ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Tuesday 6 February 2007

DUN BAGAN PINANG : Bukan Kerusi Mudah Untuk UMNO....(Siri 1)

Parlimen Teluk Kemang terdiri daripada lima DUN, iaitu DUN Bagan Pinang, DUN Linggi, DUN Port Dickson, DUN Lukut dan DUN Chuah. Parlimen Teluk Kemang diwakili oleh MIC (Y.B. Dato’ S. Sothinathan), Bagi DUN pula, DUN Port Dickson diwakili oleh MIC (Y.B. Dato’ T. Rajagopalu ), DUN Linggi diwakili oleh UMNO (Y.B. Tuan Haji Ismail Taib), DUN Bagan Pinang juga diwakili oleh UMNO (Y.B. Sdr. Mohd Faizal bin Ramli) manakala DUN Lukut diwakili oleh MCA (Y.B. Dato’ Dr. Yeow Chai Thiam) dan DUN Chuah juga diwakili oleh MCA (Y.B. Foo Ming Chee).

Hari ini saya ingin memberikan pandangan peribadi saya berkenaan peluang UMNO untuk mempertahankan DUN Bagan Pinang. Seperti yang tersebut diatas, DUN Bagan Pinang diwakili oleh UMNO melalui wakil rakyatnya Y.B. Sdr. Mohd Faizal bin Ramli iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Teluk Kemang. Daripada rekod-rekod yang lepas, peluang untuk pembangkang membuat kejutan adalah amat tipis sekali, gerak kerja mereka langsung tidak menakutkan. Walaubagaimanapun kita perlu mengambil iktibar daripada kekalahan UMNO Kelantan kepada PAS. Kekalahan tersebut bukanlah kerana PAS itu kuat tetapi kerana UMNO itu sendiri yang lemah, akibat daripada sikap berpuak-puak dan berpecah belah.

Melihat kepada senario politik semasa DUN ini adalah satu DUN yang menarik untuk diperkatakan. Pertamanya DUN ini adalah kubu kuat UMNO yang mana di dalam DUN inilah terletaknya kampung halaman Tan Sri Mohamed Isa bin Dato’ Haji Abdul Samad dan juga kampung halaman bagi isteri beliau iaitu Allahyarhamah Datin Sri Hazizah binti Haji Tumin. Walaupun semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohamed Isa mewakili DUN Linggi tetapi beliau adalah Ketua UMNO Cawangan Bagan Pinang yang terletak di dalam DUN Bagan Pinang. Melihat kepada fakta ini, bolehlah disimpulkan bahawa di DUN inilah terletaknya kubu kuat Tan Sri Mohamed Isa yang mana boleh dikatakan sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang menguasai dan menggerakkan aktiviti-aktiviti peringkat cawangan adalah merupakan ahli keluarga dan penyokong kuat beliau.

Apa yang ingin diperkatakan disini adalah apakah kesannya kepada kekuatan UMNO DUN ini selepas Tan Sri Mohamaed Isa bukan lagi Menteri Besar Negeri Sembilan dan juga selepas penggantungan beliau daripada UMNO setelah memenangi jawatan Naib Presiden tempohari. Walaupun nampaknya Tan Sri Mohamed Isa dapat menerima perkara-perkara tersebut seperti yang diperlihatkan didalam Pilihan Raya kecil DUN Pengkalan Pasir tempoh hari dimana beliau memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada UMNO tetapi bagaimana pula penerimaan ahli keluarga dan penyokong-penyokong kuat beliau yang ramai berada di DUN ini. Orang kata rambut sama hitam tetapi hati lain-lain, walaupun luka telah sembuh tetapi parutnya tetap ada. Sekiranya mereka ini memprotes UMNO sudah tentu ianya akan merencatkan jentera pilihan raya UMNO dan sekiranya mereka memberikan undi protes, maka kesannya bukan sedikit kepada UMNO.

Walaubagaimanapun kita semua percaya, semua ahli-ahli UMNO telah matang. UMNO bukanlah syarikat sendirian berhad yang boleh dihakmilikan tetapi UMNO adalah parti kepunyaan semua orang melayu yang bernaung dibawahnya. Tiada siapa boleh mendakwa dia adalah lebih UMNO daripada orang lain kerana semua ahli UMNO mempunyai hak yang sama keatas UMNO. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi yang lebih penting adalah parti itu sendiri. Marilah sama-sama kita buktikan sokongan kita kepada parti yang kita sayangi ini dengan berkerja bersungguh-sungguh di dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. SELAMAT BERJUANG!