ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday, 9 August 2007

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

DIPINGGIR sebuah hutan terdapat sepasang katak dan dua ekor anaknya yang sedang membesar. Pada suatu hari dua ekor anak katak tersebut teringin untuk pergi bersiar-siar dikampung bersebelahan tempat tinggal mereka.

Tanpa pengetahuan ibu dan bapa mereka, dua ekor anak katak tersebut terus melompat ke kampong sebelah dengan begitu riang sekali. Mereka melompat kesana dan kemari sehingga terjumpa dengan sebuah rumah pengembala lembu yang menyara kehidupannya dengan menjual susu yang diperah daripada binatang peliharaannya tersebut.

Dua ekor anak katak tersebut cuba memasuki rumah pengembala itu dengan melompat melalui tingkap. Setelah berjaya memasukinya mereka gembira sekali kerana melihat begitu banyak susu lembu yang disimpan di dalam balang kaca.

Mereka berdua teringin sangat untuk meminum susu tersebut. Tetapi balang itu licin untuk dipanjat. Tanpa berfikir panjang mereka terus melompat masuk ke dalam baling. Apabila berada di dalam balang mereka meminum susu tersebut dengan sepuas-puas hati sambil berenang.

Setelah kekenyangan barulah mereka sedar yang mereka sebenarnya telah terperangkap di dalam balang tersebut. Mereka tidak dapat keluar kerana dinding balang licin untuk di panjat, manakala kaki mereka pula tidak sampai ke dasar untuk melompat.

Mereka berdua terus berenang di dalam susu tersebut dengan harapan semoga ada sesiapa yang datang menolong. Setelah beberapa jam berenang, pertolongan tidak juga kunjung tiba.

Seekor daripada anak katak tersebut sudah tidak dapat bertahan. Dia merasakan sudah tiada harapan untuk hidup lagi. Akhirnya dia berputus asa dan mengalah . Lalu dia tenggalam ke dasar kolam dan mati kelemasan.

Manakala seekor lagi anak katak tetap bertahan. Dia tidak cepat berputus asa malah terus berusaha untuk keluar dengan berenang sambil mengayuh kakinya. Rupa-rupanya tindakan mengayuh kaki di dalam susu tersebut menyerupai proses membuat mentega.

Susu tersebut akhirnya menjadi kental dan lama-kelamaan menjadi keras. Setelah susu tersebut keras maka dapatlah anak katak tersebut melompat keluar kerana sudah ada tempat untuk menjadi landasan berpijak. Maka dia pun selamat keluar dari balang tersebut.

Pengajaran dari cerita ini adalah, jangan cepat berputus asa sekirannya dilanda masalah kerana percayalah “ Allah tidak mencipta masalah tanpa jalan penyelesaiannya”.

No comments: