ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Monday, 19 March 2007

PELABURAN INTERNET HARAM!

METRO Ahad hari ini (18 Mac 2007) melaporkan semakin ramai umat Islam yang ghairah ingin menjadi orang kaya baru (OKB) dengan melabur di dalam skim di internet tanpa mengetahui keuntungan diperolehi yang menjadi darah daging mereka itu adalah haram.

Pada masa ini, ada beberapa skim pelaburan di internet yang popular dikalangan rakyat Negara ini yang mengaku kononnya mereka syarikat pelaburan online telus yang menawarkan fenomena baru dunia pelaburan `off shore’.

Ada pengendali skim itu mengaku mereka berpengkalan di Switzerland, Amerika Syarikat dan Eropah serta peneraju ekonomi yang lain untuk menarik minat pelaburan bukan hanya dari rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.

Mengikut laporan tersebut, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berang ketika mendedahkan penyakit tersebut telah menular sehingga melibatkan pegawai kanan kerajaan di negeri itu.

Seorang wanita berusia pertengahan 30-an menangis teresak-esak kerana insaf selepas mendapat penerangan pakar ekonomi Islam, Zaharuddin Abdul Rahman, mengenai pelaburan di internet yang di sahkan haram.

Beliau berkata “Saya berdosa. Niat untuk memperbaiki ekonomi keluarga rupa-rupanya mendekatkan kami kepada api neraka kerana hasil daripada wang haram itu digunakan untuk membiayai kehidupan, sekali gus menjadi darah daging kami sekeluarga”.

Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kajian ulama dan pakar ekonomi Islam mendapati, ada beberapa ciri di dalam pelaburan berkenaan yang jelas bertentangan dengan Islam, menyebabkan ia difatwakan sebagai haram.

Yang jelas, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah. Selain itu, banyak helah di dalam skim pelaburan berkenaan, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada pelanggan, yang mana keadaan ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Semua skim ini tidak ada kontrak atau perjanjian sempurna, sebaliknya hanya berurusan di internet tanpa butiran sebagai bukti, menyebabkan risiko untuk orang ramai tertipu adalah besar dan mudah.

Beliau berkata tindakan beberapa skim menetapkan kadar faedah untuk tempoh tertentu juga bertentangan dengan hukum Islam kerana berkonsepkan riba.

Zaharuddin menambah, tiada jalan penyelesaian selain umat Islam yang terjebak dengan skim berkenaan mengeluarkan semua wang mereka dan mengambil semula modal sebenar yang dilaburkan.

Wang keuntungan pula perlu diserahkan untuk kebajikan. Ini kerana Majlis Fekah sedunia memutuskan, wang yang difatwakan daripada hasil yang haram harus disedekahkan kepada badan kebajikan awam atau surau dan masjid selain golongan fakir.

Yang jelas wang tersebut bukan saja haram untuk makan minum atau membeli asset tetapi haram juga meskipun digunakan untuk membayar hutang termasuk cukai.

Sementara itu Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin menyifatkan pelaburan menerusi internet adalah riba. Beliau menambah pelaburan ini tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan kerana menggunakan pulangan tetap yang jelas bertentangan dengan prisip Islam iaitu Mudharabah.

Katanya lagi, orang melayu memang suka dengan skim-skim yang menawarkan keuntungan dan pulangan segera seperti ini tetapi mereka perlu ingat, ini adalah haram dan berdosa besar.

Satu pesanan daripada beliau adalah “Jika makan khinzir itu haram dan berdosa besar, dosa makan riba adalah lebih besar daripada dosa makan khinzir. Kerana itu, al-Quran mengisytiharkan riba sebagai perang”.

No comments: