ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday, 16 June 2007

KU SANGKAKAN PANAS HINGGA KE PETANG

Saat bahagia abah dan mak

[Coretan ini aku tujukan khas kepada bapaku Haji Abu Bakar bin Haji Abd. Ghani sempena HARI BAPA]


Che Ahmad membakar lemang,
Mari di letak diatas para,
Kenapa berehat hati tak senang?,
Mengapa makan tidak berselera?.

(masih ingatkah abah dengan pantun ini?)


Malam ini kelam sungguh, bulan dan bintang langsung tidak kelihatan, merajuk agaknya atau kerana diliputi awan menandakan hari nak hujan. Di malam-malam yang hening beginilah selalunya ingatanku melayang jauh terkenang memori indah di suatu masa dahulu walaupun aku tahu memori tersebut tidak mungkin akan berulang kembali.

Rasanya mahu aku lontarkan jauh-jauh memori tersebut tetapi apakan daya semakin aku ingin melupakannya semakin pula ia datang mengetuk pintu hatiku. Aku tidak terdaya untuk berbuat apa-apa, biarkanlah ia tersemat indah dilipatan memoriku ini selagi nyawaku dikandung badan.

Terlalu banyak kenangan manis sewaktu aku bersama dengan abah. Tidak mungkin untuk aku coretkan kesemuanya disini dan tidak mungkin pula untuk begitu mudah aku melupakannya. Sekiranya abah membaca coretan ini, maafkanlah aku sekiranya melukakan hatimu kerana banyak perkara yang aku pendamkan selama ini akan aku luahkan semuanya disini. Fahamilah abah, semua ini kerana kami menyayangimu dan mengambil berat tentang dirimu.

Masih segar diingatanku cerita-cerita mak sebelum berkahwin dengan abah. Bagaimana abah yang ketika itu guru agama KEMAS bertemu dengan mak yang juga merupakan guru ERT KEMAS. Masih ingatkah, abah pernah berjanji sehidup semati dengan mak?. Lupakah abah dengan janji tersebut?

Masih ingatkah abah, saat-saat manis abah diijabkabulkan dengan mak yang sangat abah cintai.

Masih ingatkah abah kegembiraan yang dikecapi dengan kelahiranku dan abah namakan aku ROS-HATI-KA sempena gabungan nama abah dan mak sebagai lambang penyatuan dua hati.

Masih ingatkah abah, bagaimana abah menatangku seperti minyak yang penuh dan berbangga sungguh abah menjadi seorang ayah.

Masih ingatkah abah, bermula dengan motor vespa biru yang abah sangat sayangi, abah dan mak telah membina keluarga kita sehingga menjadi keluarga yang dihormati di daerah ini.

Masih ingatkah abah daripada memproses gambar di bilik gelap rumah, abah dan mak telah bangunkan perniagaan keluarga kita sehingga abah bergelar jutawan.

Masih ingatkah abah saat-saat manis apabila abah membawa balik ikan selepas menjaring di laut yang mana itulah hobi abah dan mak pula setia menunggu untuk memasaknya dan kita makan beramai-ramai walaupun malam menjelang dinihari.

Masih ingatkah abah kesyukuran yang kita panjatkan kerana dimurahkan rezeki sehingga abah dapat menunaikan fardhu haji dan kemudiannya umrah sebanyak tiga kali.

Masih ingatkah abah kegembiraan sewaktu membonceng cucu-cucu abah mengelilingi kampung dengan skuter kesayangan.

Kalau abah ingin tahu, kami semua tidak pernah melupakan kenangan-kenangan manis tersebut, aku berbangga mempunyai seorang bapa seperti abah. Walaupun kasih sayang abah tidak sampai ke petang tetapi aku tetap bersyukur kerana dengan didikan abahlah menjadikanku seorang manusia kalaupun tidak sebagai seorang insan.

Sedih sungguh rasanya bila ada orang mengatakan aku membenci abah, tidak sama sekali, walaupun sedetik tidak pernah hatiku membenci abah.

Kalau abah ingat aku membenci abah kerana harta-harta abah, sebenarnya abah silap. Harta bukanlah milik kita yang hakiki, milik kita hanyalah rezeki. Bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh mengambilnya semula daripada kita.

Kalau abah kata aku sengaja tidak mempedulikan abah, ketahuilah aku sebenarnya dinafikan hak untuk menjagamu dan aku dinafikan hak untuk mencurahkan kasih sayangku kepadamu.

Kalau abah perasan ada berapa kerat sahaja anak melayu yang sanggup membuka perniagaan 24 jam, itulah aku, anak mu yang mewarisi sifatmu yang aku kagumi iaitu sentiasa bersemangat waja.

Kalau abah tengok beberapa kali aku jatuh di dalam bidang perniagaan tetapi aku akan bangkit semula. Bagiku walaupun aku terpaksa jatuh enam kali tetapi aku akan bangkit tujuh kali. Itu semua juga adalah kerana aku mewarisi sifatmu yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kalau abah tengok cucu lelaki sulong abah Aslam, yang berani ke Kaherah diusia lapan tahun menimba ilmu , itulah juga kerana mewarisi sifat keberanian atuknya.

Kalau abah kata cucu-cucu abah jarang menjenguk abah, sedarlah abah, mereka sebenarnya merajuk. Aku masih ingat kata-kata mereka “kita nak atuk yang dulu”, maknanya mereka rindukan atuk mereka dulu yang peramah dan menyayangi mereka dengan sepenuh hati.

Abah, mengapakah semua ini boleh terjadi di dalam keluarga kita?. Kenapakah abah meminggirkan kami semua?. Sedarlah abah, aku sangat-sangat merindui suasana keluarga kita seperti dahulu. Kalau abah tidak mahu mendengar kata-kata mak, tetapi abah dengarlah rintihan hatiku ini. Baliklah abah, kita belum terlambat untuk mengulangi semula detik-detik kebahagian keluarga kita.

Abah kata ini semua takdir Ilahi. Apalah daya kita untuk menolak takdir tetapi terdayakah aku untuk menerima takdir tersebut dengan hati yang rela bila setiap hari aku terpaksa berhadapan dengan kesedihan mak. Percayalah abah, setiap hari mak tidak pernah jemu menunggu kepulangan abah. Setiap hari apabila aku balik, mak akan berlari ke tingkap kerana disangkakan abah yang balik dan setiap kali mak melihat bayangan kereta abah, setiap kali itulah air mata mak akan bergenang.

Sebab itulah aku sentiasa membawa mak keluar berjalan-jalan, supaya mak dapat melupakan abah buat seketika. Tetapi mengertilah kasih sayang seorang anak sudah tentu tidak akan dapat menyamai kasih sayang seorang suami. Oleh itu sekali lagi aku merayu kepada abah, baliklah abah dan kita nikmati kebahagiaan keluarga kita seperti dahulu.

Kerana aku telah ditakdirkan sebagai anakmu, aku tidak akan jemu untuk terus menunggumu kerana aku pasti akan tiba saat itu untuk kita ulangi memori-memori indah yang pernah kita lalui suatu masa dahulu. Sebelum kita semua meninggalkan dunia yang fana ini, aku sentiasa berharap supaya abah dan mak akan menemui kebahagiaan seperti dahulu.

Akhir kata, aku sentiasa mendoakan kesejahteraanmu walaupun dari kejauhan, selamat menjalani rawatan di IJN dan SELAMAT HARI BAPA khas untukmu abah.




Warkah cinta abah untuk mak



Abah sewaktu menyambut kunjungan Tun Dr. Mahathir Mohamed


Saat aku ditatang bagaikan minyak yang penuh



Budak kecil inilah yang telah dirampas kasih sayangnya


Sewaktu abah selamat kembali daripada mengerjakan fardhu haji



Putera kesayangan abah



Sewaktu mengerjakan umrah bersama abah



Abah, mak dan nenek sewaktu mengerjakan umrah



Cucu-cucu abah yang merindui kasih sayang atuknya



Cucu lelaki sulong abah menghadiri kursus sebelum bertolak ke Kaherah

No comments: