ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday, 13 May 2007

DUA GENERASI MENYAMBUT HARI IBU

Inilah ibuku, Hajah Rasiah binti Bakri

Untuk Ibuku, Ibu mertuaku dan semua ibu-ibu di seluruh dunia - SELAMAT HARI IBU. Selalu kita dengar orang berkata "Ibu mana yang tidak sayangkan anak" tapi pernahkah kita dengar orang berkata "Anak mana yang tidak sayangkan ibu".


Keluargaku yang bahagia. Selain dapat bawa mak jalan-jalan, dapat juga makan ramai-ramai seperti masa kecil-kecil dulu.

Sesungguhnya tidak ada syurga seorang anak tanpa keredhaan seorang ibu dan tidak akan lahir seorang anak adam ke dunia ini tanpa kekuatan seorang ibu.


Aku dan ibuku berehat sekejap selepas penat jalan-jalan.

Unggulnya sebuah keluarga juga kerana adanya pengorbanan seorang ibu. Mereka tidak mengenal penat dan putus asa untuk membesarkan anak-anak.


Di hujung sekali adalah adikku Hamzah, kami dua beradik aje.

Dalam apa-apa keadaan sekalipun ibu sanggup mengharungi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang, asalkan anak-anak mendapat kebahagian. Sedarkah kita tentang pengorbanan tersebut.

Adik iparku, Ema bersama ibu mertuanya

Adakah anak-anak tahu betapa kasihnya si ibu kepada mereka semua. Kasih sayang ibu tidak ternilai besarnya dan tidak akan terbalas oleh kita. Ibu-ibu tidak pernah merungut membesarkan kita dan adakah kita pun sama ketika menjaga hari tuanya?.


Hamzah bersama Isterinya Ema dan anak-anak Nuri dan Nadia

Adakah anak-anak faham leteran panjang ibu kerana anak lambat pulang ke rumah, jeritan bingar setiap pagi kerana anak lambat bangun ke sekolah dan suara yang meninggi kerana anak-anak malas membuat kerja rumah adalah tanda betapa prihatin seorang ibu dalam menyediakan anak-anak mereka menjadi orang berguna di masa depan.

Ema dan Nadia yang comel, anak buah mama

Bayangkan sekiranya kita tiada ibu, masa kecil dan remaja dulu, sekiranya ibu tiada di rumah semuanya jadi tidak kena. Usahkan seminggu, dua hari sahaja ibu tiada di rumah, hidup bagaikan tidak bermakna.

Mamat, Sofiyah, Nuri dan Siti memang sentiasa berselera makan. Siti hari ni demam! kasihan anak buah mama

Bila ibu keluar rumah, sudah tentu anak-anak melonjak keseronokan kerana tidak perlu mendengar leteran yang boleh memecahkan anak telinga. Bila ibu menjerit pula boleh bergegar isi perut, tingkatpun boleh tercabut. Bila ibu tiada di rumah, boleh buat apa sahaja, boleh main sampai senja, boleh tidur rumah kawan, boleh chatting sampai terkeluar biji mata dan boleh bergayut dengan si dia sampai subuh.

Tetapi keseronokan tidak berpanjangan, masuk hari ke-2 dah terasa kehilangan. Sepi betul rasanya bila tidak mendengar leteran ibu. Rumah jadi sunyi sepi. Rupa-rupanya leteran ibu adalah penyeri rumah. Tanpa leteran itu semuanya seperti mati.

Lepas ni mesti pekerja-pekerja restoran tersebut mengamuk sebab kena bersihkan nasi-nasi yang ditaburkan Aisyah.

Tanpa ibu, hidup ini tiada cabaran, balik pukul berapapun tiada yang melarang, tidak ada juga yang memulas telinga. Rupanya jari jemari ibu yang suka mencubit dan memiat telinga menjadikan hidup ini lebih bermakna.


Jangan ambil gambar saya, muka saya comot.

Lihatlah betapa besarnya pengertian seorang ibu kepada anak-anak. Hargailah dia selagi kita masih boleh memanggil namanya.....

No comments: