ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday 25 February 2007

UMNO : Kepadamu Aku Datang..... (Siri 2)

"Tidak Berani Jika Bersalah, Tidak Kecut Takut Kerana Benar"

Selepas berkahwin, lebih banyak pendedahan politik UMNO yang aku terima. Keluarga sebelah mertuaku memang aktif di dalam UMNO. Bapa mertuaku adalah bekas AJK UMNO Bahagian Tumpat dan selalu ke Perhimpunan Agong sebagai perwakilan. Suamiku memang daripada kecil lagi sentiasa dibawa oleh bapanya ke Perhimpunan Agong. Masa di Universiti pun bapanya sanggup ke Bangi semata-mata mengambilnya untuk dibawa ke perhimpunan Agong. Suamiku juga selalu bercerita zaman pelajarnya yang membawa balik pelajar-pelajar UKM untuk mengundi di Parlimen Tumpat semasa musim pilihanraya. Beliau juga banyak mengendalikan akaun-akaun politician semasa menjadi remisier.

Selepas berkahwin, acap kali juga aku mengikuti beliau ke Perhimpunan Agong samada menemani bapanya atau berjumpa kawan-kawannya daripada Kelantan. Beliau selalu mengimbas kembali kenangan-kenangan semasa mengikuti perhimpunan dan pertandingan di dalam UMNO. Katanya banyak pengajaran yang boleh diperolehi bila kita melihat kembali sejarah UMNO. Daripada zaman menuntut kemerdekaan sampailah sekarang, banyak peristiwa-peristiwa yang boleh dijadikan iktibar khasnya pada zaman Tun Dr. Mahathir. UMNO tidak pernah jatuh kerana parti lawan tetapi runtuh kerana masalah dalaman. Dalam politik ini banyak perkara yang dia kata tidak masuk akal, tetapi itulah yang selalunya berlaku. Hari ini kawan dan esoknya boleh jadi lawan.

Selalu dia bercerita masalah perpecahan dalam parti bermula pada tahun 1981 apabila YBM. Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Disebabkan Presiden parti, Tun Dr. Mahathir memihak kepada Tun Musa maka YBM. Tengku Razaleigh Hamzah tumpas sebanyak dua kali. Kemudiannya pada tahun 1987, selepas Tun Musa meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berganding bahu pula dengan YBM. Tengku Razaleigh mencabar Tun Mahathir Mohamed. YBM. Tengku Razaleigh mencabar jawatan Presiden UMNO manakala Tun Musa pula berlawan dengan Tun Ghafar yang menjadi regu Tun Mahathir untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Ketika inilah terjadinya perpecahan yang teruk di dalam UMNO sehingga wujudnya team A dan B yang kemudiannya membawa kepada pengharaman UMNO dan tertubuhnya UMNO baru. YBM. Tengku Razaleigh yang kalah tipis sebanyak 43 undi pula menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Daripada situ jugalah dikatakan bermulanya politik wang.

Pernah juga dia bercerita macamana Tun Ghafar Baba yang banyak jasanya kepada UMNO kemudiannya diperlekehkan pula oleh DSAI yang disokong oleh Tun Mahathir semasa merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO (Tun Ghafar hanya mendapat 7 pencalonan berbanding 137 oleh DSAI). Walaubagaimanapun Tun Ghafar tidak pernah merajuk dengan UMNO dan senantiasa berpegang kepada falsafah `Orang Semenda’; `Dijemput datang – Disuruh pergi'. Ayah Haji (Dr. Haji Ramli Abd. Ghani, bekas Pegawai Khas Dato’ Mustapa Mohamad dan bekas orang kuat MARA) selalu berjenaka kepada aku, Tun Ghafar ini ada dua degree (Ba Ba). Kemudiannya kita dapat pula melihat bagaimana DSAI diperlakukan selepas dipecat daripada jawatan Tmbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Satu lagi cerita yang tidak pernah dilupakannya adalah cerita Nabi Sulaiman a.s dan semut yang diceritakan oleh Tan Sri Sanusi Junid dalam ucapannya semasa berucap di Shah Alam dalam siri kempennya merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993. (Kisah Nabi Sulaiman a.s dan semut tersebut akan diceritakan kemudian di dalam post yang lain).

Bersambung………

2 comments:

Anonymous said...

saya masih tidakpuas hati dengan kekalahan KU LI dulu.Ada yg x betul dalam Umno.

Roshatika said...

Sebenarnya pada masa itu ramai yang tidak puas hati, suamiku berada di perhimpunan pada masa pertandingan tersebut. Pengumuman keputusan juga mengambil masa yang lama. Ramai perwakilan dan pemerhati dari Kelantan terus meninggalkan ibu negara pada malam itu juga. Kata suamiku laporan awal mengatakan YBM. Tengku Razaleigh memenangi pertandingan tersebut, malah poster YBM. Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri Malaysia pun telah diedarkan. Majlis-majlis jamuan untuk meraikan kemenangan YBM. Tengku telah ditempah. Selepas kekalahan tersebut timbul lah cakap-cakap pasal politik wang, penipuan dan politik `cas keting'. Tetapi semuanya tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Sebab itulah saya tidak menceritakan di dalam blog saya. Sekiranya saudara masih berminat dengan cerita-cerita lama ini bolehlah kita kongsi bersama. Saya menunggu komen seterusnya daripada saudara.