ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Wednesday, 22 August 2007

IBU! KENAPA ENGKAU MENANGIS?

PADA suatu hari seorang anak kecil yang kehairanan bertanya kepada ibunya “Ibu! Kenapa engkau menangis?”. Ibunya menjawab “Ibu menangis kerana ibu seorang wanita”. Anak itu masih kehairanan “Saya tak faham” katanya lagi. Ibu hanya mampu tersenyum dan sambil memeluk erat anaknya tersebut, beliau menjawab “Wahai anakku, kamu memang tidak akan pernah faham”.

Anak yang tidak berpuas hati dengan penjelasan ibu bertanya pula kepada ayahnya “Ayah! Kenapa ibu menangis?, saya hairan kerana ibu selalu menangis tanpa sebab yang jelas”. Ayah menjawab “Semua wanita memang menangis tanpa ada sebab yang jelas”.

Hanya itu alasan yang dapat diberikan oleh ayahnya. Walaupun anak itu tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya tetapi dia mengangguk saja.

Apabila anak itu meningkat dewasa, dia masih tertanya-tanya kenapa wanita menangis?. Sehinggalah kepada satu malam dia bermimpi bertanya kepada Allah tentang perkara tersebut “Ya Allah! Kenapa aku tengok wanita mudah sangat menangis?.”

Dalam mimpinya Allah menjawab “ Aku ciptakan wanita menjadi sangat istimewa, bahunya mampu menahan seluruh beban dunia dan ianya juga sangat lembut untuk menjadi pengalas kepala bayi yang sedang nyenyak tidur.

Aku berikan wanita kekuatan untuk mengandung dan melahirkan, walaupun kemudiannya dia akan menerima cercaan dari anak yang dilahirkan tersebut.

Aku berikan keperkasaan yang menjadikannya tetap bertahan dan pantang menyerah walaupun pada masa itu semua orang sudah berputus asa.

Aku berikan kesabaran untuknya menjaga keluarga, walaupun letih, penat dan sakit, dia tidak akan pernah berkeluh kesah.

Aku berikan perasaan kasih sayang untuknya mencintai semua anak-anak walaupun anak-anak tersebut melukai hati dan perasaannya.

Aku berikan kekuatan untuk mendampingi dan melindungi suaminya walaupun ketika melalui saat-saat yang sukar. Bukankah ianya Aku ciptakan dari tulang rusuk iaitu untuk menjadi pelindung hati dan jantung.

Aku berikan kebijaksanaan dan kemampuan untuk menyedarkan suami agar tidak melukai hatinya walaupun kerap kali kesetiaannya tercabar.

Dan akhirnya Aku berikan dia air mata agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah pemberianKu yang khusus kepada wanita agar dapat digunakannya pada bila-bila masa yang dikehendaki samada untuk menyatakan kesedihan atau kebanggaan”.

Oleh itu, kita sebagai anak-anak janganlah menderhaka, sebaliknya hormatilah ibu dan dekatkan diri kita dengannya. Berikanlah kasih dan sayang sementara kita masih boleh memanggil namanya.

Sekian, jumpa lagi.

2 comments:

Juezura said...

kasih ibu membawa ke syurga...InsyaAllah

Rumah Kuning said...

Seorang isteri mesti mentaati suami melebihi ibu bapa.