ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Tuesday, 29 May 2007

CUTI SEKOLAH - BALIK KAMPUNG

MUSIM cuti sekolah kembali lagi, Port Dickson kembali sesak dengan pengunjung dan maklumat daripada rakan-rakan yang bekerja di hotel mengatakan kebanyakkan bilik hotel habis ditempah.

Biasanya terdapat tiga perkara yang sinonim dengan cuti sekolah iaitu balik kampong, kenduri kahwin dan juga pergi bercuti. Tapi hari ini saya mahu berkongsi dengan anda semua pengalaman balik ke kampong suami.

Kerana kami tinggal di Port Dickson, pengalaman balik kampong sudah tentulah ke kampung suami di Kelantan. Sekiranya kami menaiki kereta, perjalanan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuloh jam. Sebab itulah selalunya terpaksa singgah di perjalanan yang bermakna kami terpaksa mengambil masa dua hari untuk sampai ke sana.

Bila berjalan jauh, yang penting kenderaan kita mestilah berada di dalam keadaan yang baik. Kelajuan juga mestilah munasabah dan didalam keadaan di mana kita dapat mengawal kenderaan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti kebocoran atau kerosakan tayar. Bak kata orang biar lambat asal selamat. Saya selalu ingat pesanan bapa mertua saya “Ros, kalau nak cepat jangan bawa kereta, tapi naik kapal terbang”. Sebab itulah orang lain boleh sampai ke Kelantan dalam masa satu hari, saya pula terpaksa mengambil masa dua hari.

Kalau balik ke Kelantan ada tiga jalan yang selalu saya ikuti. Pertamanya melalui Lebuhraya Karak dan masuk melalui Bentong, Raub, Kuala Lipis, Gua Musang, Kota Bharu dan terus ke Tumpat. Saya suka melalui jalan ini kerana jaraknya paling dekat dan paling cepat. Caj tol juga tidak banyak kalau nak dibandingkan dengan melalui Lebuhraya Utara Selatan.

Biasanya daripada Port Dickson, saya mengambil masa lima jam untuk sampai ke Kuala Lipis dan daripada Kuala Lipis ke Tumpat juga mengambil masa lima jam. Sekiranya penat saya boleh bermalam di Rumah Rehat Tanjung Lipis yang terletak di Kuala Lipis. Rumah rehat ini memang selesa kalau nak dibandingkan dengan harganya yang murah.

Jalan kedua pula ialah melalui Cameron Highlands. Daripada Port Dickson, saya melalui Nilai, Shah Alam, Sungai Buloh, Tapah, Cameron Highlands, Gua Musang, Kota Bharu dan terus ke Tumpat. Sekiranya penat saya boleh bermalam di Cameron Highlands. Keistimewaan mengikuti jalan ini adalah saya boleh berjalan-jalan di Cameron Highlands.

Di Cameron Highlands ada dua perkara yang saya suka iaitu makan sup sayur di Tanah Rata dan kemudian membeli sayur-sayuran khasnya cendawan di Brinchang. Sekiranya anda melalui jalan ini sudah tentu anda akan dapat menghirup udara segar dan pemandangan yang indah di Cameron Highlands dan juga Lojing. Anda juga akan dapat melihat pos-pos orang asli semasa perjalanan daripada Cameron Highlands ke Gua Musang.

Jalan ketiga yang selalu saya ikuti adalah melalui Lebuhraya Timur Barat. Daripada Port Dickson kita ke Lebuhraya Utara Selatan dan keluar melalui susur Kuala Kangsar ke Lenggong, Grik, Jeli, Rantau Panjang, Pasir Mas dan terus ke Tumpat. Sekiranya saya melalui jalan ini saya akan bermalam di Rumah Rehat Lenggong atau di Tasik Banding.

Yang paling istimewa sekiranya melalui jalan ini adalah kerana saya dapat singgah di Restoran Ikan Bakar Tasik Raban yang terletak berhampiran dengan Tasik Raban. Restoran ini menjadi kegemaran saya kerana ikan bakarnya yang sedap. Sehingga ke hari ini saya belum lagi merasai ikan bakar yang lebih sedap daripada di sini.

Pernah pada suatu hari, masa itu saya mengandung dan teringin sangat untuk makan ikan bakar. Oleh kerana itu daripada Kelantan saya mengajak suami balik ke Port Dickson melalui jalan tersebut semata-mata kerana `mengidam’ untuk makan ikan bakar. Tetapi apabila sampai di Tasik Raban, alangkah kecewanya kerana Restoran tersebut bercuti pada hari itu. Disebabkan nasib saya baik, kebetulan tuan punya restoran berada di situ dan beliau sanggup memenuhi permintaan saya membakar ikan walaupun restoran tidak menjalankan perniagaan.

Dengar khabarnya restoran tersebut telah membuka cawangannya berhampiran stadium Ipoh. Doa saya semoga restoran ini akan terus maju dan dapat mengekalkan kesedapan ikan bakarnya.

Itulah antara pengalaman-pengalaman saya apabila balik ke kampong suami di Kelantan.

No comments: