ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday 5 August 2007

KETABAHAN LUAR BIASA

KITA selalu berfikir orang yang berjaya tidak pernah mempunyai masalah tetapi sebenarnya mereka telah mengharungi berbagai masalah dengan tabah sebelum mencapai kejayaan.

Pasukan Iraq menjadi juara bolasepak Piala Asia kerana telah berjaya mengharungi kesukaran akibat daripada negara mereka yang huru hara. Mereka bermain bersungguh-sungguh bagi membuktikan mereka tetap pemenang walaupun negara mereka sedang di jajah.

Pemain-pemain bolasepak dari negara-negara Afrika menunjukkan kecemerlangan kerana ingin lari dari belenggu kemiskinan. Mereka bersungguh-sungguh menunjukkan kebolehan supaya terpilih untuk bermain di liga-liga luar negara khasnya liga eropah.

Jutawan-jutawan di negara kita juga kebanyakannya bukan berasal dari keluarga yang kaya raya. Sebaliknya mereka bangkit dari kesusahan dan kesukaran.

Mereka-mereka yang berjaya ini sebenarnya mempunyai ketabahan yang luar biasa iaitu kunci bagi setiap manusia yang mahu mengecapi kejayaan yang terhebat di dalam kehidupan mereka.

Setiap kesukaran, kepayahan dan halangan ditempuh dengan penuh ketabahan sehingga mereka akhirnya menjadi orang-orang yang berjaya dan terkenal di dunia ini.

Stephen Hawking, seorang saintis terulung dunia yang kini berkerusi roda dan tidak boleh bercakap kerana serangan penyakit saraf pernah menolak cadangan penyelianya supaya menukar tesis doktor falsafahnya kepada yang lebih mudah kerana telah di kesan tanda-tanda serangan penyakit saraf.

Sebaliknya Hawking mencari tajuk yang lebih sukar dan menemuinya dengan mengemukakan tesis mengenai asal usul kewujudan alam semesta yang menjadikannya terkenal di seluruh dunia.

Liz Murray, tidak mempunyai tempat berteduh setelah ibunya meninggal dunia semasa umurnya 15 tahun. Beliau dan bapanya terpaksa berpindah ke sebuah tempat perlindungan sementera tetapi kerana berkat ketabahannya beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard.

Beliau menganggap kemiskinan sebenar di dunia ini adalah kemiskinan mental dan bukannya kemiskinan harta benda. Perkara inilah yang telah mendorong kejayaannya.

D.J. Graffree pula adalah seorang pelajar yang berumur 11 tahun. Budak ini pernah tidur di dalam tong sampah di tepi jalan kerana kemiskinan. Tetapi akhirnya di umumkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya yang mendapat liputan akhbar dan stesen TV.

Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa sekiranya menghadapi berbagai-bagai kesukaran dan ujian daripada Allah di dalam mengharungi hidup ini, tetapi sebaliknya hadapilah dengan penuh ketabahan semoga kita juga akan menjadi antara yang terbilang pada suatu hari nanti.

Insya-Allah.

No comments: