah.

Walau sekuat mana aku dapat menempuh cabaran selama ini tetapi menanti saat itu adalah sangat mencabar sekali. Bak kata orang waktu itulah aku akan bertarung nyawa demi cahaya mata yang tercinta.

Sudah Sembilan bulan aku lalui penuh tabah, sebagai tanda pengorbanan seorang isteri dan juga seorang yang bergelar ibu. Betapa payah menghadapi hari-hari akhir ini dengan berbagai-bagai cabaran yang mendatang.

Terkilan aku kerana tidak mendapat sentuhan kasih sayang seorang suami yang sentiasa sibuk. Aku sentiasa di tinggalkan keseorangan. Sudah lama tangan kasar itu tidak membelai perutku yang membesar ini dan sudah lama suara garau itu tidak memujuk mesra menenangkan jiwa. Bak kata orang tiada lagi gurau senda yang membahagiakan rasa.

Anakku, betapa sedihnya mama di saat ini, maafkan mama jika kau turut sama merasakannya. Mama tidak bisa lagi menyembunyikan tangisan ini.

Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepadaku agar berhenti mengikut rasa ini. Hanya kepadaMu tempat aku mengadu dan Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku. Permudahkanlah kelahiran kali ini sebagaimana Engkau permudahkan untuk kelahiran-kelahiran yang lepas.

Anakku, janganlah engkau bersedih. Walaupun ayahmu sentiasa sibuk dan tidak dapat membelaimu tetapi mama akan sentiasa berada di sini bersamamu. Percayalah Allah akan sentiasa bersama dengan kita.

Anakku, walau bagaimana kering tandusnya kasih sayang ayah terhadap kita, mama akan terus tabah menghadapinya demi melihatmu lahir ke dunia dengan selamat. Walau betapa sayunya hati mama, tapi mama tahu semangatmu kuat untuk menempuh alam baru. Percayalah, dengan izin Allah kita berdua akan selamat.

Anakku, menjelang saat kelahiran ini, mama tidak sabar untuk menciummu, mendengar tangisanmu, memelukmu dan seterusnya mencurahkan kasih sayang. Biarlah ayahmu sibuk dengan perniagaannya, semua ini Insya-Allah akan kita tempuh berdua sayang.

Air mata ini masih terus menitis. Kesayuan terus menyelubungi disegenap kalbu. Mama masih berharap ayahmu akan berada di sini memberikan semangat, mencurahkan kasih sayang dan memberikan perhatian. Sayangnya semua itu adalah mimpi mama yang tidak kesampaian. Anakku, ketahuilah mama sangat sayang padamu!.

Sekiranya ditakdirkan……….aku akan pergi dengan seribu kerinduan.

Sekiranya ditakdirkan……….aku akan menangisi setiap kesunyian.

Sekiranya ditakdirkan……….aku resah menjelang kelahiran.

Sekiranya ditakdirkan……….aku tewas dengan perasaan.

Sekiranya ditakdirkan……….kasih sayang, cinta dan rindu akan menjadi mimpi yang sendu.


Tuesday 11 September 2007

INIKAH PERJUANGAN YANG KITA CARI?

SEPERTI yang dilaporkan oleh media masa hari ini, satu rusuhan telah berlaku di Batu Burok dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Trengganu yang mengakibatkan empat anggota polis dan dua perusuh cedera. Ianya juga telah menyebabkan kerosakan harta benda awam yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Seperti yang dilaporkan juga seramai 23 perusuh telah di tahan kerana membaling batu, botol, kayu dan bom api ke arah anggota polis serta merosakkan harta benda awam termasuk membakar jalur gemilang.

Perkara ini di katakan berlaku selepas pihak polis mengarahkan orang ramai bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apabila saya mendengar berita ini, saya merasakan seolah-olah sedang berada di Palestin. Jarang sekali perkara sebegini berlaku di negara kita. Lebih-lebih lagi di negeri pantai timur yang kaya dengan adab sopan dan kuat pegangan agamanya.

Saya seperti tidak percaya. Sesudah 50 tahun kita merdeka masih ada lagi segelintir rakyat kita yang tidak menghargai kemerdekaan dan masih di jajah mindanya. Merusuh bukan cara kita, sebaliknya kita di didik dengan sistem demokrasi yang memberikan hak kepada setiap individu masyarakat memilih corak pemerintahan yang di sukai.

Kita seharusnya tidak meniru saudara-saudara kita di Palestin dan Iraq. Mereka berhadapan dengan musuh yang nyata tetapi sebaliknya kita di sini hidup di dalam aman dan sejahtera.

Ingatlah kemakmuran yang kita kecapi hari ini bukanlah hasil yang diperolehi di dalam sekelip mata tetapi telah di perjuangkan oleh nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Oleh itu kita sebagai generasi pewaris seharusnya mengekalkan keamanan yang kita kecapi ini.

Janganlah melakukan perkara-perkara yang merugikan negara, sebaliknya sama-samalah kita berjuang menaikkan martabat bangsa di persada dunia.

Kekerasan bukanlah cara kita berjuang. Lihatlah bagaimana negara kita mencapai kemerdekaan. Bukankah ianya kita perolehi dengan kebijaksanaan dan tajamnya mata pena.

Jangan rugikan masa muda kita dengan perjuangan yang sia-sia. Apalah gunanya kita merengkok di penjara kerana memperjuangkan mereka-mereka yang sebenarnya hidup bermewah-mewahan dan tidak pasti hala tuju perjuangannya.

Dan yang lebih penting janganlah biarkan diri kita diperalatkan bagi memenuhi cita-cita mereka yang bernafsu besar tersebut.

Friday 7 September 2007

KENAPA PERLU KREATIF?

SATU pertandingan golf antarabangsa telah diadakan di ibu negara. Seorang pemain golf profesional baru saja membuat pukulan yang baik sekali dimana bola jatuh tidak jauh daripada lapangan hijau.

Ketika dia menghampiri bola tersebut di dapati ianya secara tidak sengaja telah termasuk di dalam bekas pembungkus makanan yang mungkin telah di buang oleh para penonton.

Fikirannya menjadi buntu. Bagaimana dia harus memukul bola tersebut dengan baik?

Peraturan pertandingan dengan jelas menyatakan sekiranya dia mengeluarkan bola tersebut daripada bekas pembungkus makanan, dia akan dikenakan penalti. Manakala sekiranya dia memukul bola tersebut bersama bekas itu, sudah tentu pukulannya tidak akan menepati sasaran.

Apa yang harus di lakukannya? Fikirannya ligat berfikir.

Ramai pemain sebenarnya telah mengalami keadaan sedemikian. Kebanyakkannya memilih untuk mengeluarkan bola dari bekas pembungkus makanan tersebut dan sanggup dikenakan penalti. Kemudiannya mereka bertungkus lumus berkerja keras untuk menutup penalti tersebut.

Tetapi ada juga yang memilih untuk memukul bola tersebut bersama-sama dengan bekas pembungkus makanan walaupun mereka sedar risikonya terlalu besar. Pemain-pemain seperti ini selalu berfikir mereka tidak mempunyai pilihan lain dan itulah satu-satunya pilihan yang mereka ada.

Pemain professional ini tidak memilih untuk di kenakan penalti dan dia juga tidak memilih untuk mengambil risiko. Sebaliknya dia mengeluarkan lighter dari poket seluarnya dan membakar bekas pembungkus makanan tersebut. Setelah bekas itu habis terbakar barulah dia memukul bola tersebut ke sasaran.

Daripada cerita ini kita dapat lihat bagaimana pemain tersebut menggunakan kreativitinya untuk menyelesaikan masalah dan seterusnya mencapai kemenangan.

Ramai diantara kita selalu menganggap masalah sebagai hukuman dan memilih untuk menerima hukuman tersebut.

Dan ada juga yang mengambil risiko dengan sanggup melakukan kesalahan kerana masalah-masalah yang di hadapi.

Tetapi terlalu sedikit yang berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Oleh itu kita perlu kreatif supaya tidak melakukan kesalahan dan juga tidak mengambil risiko di dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Wednesday 5 September 2007

TEMU JANJI LAGI....

Pagi tadi pergi Hospital Pusrawi untuk pemeriksaan bulanan. Sebenarnya minggu lepas dah pergi tapi temujanji tersebut di batalkan kerana ketiadaan doktor. Bukan salah Pusrawi tapi salah diri sendiri kerana temu janji sebelah pagi, aku pergi sebelah petang.

Rupa-rupanya setiap hari rabu klinik pakar perbidanan dan sakit puan Pusrawi dibuka separuh hari. Yang ada cuma Dr. Adilah Ahmat dan Dr. Habibah sahaja. Tetapi mereka tidak menerima patient doktor lain.

Berbalik cerita jumpa Dr Daud pagi tadi. Kandunganku masuk minggu ke 36. Kandungan gula dan tekanan darah normal. Yang jadi masalah adalah berat badan. Asyik-asyik berat badan yang jadi masalah. Untuk bulan ini berat badanku meningkat 3.8 kg. Kata doktor kerana pertambahan berat bayi sekali.

