SETELAH semusim kemarau, kini tiba musim hujan. Dedaunan yang kekeringan mula menghijau. Ulat kecil yang telah lama kelaparan begitu gembira sekali. Inilah masanya ia dapat menikmati daun hijau sepuas-puasnya.
“Apa khabar daun hijau?” sapa si ulat kecil. Daun hijau tersentak dengan sapaan ulat dan menoleh kearah suara yang datang tersebut.
“Ohh…kamu ulat, khabar baik. Kenapa badan kamu kelihatan kurus dan kecil?” tanya daun hijau.
“Sudah semusim aku tidak mendapat daun hijau untuk makananku, jadi bolehkah engkau memberikanku sedikit makanan?” tanya ulat kecil.
“Sudah tentu boleh, datanglah ke sini” jawab daun hijau.
Daun hujau berfikir “Jika aku berikan sedikit saja daunku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya badanku saja yang akan kelihatan berlubang-lubang….tapi tak kisahlah”.
Mendengar jawapan daun hijau, maka ulat perlahan-lahan menuju kepada daun hijau dan makan daun tersebut sepuas-puasnya. Setelah kenyang ulat mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada daun hijau kerana merelakan sebahagian tubuhnya menjadi makanan.
Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan tersebut, daun hijau merasa suatu kepuasan yang tidak terhingga. Walaupun kini badannya berlubang di sana sini namun ia merasakan kebahagiaan kerana dapat melakukan sesuatu bagi ulat yang lapar.
Tidak lama kemudiaan, musim kemarau kembali tiba, daun hijau yang tadinya menghijau kembali kekeringan. Lama-kelamaan gugur ke bumi ditiup angin.
Renungan dari kisah ini adalah, alangkah mulia sekiranya di dunia ini manusia sanggup saling berkorban diantara satu sama lain. Bukan semua manusia ditakdirkan bernasib baik. Ada banyak bahagian dunia yang sering dilanda bencana seperti banjir, gempa bumi atau ribut taufan. Apalah salahnya kita yang ditakdirkan lebih bernasib baik membantu mereka.
Merelakan kesenangan dan kepentingan diri untuk orang lain bukan mudah. Pengorbanan yang kita berikan sebenarnya tidak akan menjejaskan kehidupan kita, malah Allah akan memberkati dan memelihara kehidupan kita.
Sedarlah, bagaimana kita boleh tidur lena sekiranya di luar sana masih ramai yang mati kelaparan dan bagaimana kita boleh senang lenang bersuka ria sekiranya pahlawan-pahlawan kita di perbatasan bertarung nyawa mempertahankan agama, bangsa dan Negara.
1 comment:
Cantik sungguh koleksi gambar kat blog Kak Ros.
Saya nak minta izin Kak Ros untuk copy gambar yang ada untuk blog anak saya. Dia ni anak autistic dan gemar akan gambar seperti lori, bas, bendera, patriotik dsbnya.
Sekian
smsaroni a.k.a Wak Sam
Autism
Post a Comment