ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Tuesday, 12 June 2007

MENANGANI KEEGOAN SUAMI

KALAU isteri sinonim dengan sifat cemburu, suami pula terkenal dengan sifat keegoan. Suami dan sifat keegoan bolehlah diibaratkan seperti `cincin dan permata’ iaitu tidak boleh dipisahkan. Bagi mereka keegoan melambangkan kekuasaan yang diri kita ini dimiliki sepenuhnya dan mereka berhak melakukan apa sahaja tanpa memikirkan perasaan kita.

Keegoan mereka bukan setakat diluar rumah tetapi terbawa-bawa sehingga ke dalam rumah. Bagi mereka untuk menyebut perkataan `I LOVE YOU’ pun cukup sukar, lainlah sewaktu bercinta dahulu. Bagi mereka perkara tersebut adalah remeh walaupun ianya cukup bererti dan menandakan diri kita dicintai sepenuhnya oleh mereka. Apabila kita mengajukan persoalan tersebut kata mereka cinta itu bukannya datang dari ucapan tetapi mestilah diterjemahkan melalui tindakan.

Apabila berada dirumah pula, mereka tidak akan mempedulikan kepenatan kita. Kalau tadi kita sama-sama berkerja mencari rezeki tetapi apabila balik ke rumah, kita jugalah yang harus menyelesaikan masalah-masalah di rumah seperti memasak, menjaga anak dan membasuh pakaian. Bagi mereka kerja-kerja tersebut tidak layak dilakukan oleh suami dan boleh menjatuhkan maruah mereka kerana akan dianggap `queen control’.

Walaubagaimanapun ada beberapa kaedah yang boleh anda cuba lakukan, bagi mengurangkan keegoan suami untuk menolong kerja-kerja dirumah.

1. Pilih masa yang sesuai.

Kata orang, bila wanita berkumpul, mereka akan membicarakan tentang lelaki tetapi apabila lelaki berkumpul, mereka akan bercerita tentang bolasepak. Bagi mereka minat atau hobi adalah menjadi keutamaan. Jadi apabila mereka sedang melayan minat atau hobi masing-masing, contohnya sedang menonton siaran langsung bolasepak, jangan ganggu mereka.

Sebaliknya carilah masa yang sesuai iaitu ketika mereka tiada apa-apa untuk dilakukan. Pada masa inilah biasanya kita boleh meminta sebarang pertolongan daripada mereka dan mereka pula akan ringan tulang membantu kita.

2. Gunakan kelembutan

Manusia hawa memang dianugerahkan Allah dengan sifat kelembutan, sifat inilah yang selalunya mencairkan hati suami untuk menolong kita. Oleh itu gunakanlah kelebihan kita ini untuk melembutkan hati suami kita. Sentiasalah gunakan bahasa yang lemah lembut apabila meminta pertolongan daripada suami supaya ianya tidak disalahertikan kita memerintah mereka.

Sentiasalah mulakan perkataan dengan menyebut `boleh tak tolong saya’ setiap kali meminta bantuan suami supaya suami benar-benar faham, yang kita betul-betul memerlukan pertolongan mereka dan bukan sekadar saja-saja ingin memerintah. Sebagai contoh anda boleh mulakan begini “Bang, bang, boleh tak tolong saya sidaikan kain, sementara saya tukarkan lampin Aisyah yang telah basah”.

3 Sentiasa berikan pujian

Haruslah kita ingat, bukan isteri sahaja yang sukakan pujian sebaliknya suami kita juga suka apabila di puji. Pujian boleh melembutkan hati mereka untuk menolong kita. Oleh itu jangan lupa memulakan kata dengan pujian setiap kali meminta pertolongan daripada mereka.

Sekiranya kita penat sangat untuk memasak pada hari ini, kita boleh cuba meminta suami yang memasak untuk kita. Orang lelaki sebenarnya memang pandai memasak dan kalau kita sedar kebanyakkan tukang masak yang terkenal adalah terdiri dari kaum mereka.

Kita boleh mulakan dengan pujian, “Bang, bang, sup tulang yang abang masak hari itu sedap sangat, saya dan anak-anak kita semua suka. Boleh tak kalau abang masak sekali lagi?”.

4. Sentiasa berikan penghargaan

Sudah tentu kerja rumah yang dilakukan oleh suami kita tidaklah sebaik hasil kerja tangan kita. walaubagaimanapun sentiasalah berikan penghargaan kepada mereka dengan ucapan “Terima kasih bang kerana sudi membantu saya” walaupun sebenarnya kita terpaksa `repair’ semula kerja-kerja tersebut.

Janganlah sesekali anda mengkritik suami, diatas kerja-kerja yang telah dilakukan kerana sekiranya anda lakukan sedemikian, mungkin itulah kali terakhir mereka akan menolong kita.

5. Gunakan perantaraan

Perantaraan yang saya maksudkan adalah anak-anak. Biasanya suami dengan mudah boleh menolak permintaan kita tetapi mereka selalunya tidak tergamak untuk menolak permintaan anak-anak. Lebih-lebih lagi anak-anak yang rapat dengan mereka.

Kita boleh cuba kaedah ini iaitu meminta anak-anak menjadi perantaraan diantara kita dan suami. Kalau kita sibuk didapur tetapi anak yang kecil pula sentiasa menangis minta dimanjakan, kita boleh menyuruh anak yang lebih besar meminta pertolongan ayahnya menjaga si kecil tersebut.

Permintaan anak yang disayangi seperti “Ayah, yah, mama minta tolong bawa Aisyah jalan-jalan, sementara mama siapkan masakan di dapur” sudah tentu tidak akan dapat ditolak oleh seorang ayah.

Sekian, selamat mencuba.



No comments: