Gambar semasa Pak Chek menerima Pingat Pekerti Terpilih Kedah (PPTK) daripada Sultan Kedah.
SENJA yang merah ini benar-benar membuai perasaan. Antara ingatan dan tangisan yang masih berbekas di dalam hati. Aku pasrah terhadap ketentuan Ilahi….. Memandang jauh sepanjang pantai yang tenang ini, hati masih teringat. Payah sungguh rasanya untuk membuang ingatan tersebut dan teramat payahlah untuk melemparkannya jauh-jauh…..
Kenangan ini aku tujukan khas kepada bapa saudaraku yang aku panggil Pak Chek yang telah kembali Kerahmatullah pada tanggal 5 Oktober 1994 kerana penyakit asthma. Hari ini ingatanku makin menebal kepadanya kerana kami telah mengadakan kenduri arwah untuk beliau di rumah ibu saudaraku Hajjah Nuriah Bakri.
Bapa saudara yang ku sayangi ini adalah anak kelima daripada enam beradik dan merupakan adik kepada emakku. Namanya adalah Haji Abdullah bin Bakri yang telah dilahirkan pada 3 November 1940 di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjanamuda dengan kepujian dari Universiti Malaya sebelum memperolehi Ijazah Sarjana daripada University of Berkerly, California, Amerika Syarikat.
Jawatan pertamanya setelah pulang dari luar Negara adalah sebagai Pengetua SMK Banting, Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan. Kemudian beliau menjawat jawatan sebagai Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman sebelum bertukar ke Maktab Perguruan Batu Rakit juga di Terengganu.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Pendidikan Negeri Kedah sebelum mengorak langkah memegang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kariernya terus menyinar apabila memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian sekolah-sekolah Malaysia dan jawatan terakhirnya adalah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Gambar terbaru Mak Chek semasa kenduri arwah petang tadi
Mendirikan rumahtangga dengan Puan Rohani binti Nusi, berasal daripada Banting Selangor Darul Ehsan yang aku panggil Mak Chek. Beliau mendapat pendidikan daripada Institut Bahasa Lembah Pantai dan Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur.
Mak Chek ku ini pernah menjadi Pensyarah muzik Maktab Perguruan Ilmu Khas dan Maktab Perguruan Teknik, Cheras, Kuala Lumpur. Jawatan terakhirnya adalah Guru Muzik di Sekolah Sri Bestari, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.
Semasa hayat Pak Chek ku ini, beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dan telah memberikan seluruh jiwa dan raganya untuk pendidikkan anak bangsa sehingga dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih Kedah (PPTK) daripada Sultan Kedah dan menerima Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada yang Dipertuan Agong.
Gambar aku dan Mak Chek petang tadi
Kenangan-kenangan manis aku bersama Pak Chek dan Mak Chek adalah semasa aku berusia setahun lebih, aku dijaga oleh mereka berdua kerana emak melahirkan adikku. Aku sangat manja dengan mereka dan diberikan sepenuh kasih sayang.
Aku sangat rapat dengan mereka berdua dan mereka pula sangat mengambil berat tentang diriku, sehingga pada hari perkahwinanku, mereka berdualah yang telah mengubahsuai bilik pengantin. Seperkara lagi yang masih segar dalam ingatanku adalah semasa Pak Chek membaca thesis Ijazah Pertama suamiku yang ditujukan khas kepada aku. Pada masa itu kami belum mempunyai apa-apa hubungan dan Pak Chek lah yang telah meyakinkan aku supaya memilih suamiku sekarang.
Aku masih ingat lagi kata-kata Pak Chek “Macam ni lah budak yang Pak Chek suka…..”. Kata-kata itulah yang meyakinkan aku. Sebenarnya aku tahu Pak Chek memang suka orang yang terpelajar untuk menjadi pasangan hidupku.
Benarlah kata orang, mereka yang banyak berjasa dan disayangi oleh semua, akan lebih dulu meninggalkan kita. Apalah daya kita untuk menolak takdir Yang Maha Esa. Walau macam mana kita sayang kepadanya tetapi Allah lebih menyayanginya. Redhalah kita diatas pemergian beliau, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. AL-FATIHAH.
No comments:
Post a Comment