PERISTIWA kebakaran di Kluang, Johor semalam yang mengorbankan lima sekeluarga begitu menyayat hati. Ianya menggambarkan di luar sana masih ramai yang hidup dalam kesempitan di dalam meniti kehidupan dunia yang penuh dengan ranjau ini.
Seperti yang dilaporkan, kebakaran berlaku mungkin berpunca dari api lilin yang terpaksa mereka gunakan kerana bekalan elektrik telah di potong olen Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berlaku kerana mereka tidak dapat membayar bil elektrik yang berjumlah RM800.00.
Pembayaran tersebut terpaksa mereka tangguh kerana mendahulukan keperluan tujuh anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi manakala empat yang lain masih bersekolah.
Saya sebenarnya kagum dengan semangat kedua ibu dan bapa tersebut. mereka sanggup bercahayakan lilin semata-mata ingin menampung perbelanjaan pelajaran anak-anaknya. Begitulah besarnya pengorbanan mereka.
Kita boleh katakan itu semua adalah ketentuan takdir yang tidak boleh dielakkan. Walaubagaimanapun kerakusan manusia iaitu pihak TNB yang memotong bekalan elektrik ke rumah tersebut tidak boleh di pandang ringan.
TNB adalah pembekal monopoli tenaga elektrik di negara kita. Pengguna tiada pilihan untuk mendapatkan bekalan elektrik dari syarikat-syarikat lain. Inilah kelebihan yang digunakan TNB untuk melakukan tindakan dengan sewenang-wenangnya kerana menyedari keadaan tersebut. Dalam erti kata lain walaubagaimana `kejam’ pun tindakan TNB, pengguna terpaksa menerimanya.
Di dalam Buletin Utama TV3 malam tadi dinyatakan pihak TNB mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit tetapi menjelaskan tindakan pemotongan tersebut telah dilakukan mengikut prosedur yang betul iaitu memberikan masa yang cukup dengan notis pemotongan tujuh hari.
Persoalannya adakah masa tujuh hari yang diberikan mencukupi dengan sistem gaji kita mengikut bulanan? Kalau ingin membuat pinjaman, adakah pihak-pihak yang memberikan pinjaman dapat meluluskannya dalam tempoh sesingkat itu, kecuali `Ah Long’?
Itu belum lagi dipersoalkan adakah notis yang dihantar oleh TNB di terima oleh pengguna? Kerana TNB menghantar notis menggunakan tangan tanpa ada apa-apa dokumen yang perlu di tandatangani pengesahan penerimaan oleh pengguna.
Kemungkinan notis tersebut tidak dihantar atau dihantar secara `sambil lewa’ dengan menyelitkannya dipintu dan kemudiannya di terbangkan angin tidak boleh dinafikan sama sekali.
Jadi saya berharap pihak TNB dapat meningkatkan sistem penyerahan bil dan notis setaraf dengan kedudukkan syarikat tersebut dan bersesuaian dengan kemajuan negara. Jangan kerana pengguna tidak mempunyai pilihan lain, TNB mengambil kesempatan untuk menindas.
Tenaga elektrik adalah keperluan asas manusia pada zaman sekarang. Tindakan memotong bekalan mestilah dijadikan jalan terakhir dan bukannya jalan mudah untuk mendapat bayaran. Banyak cara lain yang boleh digunakan kecuali TNB hanya memikirkan jalan mudah yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
Jadikanlah pengajaran dari peristiwa ini. Penindasan bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Kasihanilah kepada pekerja TNB yang diarah memotong bekalan tersebut kerana peristiwa ini sudah tentu akan menghantuinya sepanjang hayat.
Kepada anak-anak mangsa yang masih hidup, belajarlah bersungguh-sungguh. Balaslah pengorbanan kedua ibu-bapa dan adik-adik dengan menjadi orang-orang yang berguna pada suatu hari nanti. Kalau boleh tekadkan azam untuk menjadi mereka yang berkuasa di TNB nanti dan jangan lupa pada masa itu, ubahlah dasar-dasar yang menindas pengguna tersebut.
No comments:
Post a Comment