ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Monday, 12 February 2007

EL NINO : Fenomena Alam Yang Menakutkan

Pada masa sekarang banyak cerita dan maklumat yang berkaitan dengan cuaca yang jarang-jarang kita dengar semenjak dua dekad yang lalu. Keadaan cuaca sudah menjadi semakin pelik kerana bahagian-bahagian dunia yang dulu kering kontang kini dilanda banjir, sementara bahagian-bahagian dunia yang biasanya sejuk, sekarang menjadi panas melampau.

Selepas berlakunya tsunami yang meragut berpuloh ribu nyawa dan disusuli dengan ribut taufan yang berbagai nama, keadaan cuaca dunia semakin sukar untuk diramal. Pada masa sekarang Amerika Syarikat sedang dilanda taufan yang telah meragut banyak nyawa. Di negara-negara asean juga berbagai ribut yang melanda yang memusnahkan banyak harta benda. Di negara kita juga cuaca sudah menjadi tidak menentu, kalau dulu banjir biasanya melanda negeri-negeri pantai timur tapi pada tahun ini banjir telah melanda negeri Johor yang terletak di selatan sebanyak dua kali iaitu gelombang pertama dan kedua yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Di Indonesia pula banjir besar yang melanda yang mana 75 peratus daripada Jakarta telah tenggelam. Perkara sebegini sebenarnya jarang-jarang kita dengar. Sekarang ini pula kita diramalkan akan berdepan dengan fenomena El Nino.

APAKAH FENOMENA EL NINO?

El Nino adalah suatu arus laut yang panas menggantikan suatu arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan keadaan kejadian luar biasa cuaca yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara dan Australia, keadaan-keadaan lebih kering dari normal berlaku sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya keadaan lembap dialami. Secara lazimnya, El Nino berlaku untuk tempoh 9-18 bulan. Biasanya ia mula terbentuk pada awal tahun, berada dikemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah pada awal tahun yang berikutnya.

Sejak 50 tahun kebelakangan ini, El Nino telah berlaku sebanyak 12 kali. Dua kejadian El Nino yang terkuat pada abad yang lalu berlaku pada 1982-83 dan 1997-98.

APAKAH PERUBAHAN IKLIM SEMASA EL NINO?

Di kawasan tropika, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia Utara. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di Afrika Tenggara, India dan Brazil Utara. Cuaca lebih lembap berlaku sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara.

Fenomena yang menakutkan ini sebenarnya telah bermula sekarang. Setiap hari kita merasakan bahang panas dan kering. Ramai diantara kita sudah mula demam dan batuk-batuk. Semua ini puncanya adalah kecuaian dan kezaliman kita sendiri ke atas alam sekitar.

BERSEDIAKAH KITA MENGHADAPI FENOMENA INI?

Apa yang perlu kita fikirkan adalah macamana persediaan kita menghadapi fenomena ini. Cuaca tidak lagi membawa perkhabaran gembira buat kita. Jangan sampai masalah ini menjadi kritikal baru kita hendak mencari jalan mengatasinya.

Daripada laporan akhbar minggu lepas semua jabatan kerajaan yang berkaitan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga- jaga mulai sekarang sebagai persiapan bagi menghadapi kemungkinan cuaca yang tidak menentu akibat fenomena El Nino ini. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan memberi amaran bahawa El Nino diramalkan akan menyebabkan kemarau dan jerebu di negara ini.“Kita perlu melihat keadaan pada bulan Februari dan Mac ini sebelum mengeluarkan pelan tindakan di peringkat negara dan ASEAN. Saya fikir adalah wajar jika kita bersikap berwaspada mulai dari awal, terutama dalam menguruskan sumber air kita,” katanya kepada pemberita apabila ditanya apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menghadapi kesan El Nino. “Pembangunan perumahan, kegiatan pembalakan dan pembangunan infrastruktur lain, jika tidak dilaksanakan secara mampan, boleh menyebabkan mendapan lumpur di sungai dan penyumbatan sistem saliran,” katanya lagi.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula berkata mereka tidak mempunyai kuasa ajaib untuk menghalang kemungkinan kemarau panjang akibat fenomena El Nino tetapi boleh mengurangkan masalah terhadap petani menerusi pemantauan rapi setiap agensinya. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua ketua jabatan diminta mencari jalan untuk mengurangkan kesan buruk terhadap kawasan pertanian jika bekalan air untuk pengairan terjejas kerana perubahan iklim dunia ini. Sebelum ini, pakar tempatan meramalkan perkembangan sektor pertanian negara seperti ditekankan Rancangan Malaysia Kesembilan akan menghadapi cabaran terbesar selepas fenomena El Nino bermula tahun ini, mungkin menyebabkan kemarau paling teruk dalam sejarah. Fenomena yang akan mengakibatkan kemarau panjang dan boleh menjejaskan sektor pertanian negara ini diramal berlaku di negara ini bulan depan. Beliau berkata, kemarau yang berlaku sebelum ini menjejaskan kawasan pertanian yang bergantung kepada perairan dari sungai atau hujan manakala kawasan yang bergantung kepada empangan tidak akan terjejas.

Kerajaan negeri sabah pula akan meminta bantuan pakar mengenai fenomena El Nino daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan nasihat dan langkah persediaan yang perlu bagi menghadapi musim kemarau yang diramal bermula pada bulan Mac hingga Ogos tahun ini. Sabah dan Sarawak memerlukan persediaan yang lebih kerana bencana ini sangat sukar diuruskan, dan yang paling bahaya ialah kebakaran hutan kerana ia sukar dikawal.

Daripada kenyataan-kenyataan tersebut dapat kita simpulkan bahawa kita tidak dapat melawan ketentuanNya, tetapi kita boleh berikhtiar dan berusaha mengurangkan kesan-kesannya. Selagi kita terus terusan menganiaya dan menderhaka kepada alam sekitar selagi itulah kita akan menghadapi kemarahan alam.

No comments: