ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday 15 February 2007

ALAHAI KONTRAKTOR MELAYU : Peganglah tali, Capailah Timba.

Utusan Malaysia hari ini sekali lagi melapurkan berkenaan ketirisan kontraktor bumiputera. Mereka memetik kata-kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu usaha untuk memajukan bumiputera dalam bidang pembinaan tidak akan tercapai jika para pengusaha terbabit mengalibabakan kontrak kerajaan yang diberikan kepada mereka.

Sehubungan itu Perdana Menteri yang kecewa dan tidak senang hati dengan amalan itu mahukan masalah ketirisan itu diperbetulkan dan dihentikan segera.
Kerajaan sendiri katanya, akan berusaha mengurangkan sebanyak mungkin ketirisan tersebut.

Perdana Menteri yang tidak berpuas hati dengan amalan tersebut berkata, “Kita akan pastikan supaya semua perkara ini (ketirisan) tidak akan berlaku lagi. “Kalau amalan ini berterusan, ini bermakna segala sasaran untuk menggalakkan bumiputera (dalam bidang pembinaan) tidak akan tercapai,’’ katanya lagi.

Semalam, Abdullah melahirkan rasa sedih apabila Kajian Ketirisan Kontraktor Bumiputera yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kerja Raya menunjukkan secara purata 85.37 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera tahun lalu mengalir kepada kaum lain.

Menurut Abdullah, tindakan mengalibabakan projek yang dianugerahkan kerajaan itu menyebabkan ia nampak elok dari luar sahaja sedangkan hakikatnya ia bukan dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera terbabit.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menghalang sekiranya syarikat bumiputera hendak mengadakan usaha sama tulen dengan syarikat bukan bumiputera tetapi mengalibabakan peluang yang diserahkan kepada mereka “adalah satu kesulitan yang tidak diingini”.

Namun katanya, apa yang berlaku pada masa ini ialah kontraktor bumiputera mengalibabakan projek dengan menyerahkan semuanya kepada kaum lain.

Persoalannya apakah faktor-faktor yang menyebabkan ketirisan tersebut?. Mungkinkah kerana sikap kontraktor kita yang mahukan kerja senang dan mendapat keuntungan dengan cara yang mudah. Kalau begenilah sikap mereka saya menyokong penuh supaya kontraktor-kontraktor ini disenaraihitamkan seperti yang disarankan oleh beberapa tokoh perniagaan melayu kita.

Tetapi yang menarik perhatian saya adalah komen yang diberikan oleh Sdr. Reezal Merican Naina Merican iaitu Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO yang menyatakan ketirisan kontrak berlaku antaranya disebabkan kontraktor bumiputera gagal memperoleh sendiri bahan-bahan binaan.

Ini kerana pembekal bahan binaan terdiri daripada kaum Cina yang wujud dalam rangkaian kartel yang begitu kuat sejak dahulu.

Sebanyak 60 peratus kos projek terpaksa dibelanjakan bagi memperoleh bahan binaan daripada bukan bumiputera.

Daripada apa yang beliau nyatakan, adanya maksud yang tersirat yang beliau ingin utarakan. Pada pandangan saya apa yang beliau cuba maksudkan adalah wujudnya masalah diantara kontraktor-kontraktor kita dengan pembekal-pembekal bahan binaan yang terdiri daripada kaum Cina.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika berurusan dengan pembekal-pembekal kaum Cina ini. Walaupun saya bukan di dalam sektor pembinaan, tetapi pengalaman saya ini mungkin juga dirasai disektor tersebut.

Pada beberapa tahun yang lepas saya pernah mendapat tender daripada satu syarikat minyak yang terkenal di negara kita iaitu tender untuk membekal alat-alat tulis, yang meliputi juga peralatan yang bersangkutan dengan fotokopi dan komputer.

Difahamkan, sayalah anak melayu pertama yang pernah ditawarkan tender tersebut. Jadi saya bukan main gembira dan berbangga sekali. Tetapi itulah permulaan titik hitam di dalam perniagaan saya. Pembekal-pembekal yang dulunya memberi kredit sehingga 45-60 hari menarik balik kredit tersebut dan meminta saya membayar secara tunai. Pada mulanya saya tak faham kenapa, tetapi rupa-rupanya kerana saya yang mendapat tender tersebut dan mengenepikan kaum mereka. Pada hal pembekal tersebut tiada kena-mengena dengan tender yang dimaksudkan.

Apabila mereka menarik kemudahan kredit maka saya kekurangan modal pusingan dan bermasalah untuk menyempurnakan pesanan daripada syarikat minyak tersebut. Lebih memeritkan mereka sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana mereka tahu saya mempunyai price aggrement dengan syarikat minyak tersebut.

Apabila saya bermasalah mulalah mereka datang kononnya untuk menolong. Bermacam bentuk perkongsian yang mereka cadangkan yang sebenarnya mereka mahu menjadikan saya sleeping partner sahaja, saya tidak memilih pilihan tersebut tetapi saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan tender.

Pengalaman saya mengendalikan mini market juga agak sama. Mereka ini seakan-akan mempunyai super power untuk menentukan harga pasaran. Cuba bayangkan pemborong di pekan Port Dickson boleh menawarkan harga yang lebih murah daripada harga yang pembekal tawarkan kepada saya, sedangkan barang-barang tersebut juga dibekalkan oleh pembekal yang sama. Apabila kita ajukan pertanyaan, alasan mereka adalah pemborong membeli dengan kuantiti yang banyak. Tapi itu adalah alasan semata-mata kerana pernah pada suatu hari, pembekal tersebut tertinggal buku resit jualan, saya sempat melihat buku tersebut dan mendapati kedai kaum mereka yang membeli dengan kuantiti yang sedikit pun mendapat harga yang lebih murah daripada saya. Itulah sebabnya kita tidak dapat bersaing dengan mereka dari segi harga.

Kesimpulannya adalah penting untuk kita mewujudkan pembekal-pembekal dari bangsa kita sendiri. Walaupun mungkin kita perlu mengambil masa yang agak lama tetapi sekiranya kita tidak bermula dari sekarang, sampai bila-bila pun kita tidak dapat mengatasi masalah ini.

Harapan saya pada suatu masa nanti kita dapat nafikan puisi Usman Awang, `Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba’.

Fikir, fikirkanlah.

1 comment:

Unknown said...

Adakah anda memerlukan pinjaman untuk memulakan perniagaan? Ia mengambil
pinjaman untuk membayar bil-bil anda? Pada masa ini kami tawarkan
pinjaman pendidikan, pinjaman perniagaan, pinjaman rumah, pinjaman pertanian,
pinjaman peribadi, pinjaman kereta, dan lain-lain Jika anda perlu
menyatakan minat anda ke atas pinjaman, supaya kita boleh
menghantar maklumat lanjut kepada anda.
Hubungi kami melalui e-mel: sandradonaldloancompany@gmail.com.
Terima kasih
+1 951 703 6414