ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday 27 April 2007

LIFE BEGINS AT 40

[Aku terpanggil untuk membicarakan soal ini adalah kerana pada tahun ini genaplah umur suamiku 40 tahun. Walau bagaimanapun perkara ini tiada kena mengena dengan beliau. Jangan salah faham]

BUKAN kerana risau dengan angka tersebut tetapi lebih kepada ingin mengupas, benarkah kehidupan lelaki khasnya hanya akan bermula pada usia tersebut?. Bolehkah mereka mengabaikan kehidupan mereka selama 39 tahun sebelumnya semata-mata kerana ingin menunggu usia keramat tersebut untuk berubah?.

Geram sungguh rasanya apabila rata-rata lelaki berfahaman ungkapan ini menjurus kepada keinginan untuk menambah ` cawangan’ atau dengan erti kata lain menambah isteri. Bagi lelaki masa inilah segala-galanya harus dirancang semula, kehidupan katanya baru nak bermula, jadi berseronok dan berfoya-foya adalah caranya.

Pendek sungguh akal pemikiran mereka, sebab itulah lelaki di labelkan sebagai golongan kurang matang walau berapa usia mereka. Bagi mereka hanya usia berubah angka tetapi pemikiran dan perangai masih tetap sama. Mereka sebenarnya tidak pernah dewasa.

Minta maaflah kepada semua golongan lelaki, kerana aku terpaksa `mengata’ mereka. Bukan niat untuk merendah-rendahkan, tetapi lebih kepada menyedarkan mereka bahawa hakikat sebenar kehidupan di dunia ini adalah bermula pada hari pertama mereka melihat dunia..

Usahlah ditunggu usia keramat tersebut untuk membuat perubahan kerana kita sebenarnya tidak diberikan jaminan akan melalui usia tersebut. Mungkin esok atau lusa kita akan menyahut panggilan Ilahi.

Tetapi sekiranya kita ditakdirkan akan melalui usia 40 tahun ini, jadikanlah ia peringkat untuk menilai semula diri sendiri. Hakikatnya kehidupan harus diperbaiki pada setiap hari supaya setiap hari yang kita lalui berjalan dengan lancar, lebih-lebih lagi apabila mencecah usia 40 tahun.

Pada usia 40 tahun, sudah tentu kita telah mengalami berbagai peristiwa pahit dan manis kehidupan yang membuatkan pemikiran kita menjadi lebih matang dan bersedia untuk hari mendatang.

Sekiranya fasa ini adalah tahap selesa untuk mengecapi kejayaan hasil kerja keras 39 tahun sebelumnya. Maka tidak salah kita meneruskan hobi, kegemaran atau impian yang tidak sempat dilakukan sebelumnya oleh kerana kesibukan waktu itu.

Bagi saya inilah maksudnya ungkapan tersebut iaitu kalau sebelum mencecah 40 tahun, tenaga dan tumpuan banyak dihabiskan dalam usaha membina kerjaya, keluarga serta mengukuhkan kedudukan ekonomi maka bila sampai usia 40 tahun, kehidupan menjadi lebih stabil, teratur dan kita sudah boleh menikmati hasil usaha yang telah dilakukan.

Susah, senang atau stabilnya hidup kita pada usia 40 tahun banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan sebelum itu, Jika baik jalan yang kita pilih, baiklah hasilnya dan begitulah sebaliknya.

Kehidupan berkeluarga juga seharusnya lebih harmoni kerana masing-masing sudah saling memahami sikap dan perwatakan masing-masing. Pada usia ini bukan lagi masa untuk membina keluarga tetapi menikmati kehidupan yang lengkap dan sempurna bersama isteri dan anak-anak yang sentiasa memahami dan memberikan sokongan.

Waktu ini anak-anak pun sudah membesar dan kita mempunyai lebih masa untuk penampilan diri kerana apabila telah semakin berumur, kesihatan juga memerlukan penjagaan yang lebih rapi.

Sebagai seorang Islam pula inilah masanya untuk kita melebihkan amal ibadat, kalau dulu kita jarang ke masjid, sekaranglah masanya untuk kita menebus semula dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelumnya.

Inilah juga masanya untuk kita bermuhasabah diri, memperbetulkan segala kesilapan-kesilapan yang mungkin pernah kita lakukan.

Kesimpulanya adalah janganlah kita mempersiakan masa muda kita semata-mata kerana ingin menunggu usia keramat tersebut untuk berubah, tetapi sebaliknya berusahalah bersungguh-sungguh dengan membuat perancangan yang rapi supaya pada usia tersebut kita boleh menikmati hidup yang lebih bermakna.

Tiada batas usia untuk melakukan perubahan, sekiranya kita telah banyak melakukan keburukan, maka setiap hari, malah setiap saat kita diberikan peluang untuk berubah menjadi lebih cemerlang.

Ingatlah hakikat sebenar kehidupan adalah bermula pada setiap hari….

5 comments:

Anonymous said...

Di usia muda jugalah kita hendak mengandakan usaha untuk mencari kejayaan yang hakiki.

Kita perlu berusaha lebih keras untuk mengejar kerjaya dan kejayaan sekaligus kadang-kadang kita perlu ketepikan keinginan kita sebagai seorang remaja. Perlu jadi kaya seawal mungkin! :P

Sesungguhnya beribadat dikala usia masih muda lebih banyak pahala berbanding beribadat ketika usia sudah lanjut menerjah bumi. :) Jadi ketika usia mudalah kita perlu kuatkan amal ibadat dan remaja yang sentiasa mengunjungi rumah Allah akan diberi perlindungan di padang masyar kelak :)

sekian
Labanon

Roshatika said...

Betul tu Labanon, akak setuju sangat,kita kena mulakan masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.

Anonymous said...

Ermmm...tahun depan Jimie akan menghampiri angka keramat tu. ihikkss... :) Terima kasih atas peringatan Ros, mudah2an Jimie tak termasuk di dalam golongan lelaki yang Ros maksudkan.

Roshatika said...

Jimie, Selamat masuk ke fasa baru kehidupan.

Dah tentu fasa yang selesa kan?

Axis Capital Holdings Limited said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, jadi Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com


Asa loan lending company are ready to loan you any amount you need to start up your personal business. we give out loan at 3% interest rate, so Kindly apply for agricultural farming loan. if you need loan contact our email:asaloantransfer@gmail.com, you can also contact this email:finance_institute2015@outlook.com