Kalau mengikut rekod, berat badan sekarang cuma kurang 200g sahaja daripada masa mengandungkan Aisyah dulu. Mengikut anggaran doktor bayiku sekarang sekitar 3.5kg. Harap-harap masa bersalin nanti tidak mencapai berat Aisyah 4.5kg.

Daripada imbasan 3-G kalau bulan lepas pipinya tak berapa tembam tapi hari ini pipinya nampak semakin `labuh’. Mungkin macam Aisyah juga. Dr. Daud kata jangan risau memang anak-anakku ditakdirkan besar-besar.

Bila sudah masuk bulan terakhir, badan rasa semakin tak larat. Nak membongkokpun dah tak dapat. Kandungan dah mula turun ke bawah. Kaki pula asyik cramp. Barulah aku tahu betapa besarnya pengorbanan seorang ibu mengandung dan melahirkan seorang anak.

Aku juga sekarang sedang memilih nama untuk anakku yang ke 7 ini. Sebenarnya aku berkenan nama Ali sekiranya anakku lelaki dan Fatimah sekiranya perempuan. Kerana doktor telah mengesahkan anakku kali ini perempuan, aku bercadang untuk menggabungkan dua nama tersebut dan nama moyang sebelah ayahnya menjadi Rosalimah Fatimah.

Semoga apabila besar kelak dia akan menjadi sehebat Ali bin Abi Talib dan Fatimah binti Rasulullah. Amin.

Sekian, jumpa lagi.

Monday 3 September 2007

TERUS MELANGKAH KE HADAPAN

Niccolo Paganini adalah seorang pemain biola yang hebat pada abad ke-19. Dia juga merupakan pemain gitar dan komposer yang terkenal. Persembahannya akan sentiasa di penuhi oleh pemuja-pemujanya.

Pada satu konsert beliau yang diiringi oleh orkestra penuh membuat persembahan di dalam dewan yang penuh sesak. Seperti biasa Paganini memulakan persembahannya yang begitu memukau semua mereka yang berada di dewan tersebut.

Dengan tidak disangka, tiba-tiba tali biolanya putus. Dia menjadi panik dan keringatnya mula mengalir di dahi. Walaubagaimanapun dia tetap juga meneruskan persembahan. Kemudiannya keadaan yang lebih mengejutkan berlaku. Tali biolanya putus satu persatu sehingga meninggalkan hanya satu tali.

Paganini tetap juga meneruskan persembahan. Pemuja-pemujanya yang menyedari keadaan tersebut terus berdiri dan memberikan tepukan bergemuruh. Paganini kemudiannya menyuruh mereka duduk. Mrereka menyangkakan Paganini tidak dapat untuk meneruskan persembahan dengan hanya satu tali.

Paganini kemudiannya menundukkan kepala memberi hormat kepada pemuja-pemujanya dan seterusnya memberi isyarat kepada orkestra yang mengiringinya supaya meneruskan persembahan walaupun biolanya hanya tinggal satu tali.

Dengan bersemangat dia berteriak “Paganini dengan biola satu tali” . Dia meletakkan biolanya kedagu dan terus membuat persembahan sehingga selesai. Pemuja-pemujanya sangat terkejut dan kagum dengan peristiwa tersebut. Walaupun hanya dengan satu tali biola, Paganini masih dapat meneruskan persembahan dengan asyik sekali.

Renungan dari cerita ini adalah hidup ini penuh dengan duri dan ranjau. Berbagai masalah yang sering bermain di fikiran, bermacam kegagalan yang terpaksa ditempuh dan bermacam kekecewaan yang sentiasa mendatangi kita.

Kita pula sering kali terlalu mengkonsentrasikan masa dan pemikiran kita kepada perkara-perkara yang tidak baik tersebut sehingga kita kadang kala berputus asa dan memandang rendah kepada keupayaan diri kita sendiri.

Sebaliknya jadikanlah masalah, kegagalan dan kekecewaan yang hadir di dalam hidup kita sebagai pengajaran dan pelajaran yang berguna untuk kita terus memperbaiki kelemahan diri. Tidak ada manusia yang tidak pernah mengalami perkara-perkara tersebut tetapi kerana ketabahan, mereka akhirnya menjadi orang-orang yang berjaya.

Tidak mengapa sekiranya orang lain memandang rendah kepada diri kita tetapi adalah malang sekali sekiranya kita sendiri yang memandang rendah kepada keupayaan diri kita. Setiap masalah, kegagalan dan kekecewaan sebenarnya tidak akan mengurangkan keupayaan diri kita sebaliknya akan lebih mematangkan kita.

Oleh itu jangan toleh kebelakang lagi. Jangan biarkan diri kita dihantui dengan kisah-kisah silam. Sebaliknya teruslah melangkah ke hadapan dengan penuh ketabahan.

Sekian, jumpa lagi.

Saturday 1 September 2007

KISAH LIMA PERISTIWA ANEH

Abu Laits as-Saarqandi adalah seorang ahli fiqh yang mashur. Pada suatu hari dia berkata ayahnya menceritakan bahawa antara nabi-nabi yang bukan rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada juga yang hanya mendengar suara.


Maka salah seorang nabi yang menerima wahyu melalui mimpi telah bermimpi diperintahkan Allah yang berbunyi “esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat yang pertamanya adalah apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, yang kedua engkau sembunyikan, yang ketiga engkau terimalah, yang keempat jangan engkau putuskan harapan dan yang kelima larilah engkau daripadanya.”


Pada keesokan harinya nabi itupun keluar dari rumah menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapi ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan kerana yang pertama dihadapi, dia mesti memakannya. Sungguh aneh kerana mustahil baginya melaksanakan perintah tersebut.


Walaubagaimanapun dia terus berjalan menghampiri bukit tersebut. Tiba-tiba dengan kehendak Allah bukit tersebut mengecil sehingga sebesar sebuku roti. Maka nabi itupun mengambilnya lalu dimakan. Bila ditelan rasanya sungguh manis seperti madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.


Nabi itu kemudiannya meneruskan perjalanan dan bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat arahan mimpinya supaya disembunyikan, lalu dia pun menggali sebuah lubang untuk menyembunyikan mangkuk emas tersebut. Walaubagaimanapun mangkuk emas tersebut terkeluar semula. Dia menanam semula dan kemudiannya mangkuk emas terkeluar lagi. Selepas tiga kali menanam nabi itu pun berkata “aku telah melaksanakan perintahMu” dan terus meninggalkan tempat itu tanpa disedari yang mangkuk emas itu terkeluar juga.


Kemudiannya dia ternampak pula seekor burung kecil yang dikejar burung helang. Burung kecil berkata “wahai nabi Allah tolonglah aku”. Mendengar rayuan burung kecil tersebut hatinya merasa simpati dan teringat perintah ketiga iaitu engkau terimalah, maka dia pun mengambil burung itu dan memasukkannya ke dalam baju.


Melihat keadaan itu burung helang pula menghampirinya dan berkata “wahai nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak dari pagi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku untuk mendapat rezeki.” Lalu nabi tersebut teringat perintah keempat iaitu jangan putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya dia mengambil pedang dan memotong sedikit daging pahanya untuk diberikan kepada burung helang.


Setelah kejadian tersebut nabi meneruskan perjalanan sehingga terjumpa satu bangkai yang amat busuk. Dia teringat perintah kelima iaitu melarikan diri daripadanya. Lalu dia pun bergegas melarikan diri dari bangkai tersebut kerana tidak tahan dengan bau busuknya.


Setelah melalui kelima-lima peristiwa tersebut, maka kembalilah nabi ke rumahnya. Pada malam itu dia berdoa kepada Allah supaya menjelaskan erti kesemua peristiwa tersebut.


Melalui mimpi Allah menjelaskan bahawa yang pertama engkau makan itu adalah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar, dapat mengawal dan menahannya maka marah itu akan menjadi lebih manis daripada madu.


Yang keduanya semua amal kebaikan iaitu budi walaupun disembunyikan maka ia tetap juaga akan nampak.


Yang ketiganya jika sudah menerima amanah daripada seseorang maka janganlah kamu mengkhianati amanah tersebut.


Yang keempatnya jika seseorang meminta kepadamu maka usahakanlah untuknya demi membantu meskipun kamu sendiri berhajat.


Manakala yang kelimanya pula adalah bau busuk itu sebenarnya adalah umpatan (ghibah). Maka sekiranya kamu terjumpa mereka yang sedang berkumpul sambil mengumpat orang lain, larilah dari mereka tersebut.


Kelima-lima perkara ini sebenarnya sentiasa berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari khasnya mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa mengata orang lain itu akan mengurangkan pahala kita.


Sebuah hadis mengatakan di akhirat kelak ada seorang hamba Allah yang akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya “Ya Allah sesungguhnya pahala yang engkau berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”


Maka jawab Allah “Itu adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah disedari bahawa mengata orang itu akan merugikan diri sendiri walaupun ianya adalah perkara yang benar.