ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday, 9 August 2007

KU SANGKA TENGGIRI RUPANYA TALAPIA

AKU pun tak tahu kenapa, masa mengandung kali ini aku memang suka sangat makan ikan talapia. Orang kata ikan talapia `low class’, maklumlah ikan sungai, berbau hanyir, tapi tekak orang mengandung tak sama. Kadang-kadang benda yang pelik-pelik menjadi idamannya.

Emak pula asyik teringin nak makan ikan tenggiri. Sudah berkali-kali dia meminta aku menelefon abah supaya menghantar ikan tenggiri untuknya dan talapia untukku. Kebetulan pula abah memang ada membuka pasar mini segar yang menjual berbagai jenis barangan basah seperti ayam, daging, ikan, dan berbagai jenis makanan laut termasuk juga sayur-sayuran dan berbagai jenis keperluan dapur.

Beberapa hari lepas aku menghantar SMS kepada abah berkenaan perkara tersebut. Tetapi di balas oleh INA, bukan watak Ina yang dilakonkan oleh Kristine Hermosa dalam telenovela Filipina `Pangako Sa yo’ tapi Ina daripada Rompin.

Watak Ina yang hadir di dalam episod duka keluargaku ini akan aku ceritakan di dalam coretan-coretan yang akan datang. Itupun sekiranya ada permintaan daripada pembaca semua. Kepada pembaca yang ingin mengetahui siapakah Ina di dalam keluargaku, bolehlah e-mail atau tinggalkan pesanan di chat box.

Balasan Ina terhadap SMS aku adalah “Ya la sayang. Abah tidur, talapia tak ada, tenggiri pun tak ada. Ok”. Begitulah selalunya setiap kali bila aku SMS atau call, jawapannya abah selalu tak ada, samada tidur atau keluar. Jadi tak dapatlah aku bermanja dengan abah. Beginilah nasib anak kecil yang telah di rampas kasih sayangnya seperti coretanku di bawah tajuk Ku Sangkakan Panas Hingga Ke Petang.

Walaubagaimanapun aku ucapkan terima kasih kepada abah kerana beberapa hari lepas Ina telah menghantar ikan tersebut ke rumah emakku, aku sangka tenggiri kesukaan mak ada sekali tapi rupanya hanya talapia untukku. Yang istimewanya ikan tersebut memang betul-betul fresh kerana pembekal menghantarnya dalam keadaan masih hidup dan ikan tersebut dihantar kepadaku dalam keadaan telah dibersihkan dan diletak garam sekali.

Bagi mereka yang tinggal di Port Dickson dan teringin makanan-makanan basah yang segar, bolehlah mengunjungi kedai abah yang terletak di Taman PD Utama.

Di saat-saat begini aku terkenang masa abah selalu ke laut dulu menjaring ikan bersama adikku Hamzah. Masa itu aku memang mewah makan ikan. Rasanya tak termakan ikan-ikan tersebut. Peti sejuk di rumahku sentiasa penuh dengan ikan.

Kadang-kadang peti terlampau penuh dan abah jadikan ikan-ikan tersebut ikan masin dengan meletakkan garam dan menjemurnya di halaman rumah. Memang seronok masa itu kerana aku dapat makan berbagai jenis ikan.

Setiap kali ke laut, abah memang tidak pernah balik dengan tangan kosong, Berbagai jenis ikan yang dapat ditangkap. Kalau abah dapat tenggiri, jenak, sagai, sisa nabi atau caping, kata abah itu untuk mak kerana ikan-ikan tersebut memang abah tahu kesukaan mak. Kalau abah dapat pari atau senangin, itu pula untuk aku kerana abah juga tahu aku memang suka pari dan senangin.

Setiap kali abah ke laut juga, mak bukannya boleh tidur lena di rumah kerana risaukan abah di laut. Dan bila kedengaran kereta abah menarik bot balik, itulah saat yang mengembirakan mak. Kerisauan mak akan hilang dan mak bersedia untuk memasak ikan-ikan tersebut.

Kalau dapat pari, abah akan minta mak masakkan asam tumis, kalau sagai atau sisa nabi abah suka mak masak pindang serani kerana abah suka menghirup kuahnya. Kalau ikan mayong atau alu-alu, abah suka masakan kari berempah.

Jadi setiap kali abah ke laut, bukan setakat mak yang tak tidur lena, aku pun sama, menanti kepulangan abah bersama-sama hasil tangkapannya untuk kami sama-sama makan walaupun hari sudah dinihari.

Itulah antara kenangan-kenangan manisku bersama dengan abah. Sekarang abah tidak ke laut lagi tetapi abah telah menggantikan hobinya dengan membuka pasar mini segar yang menjual barangan-barangan basah tersebut.

Walaubagaimanapun aku rasa bertuah kerana abah telah membuka pasar mini segar. Dapatlah aku makan ikan walaupun hanya sekadar talapia…..

No comments: