SEMALAM pergi Hospital PUSRAWI untuk pemeriksaan bulanan. Kandunganku telah memasuki minggu ke 31. Mengikut Dr. Daud ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu berat badanku yang naik 2.5 kg pada bulan ini dan air kencingku dikesan mengandungi protin (albumin).
Perkara-perkara lain nampaknya alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Kencing manis dan tekanan darah di dalam keadaan normal manakala air ketuban tidak berapa banyak yang menandakan kandunganku kali ini tidaklah sebesar Aisyah. Daripada imbasan 3-D, pipinya tidaklah begitu tembam kalau nak dibandingkan dengan Aisyah dulu.
Untuk pengetahuan semua, Aisyah dulu lahir dengan berat 4.5 kg. Peristiwa bahu Aisyah yang tersangkut tidak dapat dikeluarkan masa melahirkannya dulu masih menghantui. Masa itu bukan setakat aku yang takut tetapi suamiku yang berada di sisi dan doktor juga panik. Nasib baik pengalaman dan kecekapan Dr. Norkedah menyelamatkan keadaan dan akhirnya Aisyah di lahirkan dengan selamat.
Sebab itulah pada kandungan kali ini aku benar-benar mengawal pemakanan dan menjaga berat badan. Harap-harap kandunganku kali ini tidak melebihi 4 kg supaya senang aku bersalin nanti.
Kenaikan berat badan bulan ini mungkin berpunca daripada balik Kelantan tempohari. Apabila balik Kelantan aku memang susah untuk mengawal pemakananku kerana makanannya yang sedap-sedap belaka.
Di awal pagi aku telah dihidangkan dengan nasi berlauk ayam kampong atau serati (sejenis itik) yang memang terkenal di Kelantan. Itu belum lagi di kira dengan makanan-makanan lain yang Ma (Mak mertua) beli di Pasar Chabang Empat iaitu seperti nasi air, laksam, nasi dagang dan bermacam-macam jenis kuih-muih seperti tepung pelita, lompat tikam, boko, beko dan bermacam-macam jenis lagi yang aku pun tak tahu namanya.
Pada tengah hari dan malam pula dihidangkan dengan lauk-lauk yang memang menjadi kegemaran suami dan aku juga. Ini termasuklah gulai kawah, ayam percik, daging bakar, ikan kikik katok (ketuk) serai, ikan tongkol bakar dan nangka celur cecah budu serta berbagai masakan Kelantan yang aku pun tak tahu nak sebut. Tetapi yang pastinya semua sedap-sedap belaka. Cuma kali ini aku tak dapat merasa nasi kerabu Ma yang sedap kerana Ma tidak berapa sihat hari itu.
Sebelah petang pula di Kelantan memang banyak kuih-muih yang dijual, yang paling aku suka adalah kuih akok Pengkalan Kubor, tapi hari itu aku tak sempat ke Pengkalan Kubor, jadi aku beli di Kampung Kepulau dekat Palekbang. Kuih akoknya boleh tahan juga hingga aku boleh bungkus dan bawa balik Port Dickson. Aku rasa sepanjang di Kelantan tempohari, berpuluh biji kuih akok aku habiskan.
Anak-anak pula sentiasa mengajak aku makan dekat luar, jadi terpaksalah melayan kerenah mereka. Sempatlah makan satay wakaf bharu, roti tempayan depan pejabat Pos Wakaf Bharu, sup perut dan makan tom yam merah (Tom Yam Mat) di Pasir Pekan yang anakku kata `sedap giler’. Tom yam merah ni memang tak boleh dapat di Port Dickson. Rasanya betul-betul sedap sehingga kita rasa sayang untuk menghabiskannya. Leila mesti tahu tempat-tempat ini.
Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan lain yang tidak sempat aku singgah kali ini. Pertamanya kerana menjaga pemakananku dan keduanya kerana risaukan tekanan darah suamiku. Kalau aku ajak mesti dia tidak akan menolak kerana tempat-tempat tersebut juga menjadi tempat kegemarannya. Antaranya adalah kedai nasi sumatera, ayam percik Yati, Nasi air Mak Su Nab, belut Paprik Chabang Empat dan gulai ikan darat (ikan sungai seperti haruan, keli dan sebagainya) lubuk Jong.
Bagi mereka yang belum pernah makan di Kedai nasi sumatera, jangan terperanjat sekiranya singgah makan di situ. Mereka tidak akan bertanya apa yang ingin kita order sebaliknya akan menghidangkan semua jenis lauk yang mereka ada, mungkin berbelas jenis lauk termasuk yang pelik-pelik seperti telur penyu. Apabila kita selesai makan, mereka hanya akan mengira apa yang kita makan sahaja.
Kebetulan juga masa balik tempohari adalah musim buah-buahan. Jadi setiap hari aku makan durian, manggis, rambutan, buah salak, duku dan dokong. Manggis, rambutan, salak, duku dan dokong memang ayah dan ma tanam sekeliling rumah manakala durian pula selalunya adalah pemberian orang kampong dan saudara mara.
Masa balik hari itu dokong baru kuning, belum betul-betul masak lagi tapi ayah petik juga, takut aku tak sempat makan kerana bersalin.
Akhir sekali masa balik Ma bekalkan aku nasi berlauk ayam percik. Walaupun sudah tidur dalam kereta api aku terjaga kerana teringatkan ayam percik tersebut dan aku makan dengan berselera walaupun sudah dinihari.
Itulah untungnya hidup dikampung, semuanya tak perlu di beli, kadang-kadang bila buka pintu waktu pagi nampak ada durian yang di letakkan di tangga. Kita pun tak tahu siapa yang bagi.
Kalau begitulah keadaannya, macamana aku boleh mengawal selera makanku? Itulah sebabnya aku tengok anak-anakku disana semuanya makin tembam-tembam belaka!
No comments:
Post a Comment