ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Saturday 5 May 2007

TANPA CEMBURU CINTA TERASA HAMBAR

CEMBURU adalah fitrah semulajadi anugerah Allah kepada semua manusia tidak kira lelaki atau perempuan, pangkat atau darjat, kaya mahupun miskin. Semuanya sudah tentu pernah didera oleh perasaan cemburu ini.


Cemburu ada pelbagai peringkat, ada cemburu yang memang dituntut, ada cemburu kerana terlalu sayang dan ada cemburu yang tidak bertempat atau lebih dikenali dengan cemburu buta.

Jarang orang bercerita tentang sifat cemburu lelaki tetapi sebenarnya mereka juga tidak terlepas dari perasaan ini. Lelaki selalunya akan merasa cemburu apabila dia berasa dilupakan, diabaikan atau tidak diikutsertakan ketika pasangannya membuat sebarang keputusan penting.

Lebih dahsyat lagi sekiranya lelaki cemburu akibat cinta tiga segi. Mereka boleh bertindak agresif sehingga sanggup membunuh sekalipun. Perkara ini pernah berlaku di negara kita dan telah disiarkan oleh media masa.

Namun lelaki kurang memperlihatkan rasa cemburunya kerana menjaga harga diri. Mereka akan kurang selesa apabila perasaan cemburunya diketahui orang lain termasuk pasangan yang sedang dicemburuinya itu.

Walaubagaimanapun sifat cemburu ini lebih sinonim dengan wanita kerana mereka selalunya tidak dapat menyorok perasaan cemburu. Perkara ini selalunya dikaitkan dengan satu bahagian akal tidak dapat mengawal sembilan bahagian nafsu yang dimiliki oleh wanita berbanding lelaki yang mempunyai sembilan bahagian akal dan satu bahagian nafsu.

Kenapa wanita cemburu?. Wanita selalunya cemburu apabila mengetahui pasangannya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dalam erti kata sebenarnya, mereka takut berpindahnya kasih sayang dan juga perasaan tidak percaya akan kesetiaan orang yang dicintainya.

Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Sebab itulah terciptanya ungkapan `cemburu itu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. Ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang kepada seseorang tersebut, kenapa pula kita harus cemburu.

Pepatah ada mengatakan, Cemburu adalah bunga cinta, bunga ini dapat menghasilkan buah yang manis ataupun pahit dan kitalah yang perlu mengolahkannya supaya ianya enak untuk dinikmati.

Ketika seseorang cemburu, akan terbit di dalamnya perasaan marah, sedih, takut, malu, merasa bersalah, khuatir, tiada keyakinan diri bahkan sakit kepala atau reaksi fizikal yang lain. Naluri ini adalah sangat sukar untuk dibendung kerana di dalam diri setiap wanita tertanam perasaan bahawa pasangannya adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh diambil atau dikongsi dengan orang lain.

Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan berperasangka buruk. Hakikatnya dia sedar sikap cemburunya itu tidak disenangi oleh pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya sehingga kepada perkara-perkara kecil sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya.

Perasaan ini sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan seseorang tersebut hilang pertimbangan dan akan melakukan perkara-perkara yang di luar dugaan. Sudah tentu kita masih ingat kisah seorang ibu yang sanggup menjerut leher dua orang anaknya sehingga mati kerana marah yang terbit dari perasaan cemburu apabila mengetahui suaminya ingin berkahwin lagi. Malah ada kes isteri yang sanggup membunuh diri kerana tekanan perasaan tersebut.

Oleh itu sekiranya anda mendapat pasangan yang kuat cemburu, anda haruslah mengawal keadaan supaya perasaan cemburunya tidak merebak. Beberapa cara yang boleh digunakan adalah seperti jangan terikut-ikut dengan sikapnya. Mungkin kita tidak perlu menjawab soalan-soalan yang diajukan. Sebaliknya lebih baik berdiam diri daripada terus menyemarakkan kemarahannya.

Anggaplah bahawa dia sebenarnya bukan berniat untuk menyakiti hati kita, sebaliknya dilakukan tanpa disedari dan kita seharusnya tidak terlalu mengambil hati. Cubalah bina semula keyakinan dirinya dengan memberi pujian dan sentiasa meluahkan perasaan cinta yang membuktikan bahawa kita sentiasa menyayangi dan menghargainya. Dan janganlah lagi mambabitkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membuahkan perasaan cemburunya berbuah kembali seperti berbual-bual mesra dan bergurau senda dengan orang lain.

Di dalam konteks hubungan suami isteri pula, terimalah perasaan cemburu ini sebagai asam garam di dalam kehidupan berumah tangga. Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Cinta dan cemburu adalah seperti isi dengan kuku. Jadikanlah perasaan cemburu sebagai alat untuk memperbaiki sikap dan memperbetulkan mana yang terkurang.

Dengan itu cinta dan cemburu haruslah diambil sesedap rasa sebagai `perencah’ kebahagiaan rumah tangga. Cinta biarlah ikhlas dan cemburu biarlah bertempat. Kata orang, tanpa cemburu cinta terasa hambar.....

4 comments:

~ mizzAmy ~ said...

~ ha'ah.. sangat setuju. kalo cemburu yg terlampau pun memberi kesan yg negatif nanti. cemburu skit2 dah la. kalo tak dek cemburu tue, mmg sah la org tue sengal skit. hehehehe.. :) ~

Roshatika said...

Betul tu Amy, kalau dapat yang lurus bendul tak ada perasaan, kan tension tu!

Anonymous said...

hmm.. susah woo nak pujuk kalau merajuk sebab cemburu... kene biar dia reda dulu.. pastu baru pujuk..

kalau dipujuk masa cemburu meluap-luap, lagi banyak yang tak kena.. semua serba tak kena... hmm.. susah.. susah..

Monster Mom said...

In my case, cik abang saya pulak kuat cemburu...
seronok nengok dia jeles hihihi...