Sunday, 4 February 2007
TSUNAMI : Selamatkah kita di Port Dickson?
Dikala aku keseorangan begini, diluar nampaknya cuaca tidak baik, hujan turun dengan lebat sekali, langit hitam, laut nampaknya bergelora, lalu teringat aku kisah tsunami yang pernah melanda lebih setahun yang lalu. Sebagai warga yang tinggal berhampiran dengan laut, aku tidak dapat mengelak dari perasaan takut peristiwa tersebut akan berulang. Tsunami merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang membawa erti `ombak pelabuhan' atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai ombak pasang surut. Setelah jutaan manusia terkorban kerana bencana alam dan bencana buatan manusia itu sendiri, namun manusia tetap tidak insaf dengan apa yang berlaku. Entah apa jenis bala lagi yang akan turun untuk merubah keyakinan manusia pada tuhan dan ketuhanannya. Dapatkah kita bayangkan tangisan yang kedengaran dari celah-celah runtuhan. Ratapan dan jeritan dari anak-anak yang kehilangan ayah!. Jeritan ayah yang kehilangan anak! dan jeritan suami atau isteri yang kehilangan pasangan masing-masing, juga jeritan keluarga yang kehilangan semuanya. Bukankah itu tandanya Allah telah murka?. Bilamana manusia semakin leka dan melanggar fitrah sebagai hambaNya serta mencabar kuasaNya maka ingatlah Allah akan membalas dengan apa yang sepatutnya kita terima. Kejadian tsunami mengingatkan semula kita bagaimana kaum Nabi Nuh kelemasan. Semuanya membuktikan kerdilnya kita sebagai insan berbanding Allah yang menciptakan. Oleh itu kita sebagai hamba, bangunlah dari lena yang panjang. Marilah kita kembali kepada Allah, suburkan jiwa yang ketandusan dengan iman dan takwa, kerana Dialah tempat kita akan kembali. FirmanNya Katakanlah:` Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia tetap akan menemui kamu, kemudiannya kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan', Al-Jumuah, ayat 8. Pengajaran yang dapat kita ambil dari peristiwa tsunami ini ialah Allah ingin memperingatkan manusia bahawa dia berkuasa melakukan apa sahaja pada bila-bila masa; Allah mahu manusia mengenali diri dan sedar akan kemampuanNya yang Maha Agung; Allah ingin mengingatkan manusia tentang kemusnahan besar yang akan berlaku dimana dunia akan digoncang di hari kiamat dimana manusia akan hancur bersama harta-harta mereka dan Allah ingin mengingatkan manusia yang sesat dan tidak mahu bertaubat agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Daripada bencana tsunami tersebut adakah kita sebagai warga yang tinggal ditepi laut merasa selamat? Tiada siapa yang dapat memberikan jaminan, kita hanya boleh berusaha dan berdoa tetapi kuasa untuk meragut nyawa, harta benda, keseronokan dan kemewahan adalah hakNya yang hakiki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment