ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 24 August 2007

AMIRA! BUKTIKAN.....

[Artikel ini saya tujukan khas kepada anak sulung saya Rosamirah Insyirah yang akan menduduki peperiksaan PMR pada bulan Oktober nanti di SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim]

AMIRA! Tanamkan tekad di dalam minda bahawa “Aku akan memeranjatkan semua orang pada kali ini”. Bukan saja Mira harus bertekad untuk menjadi pelajar terbaik SMK Zainab 1, malah Mira akan menjadi pelajar terbaik Malaysia di dalam peperiksaan PMR yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Pada masa itu, Mira bukan hanya memeranjatkan guru-guru tetapi juga akan memeranjatkan ayah, mama, atuk, nenek serta adik-adik dan juga kawan-kawan semua.

Amira! Percaya dan yakinlah sekiranya kita menanam durian, sudah tentu hasilnya adalah buah durian. Begitu juga sekiranya kita menanam rambutan, sudah tentu hasilnya juga adalah buah rambutan. Dan begitu jugalah sekiranya kita menanam tekad untuk berjaya, sudah tentu hasilnya adalah kejayaan.

Walaubagaimanapun tekad mestilah disertakan juga dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu. Begitu jugalah sekiranya hanya berbekalkan kepandaian semula jadi, ianya tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan teknik belajar yang baik.

Teknik belajar yang baik akan menjimatkan masa, memudahkan kerja, menambah minat dan membolehkan Mira menguasai sesuatu pelajaran. Sebab itulah mama selalu tekankan supaya Mira mengamalkan teknik belajar yang berkesan.

Diantara teknik belajar yang baik yang perlu Mira ikuti adalah:-

· 1. Banyakkan bertanya

Selalulah bertanya kepada guru-guru atau kawan-kawan. Bertanya adalah amat penting dan berkesan untuk Mira memahami sesuatu masalah dengan segera. Untuk mempunyai soalan untuk bertanya, Mira mestilah membacanya dahulu sesuatu topik tersebut sebelum kelas bermula.

· 2. Memahami apa yang di baca

Memahami apa yang di baca adalah unsur yang terpenting sekali. Daripada situ, barulah Mira dapat membuat nota-nota ringkas iaitu membezakan yang mana berlian dan yang mana kaca dari timbunan membukit kandungan sesuatu pelajaran tersebut.

Setelah Mira siap menyediakan nota-nota ringkas selepas mengutip hanya isi-isi yang penting sahaja, barulah senang untuk Mira mengingatinya.

· 3. Membuat nota

Apabila Mira membuat nota, pastikan gunakan sistem yang mudah, kemas dan pendek tetapi mestilah jelas dan menarik kerana nota-nota inilah yang akan selalu di baca dan ulangkaji.

· 4. Membuat jadual waktu

Membuat jadual waktu membolehkan Mira menyeimbangkan diantara membaca, membuat nota, membuat kerja rumah, mengulangkaji, membuat latihan dan juga menyediakan pelajaran untuk besok. Dan yang lebih penting lagi adalah Mira harus taat setia kepada jadual waktu tersebut.

· 5. Mengadakan perbincangan

Setelah melakukan ulangkaji dan juga latihan, seharusnya Mira mengadakan perbincangan dengan guru-guru atau kawan-kawan. Perbincangan akan menambah pengetahuan, membetulkan kesilapan dan menghapuskan kekeliruan dan kesamaran.

· 6. Menilai kemajuan

Untuk menilai kemajuan dan tahap pencapaian, seharusnya Mira membuat latihan berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas dan juga soalan-soalan ramalan yang banyak di pasaran. Mama rasa sepatutnya Mira telah sampai ke tahap ini sekarang.

Daripada sekarang sepatutnya Mira telah mula membuat ujian sendiri untuk mengetahui tahap pemahaman Mira terhadap sesuatu pelajaran. Contoh-contoh jawapan akan membolehkan Mira mengetahui bab-bab yang penting dan seterusnya menumpukan perhatian kepada bab-bab tersebut.

Latihan-latihan yang Mira jalankan mestilah diselang-selikan dengan ulangkaji dan perbincangan. Untuk memastikan ulangkaji dan perbincangan Mira berkesan adalah dengan melihat peningkatan markah dari satu latihan kepada latihan yang berikutnya.

Mira semestinya terus melakukan latihan demi latihan dengan ulangkaji dan perbincangan sehingga Mira puashati dengan markah yang Mira perolehi.

Insya-Allah, mama dan ayah akan sentiasa mendoakan kejayaan Mira.

3 comments:

Anonymous said...

Hehe belajar bersungguh-sungguh.. jangan jadi macam abang ni yang main-main time PMR dulu. Hehe nak sentuh buku? Jangan harap huhu mungkin inlah kelemahan lelaki. Perempuan takpe rajin, so teruskan kerajinan anda insyallah berjaya :) Paling penting JANGAN MENIRU hehe

13may said...

Moga berjaya!

Amin.

Anonymous said...

Untuk Labanonpun akak ucapkan selamat berjaya di dalam SPM nanti. Rajin-rajin belajar.