ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Tuesday, 21 August 2007

OH! SUAMIKU.....

SEDIH benar rasanya. Kalau diawal usia perkahwinan dulu, aku di tatang bagaikan minyak yang penuh tetapi sekarang tidak lagi. Selepas lebih sepuloh tahun usia perkahwinan, kasih sayangnya aku rasakan telah berubah.

Setiap hari dia sibuk menguruskan perniagaannya. Untuk menjenguk aku dan anak-anak di rumahpun begitu terbatas sekali. Alasan-alasanku dulu mencintainya telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan.

Aku memang seorang yang berjiwa sentimental, sensitif dan lemah lembut. Oleh itu aku selalu merindukan saat-saat romantis dari seorang suami. Tetapi sebaliknya dia sangat sibuk sehingga di rumahpun masih mengadap komputernya, merancang itu dan ini.

Sekarang aku rasa tidak tahan lagi, aku mesti meluahkan segalanya. Aku tak peduli walaupun apa yang akan terjadi kepada rumahtanggaku. Aku mesti berani menyatakannya dan tidak harus terus hidup di dalam keadaan yang tertekan sebegini.

Pada suatu hari, semasa dia sibuk dengan komputernya aku menghampiri dan menyatakan keinginanku untuk berpisah. Dia hanya bertanya “Kenapa”? dengan agak terkejut. Aku menjawab “Aku tidak mendapat cinta darimu”. Dia terdiam dan termenung panjang di depan komputernya tanpa berkata apa-apa.

Kekecewaan aku semakin bertambah. Apa lagi yang boleh aku harapkan dari seorang suami yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya. Walaubagaimanapun akhirnya dia bersuara “Apa yang dapat aku lakukan untuk mengubah keputusanmu?”.

Aku merenung matanya dalam-dalam. Apa yang perlu aku minta untuk membuktikan cintanya. Akhirnya aku menjawab dengan perlahan “Aku inginkan sekuntum bunga yang berada diatas puncak sebuah gunung yang sangat curam, bolehkah kamu mendapatkannya walaupun tahu kamu tidak mampu mendaki gunung tersebut dan akan mati terjatuh?”.

Dia sekali lagi terdiam dan akhirnya berkata “Saya akan berikan jawapannya esok”. Aku menjadi lebih gundah gelana dengan jawapannya dan rasa tidak sabar menunggu hari esok.

Apabila tibanya hari esok, aku dapati dia awal-awal lagi telah keluar dari rumah ke tempat kerja. Sikapnya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku jadi risau, kenapa dia tidak memberikan aku jawapan.

Rupa-rupanya dia telah meninggalkan sekeping nota yang berbunyi “Sayang…..aku tidak akan mengambil bunga itu untukmu”. Ayat pertama tersebut benar-benar menghancurkan perasaanku. Air mataku mencurah-curah keluar.

Aku terus membaca nota tersebut “Sayang…..aku tidak akan pergi mengambil bunga itu hanya kerana untuk mati. Sedangkan aku tidak boleh mati sekarang kerana aku tidak sanggup membiarkan engkau menangis kerana kematianku. Sayang…..aku juga tidak boleh mati kerana masih perlu terus bekerja dengan gigih untuk menyara hidup kita dan anak-anak yang sedang membesar”. Aku menjadi tergaman dengan penjelasannya tersebut.

Seterusnya nota itu berbunyi “Sayang…..aku juga tidak boleh mati sekarang kerana masih mengimpikan untuk menjagamu di usia tua. Sekiranya pada masa itu engkau lenguh-lenguh, harap-harap aku masih berupaya memicit-micit kakimu. Sekiranya matamu telah kabur, harap-harap aku masih berupaya menolong memotong kuku dan mencabut ubanmu. Dan sekiranya kakimu sudah tidak terdaya untuk berjalan, harap-harap aku masih berupaya memimpinmu menyusuri pantai, menikmati matahari terbenam dan merasai nyamannya bayu laut.”

Nota itu diakhiri dengan “Sayang….maafkan aku kerana kesibukanku berkerja sehingga tidak sedar telah mengabaikanmu”.

Selesai membaca nota tersebut aku menangis sepuas-puas hati. Menangis bukan kerana marah tetapi menyesal dengan perbuatanku. Sekarang aku sedar rupa-rupanya dia sanggup berkerja siang dan malam adalah kerana untuk memberi keselesaan kepadaku dan anak-anak.

Itulah cinta namanya. Disaat kita merasakan cinta itu beransur-ansur hilang, kita kadang-kala lupa cinta itu sebenarnya telah wujud di dalam bentuk yang lain.

Benarlah kata orang, cinta itu bukan hanya pada ucapan atau perbuatan tetapi sebenarnya apa yang ada di dalam hati…..

Sekian, jumpa lagi.


2 comments:

Rumah Kuning said...

suspen je..
Tapi ada kalanya yang remeh temeh itu dirasakan amat penting utk seorang yg bernama isteri.Ada kawan saya cerita, suaminya tak pernah ucap I LOVE YOU utknya. So, suatu hari dia mintak/paksa suaminya ucapkan perkataan tersebut. Sudahnya,sampai larut mlm dia tunggu.. tak disebut-sebut jugak.

Anonymous said...

aduhai perempuan.....