Malam tadi aku menghadiri mesyuarat AJK Persatuan Usahawan D’MARA Pantai Saujana (PUD’PS). Agenda utama adalah perbincangan untuk mengadakan nite market dihadapan premis D’MARA Batu Empat, Port Dickson.
Pada pandangan aku sekiranya cadangan ini dilakukan dengan baik, idea ini sudah tentu akan mendatangkan hasil yang memuaskan. Cadangan tersebut sudah tentu akan menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Port Dickson khasnya ke Pantai Saujana, seterusnya akan memeriahkan lagi premis-premis perniagaan D’MARA Batu Empat, Port Dickson.
Mengikut perancangan, nite market tersebut terdiri daripada 30 lot gerai yang akan menjual pelbagai jenis barangan terutamanya barangan kraf tangan yang menjadi kesukaan pelancong-pelancong asing. Selain daripada itu pertunjukan kebudayaan juga akan dipersembahkan selain lot gerai untuk pelukis potrait dan pemuzik jalanan. Makanan-makanan ringan yang dihasilkan secara tradisional juga akan turut di jual.
Sebenarnya apabila kita berpersatuan, banyak faedah yang akan kita perolehi. Aku selalu teringat satu kajian yang telah dijalankan berkenaan perbandingan diantara petani-petani cina di Sekinchan dengan petani-petani melayu dibawah penyeliaan MADA di Kedah. Keputusan yang diperolehi adalah petani-petani cina di Sekinchan telah menghasilkan padi atau beras yang lebih tinggi dari segi kuantiti dan kualitinya. Apabila diselidiki pencapaian mereka itu sebenarnya adalah kerana bimbingan dan tunjuk ajar dari inisiatif persatuan mereka yang begitu kuat sekali.
Bayangkanlah bagaimana persatuan mereka begitu berkesan sekali mendidik, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada ahli-ahli mereka sehingga dapat mengatasi apa yang diberikan oleh agensi kerajaan sendiri. Itulah tandanya mereka bersatu padu mengembelingkan tenaga dan idea bagi mencapai apa yang mereka cita-citakan.
Inilah sebenarnya yang harus kita contohi, kita tidak ada masa lagi untuk bercakaran, persatuan kita bukannya sebuah parti politik, oleh itu matlamat dan wawasannya perlu jelas. Persatuan kita perlu ada arah dan hala tuju bagi memperjuangkan visi dan agenda bagi faedah seluruh ahli. Kita tidak mahu persatuan yang suka mencanang cerita satu kampung tetapi sebenarnya hanya ingin menangguk di air keruh kerana ada agenda bagi kepentingan sendiri.
Selain daripada itu, secara amnya berpersatuan juga akan mendedahkan kita kepada pengetahuan berbentuk soft skill seperti kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam dan membuat keputusan. Begitu juga kemahiran dalam bidang teknikal seperti penggunaan komputer.
Berpersatuan juga akan membangunkan konsep jati diri yang mantap. Apabila berpersatuan kita akan diberikan amanah yang memerlukan komitmen ikhlas dan berterusan. Kita akan belajar melakar agenda, membuat keputusan, melaksanakan program dan melakukan pemantauan. Gerak kerja ini akan memantapkan sikap jati diri kita secara langsung dan tidak langsung.
Berpersatuan juga akan mengajar kita lebih berdisiplin. Kita akan terlatih dengan ciri disiplin mantap apabila kita diberikan tugasan dan amanah.
Kesimpulannya adalah, marilah sama-sama kita memberikan sokongan, idea dan apa jua bentuk sumbangan kepada persatuan kita supaya ianya akan berfungsi dengan jayanya di dalam mendidik, membimbing dan memberikan tunjuk ajar kepada kita semua.
Akhir kata SELAMAT BERJAYA kepada semua usahawan D’MARA Pantai Saujana, Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan D.K.
No comments:
Post a Comment