Aku sebenarnya begitu bersyukur kerana telah dilahirkan di tempat yang seindah ini. Tempat yang telah diberikan jolokan Pantai Peranginan Negara.
Di kala semua orang mengagumimu, aku kadang-kadang terlepas pandang tentang keindahanmu. Maafkan ku….
Di petang-petang beginilah selalunya aku terkenang seribu kenangan pahit dan manis yang telah aku lalui dibumi bertuah ini. Aku selalu terkenang zaman kanak-kanak ku yang sentiasa riang disayangi kedua ibu dan bapaku.
Di zaman tersebut, di sinilah tempat aku bermain, di pantai inilah aku dan rakan-rakan sebaya selalu berkejaran dan mandi-manda menghabiskan masa yang terluang.
Tetapi sekarang aku jarang benar ke pantai, aku pun tak tahu kenapa. Di saat ramai pengunjung mengunjungi dan bermandi-manda di pantai, aku rasa semua itu sudah tiada erti bagiku, mungkin kerana usia yang semakin meningkat agaknya, atau kerana kita selalu nampak kuman di seberang lautan.
Aku rasa, zaman kanak-kanaklah masa yang paling seronok di dalam hidup ku. Pada masa itu aku tidak dibebani dengan sebarang rasa tanggungjawab. Setiap hari apa yang aku fikirkan adalah keseronokan.
Bila aku memasuki alam persekolahan, keadaannya tetap sama. Setiap hari apa yang aku fikirkan adalah duit belanjaku dan kelengkapan sekolah yang harus disediakan oleh kedua-dua ibu dan bapaku, tanpa aku memikirkan betapa susahnya mereka mencari nafkah untuk menyediakan itu semua kepadaku.
Bila memasuki alam remaja, keadaan tidak banyak berubah, aku selalu mengharapkan segala-galanya disediakan oleh ibu dan bapaku. Pada masa itu aku tak sedar, bagai mana sukarnya mereka melayan kerenahku.
Bagaimana susahnya aku membesarkan anak-anakku menjadi seorang insan, begitulah agaknya kesusahan kalian berdua membesarkan aku dulu.
Untuk mak dan abah, Tika sebenarnya ingin memanjatkan kesyukuran kerana kalian berdua telah berjaya membesarkan Tika menjadi seorang insan. Walaupun kadang-kadang tingkah lakuku seperti tidak menghormati kalian berdua, tetapi percayalah tindakan tersebut bukannya datang dari hatiku.
Hatiku sebenarnya sangat-sangat menghormati dan menyayangi kalian berdua, seperti mana aku mengharapkan anak-anakku menghormati dan menyayangi diriku.
Ampunkanlah diriku sekiranya telah banyak melukakan kalian berdua. Jasa kalian tidak akan terbalas oleh ku. Hanya Allah yang akan membalasnya.
Untuk anak-anakku, sekiranya kalian terbaca coretan mama ini, ketahuilah bagaimana susahnya mama membesarkan kalian semua. Mama telah memberikan segala yang terdaya mama lakukan, hanya untuk membesarkan kalian semua, menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Sekiranya kalian semua tidak mengerti kesusahan mama membesarkan kalian, mama faham, kerana dulupun mama tidak mengerti kesusahan atuk dan nenek kalian membesarkan mama. Tetapi kalian akan faham juga nanti, apabila kalian semua sudah mempunyai anak masing-masing.
Akhir kata, oh! Port Dicksonku, walau sesukar mana hidup ini….. disinilah aku berdiri…dan akan terus berdiri… kerana disinilah terletaknya tanah tumpah darahku…..
No comments:
Post a Comment