ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 6 July 2007

AYUH! TERUS BERGERAK

Air jika dibiarkan bergenang dan tidak mengalir, sudah tentu lama kelamaan akan menjadi sarang penyakit. Demikian juga dengan udara, jika di biarkan terus terperap tanpa bertiup sudah tentu akhirnya akan menyesakkan pernafasan.

Memang telah ditakdirkan semua makhluk mesti bergerak dan tidak boleh dibiarkan berhenti. Bumi, matahari, bulan, bintang dan seluruh cakerawala juga bergerak mengelilingi orbit masing-masing tanpa berhenti. Sekiranya ia berhenti sudah tentu akan menimbulkan kerosakan dan bencana yang dahsyat sekali.

Bahkan mikroorganisma seperti bakteria dan virus juga tidak berhenti daripada bergerak. Itulah kebesaran yang ditunjukkan oleh penciptanya.

Itulah hukum Allah kepada alam semesta ini dan sesungguhnya terjadi juga kepada manusia. Secara fizikal jika manusia itu dibiarkan tidak melakukan sebarang aktiviti maka sudah tentu berbagai penyakit akan mendatang.

Demikian juga halnya dengan fikiran kita, sekiranya dibiarkan berhenti berfikir sudah tentu lama-kelamaan ianya akan menjadi kaku dan lesu. Kemungkinan untuk mudah lupa dan nyanyuk akan terjadi di usia lanjut.

Jika hukum pergerakan berlaku pada seluruh alam semesta termasuk manusia, maka sudah tentu perkara yang sama juga berlaku pada sesebuah masyarakat, organisasi, persatuan bahkan kepada Negara itu sendiri.

Oleh itu janganlah sesekali dibiarkan berhenti bergerak atau diam kerana diam itu bererti mati. Diam itu tidak sihat dan boleh membawa penyakit.

Teruskanlah bergerak dengan melakukan berbagai-bagai aktiviti yang memberikan kebaikan. Jangan takut kepada perubahan, pembaikan dan pembaharuan kerana semua ciptaanNya telah ditakdirkan bergerak mengikut arus yang telah ditentukan.

Akhir kata jangan takut melanggar pantang jika pantang menghalang kemajuan, jangan segan menentang larangan jika yakin kepada kebenaran dan jangan malu mengucapkan keyakinan jika percaya kepada keadilan.

Ayuh! terus bergerak.

No comments: