PADA satu malam yang gelap gelita berserta dengan hujan renyai-renyai, Datin Halimah memandu seorang diri balik ke rumahnya. Nasibnya tidak baik pada malam itu kerana enjin keretanya rosak dengan tiba-tiba. Puas dia cuba menghidupkannya semula namun tidak juga berhasil.
Datin Halimah memang langsung tidak mempunyai asas membetulkan kereta. Dia hanya tahu memandu Mercedes kesayangannya tersebut. Pilihannya sekarang adalah meminta pertolongan pemandu-pemandu lain yang lalu lalang. Tapi adakah pemandu lain yang sanggup menolongnya di malam yang gelap tersebut.
Setelah lebih kurang satu jam dia cuba menahan pemandu lain untuk meminta pertolongan, barulah sekarang seorang pemandu sebuah kereta kancil memberhentikan keretanya. Pada mulanya Datin Halimah masih khuatir, kalau-kalau pemandu tersebut berniat jahat.
Tapi apabila melihat wajah pemandu tersebut yang tersenyum, dia merasa lega. Didalam hatinya berkata “masih ada yang sanggup membantu walaupun pada malam yang gelap sebegini”.
Pemandu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Amir. Kebetulan Amir memang berkerja di sebuah bengkel membaiki kereta. Jadi Amir memang tahu sedikit sebanyak tentang kerosakan kereta.
“Kereta makcik rosak ke? Tanya Amir setelah menghampiri Datin Halimah. “Ya, tiba-tiba enjinnya mati” jawab Datin Halimah. “Boleh saya tolong betulkan?” tanya Amir lagi. “silakan, makcik memang daripada tadi menunggu sesiapa yang sanggup menolong”.
Tanpa berlengah lagi Amir cuba membetulkan kereta tersebut. Tidak lama kemudian, kereta tersebut dapat dihidupkan. Datin Halimah begitu gembira sekali dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Amir. Jika bukan kerana pertolongan Amir, dia pun tidak tahu nasib yang akan menimpanya.
Melihat kekotoran dan kepenatan Amir, Datin Halimah tidak sampai hati hanya mengucapkan terima kasih. Dia sebenarnya sanggup membayar upah Amir walaupun berapa yang dimintanya.
Tetapi bagi Amir pula, menolong orang yang kesusahan adalah bukan perkerjaan. Jadi dia tidak memerlukan upah. Baginya berbuat baik pasti Allah akan memberikan balasan baik walaupun didalam bentuk yang lain.
Amir menolak pemberian upah tersebut dengan baik dan berkata “sekiranya makcik benar-benar ingin membalas jasa saya, maka apabila terjumpa dengan mereka yang memerlukan pertolongan, berilah pertolongan dengan ikhlas”.
Mendengar penjelasan Amir, Datin Halimah sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.
Dipertengahan jalan Datin Halimah melihat ada sebuah warung dan kebetulan pula perutnya terasa lapar. Jadi dia berhenti untuk makan dan berehat sebentar.
Setelah dia duduk, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Pelayan tersebut masih muda dan sedang mengandung. Lagaknya seperti sedang menunggu hari untuk bersalin. Daripada riak wajahnya kelihatan seperti sedang menanggung kesusahan.
Perasaan Datin Halimah tiba-tiba menjadi kesian apabila melihat pelayan tersebut. Fikirannya teringat kepada Amir. Hatinya berkata “mungkin inilah masanya aku membalas jasa Amir”.
Setelah selesai makan dan membayar bilnya, Datin Halimah dengan diam-diam meninggalkan sekeping nota dan wang RM1,000.00 kepada pelayan tersebut.
Nota itu berbunyi “kamu ambillah pemberian saya ini, sebenarnya baru sebentar tadi seseorang telah menolong saya, jadi bagi membalas jasanya saya berikan kamu wang RM1,000.00. Mungkin kamu sedang memerlukannya. Pinta saya supaya kamu tidak pernah berhenti daripada memberikan cinta dan kasih sayang”.
Wanita pelayan tersebut sangat terharu apabila membaca nota tersebut. Dia kehairanan bagaimana pelanggan tersebut tahu dia memang benar-benar memerlukan wang bagi kelahiran anaknya tidak berapa lama lagi.
Setelah pulang ke rumah, wanita pelayan tersebut mendapati suaminya telah nyenyak tidur. Fikirannya masih teringat kepada nota dan wang yang di berikan pelanggan tadi.. Dia tahu suaminya pasti gembira apabila mengetahui perkara yang berlaku sebentar tadi.
Kebelakangan ini suaminya memang risau untuk mencari wang bagi perbelanjaannya bersalin dan sekarang tanpa disangka-sangka dia meperolehi wang tersebut.
Perlahan-lahan dia merebahkan badan lalu memeluk suaminya yang terbaring disebelahnya dan memberikan ciuman yang lembut sambil berbisik “I love you, AMIR”.
Daripada cerita ini dapatlah disimpulkan, hukum alam tidak akan pernah berbohong kepada kita, apa yang kita buat dan apa yang kita fikirkan, itulah yang akan kembali kepada kita. Sekiranya kita sentiasa berbuat baik dan berfikiran positif sudah tentulah kebaikan dan perkara-perkara positif yang akan datang kepada kita.
Oleh itu janganlah berhenti daripada membuat kebaikan disepanjang hidup kita.
Sekian, jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment