ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 15 June 2007

TERSENYUMLAH

SAYA sebenarnya sedang membaca sebuah buku yang berjudul TERSENYUMLAH yang ditulis oleh Dr. `Aidh Abdullah Al-Qarni. Buku ini sebenarnya adalah himpunan cerita-cerita pendek yang boleh membuatkan kita tersenyum atau ketawa.

Buku ini katanya dihasilkan kerana betapa ramai orang yang diselindungi awan kesedihan dan dipermainkan oleh kesusahan demi kesusahan sehingga tidak berpeluang merasakan manisnya tersenyum, indahnya tertawa dan seronoknya bergurau senda.

Buku ini juga menggariskan kenapa kita seharusnya tersenyum. Antara lain yang ditulis adalah seorang muslim seharusnya tersenyum kerana telah suka hati mengakui Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhamad SAW sebagai nabinya.

Kita juga seharusnya tersenyum kerana Allah SWT telah menumbuhkan taman-taman kegembiraan dan kebun-kebun yang hijau dimana terdapatnya pasangan-pasangan tumbuhan yang indah. Allah SWT juga telah mencipta bintang-bintang yang terang benderang, laut-laut dengan segala isinya, bumi yang memiliki jalan-jalan yang lebar dan planet-planet dalam cakerawala yang sangat luas bagai tak terbatas.

Begitu juga bagaimana kita tidak tersenyum dikala burung-burung berkicau demikian merdunya, burung merpati berterbangan, matahari terbit pagi memancarkan cahayanya menghapus kegelapan, rembulan bersinar indah, angin berhembus sepoi-sepoi bahasa, bunga-bunga semerbak harum mewangi dan air mengalir diantara bukit-bukau sambil membacakan ayat-ayat cinta.

Oleh itu tersenyum dan tertawa adalah salah satu faktor yang penting bagi mencipta suasana dan persekitaran yang tenteram dan damai yang mampu menjauhkan diri kita daripada tekanan dan kemurungan. Ilmuan menyifatkan tertawa sebagai satu bentuk getaran dalam otak yang dapat meredakan ketegangan-ketegangan saraf sementara pepatah cina pula menyifatkan mereka yang tidak pandai tersenyum supaya tidak usah berniaga.

Begitulah pentingnya tersenyum kepada manusia sehingga dikatakan jiwa-jiwa yang gelisah akan panik menghadapi kesusahan manakala jiwa-jiwa yang tersenyum dapat mengatasi kesusahan dengan mudah.

Oleh itu sentiasalah tersenyum walaupun berada dicelah-celah badai kesukaran kerana pasti ada KESENANGAN selepas kesusahan, KEGEMBIRAAN selepas kesedihan dan KEJAYAAN selepas kegagalan.

Sekian.

No comments: