MALIK BIN DINAR begitu berhasrat supaya dilantik menjadi pentadbir masjid di sebuah masjid besar yang terletak di Damsyik. Pada masa itu jawatan pentadbir masjid adalah satu jawatan yang masyhur sehingga menjadi rebutan orang ramai.
Bagi merealisasikan impian tersebut, beliau mengambil tempat khas di penjuru masjid dengan meletakkan sejadah dan di situlah beliau bersembahyang lima waktu termasuk mengerjakan sembahyang sunat.
Di dalam hatinya dengan berbuat demikian orang ramai akan melihatnya sentiasa beristiqamah dengan masjid dan akan melantiknya menjadi pentadbir.
Selepas setahun pura-pura beribadah impiannya tidak juga tercapai. Maka timbul kekecewaan di dalam hatinya sehingga merasakan segala tindakannya selama ini sia-sia belaka. “Alangkah munafiknya diriku” bisik hatinya.
Pada suatu malam ketika sedang asyik mendengar alunan muzik, tiba-tiba terdengar suara yang datang dari alat muzik tersebut, “wahai Malik, kenapa engkau belum lagi bertaubat?” Mendengar suara itu beliau terperanjat dan terus pergi ke masjid.
Selepas menunaikan solat beliau terus bertaubat kepada Allah menyesali perbuatannya berpura-pura beribadah. “Selama setahun aku menyembah Allah secara munafik. Bukankah lebih baik aku menyembah Allah sepenuh hatiku dan ikhlas mencari keredhaanNya tanpa mempunyai maksud lain.” rintih hatinya menyesal.
Bermula saat itu Malik bin Dinar mengubah niatnya “Sekiranya orang ramai ingin melantikku sebagai pentadbir masjid, aku tidak akan menerimanya, aku ingin beribadah secara ikhlas kepada Allah.”
Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul di masjid dan membincangkan tentang masjid yang tidak diuruskan dengan baik. Mereka bersepakat untuk melantik Malik bin Dinar mengetuai pentadbir masjid kerana beliau sentiasa istiqamah beribadah didalam masjid tersebut.
Mendengar berita tersebut Malik bin Dinar terkejut dan dalam hatinya berkata “Ya Allah, setahun aku menyembah-Mu secara pura-pura dan tidak seorang pun yang memandang kepada aku. Kini setelah aku berikan seluruh jiwaku kepada-Mu dan bertekad tidak mahu menerima sebarang perlantikkan, Engkau tiba-tiba menghantar mereka untuk mengalungkan tugas tersebut ke leher aku. Demi kebesaran-Mu, aku tidak menginginkan perlantikan itu”.
Akhirnya Malik bin Dinar menolak perlantikkan itu dengan alasan yang baik serta menyatakan kesediaannya untuk berkerjasama dengan sesiapa sahaja yang dilantik. Beliau lebih gembira dengan kehidupannya sekarang dan meneruskan kehidupan sebagai seorang sufi yang memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah.
Daripada cerita ini fahamlah kita kehidupan yang bersandarkan matlamat mencari keredhaan Allah pasti tidak akan sia-sia kerana Allah akan menunaikan janji-janji-Nya sebaliknya jika matlamat disandarkan kepada manusia ianya belum tentu akan tercapai, bahkan akan menjadi sia-sia. Sedarlah manusia lain tidak berkuasa memenuhi segala keperluan yang diimpikan.
Oleh itu kita semestinya meletakkan matlamat hidup kita adalah untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Bukankah Allah telah berjanji akan memberi anugerah yang tidak di sangka-sangka kepada sesiapa yang benar-benar bertakwa kepada-Nya “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Thalaq, ayat 2-3).
No comments:
Post a Comment