Tidak terbilang manusia yang lahir di dunia ini sejak Adam hinggalah bayi yang lahir di waktu ini, di ketika ini, di saat ini. Setiap nyawa dikurniakan Allah kepada manusia sebagai amanah dan anugerah yang tak terbayar nilainya.
Menangisnya kita ketika kali pertama melihat dunia hingga menangis kita ketika kehilangan ibubapa tercinta. Ketawanya kita ketika kali pertama dihiburkan ibubapa hingga ketawa kita ketika terhibur dek gelagat cucu-cicit kurniaan-Nya.
Hidup manusia itu terlalu pendek, tak terasa jalannya, tak terukur langkahnya. Tetapi setiap langkah jalannya itu lain harganya, tertakluk kepada tempat di mana dia berdiri dan tempat ke mana dia tujui.
Kita cukup kenal dengan Plato, Socrates, Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Hang Tuah, Aminuddin Baki, Professor Dr. Hamka, dan lain-lain lagi.
Apakah yang membezakan mereka ini daripada manusia lain? Mereka juga makan dan minum, bekerja dan tidur, duduk dan berdiri, gembira dan berduka, sama seperti kita, malah ada yang jauh kurangnya daripada kita.
Mengapa nama-nama ini gah meniti dari bibir ke bibir setiap manusia?
Rakan-rakan sekelas kita, kawan-kawan sekuliah kita, sahabat-sahabat seangkatan kita kadang-kadang menjadi angin lalu yang tiada sedar kewujudannya, tiada tertanya kehilangannya.
Hidupnya berlalu pantas, meninggalkan jejak-jejak kenangan di belakangnya. Nyawa yang dikandungnya itu juga adalah anugerah Allah, namun apa yang membezakannya dengan nyawa kita?
Mengapa kadang-kala dirinya itu tiada berharga pada pandangan kita?
Bukan nyawa yang dinilai, bukan tubuh yang diperkata, tapi peribadi manusia yang ditentukan harga. Sifat kasih sayangnya, bencinya, ikhlasnya, baiknya, jahatnya, jasanya, sentiasa akan dipandang manusia.
Kita akan lebih mengenali manusia yang gagah seperti Hang Tuah, kita juga akan lebih mengenali manusia yang jahat seperti Firaun. Kita akan lebih mengenali manusia yang cerdik seperti Albert Einstein, kita juga akan lebih mengenali manusia dungu seperti Pak Kaduk.
Di mana penilaian kita terhadap manusia-manusia ini?
Harga peribadilah yang menentukan tinggi atau rendah darjat seseorang manusia dalam kalangan manusia.
Peribadi manusia lahir daripada ilmu yang dituntutnya. Ilmu fizik masuk, ilmu fiziklah yang akan membentuknya. Ilmu muzik masuk, Ilmu muziklah yang mencanainya.
Sebuah lori yang membawa ayam, kemalangan jalan raya mengeluarkan ayam daripada muatannya, bukannya itik.
Begitu juga manusia. Ilmu yang dipelajari, kefahaman yang dihayati, membentuk peribadi. Peribadi yang menjadi kayu ukur harga diri manusiawi.
Namun bukan semua ilmu yang dituntut dapat membentuk peribadi yang diingini. Tebalnya buku bukan ukuran ilmu. Panjangnya masa pembacaan bukan nilai kefahaman.
Habis? Bagaimana membentuk peribadi mulia melalui ilmu dan kefahaman?
Apabila manusia itu sedar di mana dia berdiri dan nampak ke mana dia akan pergi. Perjalanan ke garisan penamat itu bukanlah satu perkara terpenting kerana Allah jua yang menentukan lurus dan bengkoknya jalan kita.
Yang pasti perkara utama ialah ke mana kita dari tempat di mana berdirinya kita. Setelah itu perkara seterusnya adalah menyusun langkah ke tempat yang ditujui.
Jadi, di mana kita berdiri sebenarnya?
Manusia itu lahir ke dunia dengan satu matlamat seperti firman Allah dalam Kalam-Nya: “..... dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” (Az-Zariyat 51:56).
Manusia itu berdiri sebagai hamba kepada-Nya. Hamba yang tunduk dan patuh segala tuntutan yang digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Dari tempat berdiri inilah kita bermula. Dan di tempat berdiri inilah kita membawa peribadi. Peribadi yang dibawa ini disertakan dengan kefahaman ilmu yang dipelajari. Ilmu yang menuju ke tempat yang kita tujui.
Tapi ke mana kita akan membawanya?
Tujuan hidup mesti bergantung kepada tempat berdiri manusia itu sendiri. Kerana dari situlah tertulisnya matlamat manusia dicipta, matlamat manusia diturunkan ke alam dunia. Matlamat semua manusia. Matlamat yang dimaksudkan ialah menjadi hamba dan khalifah Allah.
Matlamat memerlukan fokus yang jelas. Matlamat juga memerlukan konsentrasi yang amat tinggi. Sedikit sahaja kelekaan mampu menjauhkan sasaran sebenar matlamat yang dituju. 0.01° anjakan di garisan permulaan boleh membentuk perbezaan jarak 0.0174 meter daripada matlamat asal apabila melalui 100 meter ke hadapan!
Semakin jauh kita berjalan, semakin tergelincir kita daripada landasan sebenar. Oleh itu tujuan hidup manusia mesti benar-benar jelas.
Maka apabila tujuan hidup di dunia ini jelas kepada manusia, dia akan menjadi insan terpilih sebagaimana firman-Nya: “….. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik”. (Ali Imran 3:110)
Jika dilihat fenomena masyarakat umat Islam dewasa ini, adakah kita boleh dilabelkan ‘sebaik-baik’ umat?
Ungkapan Islamophobia merebak umpama wabak bukan sahaja kepada orang bukan Islam malah orang Islam sendiri yang malu dan jijik mengamalkan cara hidup Islam.
Umat Islam sendiri tidak sedar di mana dia berdiri, umat Islam sendiri tidak nampak di mana dia akan pergi. Maka umat Islam sendiri yang hilang peribadi; peribadi Islam yang hakiki.
Persoalannya sekarang, di manakah harganya langkah jalan kita?
Di manakah nilai peribadi kita?
Kitalah yang menentukannya kerana kita sedar di mana kita berdiri dan kita nampak ke mana kita akan pergi.
2 comments:
salam kak,
pokok pangkal nya Allah s.w.t.
dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali...
subhanallah
de_kerinchi, betul tu, jadilah khalifah di atas muka bumi ini.
Post a Comment