Begitulah setiap kali mengandung, bukan setakat bentuk fizikal tubuh yang berubah tetapi aku juga akan menghadapi masalah yang berkaitan dengan kesihatan seperti loya, kencing manis, pertambahan selera makan dan juga batuk, selain daripada perubahan emosi dan masalah-masalah kesihatan yang lain.
Daripada artikel yang pernah aku baca, batuk sebenarnya adalah satu bentuk tindak balas yang dilakukan oleh tubuh sebagai reaksi terhadap benda asing yang masuk dalam tenggorok atau salur pernafasan. Benda asing tersebut boleh berupa lendir, kuman, benda penyebab reaksi alahan dan benda penyebab timbulnya reaksi iritasi.
Semasa seseorang wanita mengandung, tenggorok akan kerap berlendir sehingga menyebabkan terjadinya refleks berupa batuk. Dan sekiranya batuk berlaku secara berterusan dan kronik, maka ia boleh menjadi satu masalah.
Selain perubahan pada tenggorok, wanita mengandung juga akan mengalami perubahan pada bentuk serta kapasiti rongga dada akibat dari pembesaran pada rongga perut. Bila mereka mengalami batuk yang kuat, ianya akan mengakibatkan timbulnya tekanan pada rongga dada dan inilah sebabnya kerap kali wanita mengandung yang batuk akan terkucil atau terkencing.
Mengikut kajian, risiko yang terjadi akibat batuk yang kronik ketika mengandung adalah berlakunya pendarahan. Keadaan ini selalunya terjadi terhadap mereka yang pernah memiliki sejarah keguguran, kandungan berisiko tinggi, kandungan kembar dan kandungan yang sukar kerana masalah ketidaksuburan.
Sekiranya batuk yang kronik berlaku semasa kandungan memasuki bulan ke lapan, kemungkinan besar wanita mengandung akan berasa sesak nafas dan berasa sakit pada bahagian bawah perut. Perkara ini berlaku kerana kepala janin yang sudah ke bawah akan menekan rongga pinggul atau tulang kemaluan. Apabila batuk berterusan dan berulang-ulang ianya menyebabkan rasa pedih di bahagian ulu hati pula.
Sekiranya anda juga mengalami masalah batuk semasa mengandung, beberapa cara bagi mengatasinya boleh digunakan. Sekiranya batuk disebabkan oleh iritasi maka cara mengatasinya adalah dengan meminum air putih sebanyak yang mungkin. Cara ini mungkin menyebabkan wanita mengandung akan kerap ke bilik air tetapi cara ini adalah yang paling berkesan untuk meredakan iritasi.
Sekiranya batuk berpunca daripada elergi atau alahan, maka wanita mengandung hendaklah menghindari penyebab alahan tersebut. Antaranya elakkan dari udara sejuk dengan memakai pakaian tebal dan makan atau minum makanan atau minuman yang panas.
Sekiranya batuk diketahui berpunca daripada jangkitan kuman, maka ambillah ubat batuk yang sesuai untuk wanita mengandung, sebelum itu berjumpalah dengan doktor kerana wanita mengandung tidak boleh mengambil sebarang ubat tanpa nasihat daripada doktor.
3 comments:
Pos yang menarik. Terima kasih
thanks for share..
info yg berguna...thank you
Post a Comment