ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday, 5 July 2007

ALLAH LEBIH MENGETAHUI

FRANK SLAZAK begitu gembira sekali apabila menerima berita yang dirinya telah terpilih menjadi calon angkasawan. Impiannya untuk terbang ke angkasa lepas mungkin akan menjadi kenyataan. Itulah cita-citanya sejak dari dulu lagi.

Masih segar di ingatan bagaimana dia terdengar pengumuman daripada rumah putih yang mencari rakyat biasa yang juga seorang guru untuk mengikuti penerbangan 51-L pesawat Challenger. Dia tidak berlengah lagi dan terus menghantar permohonan tersebut ke Washington.

Daripada hari itu setiap harilah dia membuka kotak surat sehingga pada suatu hari tibanya sepucuk surat yang berlogo NASA. Di dalam surat tersebut dinyatakan dia telah diterima sebagai salah seorang calon angkasawan.

Dia begitu bersyukur sekali kerana doanya selama ini telah dimakbulkan. Dia telah lulus di dalam pemilihan pertama.

Selang beberapa minggu dia mendapat pula panggilan daripada NASA untuk ujian ketahanan fizikal dan mental. Setelah ujian selesai dia berdoa lagi supaya impiannya menjadi kenyataan. Ditakdirkan dia juga lulus ujian tersebut dan mendapat panggilan untuk mengikuti program latihan khusus angkasawan di Kennedy Space Center.

Daripada 43,000 pemohon, kemudian 10,000 selepas saringan dan kini dia adalah salah seorang daripada 100 calon angkasawan untuk pemilihan terakhir. Setelah melepasi berbagai-bagai ujian dia berharap sangat untuk terpilih sebagai angkasawan tersebut.

Setiap hari dia terus berdoa semoga dirinya menjadi pilihan. Walaubagaimanapun apabila pengumuman dibuat dia tidak terpilih. Yang terpilih adalah Christina McAufliffe.

Daripada hari itu dia sangat sedih, impiannya hancur. Dia mengalami kemurungan dan rasa percaya kepada dirinya lenyap. Di dalam diri, hanya ada perasaan marah dan sering mempersoalkan diri, apakah kekurangannya?

Dia juga mempersoalkan kenapa Tuhan begitu kejam kepada dirinya, sehinggalah dia berjumpa dengan ayahnya dan menceritakan keadaan tersebut. Ayahnya dengan tenang menjawab “wahai anakku, bertenanglah kerana setiap apa yang ditentukan Tuhan ada hikmahnya”.

Mendengar jawapan tersebut, dia masih tidak berpuas hati. Dia masih merasakan Tuhan tidak berlaku adil kepada dirinya sehinggalah tiba hari selasa 28 Januari 1986 iaitu hari Challenger akan dilancarkan.

Dia masih ingat ketika berkumpul beramai-ramai untuk melihat pelancaran tersebut, fikirannya masih terbayang, itulah saat-saat yang ditunggunya selama ini. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian tersebut tetapi kenapa Tuhan tidak merestui impiannya itu.

Selepas tujuh puloh tiga saat kemudian, Tuhan telah menjawab pertanyaannya dan menghapuskan segala keraguan. Di saat itulah Challenger telah meletup dan membunuh kesemua mereka yang berada di dalamnya.

Barulah dia sedar kata-kata ayahya. Dia tidak terpilih di dalam penerbangan tersebut kerana Tuhan mempunyai alasan lain untuk dia terus hidup di atas muka bumi ini. Sekarang barulah dia sedar, dia sebenarnya tidak kalah tetapi adalah pemenang.

Daripada hari itu dia selalu bersyukur kepada Tuhan kerana tidak memakbulkan semua doanya. Dia sebenarnya menang kerana telah kalah.

Pengajaran daripada cerita ini adalah apabila Allah mengatakan YA, maka kita akan dapat apa yang kita hajati. Apabila Allah mengatakan TIDAK, maka mungkin kita akan dapat apa yang lebih sesuai untuk kita. Dan apabila Allah mengatakan TUNGGU, maka mungkin kita akan dapat apa yang terbaik sesuai dengan kehendakNYA.

Oleh itu sentiasa bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kita.

2 comments:

Zura@Kak Long said...

Kak Long amat suka dengan pengajaran dari entri Ros ini. Amat bersesuaian dengan semua perkara yang terjadi kepada diri kak long selama ini.

Roshatika said...

Kak Long, saya juga selalu menyesali apa yang telah ditetapkan untuk saya tetapi akhirnya saya tahu itulah yang terbaik untuk saya.