Tersentuh naluri keibuanku apabila membaca kisah yang dipaparkan oleh Harian Metro hari ini berkenaan segelintir anak seni kita yang menolak agama. Perasaan sedih dan geram datang bersilih ganti apabila mereka yang menggelarkan diri mereka melayu aliran baru, megah dengan bertatu, meminum arak dan mengamalkan seks bebas.
Terbayang difikiran ku, adakah ini gambaran sebenar generasi akan datang?. Sedih benar rasanya memikirkan segelintir mereka ini yang bergiat di dalam seni visual, teater dan pemuisi bangsa Melayu sanggup menjual agama dan maruah diri apabila terang-terangan mengaku tidak percayakan kewujudan Tuhan dan tidak menganut sebarang agama atau berfahaman `freethinker’ dengan pelbagai aliran seperti atheis, agnostic dan rasionalis.
Tidak pernah terbayang difikiranku akan wujudnya kumpulan seperti ini di dalam kelompok masyarakatku yang kuat pegangan agamanya. Mereka mendakwa bebas menentukan jalan hidup masing-masing dan menjadikan fahaman berkenaan seperti satu `trend’ hebat di mata kelompok mereka.
Kebanyakkan mereka kononnya berlagak seperti golongan intelek dengan mengusung buku tulisan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Soren Kierkegaard, Lord Byron dan Karl Marx yang terkenal dengan ideologi antiketuhanan dan komunisme sebagai `kitab’ ajaran mereka selain buku penulis berhaluan kiri dari Indonesia.
Laporan itu juga menyebut golongan ini mendapat bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar Negara untuk menghasilkan karya yang bertentangan dengan Islam dan budaya timur. Malah mereka juga berani menimbulkan kemarahan dan bersifat provokasi dengan menghasilkan karya seni dan penulisan artikel serta puisi di laman blog yang bertentangan dengan adat ketimuran.
Menurut laporan itu, perkara ini disahkan oleh seorang pereka grafik yang hanya mahu dikenali dengan Azfar, yang pernah menjadi pereka set untuk satu pementasan teater di utara Semenanjung yang membabitkan beberapa penganut freethinker pada tahun lalu.
Menurut Azfar, dua daripada tenaga kerja produksi itu termasuk pengarahnya mengaku berfahaman atheis dan sudah murtad. Mereka tidak mahu menyertai sesi bacaan doa sebelum persembahan dimulakan dan mempersendakan tenaga kerja lain yang menunaikan solat.
Azfar menambah pengarah tersebut pernah bersekedudukan dengan seorang lelaki `Mat Saleh’ dari Amerika Syarikat ketika menuntut di sebuah universiti. Daripada situlah mungkin pemikirannya dipesongkan.
Seorang lagi yang dikenali dengan nama Taji adalah juga pemuzik jalanan dikawasan Bukit Bintang pula diresapi fahaman tersebut apabila berkenalan dengan seorang aktivis sosial ketika menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di ibu negara.
Taji menganut fahaman ini apabila tertarik dengan hujah serta idea aktivis berkenaan. Akhirnya Taji terpengaruh serta yakin tuhan tidak wujud dan manusia berkuasa penuh untuk menentukan sendiri nasib masing-masing.
Daripada laporan tersebut sedarlah kita sebenarnya memang ada sekelompok manusia yang iri hati dengan agama kita. Mereka akan menggunakan berbagai kaedah untuk memesongkan pegangan agama kita. Mereka kononnya memperjuangkan kebebasan mutlak. Sedarlah kita kebebasan mutlak adalah tidak wujud di dunia ini. Baik di sekolah, rumah atau diri sendiri, kita sebenarnya terikat dengan berbagai peraturan yang memimpin perjalanan hidup kita.
Akhir-akhir ini banyak laporan mengatakan mereka menggunakan wang ringgit untuk membeli sesiapa yang kesempitan untuk menukar agama dan sanggup membeli cinta sekalipun bagi mencapai cita-cita mereka.
Oleh itu apa yang perlu kita lakukan adalah dengan mendidik anak-anak kita supaya benar-benar cintakan agama kita. Pastikan anak-anak kita dipenuhi dengan ilmu agama sebelum kita melepaskan mereka untuk melanjutkan pelajaran atau melalui alam pekerjaan.
Sentiasa prihatinlah dengan siapa anak-anak kita berkawan kerana diluar sana terdapat berbagai-bagai dugaan yang menunggu mereka.
No comments:
Post a Comment