ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Wednesday, 11 April 2007

JANGAN PANDANG BELAKANG

MELIHAT kepada tema filem ini `Apabila yang mati bertemu yang hidup, segala kemungkinan pasti akan berlaku’ aku memang teruja untuk menontonnya, ditambah dengan cerita Uzair yang telah menontonnya dua hari lepas, yang menceritakan filem tersebut memang menyeramkan, maka menambahkan lagi minat aku untuk menontonnya.


Tetapi bila Uzair mengatakan, Akak tak boleh tengok kerana sedang mengandung, terus mematikan minatku, risau juga sekiranya keseraman filem tersebut boleh mengubah emosiku dan seterusnya memberikan kesan kepada kandungan.

Walaubagaimanapun aku nak ucap tahniah kepada Pengarahnya Ahmad Idham kerana telah menghasilkan filem yang menarik dan dikatakan telah menciptakan rekod baru dalam tempoh 25 tahun sejarah industri perfileman tempatan kerana mencapai kutipan sekitar RM1.54 juta dalam tempoh tiga hari.

Filem ini juga dikatakan berjaya menyaingi kutipan banyak filem Hollywood yang ditayangkan bagi tempoh yang sama. Ini membuktikan penonton tidak memperkecilkan filem tempatan selagi ianya bermutu dan menghiburkan.


Menurut cerita Uzair, filem yang mendapat jolokan `filem melayu paling seram’ ini menarik kerana keupayaanya menimbulkan perasaan seram dengan cara yang paling berkesan. Jalan ceritanya begitu dekat dengan sosio-budaya masyarakat melayu dan elemen seramnya adalah selari dengan imaginasi `hantu’ seperti yang selalu diceritakan oleh nenek moyang kita.

Elemen seramnya yang menampilkan entiti yang hodoh dari hubungan suasana yang kita kenal begitu berkesan sekali kalau dibandingkan dengan elemen watak aneh dalam filem fiksyen sains dan cerita fantasi yang selalunya tidak berpijak dibumi yang nyata.

Cara Ahmad Idham mewujudkan imej-imej seram secara mengejut dan tiba-tiba telah memberikan kekuatan kepada cerita tersebut dan elemen bunyi yang digunakan benar-benar memberi impak kepada penonton.

Mengikut cerita Uzair lagi, ada diantara penonton yang menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung tidak dapat menamatkan cerita tersebut, sebaliknya segera beredar meninggalkan pawagam kerana risau dengan kesihatannya memberikan gambaran bahawa Ahmad Idham telah berjaya mewujudkan elemen yang benar-benar memberi kesan kepada cerita tersebut.

Walaubagaimanapun aku sekadar dapat mendengar cerita sahaja dan InsyaAllah akan menontonnya selepas bersalin nanti.

SELAMAT MENONTON!!!

1 comment:

Roshatika said...

Hari tu Uzair kata saya tak boleh tengok cerita ni sebab mengandung, memang ada amaran pun kat posternya mereka yang mengandung dan mempunyai masalah kesihatan di nasihatkan tidak menonton.

Tetapi kerana mengikut kehendak anak-anak hari tu saya pergi juga tengok. Memang seram pun cerita ni. Panggung penuh. Tapi alhamdulillah selepas menontonnya saya tak ada apa-apa!.