ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Friday, 9 March 2007

FTA : BENARKAH PENJAJAHAN BENTUK BARU?

FTA adalah Perjanjian Perdagangan Bebas antara dua negara bagi merundingkan mengenai barangan yang mungkin tidak dikenakan cukai atau kadar cukai dikurangkan. FTA merupakan langkah pertama untuk menjadikan dunia ini sebagai pasaran umum kepada semua.

Ianya telah menjadi trend di dunia sekarang dan tidak ada satu negarapun yang boleh mengasingkan diri daripada trend ini kerana menolaknya akan memberikan kesan negatif kepada mereka. Begitu jugalah dengan negara kita Malaysia yang tidak dapat lari daripada mengadakan FTA dengan mana-mana negara kerana dunia kini menuju kepada pasaran bebas (free market) dan pasaran umum (common market).

Apabila disebut perjanjian maknanya keputusan akhir adalah terletak di tangan kedua-dua negara. Pasaran negara tidak perlu dibuka tanpa halangan kerana semuanya perlu ada perjanjian. Kata akhir sama ada untuk memasukkan barang-barang dalam senarai FTA masih ditentukan oleh kita.

Yang pentingnya kita mestilah mempunyai perunding-perunding yang bijaksana yang dapat berhujah bagi mempertahankan kepentingan rakyat dan negara. Kebijaksanaan kerajaan kita dengan tidak menetapkan tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian tersebut menunjukkan kita berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.

Seperti yang kita ketahui negara jiran Singapura telah menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat dan inilah sebenarnya yang memberikan tekanan kepada kita. Kita tidak ada pilihan untuk menolak FTA ini kerana barang-barang kita akan lebih mahal berbanding dengan barang-barang dari Singapura. Mereka juga boleh mengambil kesempatan dengan memproses semula barang-barang kita sebelum dipasarkan ke Amerika Syarikat. Ini akan memberikan kesan negatif kepada syarikat-syarikat kita yang akhirnya kita terpaksa bergantung semula kepada Singapura.

Perkara-perkara yang melibatkan keselamatan, kepentingan rakyat dan negara tidak harus tertakluk kepada pasaran tersebut sebaliknya ia mestilah tertakluk kepada polisi awam. Polisi awam akan melindungi keselamatan dan kepentingan negara, oleh itu adalah penting polisi awam tersebut selari dengan FTA.

Oleh itu secara amnya dapatlah disimpulkan FTA bukanlah merupakan penjajahan bentuk baru kerana FTA kita dengan Amerika Syarikat dilakukan tanpa perlu tunduk kepada tekanan atau kita terpaksa melonggarkan syarat polisi awam kita yang mengawal keselamatan dan kepentingan Negara. Keputusan akhir berada ditangan kita dan kitalah yang harus dipersalahkan sekiranya FTA tersebut memberikan kesan buruk kepada rakyat dan negara. Tepuk dada tanya selera.

No comments: