“Orang yang gagal adalah orang yang selalu mencari alasan tetapi orang yang berjaya adalah orang yang selalu mencari jalan”
Seperti yang dijanjikan, aku akan menceritakan bagaimana aku boleh menceburi politik UMNO. Peristiwa ini sebenarnya telah berlaku lebih kurang dua tahun yang lepas. Pada masa itu aku langsung tidak berminat dengan politik sehinggalah aku dipelawa oleh Puan Zauyah binti Abu Samah menubuhkan Pergerakan Puteri UMNO cawangan beliau.
Beliau yang mengetuai Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Sri Pinang menyatakan cawangannya belum lagi mempunyai pergerakan Puteri UMNO dan menyatakan hasratnya untuk melantik aku sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO cawangannya dan berharap aku dapat merealisasikan penubuhan Pergerakan Puteri UMNO dicawangan tersebut.
Aku pun tidak tahu macamana hati aku boleh terbuka untuk menerima pelawaan tersebut. Tetapi yang pastinya bukan kerana jawatan yang di tawarkannya. Mungkin kerana sikapku yang sukakan cabaran dan menyedari aku boleh menyumbangkan sesuatu kepada parti. Aku akan rasa puas sekiranya aku dapat merealisasikan harapan tersebut.
Masalahnya, keahlian UMNO aku berada di cawangan Bagan Pinang, jadi aku terpaksa memindahkan keahlianku ke Cawangan Sri Pinang. Semasa urusan perpindahan tersebutlah aku dinasihatkan oleh Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bagan Pinang iaitu Kak Ju, supaya tidak berpindah, lagipun katanya lebih baik aku berada di cawangan Bagan Pinang memandangkan tempat tinggalku di Kg. Bagan Pinang. Aku pun tangguhkan dulu hasrat tersebut.
Semasa mesyuarat agong Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Bagan Pinang yang diadakan kemudiannya nama aku tersenarai sebagai salah seorang AJK Pergerakan Wanita UMNO Cawangan tersebut. Seingat aku tiada pemilihan dijalankan, Cuma nama aku dibacakan bersama AJK-AJK yang lain. Aku sebenarnya terpinga-pinga pada masa itu, sedang aku sibuk untuk berpindah cawangan, tiba-tiba nama aku dilantik sebagai AJK. Perjalanan mesyuarat juga memeranjatkan aku, langsung tidak demokratik, senarai nama Ketua dan barisan AJKnya telah disediakan sebelum mesyuarat dijalankan. Banyak kepincangan yang aku nampak. Selain semua keputusan dibuat oleh beberapa orang sahaja, wujud juga parti dalam parti dan kecenderungan melantik pemimpin dikalangan saudara mara dan bukannya berdasarkan kepada kebolehan. Apabila ada ahli mengajukan pertanyaan, alasannya `kita tak nak mesyuarat kita kecoh-kecoh, tengok hari ini mesyuarat kita aman damai’. Memang tidak kecoh-kecoh dan aman damai tetapi sebenarnya kita telah mematikan semangat ahli-ahli kerana menafikan hak mereka untuk memilih dan dipilih. Sebab itulah kehadiran setiap kali mesyuarat agong tidak ramai dan dijalankan dalam keadaan lesu dan tidak bermaya. Itulah antara beberapa sebab yang aku nampak mengapa golongan profesional tidak mahu mendekatkan diri mereka dengan UMNO.
Walaubagaimanapun UMNO ini bukanlah nama yang asing bagi aku. Bapa dan emak aku adalah orang-orang yang telah banyak memberikan sumbangan kepada UMNO. Bapa aku, Haji Abu Bakar bin Abd. Ghani adalah AJK UMNO Cawangan Bagan Pinang yang dulunya diketuai oleh Tan Sri Mohamed Isa bin Dato’ Haji Abdul Samad. Emak aku pula, Hajah Rasiah binti Bakri adalah bekas guru Ekonomi Rumah Tangga KEMAS dan bergiat aktif di dalam UMNO, sebagai orang KEMAS bayangkanlah macamana tebal semangat UMNO beliau.
Bersambung..........
No comments:
Post a Comment