ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday, 24 May 2007

ANAKKU MULA BERCINTA

RISAU juga apabila memikirkan anak-anak yang sudah mula memasuki alam remaja dan mula mengenali cinta. Takut mereka ini terlalu mengikut perasaan dan sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Bak kata pantun melayu, “nasi lemak buah bidara, daun selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan”.

Cinta pertama sudah tentu tidak mungkin untuk kita lupakan, dan sudah tentu anak-anak kita juga akan melalui saat-saat indah ini seperti yang pernah kita alami . Ketika inilah mereka akan mula belajar mengenai perasaan, menghayati emosi dan melepaskan kekuatan kehendaknya untuk merapati seseorang yang baginya amat istimewa.

Perasaan cinta adalah fitrah semulajadi anugerah Allah kepada manusia. Prof. Dr. Hamka melakarkan “cinta ialah iradah Tuhan, dikirimNya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi”.

Oleh itu cinta adalah merupakan potensi yang positif sekiranya diatur dengan bimbingan yang suci mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama kita. Walaubagaimanapun lain dulu lain sekarang, anak-anak kita hari ini terlalu banyak dihidangkan dengan nilai-nilai negatif berbanding nilai-nilai positif. Pengaruh media elektronik dan alam siber terhadap jiwa mereka amat menakutkan kita.

Mereka sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi tuntutan cinta tanpa boleh ditegur. Apa yang dikhuatirkan adalah mereka akan terjebak dengan cinta palsu yang akhirnya akan merosakkan diri mereka sendiri.

Oleh kerana perasaan ini tidak boleh dielak, suka ataupun tidak kita terpaksa juga menghadapinya. Walaubagaimanapun ada beberapa kaedah yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan anak-anak kita yang mula mengenali cinta ini.

Pertama, berilah didikan agama yang selengkapnya sebelum mereka melangkah ke alam remaja. Agama menjadi penyelamat kepada manusia, tanpa agama manusia akan terumbang-ambing lemas dihanyut oleh arus keganasan dunia. Bekalkan mereka dengan pengetahuan agama yang secukupnya dan yang lebih penting mereka mengamalkannya. Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada seorang remaja lelaki yang juga sepupunya iaitu Abdullah bin Abbas RA: Pada suatu hari aku berada dibelakang tunggangan bersama Rasulullah SAW lalu baginda bersabda yang bermaksud “Wahai budak, sesungguhnya aku hendak mengajarkan beberapa pelajaran kepadamu. Peliharalah Allah (peliharalah ajaran dan hukum-hakam Allah dengan melaksanakan semua perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya) nescaya Allah akan memeliharamu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Kedua, walau sesibuk mana pun kita, cubalah luangkan masa bersama anak-anak. Kasih sayang kita adalah penting kepada mereka. Mengikut kajian, anak-anak yang terjebak dengan pergaulan bebas selalunya mempunyai latar belakang yang kurang kasih sayang dalam keluarga. Kita seharusnya memiliki perasaan cemburu terhadap anak-anak dan cuba untuk memiliki hati dan jiwanya. Berikan masa untuk mereka berdialog, meluahkan masalah dan bergurau senda sebelum mereka mencari orang lain untuk perkara itu semua. Sekiranya mereka telah menemui orang yang sanggup mendengar, mencurahkan segala isi hati, sanggup berkongsi masalah dan melakarkan impian untuk hidup bersama, maka pada masa itu kita sudah tidak bererti lagi bagi mereka. Oleh itu sebelum tibanya saat tersebut, pastikan kita juga memiliki secebis hati dan perasaan anak-anak kita.

Ketiga, ajarilah anak-anak dengan batas-batas pergaulan melalui contoh dan teladan yang baik. Tanamkan perasaan malu dalam pergaulan, berbudi bahasa, bersopan santun dan menghormati orang lain. Selain daripada itu imej diri yang bersih dan pegangan agama yang kuat boleh membantu mereka menguasai hawa nafsu.

Keempat, Kita mestilah menjadi orang ketiga diantara mereka berdua. Kita yang lebih dulu makan garam semestinya lebih memahami selok belok alam percintaan dan sudah tentu dapat memberikan panduan kepada mereka apa yang boleh dan yang tidak boleh mereka lakukan. Kita mestilah berkongsi perasaan dan boleh mempengaruhi minda mereka untuk membuat keputusan yang betul.

Sekiranya kita dapat melaksanakan perkara itu semua, insya-Allah anak-anak kita akan dapat menempuh alam percintaan tanpa melalui banyak masalah.

No comments: